*~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~* { Sila lawat Laman Hizbi-Net - http://www.hizbi.net } { Hantarkan mesej anda ke: [EMAIL PROTECTED] } { Iklan barangan? Hantarkan ke [EMAIL PROTECTED] } *~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~* PAS : KE ARAH PEMERINTAHAN ISLAM YANG ADIL ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~ Pedas-Pedas Cili Api 110 (14hb Jun 2000) Dr M Takut Tribunal Baru saja menjejakkan kakinya di lapangan terbang, setelah melawat Jepun, Dr M @ Cek Det menyerang Majlis Peguam. Katanya Majlis itu mempunyai agenda politik untuk melaga-lagakan kerajaan dengan hakim. Serangan beliau dibuat kerana Majlis Peguam bercadang mengadakan mesyuarat agung minggu depan untuk menuntut supaya sebuah tribunal dibentuk bagi menyiasat Ketua Hakim Tun Eusoff Chin. Cek Det berkata tribunal itu tidak perlu dibentuk. Cili Api berpendapat sangat perlu. Isunya sekarang sudah melampaui semata-mata gambar yang menunjukkan Ketua Hakim bersama-sama Datuk Lingam, peguam Vincent Tan, di New Zealand pada tahun 1994. Melalui internet MGG Pillai menafikan dakwaan Eusoff bahawa beliau terserempak dengan Lingam secara kebetulan. Bahkan katanya mereka telah menaiki kapal terbang yang sama dari Singapura. Mengikut keterangan yang sudah menjadi rahsia umum sekarang, Lingam dikatakan telah membayar lebih RM24 ribu ke dalam akaun Eusoff, mungkin bagi percutian itu. Nama Eusoff perlu dibersihkan. Apabila namanya bersih, sekaligus nama kehakiman juga akan bersih sedikit. Tidak ada sebabnya Cek Det takut hendak meminta Agung membentuk tribunal ini. Tujuannya ialah untuk menyiasat tuduhan jika ada salah laku oleh Ketua Hakim dan sekiranya betul salah laku itu berkaitan pula dengan perbuatan yang boleh dianggap sebagai rasuah. Ini adalah berlainan dengan tribunal yang menyiasat Tun Salleh Abas selaku Ketua Hakim dulu. Beliau tidak dituduh melakukan rasuah. Beliau disiasat dan kemudian dibuang kerana kononnya mengkritik kerajaan yang dipimpin Cek Det. Mengapakah Cek Det takut Eusoff disiasat? Selepas Salleh Abas dibuang pada tahun 1988, kehakiman di negeri ini telah hilang kebebasan serta wibawanya. Ia dikuasai oleh pihak pemerintah, khususnya Perdana Menteri. Pengganti Salleh, Tun Hamid Azmi, dan kemudiannya Eusoff yang menggantikan Azmi sering saja tunduk kepada kehendak Cek Det. Dalam kes Anwar Ibrahim, terutama sekali, Ketua Hakim Eusoff menentukan hakim yang mendengar kesnya. Hakim yang dipilih dipastikan akan menurut perintah dan kehendak pihak atas. Ini mudah dilakukan kerana mereka (misalnya Jaka dan Paul) mempunyai skandal atau pekung, yang melibatkan wanita atau wang. Hakim lebih bebas dan tanpa pekung, yang sepatutnya mendengar kes jikalau mengikut giliran, diketepikan. Inilah yang telah berlaku kepada Hakim Vohrah. Jadi, sekiranya tribunal dibentuk untuk menyiasat, ada kemungkinannya terdedah bahawa Ketua Hakim ini tidaklah begitu bersih orangnya. Soalan akan timbul: apakah ada peranannya dalam kes konspirasi terhadap Anwar pula? Selanjutnya, kita tahu bahawa kes bercuti dan bergambar bersama ini bukan saja melibatkan Eusoff. Bahkan ada juga gambar berasingan yang menunjukkan Peguam Negara, Tan Seri Mokhtar Abdullah dan isteri, bergambar bersama-sama Lingam dan Vincent Tan serta isteri mereka, semasa bercuti di Itali. Siapakah yang membayar belanja percutian Peguam Negara ini? Hal ini mungkin diketahui oleh Cek Det. Boleh jadi Cek Det mengetahui banyak lagi hal rasuah yang dikaitkan dengan Mokhtar. Oleh itu mudah saja beliau boleh memaksa Mokhtar mengikut kata. Jikalau tidak, kes rasuah dan macam-macam lagi boleh diambil terhadapnya Dalam keadaan begini, tidak susah untuk kita memahami mengapa Peguam Negara sedia membersihkan nama Rahim Tamby Chik. Dan mengapa beliau sedia membersihkan nama Rafidah Aziz. Dan seterusnya, mengapa beliau bersungguh-sungguh memainkan peranan dalam konspirasi menjatuhkan Anwar dengan mengaibkannya melalui mahkamah. Sebabnya, semua ini adalah atas kehendak orang dari atas. Siapa lagi? Tak payahlah Cili Api terangkan, sebab semua orang sudah tahu. Ada orang pernah berkata, “Malaysian judges are the best that money can buy” (hakim-hakim di Malaysia ini ialah yang terbaik boleh dibeli dengan wang). Nampaknya, di antara pembeli-pembeli besarnya ialah Lingam dan Vincent Tan. Bahkan Lingam bukan saja boleh membeli hakim. Bahkan, ada tuduhan yang dibuat oleh seorang wartawan Asian Wall Street Journal bahawa beliau telah membantu seorang hakim, yang terkenal sebagai perasuah, menulis keputusan mahkamah. Akan tetapi sehingga sekarang perkara ini tidak disiasat. Keadaan sistem kehakiman dalam negeri ini sudah terlalu teruk. Rasuah wang dan wanita menjalar luas di kalangan sesetengah hakim kanan. Itulah sebabnya seorang hakim sendiri telah mendedahkan mengenainya. Apa yang didedahkan tidak pernah disiasat. Sebaliknya, beliau sendiri yang dilucutkan jawatan. Cek Det tahu tentang rasuah di kalangan hakim-hakim. Sama juga seperti beliau mengetahui tentang Rahim Tamby Chik dan Rafidah Aziz. Tetapi beliau tidak hendak mereka disiasat kerana dua sebab. Pertama, jikalau siasatan terlalu mendalam beliau sendiri akan terpalit. Kedua, mudah bagi beliau mengawal dan memerintah mereka yang ada skandal itu. Oleh sebab itulah Cili Api tahu Cek Det memang sengaja tidak hendak menyiasat Eusoff Chin. Cili Api hendak ingatkan Cek Det, bangkai gajah tidak boleh ditutup dengan nyiru. Cili Api ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~ ( Melanggan ? To : [EMAIL PROTECTED] pada body : SUBSCRIBE HIZB) ( Berhenti ? To : [EMAIL PROTECTED] pada body: UNSUBSCRIBE HIZB) ( Segala pendapat yang dikemukakan tidak menggambarkan ) ( pandangan rasmi & bukan tanggungjawab HIZBI-Net ) ( Bermasalah? Sila hubungi [EMAIL PROTECTED] ) ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~ Pengirim: "Haji Johari Adam" <[EMAIL PROTECTED]>