Delegasi Israel batal hadiri sidang di Jakarta akibat diancam bunuh

JAKARTA -- Satu delegasi Israel membatalkan rancangan ke persidangan Kesatuan Antara Parlimen (IPU) di sini mulai Ahad ini selepas menerima ancaman bunuh.

Ancaman itu sebagai "membalas kekejaman tentera Israel terhadap rakyat Palestin".

Sejak beberapa hari lalu, kumpulan anti-Israel berarak membantah keputusan Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) menjadi tuan rumah bagi sidang itu dan gagal menahan kedatangan anggota Parlimen Knesset Israel.

Anggota majlis perundangan dari parti Islam mengancam memulaukan sidang itu.

"Kami mendesak DPR menolak penyertaan Israel," kata pengerusi Parti Bulan Bintang (PBB), Encik Ahmad Sumargono, yang menganggap tindakan itu mencerminkan perasaan orang Islam di negara Islam terbesar di dunia.

Setiausaha Agung PPP, parti Islam terbesar dalam DPR, Encik Ali Marwan Hanan, berkata Speaker Dewan, Encik Akbar Tandjung, patut menolak penyertaan Israel.

Encik Akbar berkata DPR hanya menjadi tuan rumah dengan 1,200 perwakilan seluruh dunia, dan tidak berhak menghalang mana-mana perwakilan, termasuk mereka dari Israel.

Menteri Luar, Encik Alwi Shihab, berkata walaupun pendirian Indonesia tidak berubah mengenai isu mengiktiraf negara Yahudi itu, bantahan tersebut "dilakukan agak lambat".

"Ia patut dilahirkan lama dahulu, bukan sekarang," katanya kepada akhbar Jakarta Post.

Setiausaha FPI, Encik Muchsin Ahmad Alatas, Barisan Pembebasan Islam (FPI), kumpulan ekstrim Islam, berikrar 20,000 anggotanya akan "melakukan pembersihan" di hotel dan Lapangan Terbang "untuk menghalau delegasi Israel". -- Bernama.

Kirim email ke