Ketika masjid gelap dan gereja terang
Friday, October 04 @ 10:00:01 MYT


Min Aina Ila Aina
Oleh SUBKY LATIF
KENINGAU, di tengah-tengah pedalaman Sabah. Perjalanan lebih dua jam
bermotokar dari Kota Kinabalu bukan sekadar menempuh jalan serinbu liku,
tetapi terpaksa memanjat tanah tinggi – bukit dan gunung.

Di kemuncak sana, separuh perjalanan antara Keningau dan Kota Kinabalu,
iklimnya hampir seperti England menjelang musim sejuk.
Keningau yang saya tahu adalah kubu atau kawasan Joseph Pairin Kitingan,
pemimpin PBS dan tokoh berpengaruh kaum Kristian Kadazan.
Dengan pengetahuan itu saya faham bahawa ia adalah kawasan majoriti
Kristian.
Saya tiba waktu malam. Ia adalah bandar baru bersais sederhana yang
terancang. Bersih dan belum sesak. Lanskapnya menarik dan kadang terasa
macam sebuah bandar di barat.
Sebelum memasuki bandar, saya melihat gereja besar yang cerah. Memang malam
itu malam Ahad. Peganutnya memakmurkan gerejanya. Tidak ada yang pelik bagi
Sabah terutama Keningau.
Sebatu sebelum pekan Keningau saya singgah sembahyang di masjid. Ia bukan
saja gelap tetapi berkunci. Pukul 8.30 malam sudah lewat Isya bagi Sabah.
Terpaksa solat di rumah penginapan.
Biasalah masjid gelap selepas Insya. Tetapi gereja-gereja di situ cerah
malam itu.
Saya ke hotel untuk berceramah, satu kegiatan politik dan dakwah PAS. Hampir
100 orang ahli hadhir. Ceramah politik sudah tidak boleh diadakan di rumah
dan di padang. Sekali gus ceramah dakwah pun terlarang kerana dakwah itu
digiati oleh parti politik Islam.
Hanya hotel yang tidak memerlukan permit. Itupun kecil-kecilan. Jika ramai,
ia pun terlarang juga.
Ceramah PAS adalah ceramah dakwah. Jika yang dibincangkan tajuk politik,
tetapi ia adalah politik Islam. Politik adalah sebahagian dari ilmu dalam
Islam.
Di zaman Nabi dan sahabat perbincangan politik diadakan di masjid. Di negara
sekular politik Islam tidak dikira kegiatan Islam – tiada dosa dan pahala.
Justeru itu perbincangan politik Islam di Keningau itu terpaksa diadakan di
hotel dan membiarkan masjid gelap dan terkunci. Maka yang makmur ialah hotel
dan masjid bergelapan mungkin dimakmurkan oleh para jin yang sememangnya
suka tempat-tempat yang gelap.
Dulu hotel adalah untuk hiburan dan berseronok saja. Sekarang hotel boleh
untuk hiburan dan boleh untuk dakwah.
Sejak padang dan dewan yang dibina oleh kerajaan tidak boleh digunakan untuk
ceramah politik pembangkang, maka PAS membawanya ke rumah-rumah ahli. Rumah
tidak boleh menampung ramai. Maka orang ramai berkumpul di bawah rumah dan
di luar rumah.
Kerana penceramah PAS rata-rata lebai dan tok guru, maka kadang-kadang ia
boleh disesuaikan di surau dan masjid. Itulah institusi yang lapang yang
boleh memuatkan ramai pendengar.
Apabila peraturan sekular terasa politik Islam boleh mencemarkan masjid dan
surau, maka dakwah politik itu juga ikut terlarang. Dalam tahun 1985,
aktivis-aktivis PAS berjaya menyewa tokong.
Orang-orang keturunan Cina mula tertarik mendengar ceramah PAS. Kerana
masjid dan surau tidak boleh digunakan, maka tokong bermurah hati
membenarkan ceramah Islam.
Akhirnya MCA belajar dari UMNO yang menguasai masjid dan surau, maka MCA
pula menguasai tokong. Tokong tidak lagi bersedia mennyewakan pagung
wayang-opera Cinanya kepada ceramah PAS.
Hotel-hotel saja yang bersedia tetapi kecil-kecilan dan diadakan dalam
suasana mengejut. Jila diketahui UMNO lebih awal, maka tuan punya hotel juga
kecut perut untuk membenarkan ceramah PAS.
Sabah dan Sarawak bagaikan tempat buangan bagi aktivis PAS yang makan gaji
dengan kerajaan. Tetapi negeri yang ibarat hutan belantara bagi PAS itu
mulai ditebang dan ditebas. Keningau pula bagaikan tempat buangan juga bagi
aktivis PAS di Sabah. Tetapi hutan belantara bagi PAS itu juga ditebas dan
PAS mulai tumbuh.
Mendengar berita RTM tentang orang PAS keluar parti di Kelantan dan
Terengganu hampir setiap hari, bagaikan PAS akan habis di sarangnya sendiri.
Tetapi tidakkah menakjubkan di sarang Pairin pun ada PAS dan mereka bukan
sekadar ada kawasan dan cawangan. Mereka menyewa rumah kedai sebagai
pejabat.
Walaupun masjid dan tokong tidak boleh digunakan lagi dan esok hotel akan
tertutup kedam pula, tetapi PAS ibarat makluk halus, ia boleh masuk ke
tempat ada udara. Macam kangkung asal ada tanah dan air kangkung akan
menjulur dan menjalar. Di potong daun dan batangnya, ia tumbuh lagi dan
menjalar lagi.
Sekarang PAS sudah tumbuh di Keningau dan akan menjalar macam kangkong.
Tidak mungkinkah 20 tahun lagi Sabah akan seperti semenanjung PAS akan
menjadi majoriti di kalangan masyarakat Islamnya?
> ATTACHMENT part 2 application/x-microsoft-ole-object name=Picture



COUNTERBALANCE.ANYWHERE.ANYTIME.ANYBODY.ANYONE.COM



Do you Yahoo!?
New DSL Internet Access from SBC & Yahoo!

Kirim email ke