Mereka tidak rasa apa yang kami lalui…

KUALA LUMPUR,Rabu,2 Okt - Kumpulan yang menentang kepimpinan Azalina Othman
Said tidak setuju dengan pandangan sesetengah pemimpin Umno yang merasakan
mereka tidak perlu “buat bising” dan membiarkan Ketua Penaja Puteri Umno itu
terus memimpin pergerakan itu cuma selama sepenggal sahaja.
Serentak dengan itu mereka juga kesal dengan sikap tidak ambil berat dan
buat tidak kisah kalangan pemimpin Umno terhadap isu mereka dengan Azalina
sekalipun ia sudah lama dibangkitkan dari masa ke semasa.
Seorang jurucakap kumpulan itu berkata kalangan pemimpin Umno dan orangramai
cuma buka mata bila Elly Zalilah Yusof bertindak membuat laporan polis dan
laporan kepada Lembaga Disiplin Umno.
Jurucakap itu diminta mengulas satu tinjauan rambang Agendadaily yang
mendapati ada dikalangan pemimpin Umno yang memandang dingin isu kemelut
Puteri kebelakangan ini.
Mereka merasakan biarlah Azalina terus memimpin Puteri kerana kelayakannya
cuma sepenggal sahaja kerana sudah nak masuk usia 40 tahun.
Jurucakap itu berkata sikap tidak ambil berat seperti itu amat tidak wajar
kerana mereka berpendirian yang salah tetap salah dan tidak boleh dibiarkan
begitu sahaja.
Lagipun,katanya sesuatu penyakit jika tidak diubat pada peringkat awal maka
apabila sudah parah sudah tidak guna lagi nak berubat.
“Isu ini sudah lama.Selain menjadi isu sensasi semasa disiarkan
berturut-turut oleh akhbar tabloid Perdana Sari kami telah membawa soal
kepincangan kepimpinan Azalina untuk pengetahuan beberapa pemimpin tetapi
sampai akhirnya tidak ada sebarang usaha untuk mencari kebenaran dan
keadilan dalam soal ini,”katanya.
Katanya mereka mungkin tidak ambil pusing kerana ia tidak berkait dengan
kepentingan mereka serta mungkin nak playsafe kerana sebab-sebab tertentu.
“Kami yang melalui semua ini.Kami yang ada bersama Azalina.Kami tahu apa
yang berlaku, apa yang wajar dan tidak wajar.Kami merasakan terdapat banyak
hal yang buat kami tegas merasakan dia tidak wajar dibenarkan memimpin
Puteri,”katanya.
Menurut jurucakap itu berkata kebanyakan perkara yang mereka dedahkan ini
tidak dialami oleh diketahui kalangan ahli kebanyakan Puteri di
negeri-negeri.
Beliau mengambil contoh kes bekas Timbalan Perdana Menteri datuk Seri Anwar
Ibrahim dimana cuma dikalangan lingkungan tertentu sahaja yang tahu hingga
menyebabkan penyokong reformasi hingga ke hari ini tidak percaya pada
dakwaan yang dibuat terhadapnya.
Katanya sama dalam hal dakwaan mereka terhadap Azalina kerana mereka berada
dalam lingkungan yang membuatkan mereka terdedahnya hal-hal itu.
“Kami semua pernah rapat dan berkerja dengannya,kami bukan cakap
perkara-perkara yang kami dengar tetapi alami sendiri.
“Sebenarnya ada juga ahli Exco sekarang serta kalangan Ketua Puteri negeri
tahu kebenaran dakwaan kami.Sedihnya mereka takut nak bercakap kerana lebih
pentingkan kedudukan mereka dari perjuangan untuk kebenaran.
“Saya malas nak sebut nama-nama mereka,tetapi mereka tahu kisah-kisah
ini.Apa nak buat mereka terus jadi tukang angguk kerana takut hilang jawatan
dan macam-macam lagi.Kami sedih kalau ahli-ahli Puteri dibentuk jadi tukang
angguk sahaja dan tidak berani tampil dengan sikap dan pendirian yang tegas
hendak menegur perkara yang tidak betul.,”katanya.
Jurucakap itu berkata lagi mereka tidak patah semangat melihat sehingga
setakat ini Azalina dan orang-orangnya menyapu bersih semua pencalonan.
“Apa nak buat ahli-ahli Puteri itu di bahagian-bahagian itu tak tahu apa
tentang ini.Mereka cuma ikut kehendak Ketua Puteri negeri dan bahagian
sahaja.Mereka terlalu baru dalam politik jadi trend ini tidak menghairankan.
"Cubalah kami berpeluang pergi dari bahagian ke bahagian menerangkan apa
yang sebenarnya kami tahu saya tidak fikir Azalina boleh tidor lena kerana
dia tahu apa yang kami cakap ini adalah betul,”katanya.
Katanya sekalipun mereka diberi gelaran “Enam Jahanam” perjuangan mereka
bukanlah hendak menjahanamkan Puteri tetapi menentang kepincangan kepimpinan
Azalina sahaja.
“Jangan silap faham dalam soal ini.Penyokong-penyokong Azalina cuba
puterbelitkan hakikat sebenar dan cuba mencorakkan seolah-olah kami ini
kumpulan perosak,”katanya.
Jurucakap itu berkata lagi mereka telah melalui macam-macam pengalaman
sewaktu dibarisan depan Puteri dan selepas “terbuang”.
Ada diantara mereka telah dibuang kerja oleh majikan kerana bimbang dituduh
melindungi atau sponsor “Enam Jahanam”, difitnah sehina-hinanya oleh
laman-laman web yang dibayangi oleh Azalina ,disekat menyertai program
Puteri dan yang teruk sekali dipandang serong oleh pemimpin Umno.
“Mengadu sana mengadu sini,masuk telinga kanan keluar telinga kiri…keadaan
begitu juga…tetapi kami tidak berputus asa dalam perjuangan menegak
kebenaran ini.
"Sebenarnya fikir-fikir memang tak ada apa-apa untung kami bersusah payah
begini.Lebih baik dan mudah jadi tukang angguk macam kebanyakan ahli Puteri
sekarang.
"Kami sedar dalam perjuangan ini kami perlu melalui berbagai liku cabaran.
Apa yang nak hairan misalnya dalam kes Datuk Seri Anwar sendiri Perdana
Menteri,Datuk Sri Dr Mahathir Mohamad pernah mengakui diperingkat awal
diberitahu oleh beberapa pihak termasuk oleh bekas Ketua Polis Negara,
beliau tidak percaya.


"Azalina berkuasa sekarang.Dia kenal ramai diatas,maka senang dia nak
pengaruhi orang di Majlis Tertinggi,Perhubungan Negeri dan
bahagian-bahagian.Siapalah kami ini...jadi janganlah hairan ada kalangan
pemimpin Umno yang bersikap dingin atau memandang remeh terhadap isu
ini,"katanya.



COUNTERBALANCE.ANYWHERE.ANYTIME.ANYBODY.ANYONE.COM



Do you Yahoo!?
New DSL Internet Access from SBC & Yahoo!

Reply via email to