*~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~*
 {  Sila lawat Laman Hizbi-Net -  http://www.hizbi.net     }
 {        Hantarkan mesej anda ke:  [EMAIL PROTECTED]         }
 {        Iklan barangan? Hantarkan ke [EMAIL PROTECTED]     }
 *~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~*
          PAS : KE ARAH PEMERINTAHAN ISLAM YANG ADIL
 ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
WAJIB MENJAGA DAN MEMELIHARA JANGAN ROSAKNYA
IMAN DAN ISLAM
(Daripada kitab Mustika Hadith Terbitan Jabatan Perdana Menteri)
(Jilid yang pertama Mukasurat 408 – 420)


Oleh kerana agama Islam ialah agama fitrah insaniah, maka tiap-tiap
seorang Islam hendaklah bersyukur kerana ia bertuah menerima taufek
daripada Allah s.w.t., hingga dengan itu ia menjadi seorang yang
beragama Islam.

Oleh yang demikian hendaklah meneguhkan pegangan kepada agama yang mulia
itu dan memeliharanya dari segala apa yang boleh merosakkannya, kerana
agama Islam sahajalah yang diredhai Allah dan menentukan nasibnya untuk
mencapai kebahagiaan yang sebenar-benarnya, khasnya di akhirat kelak.

Mengenai perkara ini, Allah s.w.t. berfirman pada akhir ayat 132 surah
Al-Baqarah dan pada akhir ayat 102 surah Al-Imran juga pada ayat-ayat
136 surah An-Nisa’, 86, 87, 88 dan 89 surah Al-Imran.

Maksud diakhir ayat 132 surah Al-Baqarah dan akhir ayat 102 surah
Al-Imran itu ialah:

Mewajibkan tiap-tiap seorang sentiasa menrima dan menghormati Islam
(hukum-hukumyang disampaikan oleh Nabi Muhammad s.a.w.) pada ‘iktiqad
dan segala tutur kata serta amal perbuatan supaya apabila datang matinya
pada bila-bila masa pun, ia berada dalam keadaan beragama Islam.

Dan maksud ayat 136 surah An-Nisa’ itu ialah:

1. Mewajibkan tiap-tiap seorang menetapkan dan mengekalkan Aqidah
kepercayaan hingga kepada saat ia menghembuskan nafasnya yang akhir,
iaitu; percayakan benarnya keesaan Allah s.w.t., kerasulan Nabi Muhammad
s.a.w., adanya Malaikat yang menjalankan perintah tuhan, adanya
Kitab-kitab yang tuhan turunkan untuk memandu manusia kejalan
kebahagiaan, adanya Rasul-rasul yang diutus tuhan untuk menerangkan
jalan yang tersebut dan adanya hari akhirat untuk tuhan yang Maha Adil
dan yang amat pemurah menyempurnakan balasan segala bawaan hidup manusia
semasa masing-masing berada di dunia.

2. Menegaskan bahawa sesiapa yang tidak percayakan benarnya mana-mana
satu dari perkara yang diwajibkan oleh Allah dan Rasulnya diatas
seseorang mempercayainya nescaya jauhlah ia daripada mendapat
keselamatan dan kebahagiaan yang kekal abadi.

Manakala maksud ayat-ayat 86-87 surah Al-imran pula ialah;

Memberi amaran dengan mengingatkan sesiapa yang berbalik menjadi kafir
(murtad) setelah ia percayakan keesaan Allah, kerasulan Nabi Muhammad
s.a.w., kebenaran perkara-perkara yang disampaikan oleh baginda s.a.w.
maka tidak ada harapan bahawa orang ituakan dibalas baik oleh Allah
s.w.t., bahkan dikutuknya dan dikenakannya azab seksa yang berkekalan
selamanya, kecuali ia bertaubat dan kembali kepada Islam serta
memperbaiki segala apa yang telah merosakkan Islamnya.

Rasulullah s.a.w. pula menerangkan dalam hadith yang berikutnya.

Dari Supiyan bin Abdullah r.a. katanya: Aku berkata kepada Rasulullah
s.a.w. “Ya Rasulullah ! ajarkanlah daku mengenai agama Islam satu ajaran
tak payah aku bertanyakan orang lain mengenainya”. Rasulullah s.a.w.
bersabda: “Tegaskanlah dengan lidahmu akan kepercayaanmu kepada
‘Uluhiyyah’ dan ‘Rububiyyah’ Allah, kemudian terus sempurnakanlah apa
yang dikehendaki oleh kepercayaanmu itu hingga keakhir hayatmu”

(Muslim)

Berdasarkan keterangan-keterangan yang tersebut alim ulama’ mengambil
kesimpulan : bahawa tiap-tiap seseorang wajib menjaga Iman dan Islamnya
dari sebarang ‘iktiqad, perkataan dan perbuatan yang menyebabkan
rosaknya Iman dan Islam.

Rosaknya Iman dan Islam dinamakan “Riddah” yang ditakrifkan oleh alim
ulama’ seperti berikut :

“Riddah” ertinya berbalik menjadi kafir setelah beragam Islam, dan orang
yang melakukan demikian dinamakan “Murtad”.

“Riddah” ialah seburuk-buruk dan sekeji-keji jenis kufur, kerana “orang
murtad” berlainan hukumnya dari orang-orang kafir yang lain pada
beberapa perkara:

Pertama

Orang murtad tidak harus dibiarkan dalam keadaan “riddahnya” melainkan
hendaklah pihak yang berkuasa menyuruhnya bertaubat kembali kepada
Islam, kalau tidak, hendaklah dikenakan hukuman bunuh, sebagaimana yang
diterangkan oleh beberapa hadith yang berikut:

Dari Ibni Abbas r.a . katanya: Rasulullahs.a.w. bersabda “Sesiapa yang
menukar agama Islamnya maka hendaklah kamu membunuhnya”.

( Jemaah kecuali muslim)

Dari Abu Musa Al-Ashaari r.a, bahawa Nabi s.a.w memerintahnya dengan
bersabda :  “ Pergilah engkau ke negeri Yaman” kemudian Baginda s.a.w
menghantarkan Muaz bin Jabal selepas pemergiannya, apabila Muaz sampai
ketempat Abu Musa, Abu Musa menyambutnya dengan memberikan sebiji bantal
alas duduk serta berkata “ Sila duduk”,  dan dekat situ ada seorang yang
terikat, Muaz bertanya : “ Apa orang ini ?” Abu  Musa menjawab: “ Orang
ini seorang Yahudi, ia masuk Islam kemudian ia berbalik menjadi
Yahudi”,  Muaz berkata : “ Aku tidak akan duduk sehingga ia dibunuh,
itulah hukuman Allah dan Rasulnya”.
( Bukhari dan Muslim )


Dan pada riwayat Abu Daud, mengenai kisah ini : “ Maka dibawa kepada Abu
Musa seorang yang telah murtad – meninggalkan agamar Islam, lalu
disuruhnya ( bertaubat dengan memeluk Islam semula )  selama kira-kira
20 malam, kemudian datang Muaz serta menyuruhnya juga bertaubat, tetapi
orang itu enggan, lalu dipenggal lehernya”.


Hadith-hadith yang tersebut menerangkan bahawa :

1. Sesiapa yang menjadi murtad : wajib dibunuh oleh pihak yang berkuasa
selepas ia disuruh bertaubat kembali kepada Islam dan ia enggan
bertaubat demikian.

2. Hukuman bunuh yang tersebut hendaklah dikenakan kepada tiap-tiap
orang murtad samada lelaki atau perempuan, sebagaimana yang terkandung
pada hadith Muaz bin Jabal yang ditegaskan oleh Al-Hafiz bin Hajar
Al-Asqolani bahawa sanadnya hasan, yang maksudnya : tatkala Rasulullah
s.a w. mengutusnya ke negeri Yaman, Baginda s.a.w. bersabda kepadanya :
“Mana-mana lelaki yang menjadi murtad  - meninggalkan Islam, maka
suruhlah dia bertaubat kembali kepada Islam (bebaskanlah dia) dan kalau
tidak, maka penggalkanlah lehernya, dan mana-mana perempuan yang menjadi
murtad – meninggalkan Islam, maka suruhlah dia bertaubat  kembali kepada
Islam, jika ia kembali kepada Islam (bebaskanlah dia), dan kalau tidak,
maka penggalkanlah lehernya.”

Hukuman yang dinyatakan oleh hadith-hadith yang tersebut telahpun
dijalankan oleh sahabat-sahabat Rasulullah s.a.w., di antaranya
Saiyidina Abu Bakar, Saiyidina Umar dan Saiyidina Ali r.a. semasa
pemerintahan masing-masing.

Hukuman yang tersebut, tidak sekali-kali bertentangan dengan “dasar
kebebesan beragama” atau dasar “La ikrahafiddin” (tidak ada paksaan
dalam agama) yang ditegaskan oleh Allah ta’ala dalam Al-Quran Al-karim,
kerana tidak ada hubungan samasekali dengan soal orang murtad.

Soal orang murtad dan soal kebebasan beragama adalah dua masalah yang
berlainan.

“Tidak ada paksaan dalam agama”, ertinya: Orang-orang Islam tidak boleh
samasekali memaksa orang-orang kafir masuk Islam, kerana hakikat Iman
serta kesudahannya yang baik, dan hakikat kufur serta akibat yang buruk,
telah dijelaskan oleh Allah dan Rasulnya didalam Al-quran dan hadith
yang sahih serta disampaikan oleh alim ulama’ yang menjalankan dakwah
islamiah, maka terserahlah kepada umat manusia memilih samada beriman
dan taat ataupun kufur ingkar.

Tambahan pula kalau orang kafir dipaksakan memeluk Islam nescaya tidak
sah Islamnya, kerana Iman yang sah ialah yang diyakini oleh hati, sedang
hati manusia tidak dapat dipaksa.

Berlainan halnya orang Islam yang telah murtad :

Apabila seseorang Islam menjadi murtad samada ia terpesong disebabkan
‘iktiqadnya, atau tutur katanya ataupun perbuatannya, maka bermakna ia
telah melakukan jenyah bukan sahaja kepada dirinya sendiri tetapi juga
kepada keluarganya dan masyarakatnya serta umat Islam umumnya.

Di antara jenayah-jenayah itu ialah :

1. Ia memandang dirinya betul dan pandai dengan bersikap murtad dan umat
Islam semuanya salah dan bodoh belaka. Ini bermakna ia menghina dan
memusuhi masyarakat.

2. Ia menyalahkan ajaran Islam kerana didorong oleh hawa nafsunya :
tidak mahu terikat kepada suruhan Allah dan larangannya. Ini bermakna ia
ingkarkan perintah Allah dan Rasulnya setelah ia mengakui kebenaran
semasa ia beragama Islam, ini juga bermakna menghina agama Islam yang
menjadi pegangan hidup dan dihormati oleh umat Islam seluruhnya.

3. Ia menjadi contoh yang buruk bagi orang-orang lain yang akan
terpengaruh kepada fahaman dakyahnya, dan dengan itu akan runtuhlah akan
ajaran-ajaran Islam, kebudayaannya, dan nilai-nilai akhlaknya yang suci
murni, yang telah dibina dan dikembangkan silih berganti oleh
pengembang-pengembang Islam semenjak zaman Nabi Muhammad s.a.w. hingga
hari ini, yang diharap akan berlanjutan seterusnya.

Jika demikian keadaan jenayah orang yang murtad itu, hukum Islam yang
telah ditetapkan untuk menghukumnya didunia, dan balasan azab seksa yang
dijanjikan baginya diakhirat kelak amatlah adil dan padan dengan
jenayahnya yang besar itu.

Dengan ini jelaslah bahawa “ Riddah” itu tidak boleh dipandang sebagai
soal perseorangan sahaja tetapi soal umat Islam seluruhnya yang wajib
dicegah dan dihapuskan oleh pihak yang berkuasa yang bertanggungjawab
menjalankannya.


Kedua

Tidak tidak sah perkahwinan orang murtad, samada ia sendiri kahwin atau
dikahwini ataupun mengahwinkan orang lain, bahkan isterinya wajib
dipisahkan daripadanya. Sekiranya ia kembali menjadi Islam semula
sebelum habis ‘iddah, maka kekallah isetirinya itu menjadi isteri
kepadanya, kalau tidak maka isterinya itu tercerai daripadanya mulai
daripada saat ia menjadi murtad.

Ketiga

Haram memakan sembelihanya


Keempat

Tidak boleh menerima pesaka dan tidak boleh pula dipesakai bahkan semua
hartanya dimasukkan kedalam Baitul Mal.



PERKARA YANG MENYEBABKAN ROSAKNYA IMAN DAN ISLAM

Perkara-perkara yang menyebabkan rosaknya Iman dan Islam itu terbahagi
kepada tiga bahagian.

Bahagian Pertama

1. ‘Iktiqad bahawa alam ini qadim, tidak ada penciptanya, atau alam ini
kekal selamanya.

2. ‘Iktiqad bahawa pencipta alam ini baharu, atau menyerupai mana-mana
jenis makhluk atau bersifat dengan sifat-sifat baharu, ataupun mempunyai
anak isteri, atau berbilang-bilang atau menerima mati.

3. ‘Iktiqad menfaikan kebenaran apa yang disampaikan oleh Rasul s.a.w.,
atau ’iktiqad bahawa Nabi Muhammad s.a.w. yang sebenar ialah yang
disebutnya Muhammad yang batin bukan Muhammad yang zahir, atau ‘iktiqad
bahawa kerasulan Nabi Muhammad s.a.w. hanya untuk orang-orang Arab
sahaja, atau ‘iktiqad bahawa hukum-hukum Islam yang dibawa oleh nabi
Muhammad s.a.w. ialah hukum-hukum lapuk yang tidak sesuai dengan keadaan
zaman, atau mengingkari mana-mana rasul tuhan, atau ‘iktiqad bahawa ada
lagi nabi dan rasul yang lain yang diutus oleh Allah membawa syariat
sesudah Nabi Muhammad s.a.w. khatamul nabiyyin.

4. ‘Iktiqad bahawa tidak ada dosa dan pahala, tidak ada syurga dan
neraka, tidak ada bangkit hidup semula sesudah mati, tidak ada hari
kiamat dan segala perkara yang berlaku padanya.

5. ‘Iktiqad bahawa roh orang-orang mati berpindah dari satu tubuh ke
satu tubuh yang lain.

6. ‘Iktiqad agama kafir lebih baik dari agama Islam

7. Perasaan ragu-ragu terhadap mana-mana satu dari perkara-perkara yang
tersebut diatas.

8. Berbalik-balik hati diantara hendak menjadi kafir atau tidak, atau
bercita-cita hendak menjadi kafir pada masa yang akan datang.


Bahagian Kedua

Perkataan, iaitu tiap-tiap perkataan yang mencaci, menghina,
merendah-rendah, mengejek-ngejek dan mempermain-mainkan nama-nama Allah,
sifat-sifatNya, malaikat-malaikatNya, rasul-rasulNya, kitab-kitabNya,
ayat-ayatNya dan hukum-hukumNya serta hukum-hukum yang diterangkan oleh
rasulNya.

Dan juga perkataan yang menolak, manafi dan mengingkari segala perkara
yang sekata alim ulama’ menthabitkannya atau menafikannya serta
diketahui oleh orang ramai bahawa perkara itu dari agama.

Misalnya seperti katanya mengenai mana-mana hukum Islam :

1. “Hukum apa ini ?”

2. “Hukum ini sudah lapuk”

3. “Zaman sekarang tak patut diharamkan riba kerana menghalang kemajuan”

4. “Dalam zaman yang serba maju ini kaum wanita tak perlu
dibungkus-bungkus” (Menutup aurat)

5. “Berzina kalau suka sama suka apa haramnya ?”

6. “Minum arak kalau dengan tujuan hendak menyihatkan badan untuk
beribadat apa salahnya ?”

7. “Berjudi kalau masing-masing sudah menerima untuk untung ruginya apa
salahnya ?”

8. “Kalau hendak sangat menurut hukum-hukum Islam sampai qiamat kita tak
maju.”

9. Berkata : “ Perbuatan yang demikian tidak beradab”. Apabila
diceritakan bahawa Nabi Muhammad s.a.w. selepas makan menjilat sisa
makanan dijarinya.

10. Berkata: “Aku tak mahu memotong kuku sekalipun sunat” – Apabila
diberitahu bahawa memotong kuku itu adalah sunat.

11. Berkata : “Si anu dah mulai menyalak”. – semasa ia mendengar
azannya.

12. Membaca ayat-ayat suci, hadith nabi dan nama-nama tuhan dengan cara
mempersenda dan mempermain-mainkannya.

13. Kata-kata mengkafirkan seseorang Islam, pada hal orang itu tidak
diyakini ada padanya suatu yang menjadikannya kafir, sebagaimana
diterangkan oleh hadith Ibni Umar yang diriwayatkan oleh Muslim.

14. Kata-kata menggantungkan jadi kafir dengan sesuatu keadaan :

Misalnya :

a) Seseorang dituduh melakukan suatu perkara, lalu ia berkata : “Kalau
aku lakukan perkara itu jadilah aku kafir”. Sekiranya ia berdusta, yakni
ia sebenarnya telah melakukan perkara yang dituduhkan kepadanya itu,
maka jadilah ia kafir, kecuali kata-katanya itu dituturkan dengan tujuan
hanya hendak melepaskan diri dari tuduhan itu sahaja, bukan dengan
tujuan ridhanya menjadi kafir. Sungguhpun demikian ia telah malakukan
dosa besar dengan kata-kata yang tersebut. Dan sekiranya ia benar, yakni
ia tidak malakukan perkara yang dituduh orang kepadanya, maka tidaklah
ia menjadi kafir, tetapi ia berdosa kerana perkataannya memberi erti
ketiadaan tetap keazamannya berpegang teguh kepada agama Islam.

b) Seseorang diingatkan supaya jangan ia berzina umpamanya, lalu ia
berkata : “Kalau aku berzina kafirlah aku”, sekiranya kata-kata itu
dituturkan dengan tujuan tidak ridha mencemarkan dirinya dengan
perbuatan zina seperti tidak ridhanya menjerumuskan dirinya menjadi
kafir, maka tidaklah ia menjadi kafir, tetapi ia berdosa dengan
menggunakan perkataannya itu dengan alasan yang tersebut, dan sekiranya
kata-kata itu dituturkan dengan tujuan ridha menjadi kafir kalau ia
lakukan perbuatan zina maka jadilah ia kafir dengan kata-katanya yang
tersebut, kerana apabila seseorang Islam ridhakan kufur, menjadilah is
kufur (murtad), wal’iyyazubillah. Hukum yang tersebut terkandung dalam
hadith Thabit bin Aldhuhak yang diriwayatkan oleh Muslim dan Ibni Majah.



Bahagian KeTiga

Perbuatan iaitu :

1. Tiap-tiap perbuatan yang dilakukan untuk menghormati dan mengagungkan
mana-mana makhluk dengan cara yang ditentukan hanya untuk membesar dan
mengagungkan Allah, seperti Sujud kepada makhluk walaupun tidak dengan
niat untuk menghormatinya sama seperti tuhan, atau tunduk kepada
mana-mana makhluk sehingga sampai kepada had sekurang-kurangnya Ruku’
sembahyang dengan tujuan menghormatinya seperti menghormati Allah, kalau
tidak dengan tujuan itu tidaklah menjadikan orang yang melakukan itu
murtad, tetapi hukunya tetap haram.

2. Melakukan upacara ibadat terhadap sesuatu makhluk yang disembah oleh
orang-orang kafir menurut upacara yang mereka lakukan.

3. Melakukan mana-mana cara ibadat terhadap yang lain dari Allah
‘azzawajallah.

4. Meletakkan ayat-ayat suci, hadith-hadith nabi, nama-nama tuhan,
rasul-rasulnya, malaikat-malaikatnya dan ilmu-ilmu agama ditempat najis
kotor dengan tujuan menghina dan merendah-rendahkannya, kalau tidak
dengan tujuan yang tersebut maka hukumnya tetap haram. Demikian juga
haramnya menggunakan kertas-kertas yang tertulis padanya ayat-ayat suci,
hadith-hadith nabi dan nama-nama Allah serta ilmu agama untuk
membungkus, mengesat serta menyapu sesuatu, tetapi kalau perbuatan yang
dilakukan itu dengan tujuan menghina atau mempersenda maka orang yang
melakukan itu menjadi murtad.

5. Meninggalkan sembahyang

Orang yang meninggalkan sembahyang fardhu, jika ingkarkan wajibnya,
jadilah ia kafir murtad keluar dari agama Islam, kerana ia mengingkari
satu perkara yang memang diketahui oleh orang ramai bahawa perkara itu
adalah satu perkara yang wajib diatas tiap-tiap orang Islam, selama
akalnya sihat.

Kalau ditinggalkanya dengan sebab malas sahaja, pada hal ia ‘iktiqad
wajibnya, maka mengenai orang ini ‘alim ulama’ berselisih faham tiga
pendapat :

1) Orang itu tidak menjadi kafir, tetapi menjadi fasik yang wajib atas
pihak yang berkuasa bertindak menyuruhnya bertaubat kembali mengerjakan
sembahyang, dan sekiranya ia tidak mahu bertaubat maka kenalah dilakukan
ketasnya “Hukuman Had” iaitu dibunuh dengan pedang.

2) Orang itu jadi kafir juga, sama keadaan orang yang mengingkari
wajibnya.

3) Orang itu tidak menjadi kafir dan tidak pula dibunuh, tetapi “Takzir”
dengan dipenjarakan sehingga ia mengerjakan sembahyang.

Ketiga –tiga pendapat yang tersebut serta alasan-alasannya diterangkan
oleh Al-Imam An-Nawawi dalam syarah Muslim, mengenai hadith Jabar yang
menyatakan keburukkan orang yang meninggalkan sembahyang yang termaklum.

Perkara –perkara yang telah ditarakan satu persatu diatas itu adalah
sebahagian dari misal-misal yang disebutkan oleh alim ulama’ bahawa
orang yang melakukannya menjadi murtad.

Mereka menetapkan hukum-hukum yang tersebut dengan berdasarkan  ayat 40
surah Yusof ayat 65 surah At-Taubah, ayat 37 surah Fadhilat ayat-ayat
Al-kafirun serta hadith Muaz bin Jabal yang diriwayatkan oleh Abu Daud.
Maksud kedua-dua hadith itu: Bahawa rasulullah s.a.w. melarang mereka
sujud kepada yang lain dari Allah

Dengan keterangan yang tersebut hendaklah diingat bahawa seseorang yang
cintakan keselamatan dan kebahagiaan dirinya dan agamanya, jangan
sekali-kali mendekati, apa lagi melakukan, sebarang perkara yang
hukumannya berkisar diantara jadi murtad dan berdosa besar. Semoga Allah
selamatkan kita dengan taufek dan hidayahnya.



Wallahu ‘alam
(Dipetik terus dari Kitab Mustika Hadith Jilid yang pertama
 pada muka surat 408 – 420, sila buat rujukkan jika terdapat sebarang
kekeliruan)


 ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
 ( Melanggan ? To : [EMAIL PROTECTED]   pada body : SUBSCRIBE HIZB)
 ( Berhenti ? To : [EMAIL PROTECTED]  pada body:  UNSUBSCRIBE HIZB)
 ( Segala pendapat yang dikemukakan tidak menggambarkan             )
 ( pandangan rasmi & bukan tanggungjawab HIZBI-Net                  )
 ( Bermasalah? Sila hubungi [EMAIL PROTECTED]                    )
 ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Pengirim: Young RF <[EMAIL PROTECTED]>

Reply via email to