Gus Dur selesai disiasat polis, Mahathir bila lagi?

Sumber :
Laman tMK

Laporan AP dari Jakarta menyebut polis telah selesai menyiasat Presiden Abdurrahman Wahid berhubung skandal menggelapkan wang pencen dan simpanan yang dijaga oleh Badan Pengurusan Logistik (BULOG). Polis telah mengesahkan bahawa Gus Dur tidak terlibat secara langsung dalam jenayah tersebut. Inilah kali pertama di dalam sejarah Indonesia, seorang Presiden yang sedang berkhidmat menghadapi siasatan polis berhubung satu kes jenayah.

Hal ini merupakan satu contoh baik yang dilakukan oleh seorang Ketua Negara. Gus Dur tidak dapat melihat dengan jelas. Tetapi dia melihat dengan mata hatinya. Ekonomi Indonesia musnah sehingga terpaksa meminta bantuan dari IMF dan Bank Dunia. Semuanya berpunca kerana perbuatan rasuah oleh Suharto dan kroni-kroninya. Jadi Gus Dur menunjukkan contoh bagaimana amalan rasuah itu patut dibanteras. Caranya ialah pemimpin tertinggi sesebuah negara itu wajar bersikap telus dan amanah. Dengan memberi kerjasama kepada Polis Indonesia untuk menyiasatnya, maka Gus Dur telah menunjukkan contoh kepimpinan melalui teladan.

Slogan "Kepimpinan melalui teladan" merupakan satu slogan yang popular pada satu waktu dulu di awal pentadbiran Mahathir selaku Perdana Menteri. Mahathir Mohamad bukan Ketua Negara Malaysia. Beliau hanya Ketua Kerajaan. Ketua Negara ialah Yang di-Petuan Agong. Sedang Gus Dur adalah Ketua Negara. Dari segi protokol, dan Malaysia sangat kuat mengamalkan protokol, Gus Dur lebih tinggi darjat protokolnya berbandingan Mahathir. Jika Gus Dur sanggup disiasat polis Indonesia, jadi bila pula Polis Malaysia boleh siasat Mahathir? Banyak laporan polis secara rasmi telah dibuat terhadap Mahathir.

Pendedahan bekas Ketua Pengarah BPR Datuk Shafie Yahya di mahkamah dalam kes Anwar Ibrahim menunjukkan salahguna kuasa oleh Mahathir. Perdana Menteri telah menyekat BPR bertindak ke atas Tan Sri Ali Abul Hassan, Ketua Pengarah EPU ketika itu. Pendedahan ini telah mencetuskan reaksi marah rakyat kepada Perdana Menteri. Lebih tiga ratus orang terdiri daripada para pemimpin Barisan Alternatif dari PRM, keADILan, PAS dan NGO serta para penyokong telah membuat laporan polis di Balai Polis Dang Wangi, Kuala Lumpur pada hari Ahad 25 Jun. Mereka mendesak supaya Mahathir disiasat.

Kenyataan Datuk Shafie Yahya itu bukan fitnah. Dia bercakap benar dengan sumpah seorang saksi di mahkamah. Dia tidak seperti bekas Pengarah Cawangan Khas Polis, Mohd Said Awang yang sanggup berbohong di mahkamah. Sebagai bekas Ketua Pengarah BPR, Shafie Yahya mempunyai tanggungjawab moral, legal dan juga agama untuk bercakap apa yang benar, tidak lain, melainkan benar belaka. Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sedang terpenjara dan dibicara juga telah membuat laporan polis sejurus selepas pendedahan Shafie Yahya itu. Sekarang pihak Polis mesti berbuat sesuatu tentang laporan demi laporan terhadap salahguna kuasa Mahathir melindungi perasuah-perasuah negara. Senarainya semakin panjang. Bermula dari Rafidah Aziz, kemudian Daim Zainuddin, kemudian Rahim Thamby Chik, dan kini Ali Abul Hassan Sulaiman.

Jelas kesalahan yang Mahathir lakukan itu adalah satu kesalahan jenayah di bawah Akta Pencegahan Rasuah. Mahathir kini berdepan dengan Akta yang sama yang dia gunakan untuk memenjarakan Anwar Ibrahim secara tidak adil. Kini Akta itu sedang mengejar Mahathir. Sementara itu, syabas kepada Datuk Shafie Yahya. Malaysia tidak kekurangan tokoh-tokoh Perkhidmatan Awam yang berani tampil ke depan untuk menegakkan kebenaran dan menentang rasuah yang dilakukan para pemimpin kerajaan. Pada tahun 80-an dulu telah muncul Tan Sri Ahmad Nordin, Ketua Audit Negara yang menjadi Pengerusi Jawatankuasa Siasatan skandal BMF. Ahmad Nordin dengan beraninya telah mendedahkan segala kepincangan dan rasuah yang berlaku di dalam kerajaan pimpinan Mahathir.

Diharapkan lebih ramai lagi tokoh-tokoh seperti ini muncul ke depan untuk mendedahkan hal yang sebenarnya telah berlaku sepanjang Mahathir berkuasa selama hampir dua puluh tahun ini. Akta Rahsia Rasmi (OSA) memang telah ada sejak lama dulu. Tetapi apabila Mahathir berkuasa, dia telah meminda OSA itu menjadi lebih ketat dan dikenakan hukuman penjara mandatori bagi sesiapa yang sabit kesalahannya. Sekarang jelas apa tujuan Mahathir meminda OSA itu. OSA telah digunakan oleh Mahathir untuk menutup segala penyelwengan di dalam kerajaan.

Misalnya adakah kita tahu hal sebenar cerita di sebalik Petronas mengeluarkan wang hampir RM 1.8 bilion untuk menyelamatkan Konsortium Perkapalan Berhad, syarikat milik Mirzan Mahathir? Adakah informasi yang telus tentang pembinaan Putrajaya dengan melibatkan wang Petronas? Begitu juga bagaimana syarikat Perwaja boleh rugi dan berhutang hampir RM 10 bilion? Semua maklumat tentang rasuah dan penyelwengan ini dikunci rapat oleh OSA.

Jadi, jika bekas Ketua Pengarah BPR, Datuk Shafie Yahya sanggup mengambil risiko bercakap yang benar di mahkamah dan mendedahkan satu kesalahan Mahathir yang bersifat jenayah kerana menghalang proses undang-undang dilaksanakan, maka tidak ada sebab mengapa pihak Polis, BPR dan Peguam Negara harus teragak-agak lagi untuk mengambil tindakan. Kalau mahukan keyakinan rakyat terhadap badan-badan ini dipulihkan, maka sekaranglah masanya tunjukkan bahawa Polis, BPR dan Peguam Negara bersifat profesional, bebas dan berwibawa. Siasat Mahathir segera! n




COUNTERBALANCE.ANYWHERE.ANYTIME.ANYBODY.ANYONE.COM



Do You Yahoo!?
Get Yahoo! Mail - Free email you can access from anywhere!

Kirim email ke