Setia pada kerajaan, bukan pada Barisan Nasional / Umno

BERITA MALAYSIA


November 04 , 1999 15:33PM

 

KAKITANGAN AWAM SETIA PADA KERAJAAN, KATA KSN

 

KUALA LUMPUR, 4 Nov (Bernama) -- Secara amnya kakitangan awam di negara ini menyokong dan setia kepada kerajaan yang memerintah dan adalah tidak wajar bagi mana-mana pihak mempersoalkan kewibawaan mereka, kata Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Abdul Halim Ali, hari ini.

Beliau berkata, ini terbukti kerana pentadbiran negara berjalan dengan baik, malahan banyak projek pembangunan bagi memulihkan ekonomi berjalan lancar selaras dengan arahan kerajaan.

Abdul Halim berkata demikian semasa menjawab pertanyaan pemberita akan desas-desus 90 peratus daripada kakitangan awam bersikap anti-kerajaan.

"Saya tidak nampak begitu. Kalau 90 peratus lumpuhlah (perjalanan kerajaan). Kita lihat projek-projek berjalan baik dan pelaksanaan dasar kerajaan berjalan baik. Kalau adapun satu dua orang sahaja terlibat dan ia tidak ketara," katanya kepada pemberita, di sini.

Terdahulu beliau merasmikan Hari Kualiti Kementerian Tanah dan Pembangunan Koperasi serta Ekspo Teknologi Maklumat, di Wisma Tanah di sini.

Namun Abdul Halim berkata, soal pendirian politik kakitangan kerajaan termasuk menjadi ahli parti pemerintah atau sebaliknya adalah terpulang pada diri masing-masing kerana tidak ada peraturan yang menghalang mereka mengambil pendirian begitu.

"Tidak ada larangan bagi seseorang pegawai kerajaan memilih mana-mana parti yang dia suka asalkan dia tidak menggunakan waktu kerja, peralatan pejabat kerajaan ataupun kedudukannya dalam kerajaan untuk memperkembang atau berkempen untuk mana-mana parti," katanya.

Beliau berkata, peraturan adalah jelas iaitu pegawai kerajaan dari Kumpulan A atau Pengurusan langsung tidak boleh mengambil bahagian secara aktif dalam politik seperti berkempen, sama ada pada waktu pejabat mahupun di luar waktu pejabat kerana dikhuatiri boleh terselewang daripada tugasnya.

Menurut beliau, kakitangan lain seperti daripada Kumpulan Sokongan dibenarkan bergerak aktif dalam politik dengan syarat mendapat kelulusan ketua jabatan yang harus menilai semua faktor sebelum memberi kelulusan.

Abdul Halim berkata, memang tindakan pernah diambil pada masa-masa lalu terhadap pegawai kerajaan yang melanggar arahan berpolitik ini.

"Tetapi setakat ini tak ada kes baru yang kita dengar. Kadang-kadang berlaku di peringkat daerah dan negeri dan kita harap ketua jabatan akan mengambil tindakan wajar terhadap mereka yang terlibat aktif dalam politik," katanya.

Ditanya mengenai dakwaan bahawa ada kakitangan kerajaan di kaunter perkhidmatan yang bertanya mengenai keahlian parti sebelum memberi perkhidmatan, Abdul Halim berkata ia adalah salah daripada segi etika perkhidmatan awam dan orang ramai perlu melaporkan perkara itu kepada ketua jabatan berkenaan.

Beliau berkata, dalam mengambil tindakan terhadap mana-mana kakitangan yang terlibat dalam perbuatan sebegini kerajaan mengikut prosedur disiplin seperti membuat tuduhan, memberi kesempatan membela diri dan hukuman hanya dijalankan apabila jelas kakitangan itu didapati bersalah.

"Kalau benda itu tak serius dan pertama kali, kita bagi nasihat. Kalau masih berdegil kita ambil tindakan ikut peraturan. Kita tak boleh sewenang-wenangnya membuang pegawai bagi menentukan tidak ada penganiayaan dan tindakan tidak adil terhadap mana-mana pegawai," katanya.

Dalam ucapannya Abdul Halim berkata sistem pengurusan tanah perlu dinilai dari masa ke masa agar sesuai dengan tuntutan perubahan zaman.

"Jadi pengurusan dan pentadbiran tanah yang cekap adalah satu aspek penting dalam matlamat kerajaan membangunkan negara," katanya. -- BERNAMA

blue.gif

Kirim email ke