Agaknya berapa banyak lagi kawasan pilihanraya lain yang sepatutnya batal disebabkan oleh pengundi hantu (spt Shah Alam, Lembah Pantai, dan banyak lagi yang menang dengan majoriti kecil dan juga bersebab ketibaan peti-peti undi last minute)???
Ini lah semangat Malaysia Boleh!!!
 
Hantu pun boleh mengundi di Malaysia!
Dah terlampau maju sangat kot?
 
Agaknya kalau di periksa 100%, silap-silap BN tidak menguasai majoriti kawasan parlimen...
 
Boleh juga dikatakan sedikit sebanyak kerajaan BN bukanlah SEBENAR-BENARNYA pilihan rakyat,
terdapat beberapa persen pilihan "hantu",
undi yang void bersebab kertas disapu lilin,
pengundi yang mengundi lebih dari satu kawasan (berlaku kepada kenalan orang rumah yang mengundi di dua kawasan yang berasingan),
pengundi yang tak dapat mengundi (hilang dari senarai),
pengundi yang dah arwah tapi masih ada dalam senarai (spt arwah mertua dan ipar saya),
dan bermacam-macam lagi.
 
Tidakkah ini satu kesalahan jenayah kerana menipu hak asasi rakyat?
 
 
Keputusan Pilihan Raya Kerusi Likas Dibatal
 
KOTA KINABALU, 8 Jun (Bernama) -- Mahkamah Tinggi di sini Jumaat mengisytiharkan keputusan pilihan raya negeri Sabah pada 1999 bagi kerusi Likas sebagai batal dan tidak sah setelah mendapati ada pengundi yang tidak wujud dalam daftar pemilih bagi kawasan itu termasuk rakyat asing, telah mengundi di situ.


Keputusan itu bermakna satu pilihan raya kecil akan diadakan kerana mengikut undang-undang, sebarang keputusan dalam kes di bawah Akta Kesalahan-kesalahan Pilihanraya tidak boleh dirayu.

Dalam satu keputusan yang dianggap mempunyai implikasi meluas, Hakim Datuk Muhammad Kamil Awang berkata daftar pemilih 1998 bagi kawasan itu adalah tidak sah.

Katanya berdasarkan keterangan saksi pada perbicaraan itu, beliau yakin terdapat pengundi yang tidak wujud atau apa yang disebut pengundi "hantu" di kawasan itu.

"Kewujudan pengundi bukan di kalangan warga negara dan pengundi hantu dalam daftar pemilih seperti yang disebut dalam perbicaraan, mungkin hanya bahagian kecil daripada sesuatu yang lebih besar," katanya dalam penghakiman setebal 29 muka yang dibacakan oleh Timbalan Pendaftar Ravinthran Paramaguru.

Muhammad Kamil berkata tidak dapat dinafikan bahawa pendaftaran pengundi dalam daftar pemilih di Likas bercanggah dengan undang-undang.

"Tidak ada siapa termasuk jabatan atau institusi kerajaan, yang mengatasi undang-undang," katanya.

Muhammad Kamil membuat keputusan itu bagi membenarkan permohonan Dr Chong Eng Leong, calon Parti Bersatu Sabah (PBS) yang kalah di kawasan itu, yang meminta mahkamah mengeluarkan perintah untuk membatalkan keputusan pilihan raya itu.

Bekas Ketua Menteri Datuk Yong Teck Lee mempertahankan kerusi itu bagi Barisan Nasional dengan kelebihan 4,962 undi.

Selain Chong, calon lain ialah Zulkifli Lajah (Setia), Yahya Kassim (Pas) dan Saudin Kadis (Bebas).

Dalam petisyennya, Chong mendakwa antara lain, bahawa terdapat pemilih daripada kalangan bukan rakyat Malaysia yang mengundi di kawasan Likas kerana Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) tidak mengeluarkan nama pengundi hantu daripada daftar pemilih walaupun bantahan telah dibuat pada satu siasatan umum sebelum pilihan raya itu berlangsung.

Seorang lagi bekas Ketua Menteri Datuk Harris Salleh juga mengemukakan petisyen serupa dengan mendakwa bahawa pada pilihan raya 1999 itu, parti-parti telah memasang empat papan pameran di sekitar kawasan pusat mengundi Likas dan ini melanggari Akta Kesalahan-kesalahan Pilihanraya 1954.

Muhammad Kamil menyatukan kedua-dua petisyen itu pada 24 Ogos 1999.

Dalam penghakimannya, hakim berkata hasil laporan yang kerap tersiar di akhbar, ramai yang tahu bahawa Sabah menghadapi masalah kebanjiran pendatang tanpa izin sejak beberapa tahun lepas.

"SPR seharusnya sedar mengenainya, dan apabila bantahan dibangkitkan seperti dalam kes ini, SPR patut mengadakan siasatan umum seperti yang dikehendaki oleh undang-undang pilihan raya.

"Pendedahan mengenai amalan penipuan seperti kewujudan banyak pengundi hantu memakan masa tetapi ia perlu dibuat jika kita mahu mempertahankan dan mengekalkan amalan demokrasi di Malaysia.

"Sebagai pelaksana pilihan raya yang bebas dan adil, SPR bertanggungjawab melakukannya," kata Muhammad Kamil.

Jelaslah, katanya, kegagalan SPR bertindak mengadakan siasatan awam walaupun terdapat bantahan, tidak boleh diterima, dan dengan itu pengesahan daftar pemilih bagi kawasan Likas pada Disember 1998 adalah tidak berniat baik.

Mengenai petisyen oleh Harris, hakim berkata bahawa berdasarkan kepada keseluruhan keterangan, beliau mendapati Yong selaku responden telah melakukan kesalahan mengikut Seksyen 11 (c) dan (d) serta Seksyen 32 Akta Kesalahan-kesalahan Pilihanraya.

Ketika menutup penghakimannya, Muhammad Kamil berkata: "Satu-satunya panduan kepada manusia ialah gerak hatinya, satu-satunya perisai kepada kenangannya ialah kejujuran dan keikhlasan dalam tindakannya.

"Pada pendapat saya, kebijaksanaan seseorang itu dipersenda apabila diarah menerusi telefon agar petisyen-petisyen ini ditolak tanpa perbicaraan, dan disebabkan itu, saya mendengar petisyen ini berbekalkan gerak hati.

"Tuhan telah memberi saya kekuatan dan ketabahan selaku seorang insannya untuk bertindak tanpa takut atau memihak, dan dengan itu, benar-benar bertindak sebagai seorang hakim dan bukannya "seorang pak turut".

Chong pula menyifatkan keputusan mahkamah itu sebagai kemenangan bagi rakyat Sabah dalam usaha membanteras kewujudan pengundi hantu manakala Yong berkata beliau menghormati keputusan tersebut dan akan menelitinya sebelum menentukan tindakan selanjutnya.

Semasa perbicaraan, Chong diwakili Yunof Maringking manakala Harris diwakili Ansari Abdullah.

Peguam Yong terdiri daripada Alexander Decena, P.K.Lim dan John Sikayun.

-- BERNAMA

Reply via email to