Fathi Aris Omar
9:30pm, RABU: Mahkamah magistret hari ini mengeluarkan
waran tangkap kepada lima orang aktivis politik yang terlibat
dalam perhimpunan membantah tindakan Kementerian Dalam
Negeri terhadap akhbar PAS, Harakah.
Waran itu dikeluarkan hakim Norshila Kamarudin setelah
mereka gagal menghadiri perbicaraan yang sepatutnya
berlangsung pagi ini.
"Polis boleh menangkap mereka bila-bila masa jika perlu,"
kata peguam bela Saadiah Din kepada malaysiakini petang
ini. Peguam yang berkhidmat bersama Pusat Bantuan Guaman
ini mewakili peguam asal kumpulan tersebut, Presiden Majlis
Peguam, Sulaiman Abdullah.
Mereka termasuklah Naib Presiden Parti KeADILan Nasional,
Tian Chua, kolumnis malaysiakini Hishamuddin Rais, aktivis
reformasi Abd Malek Hussin, kartunis Harakah Zunar dan ahli
KeADILan Tan Sow Kow.
Perhimpunan 11 Mac lalu yang diadakan di pekarangan Masjid
Negara itu ekoran tindakan KDN mengurangkan bilangan
penerbitan Harakah kepada dua kali setiap bulan daripada
dua kali seminggu. Lebih 100 orang penyokong reformasi
melaungkan slogan antikerajaan sambil mengangkat
sepanduk ‘Bebaskan Suara Rakyat.'
Turut serta dalam perhimpunan tersebut, anggota Dewan Rakyat Mohamad Sabu (foto tengah, kemeja putih) dan Naib Ketua Dewan Pemuda PAS, Salahuddin Ayub (foto kanan, baju hitam).
Mohamad, yang juga ahli jawatankuasa pusat parti Islam itu,
menyampaikan ucapan dan melancarkan protes tersebut
dengan memukul patung Perdana Menteri, Datuk Seri Dr
Mahathir Mohamad dan timbalannya, Datuk Seri Abdullah
Badawi.
Lima aktivis politik ini merupakan sebahagian daripada kumpulan tujuh
orang yang ditangkap polis selepas perhimpunan tersebut. Dua orang
lagi ialah peguam hak asasi, Sivarasa Rasiah dan seorang wanita
Nor Azimah Mohd Nor. Turut dikehendaki polis ialah Mohamad, Salahuddin
dan aktivis Pemuda KeADILan, Lokman Noor Adam tetapi mereka
tidak menyerah
diri. Polis juga mencari tujuh lagi peserta perhimpunan
tersebut. Hingga kini mereka tidak ditangkap.
Perbicaraan tersebut yang berlangsung pada 4 Mei lalu
ditangguhkan ke hari ini kerana Sivarasa sedang menjalani
rawatan kesihatan di luar negara.
Perbicaraan seterusnya dijadualkan pada 4 Ogos depan.
Waran tangkap Hishamuddin dikeluarkan (4 Mei)
10 lagi dicari polis, jangan takut ugutan kerajaan (15 Mac)
Mat Sabu dikehendaki polis, 7 ke mahkamah (14 Mac