Selatan: Kes keganasan rumah tangga di Johor meningkat

MUAR, Rabu – Kes keganasan rumah tangga di Johor, kini didapati berada pada tahap kritikal hingga membimbangkan kerajaan negeri.

Sebelum ini, banyak kes keganasan itu tertumpu kepada bandar besar seperti Johor Bahru, tetapi kini ia merebak ke pekan kecil di kawasan luar bandar.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Keluarga, Wanita dan Kesihatan, Halimah Mohamed Sadique, berkata pada tahun lalu, Johor mencatatkan jumlah kes rogol paling tinggi berbanding negeri lain.

Katanya, berdasarkan Laporan One Stop Crisis Centre (OSCC), dalam tempoh Julai hingga Disember tahun lalu, Johor mencatatkan 351 kes rogol dan penderaan terhadap wanita.

“Daripada jumlah terbabit, 119 adalah kes rogol, 199 kes penderaan terhadap wanita, 24 penderaan terhadap kanak-kanak dan 10 kes lain. Keadaan ini adalah kritikal dan membimbangkan.

“Antara Januari hingga Jun tahun ini pula, sejumlah 455 kes dilaporkan merangkumi 144 kes rogol, 32 penderaan kanak-kanak, 274 keganasan rumah tangga dan lima kes lain.

“Jika dulu, kejadian hanya tertumpu di kawasan Johor Bahru, tetapi sejak awal tahun ini hingga Jun lalu, Hospital Tangkak melaporkan tujuh kes seumpama itu,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Kursus Kaunseling Sukarelawan OSCC anjuran Jabatan Kesihatan Johor dan Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Ta’zim (YPKDT) dengan kerjasama Hospital Muar di Gunung Ledang Resort, petang semalam.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pegawai Daerah Muar, Datuk Mohd Razali Mahusin. Turut hadir Ketua Eksekutif YPKDT, Miskon Binjalal; Pengarah Hospital Muar, Dr Arbain Lani dan Pegawai Kesihatan Kanan Muar, Dr Fatimah Othman.

Seramai 53 sukarelawan OSCC daripada kakitangan hospital dan ahli pertubuhan bukan kerajaan menyertai kursus selama tiga hari sebagai Sukarelawan Pusat Khidmat Sepadu OSCC itu.

Halimah berkata, penubuhan OSCC adalah tepat, selari dengan tujuan dan matlamat untuk membantu wanita dan kanak-kanak yang menjadi mangsa kerakusan manusia dan keganasan rumah tangga.

“Semua hospital kerajaan di Johor sudah mempunyai Pusat OSCC. Menerusi pusat ini, mereka yang teraniaya dapat dibantu segera terutama dari segi sokongan emosi dan kaunseling sebelum diletakkan di tempat yang sesuai.

“Pusat OSCC yang ditubuhkan mulai 1997, bertujuan mewujudkan satu pusat perkhidmatan yang lengkap dan menyeluruh kepada mangsa penderaan, perkosaan dan keganasan rumah tangga.

“Di Johor, YPKDT mengambil tanggungjawab memastikan sukarelawan dan anggota Pusat OSCC mendapat latihan yang diperlukan menerusi seminar, bengkel dan kursus yang diadakan,” katanya.

Beliau berkata, perkhidmatan kaunseling yang disediakan oleh Pusat OSCC adalah pertolongan yang memerlukan kemahiran tertentu dan tidak boleh dilakukan sebarangan.

“Ada teknik dan etika tertentu yang perlu dipatuhi oleh setiap sukarelawan supaya masalah yang dihadapi dapat diselesaikan secara profesional dan bukan bertambah kusut.

“Menerusi kursus ini, peserta diharap dapat menimba pengetahuan yang diperlukan, seterusnya menghasilkan sesuatu yang produktif, kesepakatan dan memperkukuhkan jaringan kerjasama antara pelbagai agensi kerajaan yang akan memudahkan penyelesaian kes yang dihadapi,” katanya.

Reply via email to