Tetapi lebih mudah puaskan hati anak2 PM, bagi RM1.8 bilion terus puas hati, tapi nak lagi tuu.....

Sukar puaskan hati semua rakyat, kata PM

KUALA LUMPUR, Khamis - Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad berkata, rakyat pelbagai kaum di negara ini tidak mengharapkan semua tuntutan mereka kepada kerajaan dapat ditunaikan 100 peratus.

Perdana Menteri berkata, dalam sebuah negara berbilang kaum seperti Malaysia, rakyat tidak boleh mendapat semua yang dituntut. Mereka boleh mendapat sebahagian sahaja, itupun jika tuntutan itu tidak menyentuh sensitiviti kaum lain.

Sambil menegaskan kerajaan cuba memuaskan hati semua pihak sedaya mungkin, beliau berkata, jika layanan istimewa diberi kepada kaum tertentu, sudah tentu ia akan menimbul perasaan tidak puas hati di kalangan kaum lain.

"Sebab itu, di Malaysia yang berbilang kaum ini, keadaan terbaik ialah apabila kita semua berasa tidak puas hati. Kita tidak boleh nak bagi puas hati semua orang. Kalau bagi puas hati kaum ini, kaum itu pula rasa kecewa.

"Oleh itu kita harus ingat, kita tidak boleh menuntut semua untuk diri kita. Separuh mungkin, tapi semua tak mungkin. Bukan saja kepada kaum Cina atau India, tetapi Bumiputera juga," katanya.

Beliau menegaskan demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Seminar Pendidikan Guru-guru Besar Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Malaysia anjuran Kesatuan Guru-guru Besar Malaysia (KGGBM), di sini hari ini.

Turut hadir ialah Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Ling Liong Sik, Menteri Pendidikan, Datuk Seri Najib Tun Raza, Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Dr Fong Chan Onn, dan Presiden KGGBM, Kang Siew Khoon.

Dr Mahathir turut mengimbau rusuhan kaum pada 13 Mei 1969, yang berpunca daripada perasaan tidak puas hati beberapa kaum di negara ini.

Katanya, walaupun ada yang meminta supaya tragedi berdarah itu tidak diungkit, pengajaran dan pengalaman daripada peristiwa itu patut diperingatkan bagi memastikan ia tidak berulang.

"Jangan kita lupa pengajaran daripada sejarah. Kerana kalau kita lupa pengajaran sejarah, kita akan lakukan kesilapan dahulu berkali-kali. Kita tidak mahu buat sesuatu yang silap semata-mata kerana kita lupa.

"Sebab itu, kita harus ingat pentingnya bersikap adil kepada semua pihak. Kerajaan telah mencuba seberapa yang boleh untuk melayani kehendak semua kaum di negara ini," katanya.

Perdana Menteri juga berkata, perasaan cinta dan setia kepada negara tetap tersemai di kalangan rakyat walaupun sistem pendidikan negara membenarkan penggunaan bahasa ibunda di sekolah.

"Walaupun bahasa yang digunakan bukan bahasa kebangsaan, ini tidak bermakna mereka tidak didedahkan dengan perasaan cinta dan setia kepada negara," katanya.

Dr Mahathir berkata, rakyat perlu menyedari bahawa walau apapun keturunan masing-masing, Malaysia ialah negara mereka dan kesetiaan perlu disemai di hati anak-anak masing-masing.

"Dengan kesetiaan inilah Malaysia sebagai negara berbilang kaum dapat terus mengekalkan keharmonian dan terus berjaya," katanya.

Beliau meminta semua guru sekolah jenis kebangsaan dan sekolah kebangsaan memandang tugas mereka bukan semata-mata sebagai mata pencarian tetapi sebagai tanggungjawab nasional dalam membangunkan generasi akan datang, yang mampu mengharungi cabaran dalam dunia berasaskan pengetahuan.

Katanya, jika guru menggunakan waktu bertugas untuk kegiatan lain daripada membekalkan ilmu kepada murid, ia akan menyebabkan generasi selanjutnya miskin ilmu.

"Guru sebegini hanya mengkhianati bangsa mereka sendiri... memandangkan penyampaian ilmu menjadi jauh lebih penting sekarang berbanding dahulu," katanya.

Kirim email ke