*~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~*
 {  Sila lawat Laman Hizbi-Net -  http://www.hizbi.net     }
 {        Hantarkan mesej anda ke:  [EMAIL PROTECTED]         }
 {        Iklan barangan? Hantarkan ke [EMAIL PROTECTED]     }
 *~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~*
         UNDILAH PAS DAN BARISAN ALTERNATIF
 ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Menyentuh isu bahasa Inggeris dan penahanan dibawah ISA kepada mereka yang 
menentang penggunaannya serta pelaksanaannya, saya rasa mereka yang patut di 
ISA kan dahulu ialah Dewan Bahasa dan Pustaka sendiri, ini ialah kerana 
majalah bulanan DBP PELITA dengan terang mengkritik isu bahasa Inggeris.

Berikut ialah LINKnya dan salah satu artikelnya.

http://dbp.gov.my/dbp98/majalah/majalano.htm

Sari Bahasa

Aliran Inggeris: Kera di Hutan Disusui, Anak di Rumah Mati Kelaparan

Oleh Nik Safiah Karim


PADA masa ini, dua perkara sedang dibincangkan dengan hebatnya.Yang pertama 
berkaitan dengan usaha untuk mengembalikan sistem persekolahan aliran 
Inggeris, dan yang kedua, cadangan untuk melaksanakan
pengajaran mata pelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris.

Walau apa-apa jua tindakan yang akan diambil oleh kerajaan, tindakan ini
akan membawa kesan yang buruk kepada bahasa Melayu.Bukan sahaja akan kita 
mundur beberapa langkah, kedudukan bahasa kebangsaan
negara ini pun akan terjejas.

Marilah kita lihat kedua-dua persoalan yang sedang kita hadapi pada masa
ini.Cadangan untuk mengembalikan sistem pendidikan negara kepada sistem 
berbahasa pengantar bahasa Inggeris telah disuarakan.Cadangan ini terbit 
sebagai satu langkah untuk mengatasi kelemahan penguasaan bahasa Inggeris 
dalam kalangan pelajar.

Andaian daripada cadangan ini ialah seolah-olah penggunaan bahasa Melayu
sebagai bahasa pengantar telah merosakkan penguasaan bahasa Inggeris 
pelajar.Oleh sebab itu, bertukarlah dasar bahasa kita.Ajarkanlah
mereka segala ilmu pengetahuan dalam bahasa Inggeris supaya mereka mahir 
dalam bahasa itu.

Tidak pernah ditimbulkan akan sebab yang akan terjadi kepada penguasaan
bahasa kebangsaan pelajar apabila cadangan ini dilaksanakan.Tidakkah 
penguasaan bahasa kebangsaan mereka pula terjejas?Hal ini tidak
pernah dibangkitkan dalam keghairahan pucuk pimpinan untuk mencari
penyelesaian terhadap kemerosotan penguasaan bahasa Inggeris.

Tidak juga timbul persoalan yang berikut.Mengapakah setelah 11 tahun
mengikuti mata pelajaran bahasa Inggeris, pelajar masih tidak dapat 
menguasai bahasa tersebut?Sudah terbukti bahawa bahasa asing dapat
dikuasai dalam masa yang amat singkat, antara empathingga enam
bulan.Mengapakah pelajar tidak dapat mencapai kejayaan dalam masa 11 tahun?

Tidak pernah dipersoalkan faktor yang menghasilkan kegagalan ini; faktor
yang berkaitan dengan teknik pengajaran, penguasaan guru bahasa Inggeris, 
suasana pengajaran, motivasi pelajar, dan peranan Kementerian
Pendidikan.Sebaliknya, dengan cepat bahasa kebangsaan dijadikan beban
kegagalan ini, dan cara penyelesaiannya adalah dengan mengetepikan bahasa 
kebangsaan dan menggantikannya dengan bahasa Inggeris sebagai saluran ilmu 
pengetahuan.

Apakah mesej yang akan sampai kepada rakyat melalui tindakan ini?Satu
kesimpulan ialah bahawa dasar bahasa kebangsaan telah gagal.Bahkan, bahasa 
kebangsaan sendiri telah gagal.Perancangan kita yang awal
adalah untuk melahirkangenerasi yang menerima pendidikan dalam satu bahasa 
yang sama.Maka, akan lahirlah generasi yang lebih senang dilentur untuk 
menjadi rakyat Malaysia yang bersatu padu.

Dan sesungguhnya perancangan ini telah berjaya.Telah lahir satu generasi
yang penguasaan bahasa kebangsaan mereka amat baik.Dalam usaha kita untuk 
menjadikan bahasa kebangsaan sebagai bahasa ilmu dan bahasa pengucapan ilmu 
pengetahuan, kita telah berjaya melahirkan ribuan
siswazah yang berupaya mengungkapkan bidang sains dan teknologi dalam bahasa 
kebangsaan.

Kita mempunyai ratusan pensyarah yang mengajarkan semua bidang ilmu dalam 
bahasa kebangsaan.Mereka menulis tesis dan karya ilmiah dalam bahasa 
kebangsaan.Banyak juga yang menyampaikan syarahan perdana
mereka dalam bahasa kebangsaan.Dan jumlah penyelidik yang mendapat
penghormatan dan anugerah pada peringkat antarabangsa membanggakan kerana 
mereka telah mendapat pendidikan melalui bahasa pengantar
bahasa kebangsaan.

Namun, tidak dapat dinafikan bahawa jumlah pelajar yang penguasaan bahasa 
Inggeris mereka lemah agak besar.Kewajipan kita adalah untuk mengenal pasti 
punca kelemahan ini, dan seterusnya menyusun langkah bagi
membaiki keadaan.Yang penting ialah mengadakan penelitian yang rapi supaya 
langkah pembaikan tepat dan menghasilkan kejayaan.

Malangnya, perkara begitu tidak berlaku.Entah mengapa, bahasa kebangsaan
menjadi korban.Bahasa kebangsaan dijadikan punca segala kegagalan, lantas 
bahasa kebangsaan dicadangkan dipinggirkan, untuk
digantikan oleh bahasa penjajah.

Yang perlu disedari ialah bahawa bahasa Inggeris itu penting, dan
sewajarnya disusun usaha supaya penguasaannya oleh pelajar menjadi lebih 
baik.Tetapi, langkah yang diambil tidak semestinya melalui cara
mengetepikan bahasa kebangsaan.Tingkatkanlah usaha peninggian taraf 
penguasaan bahasa Inggeris, tetapi jangan melalui cara pembasmian bahasa 
kebangsaan.

Dalam konteks inilah maka cadangan untuk mengembalikan aliran bahasa
pengantar bahasa Inggeris tidak wajar.Langkah ini tidak akan menuju ke arah 
pembinaan masyarakat Malaysia yang bersatu, rakyat yang cinta
akan tanah air, dan warganegara yang boleh bermegah dengan jati diri 
sendiri.

Demikian juga dengan cadangan kedua, iaitu memperkenalkan dasar pengajaran 
mata pelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris.Alasan yang 
diberikan adalah agar penguasaan bahasa Inggeris pelajar meningkat.

Jika inilah cara menyelesaikan masalah kemerosotan bahasa Inggeris dalam
kalangan pelajar, dapat dikatakan bahawa langkah ini sama seperti mengubat 
penyakit dengan ubat yang salah.Persoalan pokok ialah
kemerosotan penguasaan bahasa Inggeris.Maka, langkah yang lebih wajar ialah 
mencari faktor yang menyebabkan penyakit ini, seperti cara pengajaran dan 
keadaan pengajaran, dan menyusun strategi supaya
kelemahan ini diatasi.

Mencari penyelesaian kemerosotan penguasaan bahasa Inggeris melalui
pengajaran mata pelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris akan 
mewujudkan masalah lain lagi, seperti kekurangan guru yang layak
dan kekurangan buku teks yang sesuai. Tambahan pula, mata pelajaran 
Matematik tidak menggunakan terlalu banyak bahasa.Maka, pengajaran Matematik 
dalam bahasa Inggeris tidak akan membawa terlalu banyak
manfaat kepada proses peningkatan penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan 
pelajar.Jelas bahawa cara penyelesaian begini tidak menguntungkan bahasa 
Inggeris.Namun, kerugian bagi bahasa Melayu amat besar.

Dari segi jati diri bangsa Malaysia dan kejayaan pembangunan negara, kita 
pun rugi.Dasar yang mengagungkan bahasa Inggeris dan mengetepikan bahasa 
kebangsaan akan menyampaikan mesej yang salah kepada rakyat.Mesej yang 
diterima ialah bahawa bahasa kebangsaan tidak penting.Walaupun termaktub 
dalam Perlembagaan bahawa kita mempunyai bahasa kebangsaan, dari segi 
praktiknya, kita tidak memberikan
penghormatan yang sewajarnya kepada bahasa tersebut.

Dari segi sikap, kita tidak menjiwai bahasa kebangsaan kita sendiri.Yang
menjadi pertimbangan pokok ialah kejayaan dalam dunia ekonomi 
antarabangsa.Untuk mencapai kejayaan itu, kita perlu menguasai bahasa
Inggeris.Maka, dalam pertimbangan jiwa manusia Malaysia, tidak ada tempat 
lagi bagi bahasa kebangsaan.

Inilah implikasi yang akan muncul daripada usaha untuk menjadikan bahasa
Inggeris bahasa pengantar, baik bagi dua mata pelajaran (sebagai langkah 
permulaan) atau untuk seluruh sistem pendidikan.Yang rugi ialah
bahasa kebangsaan kita sendiri, bahasa yang bernama bahasa Melayu.



_________________________________________________________________
Send and receive Hotmail on your mobile device: http://mobile.msn.com


 ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
 ( Melanggan ? To : [EMAIL PROTECTED]   pada body : SUBSCRIBE HIZB)
 ( Berhenti ? To : [EMAIL PROTECTED]  pada body:  UNSUBSCRIBE HIZB)
 ( Segala pendapat yang dikemukakan tidak menggambarkan             )
 ( pandangan rasmi & bukan tanggungjawab HIZBI-Net                  )
 ( Bermasalah? Sila hubungi [EMAIL PROTECTED]                    )
 ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Pengirim: "pakar rujuk" <[EMAIL PROTECTED]>

Kirim email ke