UMNO MULA MENCEROBOH MASJID
ROSLAN SMS


 

Mula-mula Hamid Othman dan kini Abu Hassan pula, nampaknya UMNO bersungguh-sungguh berusaha untuk memastikan yang masjid-masjid dan surau-surau tidak lagi digunakan sebagai institusi menebar dan memungut ilmu-ilmu Islam kecuali bertindak semata-mata sebagai dewan dimana umat Islam berkumpul untuk mengerjakan solat, bertahlil dan mendengar khutbah-khutbah yang dibaca dari teks yang ditulis oleh manusia-manusia seumpama Hamid Othman. Pengumuman Abu Hassan sebagai MB Selangor bahwa berkuatkuasa serta merta semua Nazir dan ahli-ahli jawatankuasa masjid dan surau seluruh Selangor akan dilantik (tidak lagi dipilih oleh para jemaah) oleh kerajaan negeri (UMNO) melalui sokongan Pejabat Agama Daerah, JKKK serta lain-lain badan kebajikan di kawasan masing-masing. Tindakan ini adalah titik permulaan perkosaan secara biadap UMNO terhadap institusi masjid yang akan berlaku di seluruh negara.

UMNO tidak seharusnya mensasarkan kekecewaan dan kebencian mereka terhadap masjid-masjid dan surau-surau semata-mata kerana kalah dalam pilihanraya lalu. Janganlah kerana marahkan pijat seekor dua yang tertunjam dipipi sendiri habis kelambu nak dibakar. Tindakan ini adalah merupakan penyalahgunaan kuasa yang terbesar di alaf baru ini. Hak para jemaah dan ahli kariah menetukan pimpinan di masjid-masjid dan surau-surau dirampas dengan rakusnya dan diserahkan kepada kroni-kroni mereka yang dirasakan dapat memenuhi agenda mereka. Siapakah yang sewajarnya memimpin masjid dan surau jika tidak mereka yang sering mengunjungi atau memakmurkannya. Tak kanlah pentadbiran masjid dan surau nak diserahkan kepada mereka yang tak berakhlak, longgar moralnya, tambahan pula cuma sembahyang setahun sekali itu pun semasa Hari Raya!

Aktiviti utama di masjid-masjid dan surau-surau di Lembah Kelang (yang dibimbangi oleh UMNO itu) kini adalah kuliah-kuliah maghrib dan kuliah subuh pagi ahad yang dipimpin oleh penceramah dari masjid-masjid lain, IPTA dan pendakwah-pendakwah bebas yang semuanya memiliki kelayakan dan kelulusan malah ada yang lebih tinggi dari Hamid Othman sendiri yang Phd nya dipungut di Scotland. Para jemaah di Lembah Kelang khususnya tidak lagi boleh ditindik hidung dan dipaksa mendengar kuliah-kuliah taharah, haid dan nifas berulang-ulang serta khutbah yang memuji dan memuja kerajaan semata-mata (ada teks khutbah kerajaan yang menyentuh prestasi ASN, kempen menentang aedes, cara pencegahan kebakaran – yang rata-rata tergelincir keluar dan tidak relevan langsung dengan tuntutan semasa serta konsep mengajak jemaah bertaqwa kepada Allah ). Naluri mereka mendesak mahukan pengertian dan kefahaman Islam secara syumul (keseluruhan) tidak setakat bab-bab tertentu yang difikirkan sesuai oleh JAKIM atau kerajaan.

Sekiranya kita mendesak para jemaah agar menolak perubahan biadap yang ingin dibawa oleh UMNO ini maka kita akan dikatakan cuba memecah-belahkan ummah serta menyeru kearah huru-hara. Tapi bayangkan sebagai seorang individu Muslim yang mengaku beriman dan cintakan keadilan dan kebenaran apakah yang harus kita lakukan apabila masjid dan surau tempat kita beribadat dan menimba ilmu tiba-tiba mahu dirampas begitu sahaja! Apakah sikap kita apabila Tuan-tuan Guru yang sekian lama mencurahkan ilmu mereka kepada kita tiba-tiba tidak dibenarkan berkuliah lagi, imam-imam yang selama ini memimpin solat kita serta berkhutbah memberikan peringatan kepada kita tiba-tiba ditamatkan perkhidmatan, saudara-saudara kita yang mengorbankan masa lapang mereka untuk memberikan khidmat sukarela kepada masjid dan surau sebagai ahli-ahli J/K tiba-tiba digugurkan begitu sahaja.

Masjid-masjid dan surau-surau ini sesungguhnya adalah milik kita semua para jemaah ahli kariah sekalian. Kitalah yang menghidup dan mengimarahkan masjid, tanpa para jemaah tinggallah masjid dan surau tadi sekadar bangunan kosong yang mati. Benar mereka berkuasa sebagai kerajaan, namun kekuasaan mereka itu bolehlah sekadar mengeluarkan arahan dan peraturan dalam perkara-perkara tertentu semata-mata tetapi apabila sampai ke peringkat mahu berkuasa terus dimimbar-mimbar masjid maka tindakan tersebut dikira sudah keterlaluan. 

Kita nasihatkan Hamid Othman, Abu Hassan dan mereka-mereka yang lain yang sealiran agar tidak menekan umat Islam sehingga keperingkat mereka hilang pertimbangan. Biarlah suara ramai dikalangan mereka yang lazim mengunjungi masjid dan surau ini berterusan menentukan siapa yang berhak mentadbir masjid dan surau mereka. Sekiranya diteruskan rancangan zalim Tuan-tuan ini maka implikasinya terpikullah atas bahu Tuan-tuan sendiri kelak. Orang Melayu sudah benci dan meluat terhadap UMNO yang Tuan-tuan dokongi ditambah dengan sikap angkuh dan zalim ini sudah pasti Tuan-tuan semua akan berterusan kecundang dimasa depan. Rasulullah berpesan takutklah akan doa mereka yang dizalimi kerana antara mereka dengan Allah tiada hijab yang mendindingi.

[EMAIL PROTECTED]
 
 
 
 
 
 



COUNTERBALANCE.ANYWHERE.ANYTIME.ANYBODY.ANYONE.COM

Do You Yahoo!?
Talk to your friends online with Yahoo! Messenger.

Kirim email ke