KUALA LUMPUR, 29 Sept (Bernama) -- Ketua
hospital yang menyiasat kes "keracunan arsenik" Datuk Seri Anwar
Ibrahim' menyangkal dakwaan bahawa para doktor mempunyai "agenda
tersembunyi" dan melengah-lengahkan siasatan.
Pengarah Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia
(HUKM) Prof Datuk Dr Khalid Abdul Kadir berkata HUKM tidak dapat
mengumumkan sebarang hasil siasatan sehingga semua hasil ujian
diperolehi dan selepas itu, barulah ia boleh dikemukakan ke Mahkamah
Tinggi.
" Kami tidak mahu ditekan untuk mengumumkan sebarang
hasil ujian yang setakat ini belum lengkap. Saya ingin memberi
jaminan bahawa pakar perunding di HUKM sedang berusaha ntuk
menentukan sama ada Datuk Seri Anwar Ibrahim mengalami keracunan
arsenik dan sama ada masalah kesihatan yang dihadapinya disebabkan
keracunan seperti didakwa atau berkaitan dengannya, atau disebabkan
masalah lain yang dikaitkan dengan umur, jantina, tabiat dan sejarah
keluarga," kata beliau bagi menjawab beberapa artiklel dalam
akhbar-akhbar tempatan yang mempersoalkan cara HUKM menjalankan
siasatan itu.
Dr Khalid secara khusus merujuk kepada artikel
yang disiarkan dalam akhbar The New Sunday Times pada 26 Sept serta
beberapa artikel lain dalam akhbar yang "menyindir bahawa kita tidak
berkecuali dalam mengendalikan pesakit (Anwar) dan bahawa kita
mempunyai agenda tersembunyi dengan melambat-lambatkan siasatan."
Anwar dimasukkan ke HUKM pada 10 Sept atas perintah Mahkamah
Tinggi di sini yang menangguhkan perbicaraan kes liwat yang
dihadapinya selepas para peguam beiau memberitahu mahkamah bahawa
berdasarkan laporan patologi, contoh air kencing Anwar disahkan
mengandungi kandungan arsenik yang tinggi.
Dalam jawapan
yang panjang-lebar kepada artikel-artikel ini, Dr Khalid berkata
keracunan arsenik mungkin akute dan teruk menyebabkan timbul
tanda-tanda yang memerlukan perhatian dan rawatan segera.
Apabila Anwar dimasukkan ke hospital, para doktor perlu
menentukan sama ada ia disebabkan keracunan berdasarkan laporan
makmal patologi swasta di Australia yang mendakwa bahawa air
kencingnya mengandungi kandungan arsenik yang tinggi.
Dr
Khalid berkata para doktor perlu membuat penilaian terhadap Anwar
yang sedang menjalani hukuman penjara enam tahun atas kesalahan
rasuah dan berbuat demikian melalui pemeriksaan dan siasatan untuk
menentukan bahawa apabila beliau dimasukkan ke hospital, Anwar tidak
mengalami keracunan arsenik yang teruk yang memerlukan antidot atau
ditempatkan di wad jagaan rapi.
Hospital telah membuat
pemeriksaan yang diumumkan pada 13 Sept bahawa beliau sihat dan
tidak memerlukan antidot atau rawatan khas atau ditempatkan di wad
jagaan rapi atau memerlukan pemantauan jantung.
"
Bagaimanapun, beliau memang menghadapi masaah kesihatan dan kami
tidak mengenepikan dakwaan mengenai keracunan arsenik.
Keracunan arsenik mungkin akute atau kronik apabila melewati
beberapa hari dan minggu atau mengalaminya sekejap-kejap dan pada
dos rendah yang sukar dikesan," kata beliau.
Pihak hospital
mengambil contoh air kencing daripada Anwar hanya 48 jam selepas
menikmati makanan bukan makanan laut bagi mengatasi masalah
berkaitan kandungan organik arsenik.
Beliau berkata
kandungan arsenik bukan organik dalam air kencing mungkin dapat
membantu dalam diagnosis tetapi ketiadaannya tidak bermakna ia
diatasi kerana pendedahan itu mungkin berlaku selama 20 hari sebelum
contoh air kencing diambil.
Contoh rambut dan kuku
diperolehi dan dihantar pada 13 Sept ke sebuah makmal Australia yang
memang pakar dalam masalah ini serta kepada seorang profesor
Universiti Kebangsaan Malaysia yang menjalankan penyelidikan
mengenai pendedahan arsenik industri selama beberapa tahun dan
bekerjasama dengan Institut Teknologi Nuklear Malaysia bagi mengukur
kandungan arsenik melalui aktivasi neutron.
" Hasil ujian
air kencing serta contoh kukuh dan rambut telah diperolehi. Pihak
kami juga telah mengambil lebih banyak contoh rambut, air kencing
dan kuku yang dihantar ke Makmal Forensik di London.
kami
masih menunggu hasil ujian dan kami menghubungi pihak makmal setiap
malam. Kami percaya bahawa mereka juga tidak harus ditekan tetapi
dibenarkan menjalankan analisis dengan teliti terhadap ketiga-tiga
contoh itu.
Dr Khalid berkata, kukuh, contohnya mengambil
masa kira-kira lima hingga enam bulan untuk tumbuh dan oleh itu,
menganalisis contoh itu yang diambil minggu ini cuma menunjukkan
pendedahan yang kemungkinan bagi lima hingga enam bulan lepas dan
tidak mengatasi pendedahan baru-baru ini.
" Pesakit (Anwar)
telah memberi kerjasama kepada para doktor yang membuat ujian
klinikal. Beliau menghadapi masalah untuk memberi sesetengah contoh
kepada polis tetapi kami tidak mahu diheret ke dalam perkara itu,"
kata beliau ketika merujuk kepada kenyataan polis bahawa Anwar
mulanya enggan memberi contoh air kencing, kuku dan rambut bagi
tujuan siasatan oleh polis.
Tetapi menurut Dr Khalid, pihak
Kimia dan polis sejak itu telah memperolehi contoh-contoh berkenaan
mengikut prosedur bagi siasatan polis.
Beliau menarik
perhatian bahawa siasatan polis haruslah dibezakan daripada
penilaian dan siasatan oleh pihak hospital memandangkan Anwar
menghadapi masalah kesihatan yang memerlukan perhatian.
Para
doktor berpendapat bahawa Anwar cukup sihat untuk hadir di mahkamah
pada Isnin tetapi masih tidak dapat membenarkan beliau meninggalkan
hospital disebabkan masalah kesihatan yang masih berlarutan dan
kerana hospital tidak memperolehi semua hasil ujian untuk
membolehkannya membuat diagnosis yang engkap.
" Pesakit
telah diamanahkan untuk jagaan pihak hospital oleh hakim Mahkamah
Tinggi. Pihak hospital perlu memberi layanan kepada beliau sebagai
pesakit yang kemungkinan mengalami keracunan.
Sebagai
doktor, kami perlu mempunyai perhubungan yang baik dengan pesakit
kami. Tetapi ini tidak bermakna bahawa kami tidak berkecuali dalam
politik," kata beliau.
Beliau berkata pihak hospital merawat
segala macam pesakit dari pelbagai lapisan masyarakat yang berlainan
laterbelakang sosial dan politik.
" Kami merawat pegawai
tertinggi daripada kerajaan dan juga daripada Pembangkang dan kami
juga menjaga kepercayaan mereka berhubung dengan kerahsiaan pesakit.
" Setakat ini, hospital telah memberi layanan yang
sebaik-baiknya kepada setiap pesakit," kata beliau. " Pihak hospital
akan mengemukakan hasil siasatan kepada Mahkamah Tinggi apabila kami
benar-benar yakin mengenai hasil siasatan itu.
Saya pasti
bahawa msyarakat umum akan memahaminya dan mahu kami mempertahankan
integriti profesional kami," kata beliau.
Dr Khalid
bagaimanapun, tidak menjawab dakwaan dalam artikel The New Sunday
Times bahawa Universiti Kebangsaan Malaysia, yang mengendalikan
HUKM, mempunyai sesetengah daripada penyokong radikal Anwar di
kalangan kakitangan fakulti dan pelajar. -- BERNAMA
|