Salam,
Saya sertakan di bawah ini 2 artikel yang mungkin bermanfaat kepada semua 
terutama bagi AJK PAKSI dalam memberi jawapan kepada client yang menghadapi 
masalah yang hampir sama..Artikel ini dah disiarkan dalam Berita Harian 12 Dis 
dan 13 Dis.....

TQ
Ust Hdyh
_____________

Hak Muslim: 
Guna kaedah taklik, fasakh jika ditinggal suami
Oleh: Nurhidayah Muhd Hashim


Soalan

SAYA adalah mangsa poligami di mana suami berkahwin dengan wanita lain 
kira-kira empat tahun lalu di sempadan Thailand. Selepas berkahwin lain, beliau 
keluar daripada rumah tinggalkan saya dan anak tanpa sebarang nafkah. Saya 
benar-benar kecewa dengan nasib saya. Saya ingin bercerai tetapi apabila ke 
Mahkamah Syariah, saya diminta memberitahu alamat suami. Disebabkan tidak tahu 
alamat suami, mahkamah menangguhkan kes saya. Mahkamah sepatutnya perlu 
mengasihani orang seperti saya dan meneruskan kes walaupun suami tidak hadir 
kerana saya memang tidak tahu di mana suami berada, tetapi saya pasti dia 
berada dengan isteri barunya. Apa yang perlu saya lakukan sekarang?

Isteri mangsa poligami
Selangor


Jawapan


Kami bersimpati terhadap masalah yang puan hadapi. Semoga puan tabah selalu. 
Suami puan sudah melakukan dosa dengan mengabaikan tanggungjawab memberi nafkah 
kepada puan dan anak. Beliau melaksanakan poligami tetapi dengan jelas gagal 
berlaku adil. Puan sebenarnya bukan mangsa poligami tetapi mangsa perlakuan 
suami yang tidak bertanggungjawab. Poligami tidak salah, yang salah adalah 
perlakuan orang yang mengamalkannya tanpa mengikut cara dikehendaki Islam. 
Orang sebegini sebenarnya memberi nama buruk kepada agama dan balasan azab di 
akhirat sudah pasti menantinya kerana tanggungjawab adalah perkara besar yang 
akan ditanya di akhirat kelak.

Tindakan suami meninggalkan puan lebih daripada empat tahun tanpa nafkah adalah 
tempoh masa yang lama. Puan sememangnya berhak untuk keluar daripada ikatan 
rumah tangga dengan menggunakan kaedah cerai taklik atas alasan suami gagal 
memberi nafkah dan meninggalkan isteri lebih daripada tempoh empat bulan.


Puan juga boleh menggunakan kaedah fasakh menggunakan alasan pengabaian nafkah 
dan juga ditinggalkan dalam tempoh yang lama. Dalam soalan puan, puan sudah 
membawa kes tuntutan cerai di mahkamah, kemungkinan menggunakan salah satu 
daripada kaedah di atas.

Jika membawa kes ke mahkamah, ia bermaksud kita ingin mencari keadilan menurut 
apa yang diputuskan wajar oleh Hakim Syarie yang mendengar kes kita. Memfailkan 
kes di mahkamah mesti mengikut cara ditetapkan undang-undang atau dipanggil 
tatacara kes di mahkamah. Semua tatacara ini diperuntukkan dalam Enakmen 
Tatacara Mal yang diwartakan dan mesti dipatuhi. Oleh itu, kurang tepat jika 
kita beranggapan hakim patut tahu dan menolong kita kerana hakim hanya 
berpandukan apa yang puan bawa di hadapannya.

Berdasarkan prinsip keadilan, pihak yang menuntut perlu membawa keterangan 
supaya jelas apa yang dituntutnya. Kerana itu, puan perlu menyediakan diri 
dengan maklumat lengkap seperti tarikh berkahwin, sejak bila tidak mendapat 
nafkah, tarikh suami meninggalkan puan, siapa yang mengetahui suami 
meninggalkan puan, siapa saksi yang boleh menyokong tuntutan puan dan 
sebagainya.


Apabila puan memfailkan tuntutan cerai atau dipanggil kes mal, puan mesti 
memulakan dengan saman dan penyata tuntutan. Puan perlu menyatakan dalam 
penyata tuntutan bahawa puan sudah berkahwin dengan suami, mempunyai berapa 
orang anak, suami meninggalkan lebih empat tahun tanpa nafkah mulai bila dan 
apa-apa perkara perlu dinyatakan secara bertulis. Saman dan penyata tuntutan 
itu pula mesti disampaikan kepada suami.

Oleh itu, sebahagian daripada tugasan puan adalah mengetahui alamat di mana 
suami tinggal untuk tujuan penyerahan saman serta penyata tuntutan tadi. 
Disebabkan itu, kami menasihatkan wanita supaya mengetahui alamat tempat kerja 
suami, alamat kampung suami atau alamat lain di mana suami boleh dihubungi.

Selepas suami menerimanya, dia diberi hak untuk menjawab atau membela tuntutan 
yang puan failkan terhadapnya. Tujuannya adalah memberi ruang kepada mahkamah 
untuk mendengar daripada kedua-dua belah pihak sebelum keputusan adil dapat 
diputuskan. Daripada segi undang-undang, saman perlu disampaikan secara kediri 
iaitu dengan menyerahkan saman bermaterai kepada suami puan sebagai defendan 
dalam kes ini.

Defendan hendaklah menandatangani saman itu sebagai akuan penerimaan. Jika 
defendan enggan menerima saman itu, ia boleh ditinggalkan berhampirannya dan 
perhatiannya diarahkan kepada saman itu. Dalam kes ini, puan tidak tahu 
langsung di mana suami berada. Kemungkinan mahkamah menangguhkan kes kerana 
saman dan penyata tuntutan tidak dapat disampaikan kepada suami.

Puan sepatutnya memohon kepada mahkamah untuk mendapatkan suatu perintah yang 
dinamakan perintah penyampaian ganti di mana saman itu disampaikan dengan cara 
menampalkan suatu salinannya di papan kenyataan mahkamah dan di tempat yang 
mudah dilihat di alamat defendan yang terakhir yang diketahui atau apa-apa cara 
lain yang difikirkan patut oleh mahkamah. Mahkamah juga boleh membuat perintah 
supaya penyampaian dibuat melalui iklan dalam mana-mana akhbar tempatan seperti 
yang difikirkan patut oleh mahkamah.

Walaupun secara realitinya defendan tidak membaca notis tampalan atau iklan 
dalam akhbar tempatan itu, kesannya di sisi undang-undang adalah sama seperti 
penyampaian kediri yang disebutkan tadi. Apabila sempurna penyampaian ganti 
ini, mahkamah hendaklah menyifatkan saman itu disampaikan kepada defendan. 
Dengan itu, kes puan boleh diteruskan untuk perbicaraan dan tidak perlu 
ditangguhkan lagi.

Sebagai orang awam, puan sukar untuk memahami prosiding ini kerana ia bersifat 
teknikal. Justeru, puan wajar menggunakan khidmat peguam. Jika berkemampuan, 
puan boleh menggunakan khidmat peguam syarie biasa. Jika puan tidak bekerja 
atau bekerja tetapi mempunyai pendapatan sederhana, puan boleh ke pejabat Biro 
Bantuan Guaman (BBG) berdekatan untuk memohon bantuan khidmat daripada peguam 
BBG. Sekiranya puan memenuhi kelayakan ditetapkan, pihak BBG akan membantu 
untuk mendapatkan khidmat peguam bagi memudahkan kes.


Jawapan disediakan Exco Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Nurhidayah 
Muhd Hashim. Sebarang persoalan boleh dihantar ke [EMAIL PROTECTED]

_______________
Peguam Syarie Menulis:
Ibu abai kebajikan hilang kelayakan hak jaga anak
Oleh Mohamad Isa Abd Ralip


PERJUANGAN ibu muda Siti Nadzirah Mohd Nasir, 20, mendapatkan anaknya kembali, 
Arman Khan selepas suami, Fazal Azim Abdul Ahad, 24, warganegara Pakistan serta 
keluarganya menghalang beliau membawa anaknya pulang ke tanah air mendapat 
liputan meluas serta simpati masyarakat Malaysia. Pada 23 November 2007, 
Mahkamah Tinggi Syariah Selangor membenarkan permohonan sebelah pihak 
(ex-parte) Siti Nadzirah dan mengeluarkan perintah antara lain meletakkan hak 
jagaan sementara anak kepada Siti Nadzirah sehingga hak jagaan kekal anak 
diputuskan serta memberikan hak lawatan kepada bapa.

Mungkin timbul persoalan bagaimana hak jagaan anak diberikan kepada Siti 
Nadzirah, walaupun secara sementara sedangkan Siti Nadzirah masih isteri yang 
sah kepada suaminya? Dalam erti kata lain, masih dalam ikatan suami isteri dan 
belum disabitkan perceraian oleh mana-mana mahkamah.

Peruntukan seksyen bagi hak jagaan anak atau hadanah termaktub secara khusus 
dalam enakmen negeri di Malaysia. Di Selangor, peruntukan itu diletakkan di 
bawah Seksyen 82 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Selangor, 2003 (EUKIS 03) 
dan bagi Akta Undang-undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan pula, diletakkan 
di bawah seksyen 81.

Walaupun peruntukan seksyen berbeza, dari segi penggunaannya adalah sama iaitu 
memperuntukkan ibu orang paling layak bagi menjaga anak kecilnya sama ada pada 
masa ibu itu masih dalam perkahwinan dan juga selepas perkahwinannya 
dibubarkan. Seksyen itu dengan jelas menyebut ibu adalah paling layak sama ada 
ibu itu masih dalam perkahwinan atau selepas bercerai.

Dengan itu, walaupun seseorang itu belum bercerai atau dalam proses perceraian, 
berdasarkan kepada peruntukan seksyen itu seorang ibu atau bapa boleh membuat 
tuntutan hak jagaan anak. Namun, seksyen itu jelas menyatakan bahawa ibu paling 
berhak menjaga anaknya yang masih kecil atau anak belum mumaiyiz.

Justeru, adakah ibu saja berhak untuk menjaga anaknya? Bagaimana pula dengan 
bapa? Hakikatnya kedua-dua ibu dan ayah berhak mendapatkan hak jagaan anak, 
namun bagi anak kecil dan belum mencapai umur mumaiyiz, hak hadanah lebih 
diutamakan kepada ibu. Had umur mumayiz bagi kanak-kanak perempuan adalah 
sembilan tahun, manakala bagi kanak-kanak lelaki, tujuh tahun. Selepas mencapai 
umur itu, kanak-kanak berkenaan boleh memilih penjaga mereka.

Namun begitu, seorang ibu boleh hilang kelayakan sebagai hadanah jika dalam 
siasatan mahkamah dia tidak layak menjaga kebajikan anak itu. Seksyen 84 EUKIS 
03 menggariskan beberapa perkara berkaitan hilangnya hak hadanah bagi seorang 
ibu ke atas anaknya iaitu: l Jika perempuan itu sudah berkahwin dengan 
seseorang yang tidak mempunyai pertalian dengan kanak-kanak berkenaan, tetapi 
haknya akan kembali semula jika perkahwinannya itu dibubarkan.


l Jika perempuan itu berkelakuan buruk secara keterlaluan dan terbuka atau 
berperangai keji mengikut hukum syarak. l Jika perempuan itu menukar tempat 
pemastautin dengan niat untuk menghalang atau mencegah bapa kanak-kanak 
menjalankan pengawasan ke atas kanak-kanak berkenaan.

l Jika perempuan itu murtad dan yang terakhir adalah perempuan berkenaan cuai 
atau menganiaya kanak-kanak itu. Jika ibu didapati mempunyai satu atau lebih 
perkara di atas, maka hak sebagai hadanah boleh gugur dan anak akan diserahkan 
kepada orang lain lebih berkelayakan mengikut susunan keutamaan dengan syarat 
penjagaan oleh orang di bawah ini tidak menjejaskan kebajikan anak itu.

Mereka ialah:
Nenek sebelah ibu hingga ke atas ; bapa;
Nenek sebelah bapa hingga ke atas;
Kakak atau adik perempuan seibu sebapa;
Kakak atau adik perempuan seibu;
Kakak atau adik perempuan sebapa;
Anak perempuan daripada kakak atau adik perempuan seibu sebapa;
Anak perempuan daripada kakak atau adik seibu;
Anak perempuan daripada kakak atau adik perempuan sebapa;
Emak saudara sebelah ibu;
Emak saudara sebelah bapa;
Waris lelaki yang boleh menjadi warisnya sebagai asabah.

Bukan mudah untuk mendapatkan hak jagaan anak kerana terdapat syarat khusus 
ditetapkan hukum syarak serta undang-undang. Antaranya pihak berkaitan 
hendaklah seorang Islam, sempurna akal, berumur untuk melayakkan dia memberi 
jagaan dan kasih sayang kepada kanak-kanak itu. Penjaga juga perlulah seorang 
yang berkelakuan baik dari segi akhlak Islamiah dan pihak memohon hendaklah 
tinggal di tempat di mana kanak-kanak itu tidak mungkin menghadapi apa-apa 
akibat buruk dari segi akhlak atau jasmani.

Selain itu, terdapat syarat tambahan menjadi faktor utama melayakkan pihak yang 
mendapatkan hak hadanah iaitu dari segi kemampuan pihak itu menjaga kebajikan 
anak dari segi pendidikan agama dan akademik, keperluan tempat tinggal sempurna 
yang boleh mempengaruhi pembesaran anak kelak, keperluan makan minum yang mana 
pihak hendaklah mempunyai sumber rezeki yang baik dan halal. Pihak berkaitan 
juga hendaklah mengutamakan keselesaan anak itu.

Harus diingat, bukan hak ibu bapa terhadap siapa yang hendak menjaga anak perlu 
diutamakan, sebaliknya kebajikan anak hendaklah diberi perhatian. Jika hak 
penjagaan anak diletakkan kepada 'orang yang salah', yang akan terkesan serta 
menderita adalah anak berkenaan. Anak akan terbiar dan teraniaya daripada 
segenap sudut seperti kebajikan, juga keselesaan.

Sewajarnya anak dibesarkan dalam jagaan dan perhatian yang baik. Tetapi 
disebabkan kecuaian dan rasa tidak bertanggungjawab pihak diberikan amanah 
untuk menjaganya akan menyebabkan anak dibesarkan dalam keadaan serta suasana 
tidak sempurna. Ia akan menyebabkan masa depan anak terjejas, perhatian dan 
kasih sayang yang berkurangan juga menyebabkan anak menjadi anak terbiar.

Penulis ialah Timbalan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM). 
Sebarang komentar boleh dihantar ke [EMAIL PROTECTED]


      
____________________________________________________________________________________
Looking for last minute shopping deals?  
Find them fast with Yahoo! Search.  
http://tools.search.yahoo.com/newsearch/category.php?category=shopping

Kirim email ke