“Kerajaan tidak cadang kaji ISA” – Itulah keputusan Perdana Menteri Malaysia 
Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sebagaimana disiarkan oleh Utusan Malaysia 
pada 19/10/08. Beliau berkata, “tumpuan saya ialah untuk membentangkan tiga 
rang undang-undang ini (suruhanjaya pelantikan hakim, pencegahan rasuah dan 
aduan khas) di Parlimen dan oleh itu tolong jangan soal saya tentang langkah 
untuk mengkaji ISA kerana akta hampir sama juga masih diguna pakai di Amerika 
Syarikat (AS) dan Britain”, tegasnya pada sidang akhbar selepas merasmikan 
Perhimpunan Agung Tahunan MCA Ke-55 di Kuala Lumpur pada 18 Oktober lepas. 
Perdana Menteri nampaknya langsung tidak mahu tunduk kepada bantahan yang 
ditimbulkan dari pelbagai pihak termasuklah dari parti komponen BN sendiri 
untuk memansuhkan Akta zalim tersebut.
Siapa tidak kenal ISA? Akta Keselamatan Dalam Negeri (yang lebih dikenali 
sebagai ISA iaitu akronim nama Bahasa Inggerisnya, Internal Security Act) 
merupakan undang-undang tahanan pencegahan yang berkuat kuasa di Malaysia sejak 
1960 lagi. Akta yang telah benar-benar digunakan kerajaan untuk menyelamatkan 
hegemoni politik mereka ini membolehkan sesiapa sahaja ditahan oleh polis 
selama 60 hari berturut-turut tanpa perbicaraan untuk tindak-tanduk yang 
disyaki atau dipercayai mengancam keselamatan negara atau mana-mana bahagian 
daripadanya. Selepas 60 hari, seseorang tahanan itu boleh ditahan lagi selama 
tempoh dua tahun jika diluluskan oleh Menteri Keselamatan Dalam Negeri, dan 
sekali gus membolehkan penahanan terus tanpa perbicaraan. Dan Menteri boleh 
menyambung dan terus menyambung tempoh tahanan ‘ikut suka beliau’ selama tempoh 
yang tiada hadnya, selama beliau masih berkuasa atau masih bernyawa.
Secara umumnya akta hasil pemikiran penjajah ini mengenepikan kuasa kehakiman 
dan bercanggah dengan kebebasan individu yang dijamin oleh Perlembagaan yang 
diagungkan oleh mereka sendiri. Ringkasnya, individu yang ditahan di bawah ISA 
(i) tidak memerlukan waran tangkap atau apa-apa arahan dari Mahkamah (ii) tidak 
perlu dan tidak akan dibawa ke mahkamah untuk dibicarakan atau dibuktikan 
kesalahannya (iii) kuasa mutlak untuk ‘menjatuhkan hukuman’ terletak kepada 
Menteri Keselamatan Dalam Negeri (iv) ‘kuasa mutlak’ untuk menyeksa tahanan 
terletak pada polis cawangan khas (SB) yang tidak pernah mengenal erti 
kemanusiaan. Sautun Nahdhah kali ini bukanlah ingin membincangkan fakta-fakta 
kezaliman ISA dan mereka yang telah ‘menjadi korbannya’ sejak sekian lama, 
kerana sememangnya risalah kecil ini tidak akan dapat memuat segala penderitaan 
tersebut. Namun apa yang ingin kami utarakan adalah hukum syarak mengenai akta 
gubalan tangan manusia ini yang
 mana para penggubal dan pengamalnya langsung tidak memikirkan hukuman dan azab 
Allah yang bakal menimpa mereka satu hari nanti dek kezaliman yang mereka 
lakukan.
Kaedah Penghakiman/Keadilan Dalam Islam
Sebagai sebuah deen yang sempurna, agama Islam yang diturunkan oleh Allah ini 
mencakup segala perkara dan tidak ada satu pun yang tertinggal darinya. Dalam 
bab pengqadhian (penghakiman), Islam telah menggariskan hukum dan kaedah yang 
lengkap yang wajib diikuti oleh umat manusia. Antara kaedah syarak yang masyhur 
di dalam bab penghakiman/keadilan Islam adalah “Al-Aslu bara’atu zimmah” yang 
bermaksud “seseorang itu tidak bersalah sehinggalah dibuktikan bersalah” 
(innocent until proven guilty). Mengikut kaedah ini, oleh sebab hukum asal bagi 
seseorang itu adalah tidak bersalah sehinggalah dibuktikan sebaliknya, maka 
seseorang itu tidak boleh dikenakan hukuman melainkan dengan keputusan mahkamah 
(setelah dibicarakan dan dibuktikan), dan seseorang itu tidak boleh sama sekali 
(secara mutlak) dihukum (punish) oleh mana-mana pihak selagi dia tidak 
disabitkan kesalahan [Syeikh Taqiyuddin an-Nabhani, Muqaddimah ad-Dustur, Fasal 
13].
Perkara pertama: Al-Aslu bara’atu zimmah. Kaedah ini diambil dari hadis 
Rasulullah Sallallahu alaihi wa Sallam iaitu, “(Beban) pembuktian adalah di 
atas pendakwa, dan sumpah (penafian) adalah di atas yang tertuduh” [HR Baihaqi 
dan Mutafaq alaih]. Imam Nawawi ketika mensyarah hadis ini mengatakan, 
“Pembuktian terletak di pihak pendakwa kerana ia menyalahi perkara yang zahir. 
Ini adalah kerana asasnya seseorang itu adalah ‘bebas dari kesalahan/liabiliti’ 
(bara’atu zimmah), sedangkan bagi tertuduh (accused/defendant) cukup dengan 
sumpah sahaja di pihaknya kerana dia meminta mengekalkan status quo, sesuai 
dengan asalnya iaitu bara’atu zimmah (tidak bersalah)” [Syarah Matan Arba’in, 
ms 153]. Hadis ini dengan jelas menerangkan bahawa hukum asal bagi seseorang 
itu adalah tidak bersalah (innocent), dan pendakwa hendaklah 
membawa/menunjukkan bukti bahawa si tertuduh bersalah. Jika dia gagal 
membuktikan, maka si tertuduh tetap berada dalam
 keadaan asalnya yakni tidak bersalah. Justeru, menjatuhkan hukuman tanpa 
bukti, malah tanpa dakwaan sedikit pun seperti yang berlaku dalam kes ISA 
adalah bertentangan sama sekali dengan hadis ini. Dengan kata lain, perbuatan 
ini telah menyalahi hukum yang telah ditetapkan oleh Rasulullah.
Perkara kedua: Seseorang tidak boleh dijatuhkan hukuman kecuali dengan 
keputusan Qadhi (Mahkamah). Dalil untuk hal ini dapat dilihat dalam Hadis Nabi, 
“Maka barang siapa yang telah terambil hartanya olehku, maka inilah hartaku, 
maka silalah dia mengambilnya dan barang siapa yang telah aku tersalah sebat 
belakangnya maka inilah belakangku untuk disebatnya, maka hendaklah dia 
mengambil keputusanku ini” [HR Baihaqi]. Dalam kes ini, kita mesti ingat bahawa 
Rasulullah Sallallahu alaihi wa Sallam mengatakan hal ini dalam kapasiti 
baginda sebagai seorang pemerintah dan juga hakim. Ini bermaksud bahawa sesiapa 
sahaja yang telah dihukum (oleh hakim) secara salah, maka dia boleh menuntut 
pembalasan yang serupa. Hadis ini menjadi dalil yang tidak membenarkan 
pemerintah menghukum rakyatnya tanpa terbuktinya dakwaan terhadapnya yang 
melayakkan dia dihukum. Oleh itu, seseorang tidak boleh mendera orang lain 
kecuali dengan keputusan hakim dan adalah haram bagi
 seseorang hakim untuk menghukum (sama ada mengambil harta, mendera atau 
memenjara) orang lain tanpa hak.
Tambahan pula ada dalil lain di dalam kes li’an, yang mana seorang perempuan 
yang dituduh oleh suaminya bersekedudukan dengan orang lain kemudian perempuan 
ini dibawa ke hadapan Rasulullah (sebagai hakim), tetapi dia telah teragak-agak 
dalam melakukan penafian. Dalam kes itu, perempuan tersebut terselamat dari 
direjam kerana dia telah melakukan sumpah li’an. Namun Rasulullah bersabda, 
“Seandainya aku boleh merejam seorang itu tanpa bukti, nescaya aku akan 
merejamnya” [HR Muslim, Ahmad, Baihaqi dan Thabrani]. Ini menunjukkan bahawa 
tidak boleh merejam (menghukum) seseorang apabila tidak ada bukti jelas 
meskipun anda kesamaran dalam penafian perempuan tersebut. Jika Rasulullah 
sendiri justeru memanggil bicara dan tidak menghukum tanpa bukti yang jelas 
(walhal baginda diberi wahyu tentang perkara tersebut), maka alangkah hebatnya 
kuasa seorang Menteri (dan polis-polis yang terlibat) melampaui batas yang 
ditetapkan oleh Rasulullah, apabila mereka
 dengan mudahnya terus menghumban suspek ISA ke Kamunting dan menyeksa tahanan 
tanpa bicara dan tanpa bukti yang kukuh!
Dalam keadaan di mana individu tersebut disyaki melakukan kesalahan, Islam 
sememangnya membenarkan pihak polis menahan seseorang tertuduh (seperti tahanan 
reman) bagi membolehkan mereka mengumpul maklumat sebelum melakukan dakwaan. 
Bagaimanapun, penahanan ini hanya boleh dilakukan dengan syarat mendapat 
akuan/perintah dari Mahkamah dan masa penahanan adalah pendek dan terhad. Hal 
ini berdasarkan dalil hadis dari Bahz bin Hakim dari bapanya, dari datuknya, 
“Bahawa Nabi SAW menahan seorang lelaki kerana tuduhan kemudian dia dibebaskan” 
[Riwayat Lima kecuali Ibn Majah] dan dari Abu Hurairah ia berkata, “Rasulullah 
SAW menahan seorang individu selama sehari semalam dalam satu kes pertuduhan”. 
Perlu difahami bahawa penahanan tersebut bukanlah satu bentuk ‘hukuman’ tetapi 
ia bertujuan untuk mendapatkan maklumat dan keterangan (tempoh siasatan), dan 
tidak boleh sama sekali mendera atau menyeksa tertuduh pada waktu ini.
Perkara ketiga: Hukuman hanya boleh dikenakan selepas sabit kesalahan. Tidak 
boleh (haram) melaksanakan hukuman kepada si tertuduh sebelum disabit 
kesalahannya. Dalilnya adalah berdasarkan hadis Nabi Sallallahu ‘alaihi wa 
Sallam “Seandainya aku boleh merejam seorang itu tanpa bukti nescaya aku akan 
merejamnya” [HR Muslim, Ahmad, Baihaqi dan Thabrani]. Meskipun (berdasarkan 
riwayat dari Ibnu Abbas) perempuan tersebut memang diketahui telah melakukan 
zina, namun ternyata Rasulullah tidak menyeksa atau melakukan apa jua tindakan 
agar perempuan itu mengaku. Tambahan lagi, jikalau hukuman boleh dikenakan 
kepada si tertuduh semata-mata kerana kesalahannya ‘diketahui’, maka sudah 
tentu perempuan itu dihukum oleh Rasulullah kerana kejahatannya memang sudah 
pun diketahui ramai. Namun ternyata hakikatnya tidak demikian. Ini menunjukkan 
bahawa secara mutlak tidak dibolehkan (haram) melaksanakan hukuman terhadap si 
tertuduh tanpa disabitkan kesalahannya.
 Oleh yang demikian, adalah haram mengugut, memukul, mendera, memenjara atau 
mengenakan apa jua bentuk hukuman (punishment) selama mana tertuduh masih belum 
disabitkan kesalahan.
Hal ini disokong lagi oleh hadis dari Ibnu Abbas bahawa Rasulullah Sallallahu 
alaihi wa Sallam tidak menghukum seorang yang mabuk kerana tidak ada bukti. 
“Ibnu Abbas berkata, seorang lelaki telah meminum khamar dan mabuk dan dilihat 
terhuyung hayang. Lelaki ini dibawa kepada Rasulullah dan ketika menghampiri 
rumah Abbas, dia terlepas lalu masuk ke rumah Abbas dan berselindung di situ. 
Apabila hal ini sampai kepada Rasulullah, baginda tertawa seraya bertanya, 
‘Adakah dia melakukan semua itu?’ Dan (kata Ibnu Abbas) Rasulullah tidak 
memerintahkan apa-apa pun dalam perkara ini”. Hadis ini menunjukkan bahawa 
Rasulullah tidak menjatuhkan hukuman kepada peminum khamar kerana tidak ada 
pengakuan dari tertuduh dan dakwaan ke atasnya juga tidak terbukti. Ini 
bermakna dia telah ‘dituduh’ mabuk tetapi tidak dapat dibuktikan (bahawa dia 
minum arak). Rasulullah tidak mengugut atau menyeksa atau mendera dia agar 
mengaku, dan Rasulullah juga tidak
 menjatuhkan hukuman ke atasnya hanya semata-mata kerana adanya ‘tuduhan’. Oleh 
yang demikian, adalah haram untuk mengenakan sebarang bentuk tindakan ke atas 
tertuduh selagi kesnya tidak disabitkan oleh Mahkamah. Dengan kata lain, selagi 
tidak ada sabitan, statusnya tetap sebagai tertuduh (accused) dan bukannya 
pesalah (guilty) dan tidak ada seorang pun, baik polis atau menteri yang boleh 
menghukum (punish) orang yang ‘dituduh’. Berdasarkan hadis ini, hukuman tahanan 
60 hari dan juga dua tahun penjara (dan diseksa) yang dilakukan di bawah ISA 
oleh Menteri Dalam Negeri dan juga pihak polis adalah teramat jelas menyalahi 
perbuatan Rasulullah dan ternyata haram hukumnya ditinjau dari aspek mana 
sekalipun.
Selain ketiga perkara di atas, terdapat banyak hadis di mana Rasulullah 
berpesan, “Jika dua orang yang bersengketa di hadapkan di hadapan engkau 
(hakim) maka janganlah engkau menjatuhkan keputusan sehingga engkau 
mendengarkan dari pihak yang satu lagi sebagaimana engkau mendengar dari pihak 
pertama” [HR Ahmad]. Malangnya di dalam kes ISA, suspek langsung tidak 
dihadapkan di hadapan hakim dan langsung tidak diberi hak untuk berbicara. 
Suspek hanya ‘dipaksa’ menerima keputusan Menteri yang dibuat tanpa (Menteri 
tersebut) melihat kepada syariat Islam sedikit pun dan suspek terus 
dikategorikan sebagai pesalah. Kita sungguh sedih menghadapi kekejaman 
undang-undang ini tatkala melihat ia dilakukan oleh pemerintah yang mengaku 
bahawa mereka adalah beragama Islam. Islam manakah yang diikuti oleh mereka 
walhal hadis-hadis Rasulullah dalam hal ini mereka campakkan kesemuanya?
Sesungguhnya keharaman ISA adalah ibarat cahaya matahari. Bagi mereka yang 
jahil agama sekalipun, semua tahu bahawa ISA adalah undang-undang buatan 
manusia di Parlimen yang diluluskan dengan cara majoriti. ISA bukan berasal 
dari wahyu, malah jelas bertentangan dengan apa yang diwahyukan. Jika dulu ISA 
digubal untuk menghalang kebangkitan komunis, dan ternyata ia telah berjaya 
melumpuhkannya. Kini setelah hilangnya pengaruh ideologi tersebut, ISA 
digunakan pula untuk menghalang kebangkitan dan penerapan Islam, dengan 
ditangkap dan dipenjarakan pendakwah-pendakwah yang ingin menegakkan agama 
Allah dan siapa sahaja yang berjuang ke arah menggantikan kerajaan sekular ini 
dengan Islam.
Khatimah
Wahai kaum Muslimin! Kita semua tahu bahawa ISA adalah sebuah akta yang memang 
terkenal zalim. Namun, sebagai seorang Muslim, kita hendaklah mengukur ‘zalim’ 
itu dari perspektif Islam semata-mata, bukannya dari perspektif emosi. Apabila 
kita memandang dari kaca mata Islam, maka kita akan mendapati bahawa bukan 
sahaja ISA, malah hampir kesemua undang-undang yang dibuat oleh manusia yang 
diamalkan di Malaysia hari ini adalah zalim. Ini kerana semua undang-undang itu 
adalah undang-undang yang bertentangan dengan Islam yang hanya diluluskan 
dengan mudah melalui sistem demokrasi berdasarkan suara majoriti. Firman Allah 
Subhanahu wa Ta’ala, “Dan barangsiapa yang tidak berhukum dengan apa yang 
diturunkan oleh Allah, maka mereka itu adalah orang-orang yang zalim” [TMQ 
al-Ma’idah (5):45]. Oleh itu, kita hendaklah memahami bahawa kezaliman ISA itu 
adalah kerana keharamannya, sama sebagaimana undang-undang haram lain yang 
bertentangan dengan Islam yang
 diamalkan di negara kita. Justeru, ISA dan juga akta-akta gubalan manusia 
wajib dihapuskan dan diganti dengan undang-undang Islam yang berasal dari 
wahyu. Wallahu a’lam.




      

Kirim email ke