Kembangkan dakwah sehingga di luar masjid - cth program bagus Tanyalah Ustaz


Fahri Abdillah al-Masri 

  Tue | Oct 07, 08 |  2:32:13 am MYT

  
Bulan Ramadan lalu, ada beberapa buah program televisyen popular
yang mendapat tempat di hati peminat, seperti Tanyalah Ustaz, Syahadah,
As-Salam USA, Kembara Ramadan, Jejak Rasul, Al-Risaalah dan beberapa
rancangan lagi. 
Iklan   
   
    
Dalam banyak-banyak program tv itu, antara yang
menarik perhatian saya ialah program Tanyalah Ustaz. Daripada persoalan
yang sekecil-kecilnya sehinggalah kepada soalan yang paling sukar,
rumit telah cuba dijawab oleh para penceramah dan tetamu undangan
tersebut. 


Mungkin bagi sesetengah orang, soalan-soalan yang mudah itu sangat
remeh. Tetapi bagi sesetengah orang, persoalan yang remeh itu amat
besar bagi mereka. Kalau persoalan itu terjawab, maka lapanglah dada
mereka untuk meneruskan amalan. 


Selagi mana batu persoalan itu masih belum dipecahkan, nescaya penonton
tidak rasakan keseronokan dalam beramal. Bayangkan kalau pertanyaan
mereka masih belum terjawab, maka akan berterusanlah mereka beramal
dalam keadaan resah gelisah. 


Misalnya, ada seorang wanita yang bertanya adakah batal solatnya jika
dia membuat tiga gerakan sepanjang solat terawih? Lalu dijawab ustaz,
bahawa yang dimaksudkan dengan gerakan tiga kali yang membatalkan solat
itu adalah khusus terhadap pergerakan anggota yang membabitkan
pergerakan yang keras dan jelas kelihatan. 


Sekadar gerakan kecil-kecilan, maka hal itu bukanlah membatalkan solat.
Maka, puaslah hati wanita itu untuk beramal sebagai biasa dalam
menunaikan solat terawih itu. 


Sementara itu, ada pula seorang wanita yang meminta pandangan mengenai
pengambilan pil bagi menghentikan haidh. Tujuannya ialah supaya dia
dapat meneruskan puasa seperti biasa. Mungkin, wanita itu mahu mengelak
qada puasa. 


Saya sendiri sudah lupa apa jawapan ustaz itu. Namun, yang jelas pada
fikiran saya ialah, ustaz itu tidak menggalakkan amalan tersebut.
Huraian lanjutnya tidaklah saya pasti. 


Kalau saya berada di tempat ustaz tersebut, maka kemungkinan besar saya
cuba mencari jalan falsafah untuk menjawabnya. Jawapannya ringkasnya
lebih kurang begini ... 


Islam agama fitrah

Kita sedia maklum bahawa Islam adalah agama fitrah. Dan puasa adalah di
antara amalan yang akan menuntun jiwa manusia ke arah sifat kemanusiaan
(fitrah) itu. 


Kesemulajadian, sifat asal dan tabiat, fizikal dan mental, rohani dan
jasmani manusia itu adalah fitrah. Insan dibekalkan dengan sifat yang
sebenarnya tidak menghancurkan alam ini. Jika insan itu menjadi
perosak, maka dia meninggalkan fitrah kejadian asalnya. 


Kepada kaum Hawa, Allah membekalkan kepada mereka satu kitaran putaran
haidh yang melengkapkan kewanitaan. Kewanitaan adalah sebahagian
daripada belahan kemanusiaan (fitrah). Selesai berpuasa, kita akan
menyambut Aidil Fitri (kembali kepada fitrah). 


Syahadan, tidakkah tindakan memakan pil guna menyekat kelancaran
kitaran haidh telah menghalang salah satu fitrah asal kejadian
seseorang wanita yang normal? 


Bagaimanapun, kita tidak akan mengutarakan persoalan hukum hakam di
sini melainkan hanya ingin mengingatkan falsafah puasa sebagai amalan
atau alat untuk mengembalikan jiwa manusia agar kembali menemui
tabiatnya yang asal. 


Banyakkan dialog hukum hakam secara langsung

Kembali kepada topik bualan asal yang berkisarkan dakwah perlu dibawa
keluar daripada masjid, maka rasanya menjadi suatu keperluan dalam
kalangan stesen penyiaran, saluran tv memperbanyak acara soal jawab
secara dua hala melalui telefon, sms dan mel-e seperti mana program
Tanyalah Ustaz itu. 


Melalui acara secara langsung, bualan dua hala seperti Tanyalah Ustaz
itu, kita nampak kesannya lebih kuat berbanding soalan-soalan yang
dijawab melalui mel-e setiap minggu di dada akhbar. Tempoh menjawab
soalan-soalan itu terlalu lama di akhbar. 


Sama a kita setuju atau tidak, kita harus akui bahawa kadar celik hukum dalam 
kalangan rakyat Malaysia yang beragama Islam ini berada pada tahap yang rendah. 


Malangnya, golongan ini juga kurang membaca dan mereka tak tahu apakah
bahan-bahan bacaan yang perlu dibaca. Selain itu, tidak ramai juga yang
suka ke masjid, mendengar isi ceramah dan menghadiri sesi soal jawab
tentang hukum hakam dalam masalah feqah.

Realitinya, ramai khalayak yang suka menonton tv. Jadi, saluran tv
sememangnya saluran yang amat baik untuk mengasuh dan mendidik
masyarakat kita melalui acara bual bicara seperti rancangan Tanyalah
Ustaz itu. 


Kebanyakan program seperti Halaqah, Forum Hal Ehwal Islam, al-Kulliyyah
dan lainnya adalah bersifat sehala di mana hanya ustaz, agamawan,
penceramah dan pendakwah saja yang memainkan peranannya untuk
mempersembahkan idea. 


Tetapi, ini tidaklah bermaksud rancangan itu kurang bagus. Malah ia
perlu diteruskan dan seharusnya dikembangkan lagi dengan membanyakkan
serta mempelbagaikan rancangan dakwah yang bersifat dua hala (sesi soal
jawab) itu. 


Ketika sedang asyik berjuang bagi menegakkan Negara Islam, maka jangan
lupa bebanan tugas untuk mendidik insan hingga mereka terus beramal
dengan sempurna. Amalan yang sempurna adalah amalan yang dilakukan
tanpa wujud sebarang keraguan. 


Dan amalan yang bersih daripada sebarang keraguan itu tercapai apabila
setiap kekeruhan pertanyaan tentang selok-belok amalan itu dapat
dijernihkan dengan segala jawapan. 


Itu baru hal hukum-hakam sekitar persoalan solat terawih, amalan puasa,
haidh dan nifas. Kita lihat masih ramai lagi masyarakat Muslim yang
belum beres soal-soal kecil ini. Jadi, agak-agaknya, pertanyaan
berhubung feqah Negara Islam sudah beres atau belum? 


Kalau masih bersarang keraguan tentang feqah Negara Islam dalam hati
dan fikiran orang Islam sendiri, apakah mudah laluan ke arah pembinaan
Negara Islam di Malaysia di mana rakyatnya berbilang bangsa, agama dan
kepercayaan, berjalur fahaman dan ideologi?
_ 


      

[Non-text portions of this message have been removed]

Kirim email ke