http://al-ahkam.net/home/modules.php?op=modload&name=News&file=article&sid=146961
Komentar Dr Abu Anas Madani terhadap Resolusi Muzakarah Haji ke 25 Dr Abd Basit Abd Rahman (Abu Anas Madani) yang baru-baru ini mengikuti Muzakarah Hj Peringkat Kebangsaan Kali Ke-25 telah membuat catatan ringkas tentang keputusan resolusi yang dihasilkan. Berikut ini adalah resolusi muzakarah dan diikuti oleh ulasan oleh beliau. Kepada sesiapa yang mempunyai idea, cadangan dan kritikan bolehlah hubungi beliau melalui emailnya atau boleh juga kirimkan di forum al-ahkam.net untuk beliau lakukan tindakan lanjut. Lembaga Tabung Haji Telah menganjurkan Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan Kali Ke-25 Musim Haji 1430 Hijrah. Tarikh: 3-5 April 2009 Tempat: Persada Johor. International Convention Centre. Johor Bharu. Lima buah kertas kerja telah dibentang. Berikut adalah Resolusi Muzakarah: Kertas Kerja Pertama: Rahsia Kerohanian disebalik ibadat haji. Resolusi: 1- Kandungan kertas kerja ini akan dijadikan sebahagian daripada modul kursus haji. Kertas Kerja Kedua: Keputusan Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Berhubung Hukum Hakam Ibadat. Resolusi: 1- Hukum Sembahyang jama’ kerana menjalani rawatan penyakit kronik yang memakan masa yang lama seperti menjalani rawatan hemodialisis bagi penyakit buah pinggang dan seumpamanya adalah harus. 2- Pesakit yang menggunakan beg kolostomi dikategorikan sebagai mereka yang mengalami masalah dharurat dan tidak dianggap sebagai menanggung najis. Oleh itu, mereka tidak perlu mengosong atau membersihkan beg kolostomi pada setiap kali berwudhuk atau menunaikan solat. (Begitu juga hukumnya dalam permasalahan tawaf). 3- Pesakit yang mengidap penyakit kronik yang tidak ada harapan sembuh seperti sakit buah pinggang yang menjalani rawatan hemodialisis dan seumpamanya tidak wajib menunaikan ibadat haji. Pesakit kronik adalah wajib melaksanakan badal haji sekiranya berkemampuan daripada sudut kewangan dan sekiranya telah sembuh daripada sakit kronik, individu tersebut wajib menunaikan ibadat haji jika berkemampuan. Kertas Kerja Ketiga: Pembesaran Al-Mas’a : Hukumnya. Resolusi: 1- Sah mengerjakan sa’ie di mas’a yang telah diperlebarkan. Kertas Kerja Keempat: Soal Jawab Kemusykilan Ibadat Haji Musim Haji 1429H. (28 masalah serta jawapan telah dibentangkan) Resolusi: 1- Persoalan yang terdapat dalam kertas kerja ini akan dijadikan sebahagian daripada buku Soal Jawab Haji dan Umrah. 2- Perlu diberi penjelasan kepada jemaah yang ingin membawa anaknya yang belum berkhitan untuk menunaikan ibadat haji atau umrah supaya berkhitan. 3- Jemaah haji yang telah berwudhuk dan solat secara duduk atau berdiri dalam pesawat tanpa mengadap ke arah qiblat atau mengadap ke arah qiblat tetapi tidak tetap kerana pergerakan pesawat adalah diwajibkan mengulangi semula solat jika masih ada waktu atau perlu diqadha’ jika telah luput waktu semasa tiba di destinasi yang dituju. Ini kerana jemaah tersebut melakukan solat dalam keadaan tidak mengadap ke arah qiblat secara tetap, ini hanya bagi kes solat fardhu sahaja. Kertas Kerja Kelima: Pelaksanaan Haji Dan Umrah Tanpa Mahram : Hukumnya. Resolusi: 1- Harus bagi wanita menunaikan haji atau umrah sunat tanpa kehadiran suami atau mahram dengan syarat: 1.1 Jika bersuami hendaklah mendapat izin suami dan bagi yang tiada suami hendaklah dengan izin walinya; 1.2 Perjalanan dan tempat yang hendak dituju adalah aman dan tidak menimbulkan fitnah; 1.3 Adanya rakan wanita thiqat dan solehah, sekurang-kurangnya seorang teman yang dipercayai dan; 1.4 Hendaklah dengan tujuan semata-mata kerana ibadat kepada Allah SWT. Lampiran – Keputusan Muzakarah Yang Lepas: 1- Solat di Arafah, Mina dan Muzdalifah. Dibolehkan solat jamak di Arafah, Mina dan Muzdalifah secara tamam (sempurna) kerana keperluan disebabkan musyaqqah yang dihadapi oleh jemaah haji. Pendapat ini dikemukakan adalah berdasarkan pendapat Ibn Sirin, al-Qafal al-Kabir al-Syasyi, Abi Ishaq al-Marwazi yang menyatakan harus jamak solat semasa bermuqim/tidak musafir kerana keperluan (al-hajat). (Lihat Abu Zakariya Yahya bin Syaraf al-Nawawi, Raudah al-Talibin, Beirut, Dar al-Kutub al-Ilmiah Juz. 1, hlm. 503. Lihat juga al-Nawawi, Kitab al-Majmuk Syarh al-Muhazzab, Dar Ihya’ al-Turath, Juz. 4, hlm. 264). 2- Solat Menghormati Waktu. Bagi seseorang yang tidak mampu berwuduk dan bertayammum disebabkan tidak boleh mengguna air dan debu mengikut qaul al-sahih Mazhab Syafieyyah wajib solat dalam keadaan tidak berwuduk. Wajib mengulangai solatnya. Melaksanakan fardu solat dalam keadaan tersebut adalah darurah untuk menjaga kehormatan waktu solat (kefarduan solat). (al-Nawawi, Kitab al-Majmuk Syarh al-Muhazzab, Dar Ihya’ al-Turath, Juz. 2, hlm. 322-323). SEKIAN. Ulasan Abu Anas Madani: -Muzakarah ini adalah kali kedua ana menyertainya, sebagai seorang petugas (pembimbing) jemaah haji kehadirannya adalah wajib / sunat muakkad. Muzakarah kali ke-24 diadakan di Hotel De Palma, KL. - Dalam pengamatan ana, muzakarah ini sebenarnya ialah lebih kepada menyampaikan keputusan muzakarah atau perbincangan ahli jawatankuasa penasihat ibadat haji, Tabung Haji – JAKIM yang dipengerusikan oleh SS Dato’ Hj. Hasan Ahmad (Mufti P.Pinang) –Hafizahullah-. - Ada beberapa perkara dalam resolusi di atas perlu diperbincangkan lagi secara terperinci, khususnya dalam kertas kerja keempat dan dalam lampiran. Demikian juga dengan hukum Tawaf Wada’ bagi sesiapa yang ingin ke Jeddah (masjid biru), Melakukan haji ekspres (dari Arafah terus ke Makkah, selepas setengah malam melakukan tawaf & saie serta bergunting / bercukur kemudian balik semula ke Muzdalifah). Oleh yang demikian, kepada ikhwah yang ingin mengemukakan pandangan / ulasan sila hantar ke email ana: (ain...@yahoo.com). - Ybhg. Dato’ Kamal Mohammad telah melontarkan pandangan berhubung dengan melontar waktu pagi pada hari-hari tasyriq. Sewaktu keputusan muzakarah yang mengharuskannya dibuat dahulu tempat melontar sempit, banyak berlaku trajedi yang tidak diingini. Apakah dengan pembesaran jamarat (tempat melontar) sekarang (lima tingkat) kita masih lagi berpegang dengan keputusan lama? Suatu perkara yang perlu difikirkan. - Dakwatuna / Syi’aruna: (( Khuzu ’anni Manasikakum )). Akhukum, Abu Anas. PSD 8 April 2009 – 12 R.Akhir 1430H. [Non-text portions of this message have been removed]