Krisis Ekonomi US : Gambaran, Ulasan & Pandangan Islam
 
Oleh Zaharuddin Abd Rahman
 
www.zaharuddin.net
 
Amerika Syarikat sedang menghadapi
kejatuhan ekonominya akibat sistem kapitalis. Apa sebenarnya yang berlaku dan 
apa
kaitannya dengan riba?. Dan adakah jika sistem kewangan dan ekonomi Islam
dilaksanakan, kita akan terselamat dari malapetaka seperti ini. Tulisan ini
akan cuba mendedahkan isu ini dalam bentuk yang separa ilmiah dengan kumpulan
sasaran pembaca orang awam. 

 
Justeru, jika anda seorang cendiakawan
ekonomi, kewangan dan perbankan, saya kira tulisan ini mungkin tidak
menambahkan sebarang nilai dan pengetahuan baru buat anda. Saya juga menggunakan
bahasa-bahasa bukan kewangan bagi memudahkan kefahaman orang awam dalam
memahami isu ini secara mudah.
 
Walaupun isu ini agak kompleks untuk
diterangkan dengan mudah kepada pembaca yang tiada basic ilmu kewangan dan
perbankan (kerana ia perbincangan berkenaannya banyak menggunakan
istilah-istilah khusus kewangan dan perbankan), namun saya akan cuba sekadar
kesempatan waktu dan kemampuan yang ada untuk memberi faham. Isunya begini..
 
Kegawatan bermula dari kes pinjaman dan
pensekuritian bon Subprima.  
  
FAHAMI SUBPRIME MORTGAGE TERLEBIH DAHULU
 
Subprime
mortgage atau dalam bahasa Malaysia kita sebut "peluang kedua pinjaman".  
Ia adalah pinjaman wang yang diberikan
kepada sekumpulan pengguna miskin, manakala sebahagian lainnya tidak menepati 
kriteria
peminjam yang BOLEH diluluskan jika dilihat dari piawaiansesebuah bank. Ia 
disebut sebagai mempunyai ¡credit rating' yang rendah. Mereka ini biasanya 
terdiri dari :- 
        * mereka yang mempunyai pendapatan rendah, 
        * mempunyai sejarah dan rekod kegagalan bayaran hutang yang tinggi, 
atau ¡rekod merah'.
        * mereka yang beban hutangnya telah melebih kemampuan pendapatannya,
        * para spekulator yang tiada mempunyai wang tetapi ingin membeli untuk 
tujuan pelaburan dan lain-lain lagi. 
Walaupun demikian, mereka telah diberikan peluang
kedua untuk membuat pinjaman. 

 
Perlu diingat, ia bukannya dibuat atas
dasar ingin membantu tetapi berpunca dari sifat tamak pihak kapitalis dalam
perolehan untung, mereka juga tidak menghiraukan samada kumpulan miskin dan
bermasalah serta terdesak tadi akan semakin tertindas ataui tidak. Apa yang
penting buat mereka adalah untuk mengambil peluang meraih untung sebanyak
mungkin. 

 
Telah saya tegaskan beberapa kali di web
ini, apabila pinjaman diberikan kepada mereka yang berpotensi untuk gagal
membayar balik, risiko kegagalan membayar hutang yang dinamakan ¡event of 
default' akan menjadi semakin tinggi.
Menurut kebiasaan sesebuah bank,  jika
risikonya tinggi maka lagi tinggilah kadar riba ¡interest' yang akan dikenakan 
terhadap peminjam. 

 
Menurut
faktanya, apabila lebih 100 buah syarikat yang memberi pinjaman jenis subprime
seperti New Century Financial Corporation memfailkan bankruptcy akibat gagal 
memperolehi pulangan beserta
riba yang dikehendakinya, kegawatan mula kelihatan.  Kegagalan ini membawa 
kerugian sebanyak USD
6.5 trillion dan memberikan kesan negatif kepada seluruh industri jual beli
rumah, perbankan dan ekonomi USA. [1]
 
Isu ini mula menggugat ekonomi Amerika
mulai tahun 2007 dan berterusan kesannya sehinggalah apa yang berlaku kepada
kebrankupan dan kerugian besar syarikat gergasi di Bursa Saham Wall Street
seperti Lehman Brothers, Merrill Lynch, AIG dll. Ia bakal membawa kesan domino 
atau kesan bertali kepada mana-mana
syarikat yang mempunyai ikatan dengan mereka yang rugi ini, akan saya huraikan
kemudian.
 
Ia bermula apabila sektor perumahan di USA menjadi bubble. Erti bubble dalam 
konteks ini adalah apabila nilai valuasi rumah
meningkat sehingga mencapai tahap unsustainable iaitutidak mampu lagi 
ditanggung jika dilihat kepada purata
pendapatan penduduk.
 
Hasilnya,
bilangan peminjam yang gagal ia disebut ¡defaulters' menjadi semakin
tinggi. Keadaan ini merebak sehingga berlakunya krisis kegawatan pada bulan Ogos
2007 yang lalu.
 
APA KISAH CADANGAN KERAJAAN US UNTUK BAILOUT USD 700 BILION?
 
Apabila ini
terjadi, nilai rumah tiba-tiba menjadi jatuh merudum pula sehingga banyak pihak
yang telah membeli dan memegang rumah dan hartanah tidak lagi mendapat untung
dari aset yang mereka pegang. Kerugian pun menjelma dan memberikan kesan kepada
seluruh sektor kredit, perbankan dan ekonomi dunia. Pihak bank akan ditimpa Non
Performing Loans (NPL) atau hutang tertunggak yang tinggi, selain itu ia
juga memberi kesan rugi kepada seluruh sektor pembinaan, pembekal dan banyak 
lagi.
Ia juga bakal membawa keruntuhan, hasilnya Presiden USA, George Bush telah
memperuntukan ¡bail-out plan' dengan harga antara USD 700 billion ke USD 1 
trillion untuk membeli aset
pinjaman tertunggak yang merosakkan tersebut. 

 
Pihak US
merancang, setelah membeli semua aset tadi, mereka akan menjualnya semula dan 
memperolehi
keuntungan pula darinya. Namun terdapat pakar pelaburan seperti Warren Buffet
dan ramai lagi yang menganggap lebih bijak jika kerajaan membiarkan sebahagian 
sekuriti
tenat dan tertunggak ini dijual di pasaran terbuka kepada sektor private dan 
bukannya dibeli oleh kerajaan. [2]
 
Secara ringkasnya
isunya adalah :-
 
a)      
Apa yang menjadi
isu dengan kes bail out terbaru ini adalah, jumlah besar itu adalah wang
hasil kutipan dari pembayaran cukai dari seluruh warga USA. Namun malangnya
wang cukai yang bayar mereka akan digunakan untuk menyelamatkan beberapa buah
syarikat gergasi di Wall Street, sedangkan ramai yang tidak terlibat dengan
aktiviti saham dan tidak mendapat faedah secara langsung dari bail-out ini.
Inilah yang menyebabkan kemarahan orang ramai. Duit mereka digunakan untuk
menyelamatkan si kaya manakala syarikat kecil dan sederhana tiada sebarang
bantuan.
 
b)      
Selain itu,
untuk mejayakan tujuan ini, kerajaan US terpaksa mencetak lebih banyak wang dan
ini akan meningkat kadar inflasi iaitu nilai USD akan jatuh merudum. 

 
c)      
Sebahagian pakar
ekonomi menamkannya sebagai hyperinflation atau inflasi di luar kawalan.
Selain itu purchasing power mereka turut jatuh. 

 
Contoh hyperinflation adalah apa yang berlaku kepada Germany pada tahun 1923 
apabila kadar tukarannya
adalah Marks (Matawang German) 4,200,000,000,000
(4.2 billion) adalah sama dengan USD 1 sahaja!. Yang terbaru adalah Zimbabwe di
mana nilai duit Zimbabwe sebanyak 688 billion adalah sama dengan USD 1. [3]
 
d)      
Ini juga
bermakna, semua peminjam-peminjam di bank US terpaksa mencari sumber wang lain
untuk mebayar hutang mereka disebabkan nilai matawang mereka menjadi kecil.
Kalau dulu USD 1000 mereka boleh membayar pinjaman perumahan bulanan, namun
akibat bail-out ini, nilai USD 1000 itu sudah jatuh kepada USD 900. 

 
e)      
Ia juga boleh
mengakibatkan pelbagai bencana ekonomi seperti berlakunya penyorokan barang
pengguna kerana menunggu harga meningkat.
 
f)       
Hutang US juga
pasti akan meningkat tinggi , dijangkakan
hutang US akan meningkat kepada USD 11.3 trillion daripada jumlah sekarang
iaitu USD 10.6 trillion. [4]
 
231 ahli
akademik yang merupakan pakar ekonomi di univeristi seluruh USA membantah
tindakan ini dalam satu surat yang ditandatangani bersama oleh mereka. Mereka
menegaskan :- 

 
"Investors who took risks to earn profits must also bear the losses.
[...] The government can ensure a well-functioning financial industry [...]
without bailing out particular investors and institutions whose choices proved
unwise." [5] 
  
PENSEKURITIAN
PINJAMAN SUBPRIMA & PANDANGAN ISLAM
 
Bagi anda
memahami isu ini dengan lebih tersusun, mari memhami isu subprime dan 
pensekuritiannya.
Keadaan menjadi parah sebenarnya, apabila pinjaman-pinjaman SUBPRIME tadi telah
disekuritikan menjadi . ¡Mortgage-backed Securities' ; (iaitu sijil-sijil boleh 
niaga yang disandarkan
kepada sesuatu aset (asset-backed
security ) yang mana cash flow atau aliran tunainya datang dari pembayaran 
pinjaman
pokok dan interest bagi satu kelompok
pinjaman perumahan. Kemudiannya ia diniagakan dengan risiko berbeza mengikut
tahap-tahapnya. Dalam kes yang sedang kita bincangkan ini, kelompok pinjaman
itu adalah dari pinjaman subprime yang telah diberitahu tadi. Sila lihat rajah 
untuk lebih faham.
   
Rajah : Proses MBS. [6]
  
Sila lihat
kepada pulangan riba ¡expected return' yang dijanjikan kepada pelabur (pembeli
sijil ini) yang disebut itu, pulangan itu gagal ditepati apabila pihak peminjam
gagal membayar hutang rumah mereka. 
Sekali lagi, apa
erti sekuriti di sini?
 
Ia adalah satu
proses mengumpulkan pinjaman-pinjaman ini dalam satu kumpulan (pool of
portfolio), kemudiannya ditukar menjadi sebuah sijil pelaburan boleh niaga yang
dinamakan bon atau sekuriti atau Mortgage Backed Securities. 

 
Ia adalah sebuah
instrument pelaburan riba yang menjanjikan PULANGAN TETAP bagi mereka yang
berminat membelinya.
 
Disebabkan sifat
tamak pelabur kapitalis, mereka telah menjual bon yang disandarkan kepada
pinjaman Subprime yang berisiko ini dan ia telah dibeli oleh pelbagai pihak
termasuklah bank-bank pelaburan ¡investment banks' yang besar seperti Lehman
Brothers yang merupakan syarikat keempat tersebar di Bursa Wall Street.
 
Apa yang dilakukan
ini jika dilihat dari perspektif Islam dinamakan ¡debt trading' atau
menjual hutang. Ia difatwakan haram oleh Majlis Fiqh Sedunia dan juga Majlis
Shariah Badan Perakauan dan Kewangan Islam Sedunia (AAOFI) iaitu apabila ia
dijual lebih rendah dari harga asal hutang (secara diskaun). 

 
Untuk analogi
mudah lagi ringkas, ia adalah seperti berikut:-
 
Encik David berhutang sebanyak RM 1 juta dari Encik Lingam. Encik David 
dikehendaki
membayar semula hutangnya sebanyak RM 1.5 juta dalam 5 tahun. Ini bermakna
Encik Lingam mengenakan RM 500,000 riba ke atas Encik David.
 
Tiba-tiba selepas dua bulan, atas sebab 
tertentu, Encik Lingam perlukan wang tunai dengan segera, untuk
menyegerakan perolehan tunai, Encik Lingam telah menjual hutang Encik David tadi
kepada En Chua dengan harga yang lebih rendah iaitu RM 1.3 juta. Walaupun
harganya lebih rendahnamun Encik Lingam puas hati kerana ia memperolehinya
secara cash atau tunai.
 
(Inilah yang
dimaksudkan jualan hutang secara diskaun, dan ia dianggap riba oleh Ulama
antarabangsa kerana wang ditukar dengan wang syaratnya mestilah sama nilai)
 
Di hujung transaski, Encik Lingam berjaya perolehi wang tunai segera namun
sedikit berkurangan dari jumlah yang patut diperolehinya jika dia sanggup
menunggu selama 5 tahun. 

 
Dan risiko menunggu bayaran hutang penuh oleh Encik David kini sudah
dipindah kepada En Chua, namun En Chua bakal menerima untung riba sebanyak RM
200,000 pula dengan mudah. 

 
Encik David tetap perlu membayar seperti biasa.  
Berkemungkinan En Chua akan menjualkannya kepada Encik Mutu pula dengan
harga RM 1.2 juta.
 
Untuk memahami
isu yang sedang dibincang, anda hanya menukarnya seperti berikut:-
 
Encik David - Peminjam miskin dan tidak
cukup syarat 
Encik Lingam - Syarikat pemberi hutang
seperti New Century Financial Corporation 
Encik Chua - Lehman
Brothers dan lain-lain. 
Encik Mutu -
Semua bank yang membeli MBS ini dari Lehman, Merrill Lynch dan lain-lain. 
Maka apabila
encik David gagal membayar hutang, semua pihak akan terancam. Inilah yang
berlaku. 
  
Inilah namanya discounted
debt trading,  ini dikenalpasti
berlaku dalam kes subprime. Iaitu apabila pihak bank pelaburan membeli MBS yang
mewakili hutang perumahan tadi, mereka telah membayar sejumlah wang yang besar,
dan kini mereka bergantung kepada bayaran hutang oleh peminjam-peminjam
berisiko tadi. Tiba-tiba peminjam gagal membayar dan sebahagiannya diisytiharkan
bankrupt meningkat, menyebabkan keuntungan yang pihak bank jangkakan tidak
kunjung tiba, sebaliknya kerugian pula menjelma. 
  
  
  
KESAN TERBARU DI WALL STREET
 
Inilah yang
berlaku kepada Lehman Brothers, sebuah syarikat gergasi di Wall Street yang
diasaskan oleh Lehman berbangsa Yahudi, ia mempunyai nilai aset sekitar USD 600
billion (RM 2.4 trillion), syarikat ini juga mempunyai 25,000 pekerja di seluruh
dunia. Tunjang bisnesnya adalah trading
fixed-income assets, penyelidikan, pengurusan pelaburan and private equity.
Syarikat ini runtuh kerana Riba, tamak dan sistem jualan
hutang riba ¡debt trading'. 

 
Lehman
brothers adalah dealer yang terbesar
dalam fixed interest security (iaitu
pelaburan pulangan tetap - riba) yang terbesar di pasaran Wall Street dan
mereka telah melabur dengan begitu besar dalam sijil-sijil boleh niaga yang
disandarkan kepada US Subprime mortagage
market. Namun ia gagal menjual lower
rate MBS dari subprime yang dipegangnya. Dalam suku kedua tahun 2008 sahaja
menyaksikan Lehman kerugian USD 2.8 billion dan terpaksa menjual asetnya
bernilai USD 6 billion. [7] 
   

  
Seterusnya kerugiannya sebelum brankrup
mencecah USD 7.8 billion, dan masih terdedah kepada kerugian USD 54 billion
dari pegangan mortgage backed securities yang masih dimilikinya. Hasilnya, 
nilai sahamnya telah jatuh lebih dari 95%.
 
Akhirnya pada 15
September 2008, bank ini telah memfailkan bankruptcy chapter 11 [8],
ketika
itu statistik mencatakan Lehman mempunyai hutang sebanyak USD 613
billion, USD 155 billion lagi hutang dalam bentuk bond atau MBS
tadi, dan asset keseluruhan mereka adalah bernilai USD 639 billion. [9]
 
Pada 22
September 2008 mereka telah ¡ditelan' atau dibeli oleh sebuah lagi gergasi lain
iaitu Barclays Bank PLC yang mempunyai asset sebanyak USD 2.7 trillion (lebih
kurang RM 9.18 trillion) [10].
Namun,
Barclays hanya membeli tunjang bisnes dan pentadbiran Lehman dengan
harga
USD 1.35 billion yang merangkumi ibu pejabat Lehman yang bernilai USD
960 juta
dan beberapa yang lain. Untuk memahami betapa besarnya mereka,
bandingkan dengan Aset Maybank Group yang hanya sekitar RM 260 billion.
Bayangkan..
 
Selain itu, hasil
dari masalah pinjaman riba tadi juga turut menyaksikan kejatuhan gergasi bank
iaitu Merrill Lynch, sebuah bank pelaburan terkenal yang terpaksa dijual kepada
Bank of America dengan harga USD 50 Billion untuk menyelamatkan dirinya.
 
Seperti
Lehman Brother, Bank Merrill Lynch juga mengalami kerugian teruk akibat
sijil-sijil pinjaman yang dipegangnya mengalami kejatuhan nilai setiap hari,
menyebabkan pelaburnya kebimbangan. [11] Semuanya
hasil ketamakan dan kini bala dari industri RIBA sudah tiba.
 
Bertali arus
dari isu ini juga, sebuah gergasi insuran iaitu AIG turut menderita sekarang
dan memerlukan suntikan wang segera bernilai berbillion dolar. Mereka telah
memohon pinjaman kecemasan dari kerajaan Amerika yang dilaporkan bernilai USD
40 Billion. 

 
Sebenarnya,
setiap MBS yang dipegang oleh bank-bank pelaburan ini telah mendapat jaminan
tidak akan berlaku default atau kegagalan pembayaran dari pihak
peminjam, jaminan ini diberikan oleh dua syarikat tajaan kerajaan (Government
Support Enterprises) yang besar iaitu Federal
National Mortgage Association (Fannie Mae) dan Federal Home Loan Mortgage
Corporation 
(Freddie Mac), yang mana
mereka menjamin US mortgage market dengan nilai USD 6 trillion dari keseluruhan
USD 12 trillion industri pinjaman perumahan US. Namun akhirnya, mereka turut
¡gulung tikar' dan diambil alih sepenuhnya oleh Kerajaan US.[12]
 
Selain dari
nama-nama yang disebut tadi, banyak lagi bank-bank pelaburan gergasi di Wall
Street seperti Bear Stearns,  Goldman Sachs, dan Morgan Stanley  terlibat dalam 
perniagaan sekuriti hutang. Justeru gergasi-gergasi ini juga sedang berpeluh 
kerisauan tentunya.  
  
KESAN KEPADA ANDA?
 
Benar, anda
tiada buku bank dan cek di bank-bank yang disebut tadi kerana mereka adalah
bank pelaburan dan hanya berurusan dengan transaksi kewangan atas angin yang
berniali billion dan ratus jutaan dollar. Kebanyakan financial instruments yang 
di gunakan oleh mereka untuk menghasilkan keuntungan juga jatuh merudum
seperti derivatives. 

 
Selaku individu
biasa, anda memang tidak merasa kesannya secara langsung, namun ia akan datang
secara tidak langsung.
 
Paling tidak,
kejatuhan Lehman yang begitu besar memberikan kesan automatik kepada kejatuhan
pasaran saham, harga saham-saham lain juga turut terkesan disebabkan pelbagai
faktor sampingan lain seperti kepanikan pelabur yang dengan segera menjual
saham-saham mereka.
 
Selain itu, oleh
kerana Lehman adalah sebuah bank yang cukup besar, banyak bank-bank yang lebih
kecil berurusan dengannya samada sebagai pelabur dan penyimpan. Semua bank-bank
ini akan turut merasa kepanasannya.
 
Telah saya
nyatakan tadi, gergasi insuran konvensional Riba iaitu AIG juga sedang 
bermasalah,
jika ini gagal diselesaikan, semua syarikat di seluruh dunia yang punyai bisnes
dengan AIG bakal merasai bencananya dan memburukkan lagi seluruh sistem ekonomi
kapitalis ini.
 
Selain itu,
setiap bank yang ada berurusan dengan Lehman Brothers juga mendapat tamparan
secara langsung, lebih teruk lagi, bank-bank ini bakal gagal menunaikan janji
mereka kepada para depositor di bank mereka, terutamanya bagi produk-produk 
fixed
deposit. Pihak bank akan gagl memberikan kadar bunga yang dijanjikan. Lebih
teruk dari itu, wang orang arami juga boleh hilang terus, tatkala itu syarikat
insuran akan ¡bungkus' juga. 
Di United
Kingdom, jika anda menyimpan di bank-bank tempatan, sekiranya terdapat
mana-mana bank di UK lingkup akibat kesan di USA, simpanan yang terjamin
selamat hanyalah £ 50,000 sahaja.
Demikian tegas The Financial Services Authority (FSA). [13] Sebagai contoh, 
Jika anda punyai simpanan sebanyak £ 120,000, kemudian jika bank
di UK jatuh bankrupt, semua wang simpanan akan hilang kecuali £ 50,000 sahaja 
yang
akan dibayar semula kepada penyimpan.
 
Selain
itu, semua kesan yang akan berlaku kepada Amerika bakal member kesan kepada
ekonomi mana-mana negara yang banyak bergantung kepadanya, termasuk Malaysia.
 
Jika benar berlaku hyperinflation di Amerika, kita akan dapat melihat betapa 
banyak kesannya kepada Malaysia termasuk anda dan saya juga.

PANDANGAN ISLAM
 
Saya ringkaskan begini
:-
 
1)       Sistem Islam terlibat dalam real market yang meniagakan aset dan
bukannya mengenakan interest atas pinjaman wang dan penjualan hutang seperti 
yang
banyak dilakukan di financial market, malah yang
kebanyakannya tiada pun transaksi sebenar, fizikal dalam bentuk aset. Keadaan
ini membuka ruang spekulasi yang berlebihan dan perkembangan industri riba yang
akhirnya jatuh merudum. 
  
2)       Sistem Islam tidak membenarkan kita memberikan pembiayaan peruamhan 
kepada
mereka yang tidak punyai potensi untuk membayar semula, Ia memang
kelihatan tidak toleran namun ia adalah sangat toleran dan lebih baik kerana
tidak menghimpit mereka yang tidak mampu dengan hutang baru yang pastinya tidak
akan mampu dibayar. 
  
  
3)       Sistem Islam tidak menggalakkan hutang dan perkembangan industri hutang
di luar kemampuan. Namun sistem jualan hutang (debt trading) meningkatkan
potensi beban hutang lebih dari kemampuan sebenar. Jualan hutang
yang dibenarkan oleh Islam hanyalah jika pada harga yang sama sahaja.  
  
Berbeza dengan
konvensional yang menjadikan jualan hutang dengan diskaun sebagai trend popular
untuk mendapatkan kecairan.  
  
Namun demikian,
sebahagian besar ulama kewangan Islam di Malaysia membenarkan jualan hak hutang
dengan harga lebih rendah dari niali hutang atas ijtihad mereka bahawa yang
dijual bukanlah wang, tetapi hak maliah atau hak kewangan. Pandangan ini
ditolak oleh majoriti ulama antarabangsa. 
  
Prof. Dr Monzer
Kahf berkata dalam konteks ini:- 
Two main points are essential in this regards:
elimination of debt trading in the Islamic econo-finance system is important. 
This is an essential result of the
prohibition of Riba. 

Once debts are no more discounted and traded, the financial market cannot be
stretched beyond what the real sector can bear. In fact financing shall
always be less that real market transaction because financial institutions
require that certain portion of the transaction be financed by the parties 
themselves
from equity. 

This avoid the chain repercussion of any debt failure and this is a major cause
of the trouble of major finance institutions in this crisis. The second lesson
is never finance non- real transactions. that is eliminating most of the 
derivatives
and their transactions that are essentially speculative and do not add value to
the economy. 

Besides these two points we have the moral issues of Islamic economics, but
that is a little remote from the finance mentality and it is long term by 
definition
and nature. 
  
4)       Sistem Islam, tidak membenarkan 
pelaburan dengan janji pulangan tetap sebagaimana yang dilakukan oleh
MBS subprime. Ini akhirnya membebankan semua pihak
terutamanya pihak yang berjanji, walaupun padaawalnya kelihatan menguntungkan.
Bayangkanlah, pihak yang berjanji itu bukanlah kecil malah ia sebesar Lehman
Brother.  
  
Namun Allah SWT
maha berkuasa atas segala sesuatu. Sistem Islam hanya membenarkan sistem
pelaburan Mudarabah dan Musharakah. Kedua-duanya punyai cara dan
undang-undang tersendiri dalam pengendalian kerugian, dan ianya adalah adil dan
saksama, tidak seperti sistem kapitalis dan riba yang menimpa USA. Jika sistem
pelaburan Islam diaplikasi, bencana seperti yang berlaku kepada subprime tidak
akan menjadi seteruknya. (Maaf saya tiada kesempatan untuk menghuraikan
kedua-dua sistem itu dengan terperinci dalam tulisan ini). 
  
Sistem kewangan
Islam juga mempunyai sijil niaga seperti MBS, namun ia di dasari oleh aqad 
Musharakah, Mudarabah, Ijarah dan lain-lain.  
  
5)       Apa yang berlaku juga adalah hasil sistem ekonomi free market,
iaitu membiarkan industri menentukan halatuju tanpa kawalan.Sistem ekonomi 
Islam menganjurkan kawalan
pasaran oleh kerajaan dalam bentuk yang sewajarnya, sistem hisbah turut wujud 
bagi memantau aktiviti pasaran. Sebagai contoh, cara pembelian
saham short selling adah haramdi sisi Islam, ia tidak dibenarkan di
Malaysia, namun ia dibenarkan di Wall Street. Setalah kejatuhan teruk ini pada
19 September 2008, barulah mereka terkial-kial mengharamkan pembelian dan
penjualan secara short selling terhadap 799 saham di Wall Street. Ini mewujudkan
lebih ramai spekulator dan merosakkan penentuan demand and supply yang
sebenar. Hasilnya, nilai sebenar terhalang oleh aktiviti spekulator. 

 
ADAKAH SEMUA
NEGARA TERMASUK NEGARA UMAT ISLAM AKAN TERKESAN
 
Satu persoalan yang timbul adalah adakah
kejatuhan Wall Street akan pengaruhi nilai Dollar dan akhirnya menggangu guat
semua nilai matawang dunia.? Bagaimana dengan negara umat Islam.?
 
Jawapannya, sudah tentu negara yang
mengikat dan bersandar kepada ekonomi US akan merasai kesannya. Demikian juga
mereka yang banyak berurusan dengan bank-bank US. Namun negara-negara Arab
mungkin sedikit berbeza. Dr Monzer berkata :-
 
Although many Arab countries tie their currencies to the US$ but
their economies are not in fact largely dependent on the American economy. They
depend largely on their own resources and the momentum of domestic
infrastructure and construction sector. 

 
Further, I don't think that finance markets in the gulf, Egypt,
Turkey and other Arab countries are dependent on the American financial market,
I think whatever these emerging markets are facing now is caused by local
policy and construction rather than on the effect of the American finance
sector, especially a good proportion of the banking system in the Gulf countries
has already moved to Islamic finance that in fact shielded it from the current
credit crisis that is basically a debt and mortgage crisis and Islamic finance
in the ME does not trade debts. [14]
 
Justeru, Malaysia perlu melepaskan diri
sedikit demi sedikit dari bergantung kepada USD dalam urusniaga
antarabangsanya. Jika tidak, kita pasti akan terkesan dengan masalah ekonomi
USA.
 
Sekadar itu dahulu yang sempat dan mampu
dihuraikan. Diharap memberikan sedikit manfaat kepada kefahaman pembaca web ini
berkenaan krisis ekonomi USA tahun 2008 ini.
 
Sekian 
  
Zaharuddin Abd Rahman 
www.zaharuddin.net 
3 October 2008 
4 Syawal 1429 H 
Wales, United Kingdom 
  
  
  
 
________________________________
 
[1] http://biz.yahoo.com/ap/070312/mortgage_meltdown_q_a.html?.v=1 
[2] Financial
crisis and bailout: 9 letters". Blogs.denverpost.com (September 27,
2008).  
[3] http://en.wikipedia.org/wiki/Hyperinflation_in_Zimbabwe 
[4] Benjamin, Matthew (September
24, 2008). "Paulson
Plan May Push U.S. Debt to Post-WWII Levels (Update1)", Bloomberg.  
[5] 
http://faculty.chicagogsb.edu/john.cochrane/research/Papers/mortgage_protest.htm
 
[6] http://en.wikipedia.org/wiki/Mortgage-backed_security 
[7] Jenny Anderson; Eric Dash (2008-08-29).
"Struggling
Lehman Plans to Lay Off 1,500", The New York Times.  
[8] http://en.wikipedia.org/wiki/Chapter_11 
[9] Lehman
Lists Debts Of $613 Billion In Chapter 11 Filing Monday".
Money.cnn.com.  
[10] 
http://www.lehman.com/press/pdf_2008/0922_lb_open_under_barclays_ownership.pdf 
[11] http://money.uk.msn.com 
[12] 
http://en.wikipedia.org/wiki/Federal_takeover_of_Fannie_Mae_and_Freddie_Mac 
[13] http://news.bbc.co.uk/1/hi/business/7650551.stm 
[14] http://www.islamonline.net/livedialogue/english/Browse.asp?hGuestID=VeCtpd 


      

[Non-text portions of this message have been removed]


------------------------------------

=======================
Milis Wanita Muslimah
Membangun citra wanita muslimah dalam diri, keluarga, maupun masyarakat.
Situs Web: http://www.wanita-muslimah.com
ARSIP DISKUSI : http://groups.yahoo.com/group/wanita-muslimah/messages
Kirim Posting mailto:wanita-muslimah@yahoogroups.com
Berhenti mailto:[EMAIL PROTECTED]
Milis Keluarga Sejahtera mailto:[EMAIL PROTECTED]
Milis Anak Muda Islam mailto:[EMAIL PROTECTED]

This mailing list has a special spell casted to reject any attachment 
....Yahoo! Groups Links

<*> To visit your group on the web, go to:
    http://groups.yahoo.com/group/wanita-muslimah/

<*> Your email settings:
    Individual Email | Traditional

<*> To change settings online go to:
    http://groups.yahoo.com/group/wanita-muslimah/join
    (Yahoo! ID required)

<*> To change settings via email:
    mailto:[EMAIL PROTECTED] 
    mailto:[EMAIL PROTECTED]

<*> To unsubscribe from this group, send an email to:
    [EMAIL PROTECTED]

<*> Your use of Yahoo! Groups is subject to:
    http://docs.yahoo.com/info/terms/

Kirim email ke