http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1116&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=mh_01.htm

Warga Afrika banjiri Malaysia


BUDAYA warga Afrika yang begitu asing dan kasar menimbulkan ketidakselesaan di 
kalangan penduduk tempatan di negara ini. Lebih mencemaskan, kebanjiran 
golongan itu di beberapa lokasi sekitar ibu negara menggambarkan mereka 
seolah-olah penduduk asal kawasan berkenaan. 

Tidak dapat dipastikan status sebenar golongan yang dikenali sebagai Awang 
Hitam ini, sama ada mereka benar-benar pelancong, pelajar atau memasuki negara 
ini secara haram. 

Namun, apa yang pasti, kehadiran mereka yang semakin sukar dibendung sebenarnya 
tidak disenangi penduduk tempatan kerana mengundang pelbagai masalah sampingan.

Wartawan Utusan Malaysia, UMAVATHI RAMAYAH dan ASSIM HASSAN cuba mengenal pasti 
permasalahan yang ditimbulkan oleh warga Afrika ini melalui mini laporan khas 
sebanyak dua siri kali ini.

Jika sebelum ini, warga Afrika sering dikaitkan dengan sindiket 'black money' 
atau pengedaran dadah, tidak mustahil Awang Hitam akan terus bermaharajalela di 
ibu negara melakukan jenayah berat, jika kehadiran mereka yang tidak diundang 
itu dipandang sepi pihak berkuasa.


KUALA LUMPUR 15 Nov. - Sudah berulang kali desakan dibuat agar masalah 
kebanjiran pendatang asing warga Afrika ditangani segera.

Walaupun pelbagai tindakan diambil pihak penguat kuasa namun kehadiran mereka 
bukannya berkurangan malah semakin bertambah saban hari.

Kebimbangan masyarakat di negara ini juga sudah banyak kali diluahkan di 
dada-dada akhbar mengenai kehadiran warga Afrika yang semakin ramai dan lebih 
dikenali sebagai 'Awang Hitam' di negara ini, namun ia seolah-olah tidak 
memberi kesan.

Akibatnya, satu demi satu masalah dan perlakuan jenayah membabitkan warga 
Afrika diselongkar. 

Insiden terbaru yang mencetuskan kebimbangan rakyat Malaysia ialah seorang 
lelaki Sudan yang dituduh membunuh anak perempuan kekasihnya yang berusia tiga 
tahun, Aaliyah Ayman Hussin Abdullah di sebuah kondominium di Hulu Langat pada 
12 Oktober lalu.

Perangkaan dikeluarkan oleh Jabatan Imigresen mendapati dalam tempoh enam bulan 
pertama tahun ini, seramai 56,240 warga Afrika memasuki negara ini secara sah. 

Kemasukan pelawat dari Afrika Selatan mengatasi negara-negara Afrika yang lain 
dengan 20 peratus dari keseluruhan daftar kemasukan.

Perangkaan yang sama, sepanjang tahun lalu menyaksikan 110,805 warga Afrika 
memasuki Malaysia manakala 81 peratus daripada mereka merekodkan aliran keluar 
semula dari negara dalam tempoh berkenaan.

Dalam pada itu, dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini, Jabatan Imigresen 
telah mengambil tindakan undang-undang ke atas 128 warga Afrika atas pelbagai 
kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63.

Kesalahan itu termasuk tamat tempoh permit, terlibat dalam aktiviti pelacuran 
dan pemalsuan dokumen.

Daripada jumlah itu, 48 peratus kesalahan adalah dilakukan oleh warga Nigeria 
diikuti Sudan dengan 18 peratus dan Somalia (13 peratus).

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Bakri Mohd. 
Zinin turut menyatakan kebimbangannya dengan kebanjiran warga Afrika yang 
bertumpu di beberapa lokasi terpilih di ibu negara seperti Puchong, Seri 
Kembangan, Ampang, Kepong dan Pandan Indah.

Ketika diminta mengulas mengenai senario itu, pemimpin nombor satu Jabatan 
Siasatan Jenayah itu berkata, situasi tersebut ekoran wujudnya persepsi 
kononnya mereka akan berada di ruang lingkup yang 'selesa' jika berada di 
kawasan dipenuhi kaum mereka.

"Jadi ia akan mendorong serta cenderung untuk melakukan jenayah disebabkan 
memikirkan mereka 'raja' di kawasan itu," katanya di sini hari ini.

Tegasnya, polis sentiasa memantau pergerakan mereka termasuk meletakkan anggota 
polis berpakaian preman terutama di kawasan-kawasan yang menjadi lokasi tumpuan 
golongan itu.

Beliau menambah, sekiranya dilihat pada trend terkini, warga Afrika 
kebanyakannya memasuki negara menggunakan pas pelajar.

"Bila sampai sini, mereka tak belajar sebaliknya melakukan jenayah. Pas sebagai 
pelajar khususnya di institusi pengajian tinggi (IPT) kebanyakannya swasta itu 
hanyalah sebagai tiket untuk mereka memasuki Malaysia," ujarnya.

Pada masa sama, beliau tidak menolak kemungkinan mereka menyamun kaum mereka 
sendiri. Bagaimanapun, mangsa mungkin tidak mendedahkan atau membuat laporan 
kerana khuatir keselamatan disebabkan mereka senang dikesan di kalangan sesama 
kaum. 

Apa yang membimbangkan serta menimbulkan rasa kurang selesa di kalangan orang 
ramai, kata Mohd. Bakri, adalah gelagat mereka yang gemar berkumpul secara 
beramai-ramai di kawasan-kawasan tumpuan ramai.

"Berdasarkan perangkaan, kebanyakan daripada mereka dilihat terlibat dalam 
kegiatan pemalsuan wang, dadah, penipuan dan curi," ujarnya.

Dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini, kata Mohd. Bakri, seramai 21 warga 
Afrika ditahan kerana terlibat dalam pelbagai kesalahan jenayah.

Menurutnya, 76 peratus daripada kesalahan yang dilakukan adalah mencuri, 
diikuti pecah rumah, samun berkawan tanpa senjata dan mendatangkan kecederaan.

Berdasarkan perangkaan sepanjang tahun lalu, beliau berkata, jenayah curi 
membabitkan warga Afrika masih mengatasi kesalahan lain dengan 54 peratus, 
diikuti samun berkawan tanpa bersenjata, pecah rumah, mendatangkan kecederaan 
dan bunuh.

Beliau berkata, trend terkini juga memperlihatkan penglibatan mereka dalam 
kes-kes pecah hotel.

Dalam pada itu Mohd. Bakri mengakui warga Afrika memang cukup pandai untuk 
memikat wanita tempatan dengan menggunakan pujuk rayu sebagai senjata utama 
mereka.

"Wanita kita (Malaysia) pula senang terpedaya dengan kata-kata manis tanpa 
menyedari agenda mereka di sebalik itu," jelasnya.

Malah, lebih menyedihkan kata beliau, ada wanita tempatan yang sanggup 
merelakan diri mereka dicabul dan dirogol.

Sehubungan itu, beliau meminta, gadis-gadis tempatan supaya mengambil iktibar 
dan tidak mudah terjerumus untuk melakukan perbuatan-perbuatan terkutuk dan 
salah di sisi undang-undang.

TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

Penduduk bimbang kehadiran warga Afrika di ibu negara



[Non-text portions of this message have been removed]

Kirim email ke