Dr. Jeffrey Lang dulu cabar kewujudan Tuhan  Susunan SITI AINIZA KAMSARI
BERKULIT putih dan berambut perang kini menjadi wajah-wajah pendakwah Islam 
kontemporari. Ini termasuklah Profesor Matematik di Universiti Kansas, sebuah 
universiti yang terkemuka di Amerika Syarikat (AS), Dr. Jeffrey Lang. 
   
  Beliau tidak sahaja berkongsi pengalaman uniknya memeluk Islam pada 1982 
tetapi beliau menulis buku tentang pengislamannya bagi membuka hati-hati yang 
selama ini tertutup untuk mengakui kebesaran Tuhan.
   
  Setelah memeluk Islam dan mendirikan solat lima kali sehari semalam, Dr. 
Jeffrey berkata, ibadat tersebut begitu memberikan kepuasan pada jiwanya 
terutama ketika mendirikan solat subuh. Ia adalah detik-detik paling indah yang 
pernah dilaluinya. 
   
  “Itu adalah saat anda meninggalkan buat sementara alam dunia ini kerana 
ternyata dalam suasana sunyi dan sepi itu serta bersama barisan malaikat, kita 
saling memuji (berzikir) terhadap Allah s.w.t. menunggu terbitnya sang 
mentari,” katanya.
   
  Apabila ditanya bagaimana beliau begitu tertawan dengan al-Quran yang 
menggunakan bahasa Arab sedangkan bahasa itu begitu asing baginya selama ini. 
   
  Jawab Dr. Jeffrey: “Bagaimana pula seorang bayi (yang tidak mengerti apa-apa) 
dapat ditenteram hanya setelah mendengar suara ibunya?” 
   
  Dr. Jeffrey yang dilahirkan pada 30 Januari 1954 di Bridgeport, Connecticut, 
AS mengisytiharkan dirinya seorang yang tidak percayakan Tuhan atau ateis 
ketika berusia 18 tahun walaupun dibesarkan dalam keluarga yang kuat 
mengamalkan Judeo-Kristian Katolik. 
   
  “Saya mempersoalkan jika ada Tuhan yang Maha Penyayang lagi Mengasihani 
mengapa ada umat yang dibiarkan menderita di muka bumi ini? Kenapa tidak 
diciptakan sahaja syurga itu di muka bumi ini? Kenapa diciptakan manusia untuk 
menderita,” katanya.
   
  Pemikiran seperti itu dibentuk sejak beliau belajar di Sekolah Tinggi Lelaki 
Notre Dame (sebuah sekolah mubaligh Kristian) sehinggalah melanjutkan pelajaran 
di peringkat ijazah, sarjana dan kedoktoran dalam bidang matematik. 
   
  “Sebagaimana bidang itu yang berteraskan logik akal dan bermain dengan fakta 
dan angka, begitulah juga cara minda saya bekerja. 
   
  “Saya akan cukup kecewa apabila sesuatu itu tidak dapat dibuktikan secara 
konkrit. Selagi tidak dapat dibuktikan secara logik mengenai Tuhan, bagaimana 
saya dapat percaya adanya Tuhan,” katanya. 
   
  Sehinggalah pada suatu malam beliau bermimpi.
   
  “Saya dapati saya berada di sebuah bilik yang berdinding cat putih, kosong. 
Tidak ada sebarang perabot di dalamnya kecuali hamparan permaidani yang 
berjalur rona merah dan putih. 
   
  Terdapat juga satu tingkap kecil yang mampu membenarkan cahaya matahari masuk 
bagi menghangatkan bilik itu. 
   
  “Ketika itu terdapat tiga barisan lelaki sedang berdiri dan saya di barisan 
yang ketiga dan masing-masing berdiri menghadap tingkap kecil itu. 
   
  “Saya rasa begitu terasing kerana tidak mengenali sesiapa pun di situ dan 
seolah-olah seperti berada di negara lain. Kami kemudian melakukan tunduk 
sehingga ke paras pinggang, diikuti muka yang diletakkan hampir mencium tanah. 
   
  Mimpi
   
  “Suasana begitu sunyi seolah-olah semua bunyi lain telah dimatikan. Apabila 
kami duduk semula, baru saya dapati perbuatan kami tadi diketuai oleh seorang 
lelaki yang saya hanya dapat perhatikan bahagian belakangnya. 
   
  “Dia berdiri seorang diri di tengah-tengah barisan kami itu dengan mengenakan 
jubah putih yang panjang dan mengenakan selendang pada kepalanya. Saya 
kemudiannya terjaga daripada mimpi itu,” katanya. 
   
  Sebenarnya sepanjang 10 tahun sebagai ateis, mimpi seperti itu sering kali 
mendatangi tidur Dr. Jeffrey. Tetapi beliau tidak pernah menghiraukannya 
walaupun ada satu perasaan ganjil setiap kali terjaga daripada mimpi itu.
  Selepas 10 tahun melanjutkan pelajaran di universiti, beliau kemudian 
ditugaskan sebagai pensyarah di Universiti San Francisco. 
   
  Di situ buat pertama kalinya beliau bertemu Mahmoud Qandel iaitu seorang 
pelajar Islam yang mengikuti pengajiannya. Dr. Jeffrey mula bersahabat baik 
dengan Mahmoud dan sering mengunjungi rumah dan keluarga pelajar berkenaan.
   
  Namun soal agama tidak pernah menjadi topik dalam setiap perbualan mereka 
sehinggalah pada suatu hari Dr. Jeffrey dihadiahkan senaskhah al-Quran dan 
beliau berjanji pada dirinya tidak akan berpaling tadah apabila membaca kitab 
suci itu. 
   
  Malah beliau membacanya dengan penuh prejudis terhadap Islam.
   
  “Tetapi kamu tidak boleh membaca al-Quran begitu sahaja, kecuali kamu perlu 
serius mendalaminya. Akibatnya sama ada kamu terus menyerah kalah (kepada 
kebenaran Tuhan dan agama) atau menyebabkan anda melancarkan satu peperangan 
kerana isi kandungannya berlawanan dengan kepercayaan anda selama ini.
   
  “Dan saya termasuk golongan yang kedua itu. Tetapi peperangan ini sungguh 
menarik kerana didapati lama-kelamaan saya semakin tidak dapat mempertahankan 
diri saya sendiri. Seolah-olah al-Quran itu lebih mengenali dan mengetahui 
setiap inci kelemahan diri saya berbanding saya mengenali diri saya sendiri.
   
  “Malah Dia sedang membaca fikiran saya. Setiap malam pelbagai persoalan 
timbul dalam pemikiran saya, tetapi saya beroleh jawapannya melalui al-Quran 
keesokan harinya. 
   
  “Kitab itu mampu memadamkan sedikit demi sedikit fahaman yang saya bina 
selama ini. Malah kitab itu kini memimpin saya, mengajak saya ke satu sudut 
kebenaran yang mampu saya terima kerana ia sangat logik,” imbas Dr. Jeffrey 
ketika al-Quran mula diperkenalkan kepadanya.
   
  Sehinggalah pada suatu hari ketika berusia 28 tahun, Dr. Jeffrey terjumpa 
sebuah bilik yang terletak di tingkat bawah sebuah gereja di universiti.
   
  Bilik itu agak pelik kerana ia mengingatkan beliau pada sesuatu. Kemudian 
beliau diberitahu bahawa bilik itu sebenarnya dijadikan surau bagi membolehkan 
pelajar Islam di universiti itu mendirikan solat. 
   
  Beliau kemudian terpaku di situ sambil mindanya bergelut dengan pelbagai 
perkara. Dr. Jeffrey merasakan dirinya mempunyai kekuatan untuk melakukan satu 
perubahan pada pendirian dan falsafah hidupnya selama ini. 
   
  Kini beliau meyakini bahawa Tuhan itu wujud, malah kerana adanya Tuhanlah, 
dengan kekuasaan-Nya itu Dia mampu mengubah dan menggoyahkan pegangannya selama 
ini yang tidak percayakan Tuhan.
   
  Tanpa membuang masa, beliau melafazkan dua kalimah syahadah bersaksikan 
beberapa pelajar Islam yang ketika itu hendak menunaikan solat di bilik itu. 
   
  Seolah-olah berlaku satu perayaan, mereka semua gembira dengan perubahan 
besar yang dilakukan Dr. Jeffrey itu lalu mereka mendirikan solat Asar 
berjemaah dan berdoa bagi meraikan kehadiran saudara baru itu.
   
  Seusai solat, tiba-tiba Dr. Jeffrey menggigil ketakutan.
   
  “Mimpi itu! Ya mimpi itu! Suasana kami mendirikan solat jemaah sebentar tadi 
tidak ubah seperti yang selalu datang dalam mimpi saya.
   
  “Bilik ini, para jemaah dan pergerakan solat itu seperti yang selalu saya 
mimpikan. Betapa hebat kebetulannya dan sukar untuk saya mempercayainya.
   
  “Saya cuba memfokuskan semula fikiran ekoran apa yang berlaku itu. Setelah 
menarik nafas saya seolah-olah disirami rasa dingin yang menjalar ke seluruh 
badan. Tuhan! Ia adalah satu kenyataan, sejurus itu juga air mata saya mengalir 
laju membasahi pipi,” katanya.
   
  Kepatuhan
   
  Perjalanan seseorang untuk memeluk Islam adalah begitu unik dan berbeza 
antara satu sama lain. Seperti yang berlaku pada Dr. Jeffrey, daripada seorang 
yang mencabar mengenai kewujudan Tuhan, beliau kini seorang yang mempunyai 
kepatuhan yang tidak berbelah bagi terhadap Allah. 
   
  Daripada seorang panglima ateis yang begitu bengis dengan menjadikan al-Quran 
sebagai musuh, beliau akhirnya mengaku kalah dan tunduk kepada kitab itu.
   
  “Semua yang saya anggap selama ini begitu hebat di kepala (ateis) kini 
kedudukannya berada di atas tanah, sujud sebagai tanda penyerahan diri 
kepada-Nya,” katanya.
   
  Dr. Jeffrey berkahwin dengan seorang wanita warga Arab bernama Raika dan 
dikurniakan tiga orang anak perempuan. Beliau kini giat berdakwah di kalangan 
rakyat kulit putih Amerika. 
   
  Untuk tujuan dakwah, beliau juga menulis buku-buku. Antara yang begitu 
mendapat sambutan di AS ialah Struggling To Surrender - Some Impressions Of An 
American Convert To Islam (Beltsville, 1994) dan Even Angels Ask: A Journey To 
Islam In America (Betsville, 1997) dan Losing My Religion: A Call For Help 
(Betsville, 2000).
   
  Buku-buku tersebut menjelaskan kepada kita bagaimana fakta-fakta daripada 
al-Quran dan ajaran Islam mampu menangkis fahaman ateis.


Panduan untuk bakal pengantin & sudah berkahwin.. cara utk mengawal kewangan, 
meningkatkan dana kewangan utk berkahwin & sesudah berkahwin, berbelanja secara 
berhemah.. insha ALlah

layari laman web>> http://www.maskahwin.com/index.php?ref=delete 
untuk keterangan lanjut
                
---------------------------------
 New and Improved Yahoo! Mail - 1GB of free storage!

[Non-text portions of this message have been removed]



------------------------ Yahoo! Groups Sponsor --------------------~--> 
Join modern day disciples reach the disfigured and poor with hope and healing
http://us.click.yahoo.com/lMct6A/Vp3LAA/i1hLAA/JcWolB/TM
--------------------------------------------------------------------~-> 

Alternatif-Net : A Discussion Forum Focusing on Issues Related to Justice
            Forum Perbincangan Maya Yang Fokus Kepada Isu Keadilan

Disclaimer: Messages sent do not represent the stand of the Barisan Alternatif 
(BA) unless otherwise stated

Complaint : Send to [EMAIL PROTECTED]

To Sub    : Send blank e-mail to [EMAIL PROTECTED]
To Unsub  : Send blank e-mail to [EMAIL PROTECTED] 
Yahoo! Groups Links

<*> To visit your group on the web, go to:
    http://groups.yahoo.com/group/alternatif-net/

<*> To unsubscribe from this group, send an email to:
    [EMAIL PROTECTED]

<*> Your use of Yahoo! Groups is subject to:
    http://docs.yahoo.com/info/terms/
 



Reply via email to