Edisi Tengah Harian Metro : Samseng bengis ketua DIN Oleh Mohamad Yatim Latip MELAKA: Seorang lelaki dipercayai keturunan India Muslim yang dikenali sebagai Pemimpin Allah dikesan menjadi pemimpin ajaran sesat Daulah Islamiyah Nusantara (DIN) di beberapa negeri, termasuk Lembah Klang dan Selangor. Lelaki berperwatakan bengis berusia 40-an itu dipanggil senior eksekutif di kalangan ketua yang dilantiknya mengikut daerah tertentu. Dia sering menemui pengikutnya di beberapa tempat, termasuk Semabok, Bukit Beruang dan Merlimau tanpa mengira waktu. Kegiatan lelaki itu didedahkan kepada Harian Metro oleh seorang bekas ahli kumpulan itu yang kembali ke pangkal jalan selepas mendapati ajaran itu bertentangan dengan Islam. Menurutnya, ajaran DIN memang wujud di negeri ini dan kumpulan itu kini giat mengumpul ahli. Ramai pengikut kumpulan berkenaan di kalangan kakitangan kerajaan dan anggota tentera tetapi ada juga pelajar dan pekerja swasta. Ahli baru perlu membayar RM1,000 untuk upacara menebus dosa di tempat tertentu sebelum diberikan kitab fotokopi mengandungi ayat al-Quran yang pendek. Selepas itu, ahli diwajibkan menderma RM20 pada setiap perjumpaan dengan Pemimpin Allah berkenaan, katanya. Dia seterusnya mengatakan Pemimpin Allah memberi alasan wang yang dikutip itu untuk menegakkan sebuah negara Islam dan semua ahli perlu berkorban mencari banyak wang. Katanya, hampir setiap minggu ketua ajaran sesat itu bertemu ahli mengikut daerah tertentu. Dia mengesyaki ajaran yang dibawa lelaki terbabit sesat kerana dia dan pengikutnya tidak pernah sembahyang sepanjang pertemuan dijalankan. Malah, ahli tidak boleh menyoal balik sebarang yang diperkatakan Pemimpin Allah sama ada benar atau sebaliknya. Kami biasa bertemu mulai Maghrib hingga awal pagi. Tapi pada waktu Maghrib, kami tidak dibenarkan sembahyang sebaliknya diminta membaca kitab fotokopi itu, katanya. Dia yang meninggalkan kumpulan itu tiga bulan lalu menjelaskan, dia tidak mendapat faedah menyertai kumpulan itu selain membazir wang. Ramai ahli hendak meninggalkan kumpulan itu tetapi takut kerana lelaki itu mempunyai kumpulan samseng yang sedia menurut perintahnya mencari bekas ahli, katanya yang mahu berkuasa negeri menjalankan pemantauan kerana DIN memang bergiat aktif di negeri ini. Sementara itu, Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim) meminta bekas ahli kumpulan berkenaan membuat laporan bagi membolehkan tindakan diambil. Ketua Pegawai Penguat Kuasa Agama Jaim, Rahimin Bani, berkata pergerakan DIN sukar dikesan berikutan kumpulan itu tidak pernah mempunyai markas di negeri ini. Katanya, berdasarkan maklumat seorang pengadu, pengikut ajaran sesat DIN hanya menumpukan pekerja dalam sektor industri di negeri ini. Aduan itu diterima Oktober tahun lalu dan pengadu mendakwa ahli kumpulan berkenaan terlalu berahsia sehinggakan pengikutnya akan ditapis secara teliti oleh orang atasannya sebelum diterima masuk. Kami meminta kerjasama orang ramai menyalurkan maklumat mengenai perkembangan terkini kumpulan itu di talian 06-2881534, katanya. ---------------------------- Berita Bulan Ramadhan: Geng remaja gagal kebas duit masjid Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin KUALA LUMPUR: Sekumpulan remaja liar, termasuk seorang pelajar tingkatan satu tidak menyangka peti besi yang cuba dilarikan dari sebuah masjid di Taman Setiawangsa di sini, kelmarin, sangat memeritkan untuk diusung ke kereta. Mereka yang mengharapkan habuan besar terpaksa beramai-ramai mengangkatnya sebelum terhempas menyebabkan penjaga masjid berkenaan terjaga daripada tidur. Seorang daripada remaja itu terlepas pegangan menyebabkan peti besi berkenaan terjatuh ke lantai. Dentuman kuat menyebabkan penjaga masjid itu terjaga daripada tidur lalu segera memaklumkannya kepada imam, kata sumber polis, semalam. Berikutan itu, dia dan imam masjid berkenaan meninjau kawasan sekeliling sebelum terserempak dengan kelima-lima remaja terbabit. Empat daripada remaja itu melarikan diri manakala seorang remaja berusia 13 tahun cuba memandu kereta Proton Waja untuk keluar dari kawasan ibadat itu. Bagaimanapun, kata sumber itu, suspek bawah umur itu diberkas sebelum diserahkan kepada anggota polis untuk siasatan mengikut Seksyen 380 kerana kesalahan mencuri dalam bangunan. Polis masih meneruskan operasi mengesan saki-baki kumpulan itu yang dipercayai menyembunyikan diri. Menurut sumber itu, penjenayah muda berkenaan mengambil kesempatan menceroboh masjid kerana percaya peti besinya menyimpan sejumlah wang bagi perbelanjaan sepanjang Ramadan. Jumlah kutipan sepanjang Ramadan ini juga dikatakan meningkat berbanding bulan lain, katanya. Dalam kejadian jam 3 pagi itu, semua suspek memasuki masjid terbabit dengan menaiki kereta. Difahamkan mereka menyangka petugas masjid dan imam yang tinggal di kuarters berhampiran sedang nyenyak tidur. Berita Bulan Ramadhan: Kedai 'orang tidak puasa' Oleh Norfaisal Jahuri - [EMAIL PROTECTED] MELAKA: Bahagian Penguat Kuasa Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim) mengesan ada segelintir umat Islam sengaja tidak menjalankan ibadah puasa dengan menjadikan kedai makan bukan Islam sebagai tempat ponteng puasa. Tinjauan Harian Metro bersama pegawai penguat kuasa Jaim di beberapa kawasan petang semalam mendapati sebuah kedai makan milik bukan Islam di Bukit Rambai di sini, menjadi tumpuan orang Islam. Ketika pemeriksaan dilakukan, dua lelaki beragama Islam yang berada di belakang premis terbabit ditahan. Bagaimanapun, kedua-dua lelaki berusia awal 40-an dan 60 tahun itu dibebaskan selepas mereka didapati tidak makan dalam premis berkenaan. Ketua Pegawai Penguat Kuasa Agama Jaim, Rahimin Bani, berkata serbuan yang dijalankan itu adalah tugas harian penguat kuasa Jaim dalam memastikan tiada orang Islam makan atau minum di khalayak ramai. Beliau berkata, pihaknya juga sudah mengenal pasti beberapa kedai makan bukan Islam di negeri ini yang menjadi tumpuan orang Islam untuk makan pada siang hari. Kita akan membuat pemantauan sepanjang Ramadan bagi memastikan orang Islam menghormatinya. Mereka yang makan atau minum di khalayak ramai pada bulan Ramadan ini boleh didakwa mengikut Seksyen 49, Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991 yang jika sabit kesalahan boleh didenda sebanyak RM1,000 atau penjara selama enam bulan atau kedua-duanya, katanya. Berita Bulan Ramadhan: Usah terpedaya amil palsu: PZM Oleh Amir Mamat MELAKA: Pusat Zakat Melaka (PZM) meminta masyarakat Islam di negeri ini supaya berhati-hati dengan kegiatan amil palsu yang membawa resit di kawasan kampung untuk memungut zakat fitrah. Walaupun belum menerima aduan seumpama itu, PZM bimbang kemungkinan kegiatan itu dilakukan mereka yang mahu mengaut keuntungan segera. Pengurus Besar PZM, Ismail Hashim, berkata pihaknya berharap masyarakat Islam di negeri ini tidak mudah terpedaya dengan menyerahkan zakat fitrah kepada amil yang tidak dilantik itu. Beliau berkata, seramai 812 amil yang terdiri daripada imam satu dan imam dua, bilal dan noja sudah dilantik PZM bagi melaksanakan tugas memungut zakat fitrah pada tahun ini di kariah masing-masing. Selain itu, katanya, PZM turut melantik wakil beberapa agensi kerajaan dan swasta bagi memungut zakat fitrah di seluruh negeri. Kita melantik ramai amil tahun ini dan tiada sebab umat Islam perlu membayar zakat fitrah kepada amil yang tidak bertauliah. Saya meminta umat Islam yang ragu-ragu dengan pemungut zakat di tempat mereka menghubungi PZM atau balai polis dengan segera, katanya di sini, semalam. Sementara itu, Ismail berkata, setiap amil yang dilantik dibekalkan kupon bayaran zakat fitrah dan pembayar berhak mendapatkannya sebagai bukti pembayaran dan penerimaan. Beliau berkata, pihaknya tidak akan bertanggungjawab jika ada yang masih mahu membayar zakat fitrah masing-masing kepada amil yang tidak dilantik. Sehubungan itu, umat Islam diingatkan supaya melunaskan pembayaran zakat fitrah kepada amil yang diberi tauliah saja di samping memastikan kupon diterima bagi setiap transaksi pembayaran, katanya. Berita Bulan Ramadhan: Keputusan Kerajaan Pusat Oleh Ahmad Syahrul Derauh - [EMAIL PROTECTED] SEREMBAN: Tindakan Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) membuka permohonan kepada bekas penternak babi untuk menjalankan semula kegiatan ternakan di Pusat Ternakan Babi Bersepadu (APFA) di Tanah Merah, dekat Port Dickson, adalah keputusan yang ditetapkan Kerajaan Pusat. Oleh itu, tidak timbul isu MPPD atau kerajaan negeri sewenang-wenangnya membenarkan kegiatan ternakan babi diwujudkan semula. Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, walaupun Kerajaan Pusat memutuskan untuk membuka semula pusat ternakan babi itu, ia tidak lepas dari peraturan ketat sebelum dibenarkan beroperasi. Orang ramai jangan bimbang dengan kewujudan semula ladang babi ini kerana ia mengikut persetujuan Kerajaan Persekutuan dengan mengambil kira aspek kebersihan dan kesihatan, katanya pada sidang media selepas mesyuarat Exco di pejabatnya, semalam. Beliau berkata demikian mengulas aduan seorang pembaca dalam sebuah akhbar tempatan semalam yang melaporkan penduduk berdekatan melahirkan rasa kurang senang dengan tindakan MPPD membuka semula permohonan kepada 100 bekas penternak babi untuk menjalankan semula kegiatan ternakan itu. Mohamad berkata, antara syarat yang ditetapkan ialah mengadakan sebuah pusat sembelihan moden, mempunyai kandang yang bersih dan mempunyai kumbahan yang tidak mengalir ke dalam sungai. Menurutnya, keputusan Kerajaan Pusat ini dibuat selepas wabak Japanese Encephalitis (JE) dan Virus Nipah (VN) melanda pada tahun 1999 berpunca daripada ladang ternakan babi di Bukit Pelandok. Sebelum ini pusat ternakan di Bukit Pelandok tidak mempunyai sistem sehingga mencemarkan alam sekitar. Tetapi penempatan baru dibuat dengan teliti mengikut spesifikasi Jabatan Alam Sekitar, Kementerian Kesihatan dan Jabatan Perkhidmatan Haiwan, katanya. ---------------------------------------------------------- Berita Rogol & Maksiat: Pelajar hamba nafsu kekasih lelaki Oleh Alias Abd Rani - [EMAIL PROTECTED] KUALA TERENGGANU: Seorang pelajar tingkatan empat di sebuah sekolah menengah dari Kampung Tanjung Pantai di sini, mendakwa menjadi mangsa pemuas nafsu teman lelakinya yang juga seorang jurujual di sebuah pasar raya di daerah ini. Perbuatan teman lelaki gadis itu terbongkar apabila mangsa dibelasah dengan topi keledar hingga lebam mata kirinya, kelmarin. Mangsa mengenali lelaki itu kira-kira dua bulan lalu ketika suspek bekerja di pasar raya itu dan bermula dari itulah kejadian rogol berlaku ke atas mangsa. Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Lim Char Boo, berkata mangsa mendakwa dirogol teman lelaki sepanjang mereka berkenalan dan kejadian pertama berlaku di rumah bapa saudara suspek. Beliau berkata, bagaimanapun kejadian itu berulang dan seterusnya berlaku di tempat sama di Bukit Payung apabila lelaki terbabit membawa mangsa, petang kelmarin. "Kejadian terakhir berlaku apabila lelaki terbabit membawa mangsa ke sebuah hotel di daerah ini, kira-kira jam 10 pagi dan merogol mangsa. "Bagaimanapun, tingkah laku lelaki terbabit akhirnya terbongkar selepas ibu bapa mangsa bertanyakan kesan lebam di mata kiri. Mangsa kemudian menceritakan kejadian itu. "Sebelum itu, ibu mangsa yang terkejut dengan pengakuan anaknya lalu menceritakan kejadian itu kepada suaminya, kira-kira jam 1.10 tengah hari," katanya ketika ditemui, semalam. Lim berkata, mangsa dan suspek dikatakan bertengkar menyebabkan lelaki terbabit memukul mangsa dengan topi keledar menyebabkan mangsa lebam di mata. Beliau berkata, ketika kejadian mangsa dan suspek mengadakan pertemuan terakhir di tempat letak kereta berhampiran pasar raya itu, kira-kira jam 9 malam. "Suspek dipercayai sudah berhenti kerja selepas gadis terbabit membuat laporan di Balai Polis Kuala Terengganu, kira-kira jam 2.45 petang kelmarin. "Berikutan kejadian itu, mangsa dihantar ke Hospital Kuala Terengganu (HKT) untuk menjalani pemeriksaan kira-kira jam 3 petang hari kejadian dan terdapat kesan koyakan lama pada kemaluan mangsa," katanya. Lim berkata, polis sudah mengenal pasti suspek berusia 20-an dan siasatan masih dijalankan mengikut Seksyen 376, Kanun Kesiksaan kerana merogol. Berita Rogol & Maksiat: Padah lari dari rumah Oleh Alias Abd Rani KUALA TERENGGANU: Tindakan seorang murid tahun enam melarikan diri dari rumah untuk mengikuti sepupunya menerima padah apabila menjadi mangsa rogol lelaki terbabit, di sebuah hotel di daerah ini, kelmarin. Kejadian berlaku apabila mangsa dikatakan berjanji berjumpa sepupunya untuk ke Nilai, Negeri Sembilan, kira-kira jam 6 petang. Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Lim Char Boo, berkata mangsa dari Kampung Tok Dor Jalan Jerangau, di Hulu Terengganu bersama lelaki terbabit singgah di sebuah stesen bas untuk membeli tiket ke Nilai tetapi sudah habis. Beliau berkata, lelaki berusia 22 tahun terbabit yang juga tukang masak kemudian mengajak mangsa menginap di hotel sementara menunggu hari berikutnya. Katanya, lelaki itu mengambil kesempatan merogol mangsa pada malam itu dan malam berikutnya sebelum mereka manaiki bas ke Negeri Sembilan, katanya ketika ditemui, semalam. Lim berkata, sebaik tiba di Nilai, Negeri Sembilan, lelaki terbabit kemudian menghantar mangsa ke rumah rakannya sebelum dihantar ke rumah datuknya dua hari kemudian. Beliau berkata, ketika di rumah datuknya di Kampung Gandut Jaya, Seremban, mangsa kemudian menceritakan kejadian itu dan laporan dibuat di Balai Polis Nilai, petang hari kejadian. Berikutan kejadian itu, Polis Negeri Sembilan menahan suspek, petang Khamis lalu selepas laporan dibuat mangsa, manakala Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Terengganu menerima laporan itu keesokan hari, katanya. Berita Rogol & Maksiat: Suri rumah kena rogol Oleh Ibrahim Isa - [EMAIL PROTECTED] PONTIAN: Seorang penoreh getah berusia 28 tahun sanggup merogol suri rumah berusia 56 tahun di sebuah ladang kelapa sawit di Ladang Rambah, di sini, selepas memperdaya mangsa kononnya mahu menolong anak wanita itu yang mengalami masalah jiwa. Lelaki terbabit yang menunjukkan simpati mahu membawa anak mangsa berubat dengan bomoh mengambil kesempatan untuk memuaskan nafsu binantangnya pada Jumaat lalu. Ketua Polis Daerah, Superintendan Zainuddin Zainal, berkata dalam kejadian kira-kira jam 9.20 malam itu, mangsa mendakwa lelaki yang dikenalinya itu datang ke rumahnya di Kampung Rambah. Katanya, mangsa mendakwa lelaki itu menawarkan bantuan untuk membawa anak lelakinya berjumpa seorang bomoh di Penerok, dekat sini pada malam kejadian bagi mengubati penyakitnya. Sepuluh minit selepas membawa anak mangsa menggunakan motosikal, lelaki itu menghubungi mangsa menerusi telefon mendakwa bomoh memintanya hadir sama ketika rawatan. Mangsa kemudian dijemput lelaki itu dengan motosikal dan tidak lama kemudian dibawa ke sebuah ladang kelapa sawit di Ladang Rambah, kira-kira tiga kilometer dari rumahnya. Apabila tiba di ladang berkenaan, lelaki itu memberhentikan motosikalnya sebelum memaksa mangsa turun dan berbaring di atas tanah sebelum merogolnya, katanya. Menurutnya, mangsa memberitahu dia tidak melawan kerana lelaki itu mengugut akan mencederakannya. -------------------------- Berita Jalanraya: Lelaki cuba elak polis maut Oleh Rudy Syareme Sheriffudin - [EMAIL PROTECTED] GEORGETOWN: Tindakan seorang lelaki cuba mengelak sekatan polis dengan menunggang motosikal secara melawan arus membawa padah apabila dia terbunuh dalam kemalangan di Jalan Sultan Azlan Shah di sini, semalam. Dalam kejadian kira-kira jam 11.50 pagi itu, motosikal dinaiki Muhammad Hafidz Mahazir, 25, bertembung dengan sebuah motosikal ditunggangi seorang penghantar surat, Ahmad Abu Hassan, 39. Muhammad Hafidz yang terjatuh di tengah jalan digilis lori simen dan meninggal dunia di tempat kejadian. Pegawai Penyiasat Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut, Cif Inspektor Nik Zukee Nik Ahmad, berkata mayat mangsa dibawa ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk dibedah siasat sebelum dituntut keluarganya bagi dikebumikan. Nik Zukee berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Kita hairan kenapa mangsa cuba mengelak sekatan polis kerana lesen memandu dan cukai jalan motosikal itu masih belum tamat tempoh. Ini kerana mangsa mempunyai lesen memandu yang sah sehingga 31 Mei 2007 dan cukai jalan motosikalnya tamat tempoh pada 19 September 2007, katanya yang tidak menolak kemungkinan motosikal ditunggangi mangsa sudah diubah suai. Berita Jalanraya: Padah elak sekatan polis Oleh Ahmad Saufi Mansor BUTTERWORTH: Seorang pelajar perempuan patah paha kiri selepas motosikal yang dibonceng bersama kakaknya dirempuh sebuah kereta di Jalan Ong Yi How di sini, ketika cuba mengelak pemeriksaan polis kelmarin. Kejadian berlaku kira-kira jam 1.20 tengah hari apabila mangsa, Lim Shie Peng, 15, bersama kakaknya, Lim Shie Li, 18, menunggang motosikal Yamaha SRV dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Taman Bunga Raya di sini. Difahamkan, kejadian berlaku apabila dua beradik yang juga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bagan Jaya di sini, ternampak kehadiran beberapa anggota polis di satu selekoh. Kerana takut tidak memakai topi keledar, Shie Li yang menunggang motosikal membuat pusingan U secara tiba-tiba sebelum merempuh kereta Perodua Kembara. Shie Peng yang juga pelajar tingkatan tiga berkata, dia membonceng motosikal bersama kakaknya seperti kebiasaan untuk pulang ke rumah selepas tamat sesi persekolahan. Menurutnya, dia tidak menyedari apa yang berlaku sama ada kakaknya membuat pusingan U atau sebaliknya, tetapi tiba-tiba berlanggar dengan sebuah kereta menyebabkan mereka terjatuh. Saya berasa terlalu pening selain melihat kakak terbaring di sebelah tidak sedarkan diri lalu saya cuba untuk bangun tetapi tidak boleh sebab kaki terasa sakit. Saya lihat kakak pengsan dan tidak lama kemudian ada orang datang membantu membawa kami ke hospital untuk mendapatkan rawatan, katanya ketika ditemui di Hospital Seberang Jaya, semalam. Shie Li mengalami kecederaan pada dada dan luka pada kaki kiri manakala paha kiri Shie Peng yang patah dimasukkan besi. Shie Li yang juga pelajar tingkatan lima berkata, dia ternampak beberapa anggota polis di laluan terbabit lalu bertindak membuat pusingan U selepas mendengar teriakan mereka. Menurutnya, tiba-tiba motosikal ditunggangi mereka berlanggar dengan sebuah kereta Perodua Kembara yang dipercayai datang dari arah sama menyebabkan mereka terjatuh di atas jalan. Saya tidak tahu apa yang berlaku selepas itu dan hanya sedar apabila sudah berada di hospital, katanya. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Prai Utara, Asisten Komisioner Mazlan Lazim ketika dihubungi, berkata kedua-dua mangsa yang menunggang sebuah motosikal tidak memakai topi keledar ketika kejadian. Menurutnya, siasatan awal mendapati motosikal terbabit dipercayai membuat pusingan U apabila melihat kehadiran anggota polis sebelum merempuh sebuah kereta Perodua Kembara. Katanya, orang ramai yang berada berhampiran kemudian menghantar kedua-dua mangsa ke hospital untuk rawatan. Pada masa ini, polis sedang menyiasat dakwaan orang ramai bahawa anggota polis terbabit tidak memberi bantuan untuk menghantar mangsa ke hospital, katanya Berita Jalanraya: Tiada siapa kebal saman trafik Oleh Badrila Jamlus - [EMAIL PROTECTED] PUTRAJAYA: Tiada sesiapa yang kebal, semua rakyat Malaysia tidak kira pangkat yang melakukan kesalahan akan diambil tindakan, malah saya dan Perdana Menteri sendiri juga menerima saman trafik kerana kesalahan lalu lintas. Jadi, sesiapa yang menggunakan lambang tertentu pada kenderaan seperti lambang polis, Jaksa Pendamai (JP) atau Ahli Parlimen tidak membawa apa-apa makna dan tidak terkecuali daripada dikenakan tindakan, kata Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Datuk Mohd Johari Baharum. Beliau mengulas kenyataan bekas Presiden Persatuan Bekas Polis Malaysia (PBPM), Shafie Bakri yang mendakwa sesiapa yang memiliki lambang PBPM tidak dikenakan tindakan penguatkuasaan jika melakukan kesalahan lalu lintas dan jenayah. Sehubungan itu, kata Johari, sesiapa yang memasang lambang tertentu di kenderaan mereka tidak semestinya boleh berbuat sesuka hati di jalan raya kerana beranggapan mereka kebal. PBPM minggu lalu mendedahkan terdapat sindiket penipuan menggunakan nama persatuan itu mengaut keuntungan mencecah jutaan ringgit menerusi penjualan lambang kenderaan keahlian PBPM. Persatuan itu mendakwa sindiket beroperasi di Danau Kota sejak Mei lalu menggunakan nama persatuan dan menjual lambang kenderaan keahlian PBPM dengan harga RM3,000 hingga RM7,000 seunit. Terdahulu, Johari menyampaikan geran tahunan RM200,000 kepada PBPM kepada Pemangku Presiden PBPM, Datuk Yusuf Hamdain Diego bagi membolehkan persatuan itu menjalankan aktiviti dengan lebih berkesan. ------------------------------------------ Berita Rakyat teranaiya: Cek RM500,000 diserah semula KUALA LUMPUR: Kanak-kanak yang mengalami keretakan tengkorak dan bengkak pada bahagian otak selepas terjatuh dari flet kos rendah di ibu negara, gagal mendapatkan cek bernilai RM500,000 apabila Mahkamah Tinggi di sini, memerintahkan cek itu diserahkan semula kepada Datuk Bandar Kuala Lumpur. Pesuruhjaya Kehakiman, Rohana Yusuf memerintahkan cek itu yang disimpan dalam akaun firma guaman yang mewakili kanak-kanak berkenaan, Messrs Keppy Wong & Associates, diserahkan semula kepada Datuk Bandar Kuala Lumpur (KL). Rohana membuat keputusan itu dalam kamarnya, semalam. Datuk Bandar KL mengemukakan permohonan injunksi bagi menghalang bapa kanak-kanak itu menunaikan cek wang ganti rugi RM500,000 yang diperintah dibayar oleh Datuk Bandar KL kepada kanak-kanak terbabit. Pada 13 Januari lalu, Putera Marzuqi Hue Haris Hue melalui bapanya Harris Hue Abdullah, mengemukakan saman kecuaian dan menuntut ganti rugi khas dan teruk sebanyak RM500,685 terhadap Datuk Bandar KL. Saman itu difailkan atas dakwaan kecuaian dan kegagalan memperbaiki kerosakan palang besi di sebuah flet kos rendah sehingga menyebabkan dia tergelincir dan terjatuh dari tingkat empat rumah pangsa itu. Dalam pernyataan tuntutannya, Putera Marzuqi menamakan Datuk Bandar KL sebagai defendan, yang bertanggungjawab terhadap urusan dan pentadbiran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) iaitu pihak pengurusan Flet Seri Melaka, tempat dia tinggal. Kanak-kanak itu mendakwa pada 20 Disember 2005, ketika berada di sekitar kawasan tangga koridor di tingkat empat flet berkenaan, dia tergelincir dan terjatuh dari tingkat empat melalui celah palang besi tangga yang rosak. Akibat kejadian itu, Putera Marzuqi tidak sedarkan diri dan dimasukkan ke hospital selama tujuh hari akibat cedera parah dan retak tengkorak serta bengkak di bahagian otak dan badannya. Plaintif mendakwa turut menghadapi kesukaran untuk tidur, fobia tidur di atas katil, menangis dalam jangka masa sangat lama tanpa henti, enggan berjalan dan emosi mudah tersinggung. Berita rakyat teranaiya: 'Atasi segera masalah kami' Oleh Azahar Hashim KULIM: Lebih 300 penduduk di Taman Sungai Dingin, Karangan, dekat sni, merayu pihak berkuasa tempatan (PBT) menyelesaikan masalah mereka yang berlarutan sekian lama walaupun sudah banyak aduan dibuat. Antara masalah sering dihadapi penduduk di situ ialah jalan yang berlopak serta longkang tersumbat selain sampah tidak diangkut sehingga mengganggu kehidupan mereka seharian. Berikutan itu, penduduk meminta bantuan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kulim, Boey Chin Gan dan Ketua MIC Bahagian Kulim/Bandar Bahru, K Sappanie untuk menyelesaikan masalah bereknaan. Menurut Sappanie, penduduk di taman berkenaan tidak tahan lagi dengan keadaan persekitaran yang tidak sempurna itu seperti sampah yang tidak diangkut PBT sejak beberapa bulan lalu. Berikutan itu, beliau berkata, penduduk terpaksa menghidu bau busuk setiap hari dan menghadapi risiko menghidap pelbagai penyakit bawaan nyamuk kerana kawasan sampah itu menjadi tempat pembiakan nyamuk. Di samping itu, katanya, keadaan longkang di kawasan taman perumahan itu tersumbat dan rosak tetapi tiada pihak yang datang membaikinya. Penduduk sudah membuat aduan kepada pihak berkenaan beberapa kali tetapi sehingga kini tiada tindakan diambil. Semua penduduk di taman berkenaan membayar cukai pintu setiap tahun kepada Majlis Perbandaran Kulim Kedah (MPKK) seperti yang disyaratkan tetapi masalah berkenaan masih berlaku sehingga kini, katanya. Menurut Sappanie, selain masalah sampah dan longkang tersumbat, penduduk juga menghadapi masalah jalan berlopak yang tidak diperbaiki sejak beberapa tahun lalu. Sementara itu, Boey berkata, pihaknya akan cuba menyelesaikan masalah penduduk di Taman Sungai Dingin dengan mengadakan perjumpaan bersama MPKK untuk mengetahui punca sebenar masalah itu. Saya akan mengadakan perjumpaan dengan MPKK sedikit masa lagi dan membawa masalah penduduk di taman berkenaan bagi tindakan segera MPKK terutama membabitkan masalah sampah, katanya. --------------------------------------------- Berita kecurian: Nekad lawan penyamun Oleh Mohd Nur Asnawi Daud - [EMAIL PROTECTED] SUBANG JAYA: Seorang kontraktor nekad bergelut dengan penyamun yang mengacukan parang di lehernya di Taman Puchong Perdana di sini, pagi kelmarin. Bagaimanapun, mangsa terpaksa mengaku kalah dan membiarkan sebahagian daripada wang tunai RM13,865 yang baru dikeluarkan dari sebuah bank dalam kejadian kira-kira jam 11.25 pagi, dilarikan dua penyamun terbabit. Mangsa berusia 49 tahun dikatakan mengeluarkan wang tunai RM13,865 dari sebuah bank di Puchong Jaya, tetapi memindahkan sebahagian daripadanya ke akaun lain, sebelum meninggalkan bank berkenaan. Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Muhd Fuad Talib, berkata ketika kejadian, kontraktor berkenaan memandu kereta untuk pulang ke rumahnya. Polis percaya kedua-dua penyamun mengekori mangsa selepas dia mengeluarkan wang dan menunggu masa sesuai untuk menyamun. Mangsa yang tidak sedar diekori memandu keretanya untuk pulang ke rumah, katanya kepada Harian Metro di sini, semalam. Menurutnya, sebaik tiba di depan rumahnya, mangsa diserbu kedua-dua lelaki termasuk seorang daripada mereka bersenjata parang. Beliau berkata, kontraktor yang terkejut cuba melawan lalu berlaku pergelutan dengan suspek. Dalam pergelutan itu suspek sempat merampas wang tunai bernilai RM9,410 daripada poket seluar mangsa sebelum melarikan diri dengan sebuah Proton Perdana, katanya. Polis meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya di talian 03-89484822 atau balai polis berhampiran bagi membantu siasatan. Berita Kecurian: Tidak halal dunia akhirat Oleh Ramli Ibrahim GUA MUSANG: Mak cik tak halal dunia akhirat orang mencuri barang perniagaan mak cik kerana hasil perniagaan di kedai runcit ini digunakan untuk menampung perbelanjaan tujuh anak. Lagi pun, mak cik ibu tunggal yang susah kerana tidak pernah mendapat pembelaan daripada mana-mana pihak sebelum ini, kata, Siti Hawa Che Wel, 58, selepas kedai runcitnya dipecahkan pencuri, malam Sabtu lalu. Dalam kejadian di Kampung Sungai Raya itu, dia kerugian kira-kira RM2,000 apabila pelbagai barangan runcit termasuk petrol, pelincir, susu dan sardin yang baru dibeli untuk stok perniagaan hilang. Menurut Siti Hawa, dia menyedari kejadian itu pada jam 8 pagi Sabtu lalu apabila mendapati pintu kedainya terbuka selepas mangga pintu dicabut dan tingkap belakang terbuka dipercayai menjadi jalan penyamun melarikan diri. Apabila mak cik melihat pintu depan terbuka dan mendapati barang perniagaan baru dibeli hilang, mak cik meraung sambil memanggil orang ramai untuk mengesan pencuri. Kalau ikutkan hati, mak cik rasa mahu cari sendiri penyamun itu tetapi jiran menasihatkan tidak berbuat demikian sebaliknya segera melaporkan kejadian itu kepada polis, katanya. Ketika kejadian, Siti Hawa tinggal di rumahnya di Kampung Lebur Jaya kira-kira dua kilometer dari kedai runcit di persimpangan Jalan Gua Musang-Lojing. Siti Hawa berkata, pencuri itu dipercayai turun melalui tali menerusi tingkap kecil di belakang kedainya. Memanglah pencuri tidak boleh turun begitu sahaja menerusi tingkap berkenaan kerana ketinggian kira-kira 15 meter di bawah cerun bukit, tetapi tidak sangka pula penyamun itu mampu membawa lari semua barang terbabit, katanya. Dia yang masih bimbang dengan kejadian itu akan terus meminta pihak berkuasa khususnya polis melakukan rondaan di jalan berkenaan yang semakin sibuk untuk ke Lojing. Mak cik tak terdaya untuk tinggal seorang diri dalam kedai yang kecil itu kerana bimbang berlaku kejadian tidak diingini, katanya. Sementara itu, Ketua Polis daerah, Superintendan Ahmad Sofian Md Yassin, mengesahkan menerima aduan mengenai kejadian itu dan siasatan masih dijalankan. ------------------------------------------------- Berita rasuah: Terima wang haram RM18.6j Oleh Masni Ros Pakir Mohamad - [EMAIL PROTECTED] MELAKA: Tiga lelaki mengaku tidak bersalah terhadap 202 pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram daripada kes pecah amanah membabitkan wang RM18.6 juta di Mahkamah Sesyen di sini, semalam. Mereka ialah Ng Lian Chi, 37, dari Taman Mengkuang, Masjid Tanah; Lee Swee Chwee, 47, dari Taman Merdeka, Batu Berendam dan Teo Chin Hua, 57, dari Taman Mekar, Durian Tunggal. Ng menghadapi 42 pertuduhan membabitkan wang RM5.1 juta manakala Lee menghadapi 62 pertuduhan membabitkan RM4.9 juta. Teo menghadapi 98 pertuduhan membabitkan RM8.6 juta. Mengikut kertas pertuduhan, ketiga-tiga tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di Bank Bumiputra Commerce Berhad, Wisma Haji Sulung, Masjid Tanah antara 2003 hingga 2004. Ketiga-tiganya disyaki terbabit dalam pengubahan wang haram iaitu hasil daripada aktiviti haram dengan memasukkan wang ke dalam akaun tertentu di bank berkenaan. Mereka didakwa mengikut Seksyen 4(1), Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram 2001 yang jika sabit kesalahan boleh didenda RM5 juta atau lima tahun penjara atau kedua-duanya. Tertuduh ditahan kira-kira jam 11 pagi semalam di rumah masing-masing selepas polis mendapat arahan menangkap mereka kerana disyaki terbabit dengan aktiviti wang haram itu. Mereka dipercayai ada kaitan dengan kes pecah amanah jenayah seorang Pengurus Bank Bumiputra Commerce (BCB) cawangan Masjid Tanah, Zainal Abidin Othman, 46, membabitkan kira-kira RM18,053,835.04 antara Januari 2003 hingga Disember 2003. Kes pecah amanah Zainal Abidin masih dibicarakan. Dia dipercayai memasukkan wang ke dalam akaun ketiga-tiga tertuduh sebelum digunakan untuk menjalankan perjudian haram. Ketiga-tiga tertuduh juga menjadi saksi dalam perbicaraan kes pecah amanah Zainal Abidin. Berdasarkan fakta kes, wang yang diterima tertuduh dimasukkan ke dalam akaun tertentu secara berperingkat membabitkan 202 transaksi. Kes itu didengar di dua Mahkamah Sesyen. Hakim Ahmad Kamar Jamaluddin mengendalikan kes Ng dan Lee di Mahkamah Sesyen 1 manakala Hakim Sabariah Othman mengendalikan kes Teo di Mahkamah Sesyen 2 bermula jam 3.40 petang hingga 4.30 petang. Timbalan Pendakwa raya kes itu dijalankan Muhammad Saifuddin Hashim Musaimi, Rahimah Abd Majid dan Farah Ezlin Yusop Khan. Ng dan Lee diwakili peguam bela Betty Chew manakala Teo diwakili K Karnis. Saifuddin memohon kepada Ahmad Kamar supaya mengenakan ikat jamin RM500,000 kepada Ng dan Lee berikutan kesalahan yang dilakukan mereka adalah serius dengan masing-masing wang RM5 juta. Bagaimanapun Betty memohon supaya ikat jamin dikurangkan berikutan anak guamnya tidak bekerja manakala semua aset Lee seperti akaun, harta dan kereta dibekukan. Ahmad Kamar menetapkan 30 Oktober depan sebagai sebutan semula dan mereka dibenarkan ikat jamin RM300,000 setiap seorang dengan seorang penjamin serta pasport mereka diserahkan kepada mahkamah. Di Mahkamah Sesyen 2 pula, Sabariah mengenakan ikat jamin RM500,000 ke atas Teo dengan seorang penjamin serta pasportnya diserahkan kepada mahkamah. Sabariah juga menetapkan 17 Januari depan bagi perbicaraan kes berkenaan. Berita Rasuah: Henti beri hamper Oleh Ahmad Syahrul Derauh - [EMAIL PROTECTED] SEREMBAN: Masyarakat diingatkan supaya menghentikan amalan memberi hamper atau ang pow kepada penjawat awam pada musim perayaan kerana ia boleh dianggap sebagai satu bentuk rasuah tanpa disedari. Pengarah Badan Pencegah Rasuah (BPR) negeri, Mohd Yusoff Md Zain, berkata budaya memberi hamper atau ang pow yang lazimnya diamalkan kebanyakan kontraktor kepada pegawai tertentu sempena musim perayaan adalah satu kesalahan dan boleh dikenakan tindakan. Katanya, amalan memberi hamper di kalangan kontraktor kini sudah semakin berleluasa sehingga dianggap perkara biasa sedangkan ia terkandung dalam Peraturan Pegawai Awam (Bab D) Seksyen 8, Akta Pencegahan Rasuah 1997. Dalam peraturan itu, seseorang pegawai serta ahli keluarganya tidak boleh menerima sebarang hadiah daripada mana-mana badan, persatuan, kumpulan atau individu kerana ia mungkin mempunyai kaitan dengan pelaksanaan tugasan pegawai itu. Ini termasuk pemberian hamper atau ang pow yang begitu popular masa ini tetapi tanpa disedari ia adalah satu rasuah jika mempunyai kaitan dengan tugas sebagai kakitangan awam," katanya. Sehubungan itu, Mohd Yusoff meminta semua penjawat awam di negeri ini berhati-hati dan menolak sebarang pemberian hamper. shim Musaimi, Rahimah Abd Majid dan Farah Ezlin Yusop Khan. Berita Menipu: Proses ubat sendiri Oleh Mazlan Hasan - [EMAIL PROTECTED] IPOH: Ketamakan seorang ahli farmasi berdaftar membuka sendiri kilang memproses ubat-ubatan secara haram di sebuah rumah kedai membawa padah apabila diserbu penguat kuasa Farmasi Jabatan Kesihatan Perak, semalam. Hasil pemeriksaan, lelaki berusia lingkungan 40-an berkelulusan sebuah universiti dari Singapura itu didapati memproses pelbagai jenis ubat menggunakan beberapa jenama serta ubat batuk dipercayai bernilai puluhan ribu ringgit untuk pasaran tempatan. Malah, semua produk tidak berdaftar dan tidak diketahui isi kandungannya itu dipercayai dihantar melalui kiriman ekspres ke beberapa negeri termasuk Pulau Pinang untuk dipasarkan. Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Farmasi), Ruhaiyem Yahya, berkata antara barang bukti dirampas dari premis itu termasuk 21 jenis ubat pelbagai jenama, 30 alat serta peralatan bagi menghasilkan ubat seperti dandang pembancuh dan 40 jenis bahan mentah bagi menghasilkan ubat berkenaan. Katanya, siasatan awal mendapati nilai jualan ubat terbabit yang dirampas ialah kira-kira RM20,000 tidak termasuk harga pelbagai peralatan berkenaan. Ahli farmasi berkenaan menjadi dalang utama kegiatan itu dengan memproses sendiri semua ubat terbabit menggunakan kemahiran serta pengetahuannya. Dia turut dibantu isterinya, warga Singapura serta seorang lagi pembantu bagi menyusun serta menghantar ubatan berkenaan ke destinasi tertentu, katanya kepada Harian Metro ketika ditemui di tempat kejadian, semalam. Ruhaiyem berkata, selain dihasilkan di tempat kotor, ahli farmasi terbabit juga didapati menggunakan logo atau tarikh tamat tempoh palsu yang sepatutnya dikeluarkan Pihak Berkuasa Bekalan Dadah pada kotak semua ubat terbabit. Katanya, lebih membimbangkan, isi kandungan semua ubat itu tidak diketahui sama ada ia boleh mendatangkan mudarat kepada pengguna atau sebaliknya. Ahli farmasi terbabit juga didapati masih bertugas dengan sebuah syarikat farmasi, di sini dan dipercayai melakukan kegiatan itu bagi mengaut keuntungan besar hasil daripada penjualan ubat berkenaan. Berikutan itu, pihak kami akan menyediakan laporan untuk dihantar ke Kementerian Kesihatan berhubung kegiatan ahli farmasi berkenaan bagi membolehkan tindakan susulan terhadapnya, katanya. Ruhaiyem berkata, semua barangan serta peralatan di premis milik ahli farmasi terbabit dirampas mengikut Peraturan 7, Dadah dan Komestik 1994 di bawah Akta Jualan Dadah 1952. Sekiranya sabit kesalahan, syarikat atau individu terbabit boleh didenda tidak lebih RM25,000 atau empat tahun penjara.
--------------------------------- Yahoo! Mail - now with AutoComplete that helps fill email addresses. [Non-text portions of this message have been removed] Alternatif-Net : A Discussion Forum Focusing on Issues Related to Justice Forum Perbincangan Maya Yang Fokus Kepada Isu Keadilan Disclaimer: Messages sent do not represent the stand of the Barisan Alternatif (BA) unless otherwise stated Complaint : Send to [EMAIL PROTECTED] To Sub : Send blank e-mail to [EMAIL PROTECTED] To Unsub : Send blank e-mail to [EMAIL PROTECTED] Yahoo! Groups Links <*> To visit your group on the web, go to: http://groups.yahoo.com/group/alternatif-net/ <*> Your email settings: Individual Email | Traditional <*> To change settings online go to: http://groups.yahoo.com/group/alternatif-net/join (Yahoo! ID required) <*> To change settings via email: mailto:[EMAIL PROTECTED] mailto:[EMAIL PROTECTED] <*> To unsubscribe from this group, send an email to: [EMAIL PROTECTED] <*> Your use of Yahoo! Groups is subject to: http://docs.yahoo.com/info/terms/