KEMBARA -BERITA HARIAN
Gunung bulan madu
Oleh Hafizah Iszahanid
haf...@bharian.com.my





Kawah sulfur berasap menanti di puncak Papandayan.


Keindahan alam ketika matahari terbit tarikan utama di Papandayan 

BERBEZA dengan Bandung yang diiktiraf sebagai syurga membeli belah, Garut 
adalah bandar penuh cabaran yang menguji ketahanan fizikal pengunjung kerana 
bekas wilayah jajahan Belanda itu dikelilingi gunung ganang, tasik dan gunung 
berapi yang masih aktif. 

Justeru, ia pastinya menjanjikan kelainan untuk percutian anda. Satu 
daripadanya ialah peluang untuk mendaki Gunung Papandayan, satu daripada gunung 
berapi paling aktif di Jawa Barat. 


 
Papandayan adalah gunung berapi jenis stratovalcano (gunung berapi yang 
berlapis antara debu dan lahar) dan mempunyai empat puncak. Selain tarikan 
sebagai gunung berapi aktif, Papandayan juga kerap didaki oleh mereka yang 
ingin menikmati keindahan alam waktu matahari terbit. 

Kali terakhir Papandayan meletus pada 2002 dan sejak itu laluan pendakian 
sedikit sukar jika dilakukan pada awal pagi. 

Pendakian penulis ke puncak Papandayan, baru-baru ini bagi menikmati keindahan 
matahari terbit bermula seawal jam dua pagi cukup bermakna. Ia adalah 
pengalaman pertama penulis mendaki gunung. 
 





Matahari terbit di celah gunung.


Dengan sinaran lampu suluh, kami mendaki jalan berbukit dan berbatu kecil 
dengan kawah sulfur berasap di sebelah kiri gunung berkenaan. Asap dari kawah 
mengirim bau sulfur yang kuat selain bunyi berdesir seolah-olah menyambut 
kehadiran kami. Bagaimanapun, ia tidak sedikitpun menimbulkan rasa takut 
sebaliknya kami teruja kerana bukan semua orang berpeluang mendaki gunung 
berapi aktif. 

Keletihan mendaki yang mengambil masa kurang dua jam memang cabaran yang paling 
besar, tetapi waktu matahari terbit, cahayanya mencurah ke seluruh alam 
melenyapkan semua rasa penat kami. 

Pengalaman melihat matahari terbit di celah Gunung Galunggung dari puncak 
gunung berapi Papandayan cukup mengujakan kami. Lebih menimbulkan keseronokan 
melihat sendiri beberapa kawah berasap memuntahkan sulfur kekuningan dalam 
perjalanan turun. 

Dari segi sejarahnya, Garut terkenal dengan legasi penjajahan Belanda di 
Indonesia. Kebanyakan warganya adalah bangsa Sunda. Selain mempunyai gunung 
berapi aktif, satu lagi ‘trade mark’ bandar penuh cabaran itu ialah dodol yang 
dikenali sebagai dodol Garut. Ia berwarna coklat, bercampur bijan, rasanya 
manis dan enak dimakan. 





Kampung Sampireun Resort & Spa yang mempersonakan.
Garut kerap menjadi tumpuan pencinta alam kerana keindahan alam semula jadinya. 
Malah, sejak zaman penjajahan Belanda, ia memang dibangunkan sebagai tempat 
istirahat penjajah kerana kedudukannya di tanah tinggi. 

Selain keindahan alam semula jadi, Garut adalah bandar untuk anda melaksanakan 
misi melawan ketakutan. Sebaik turun dari Papandayan, ketahanan kami diuji lagi 
dengan ‘water rafting’ di Sungai Cimanuk. Sungai berjeram curam dengan batu 
bata besar yang dikategorikan sebagai gred tiga untuk sukan water rafting. 
Segala-gala lasak dan menguji ketahanan fizikal. 

Kampung Sampireun Resort & Spa pula ialah resort cantik mengelilingi sebuah 
tasik kecil yang dibina pada 1998. Kedudukannya di kaki Gunung Papandayan 
menjadikannya popular di kalangan pasangan berbulan madu. Ia sebuah resort 
cantik mengelilingi sebuah tasik kecil juga menjadi penaja penginapan sepanjang 
lawatan kami. 

Resort di daerah Sukakarya itu dibina di tengah-tengah perkampungan warga 
Sunda, dikelilingi empat masjid sekali gus menjanjikan ketenangan pemandangan. 

Bagaimana ke sana? 


Garuda Airlines menyediakan khidmat penerbangan dari Kuala Lumpur - Jakarta 
atau penerbangan terus Kuala Lumpur - Bandung. 


Jika di Jakarta, anda perlu menaiki kenderaan yang mengambil masa selama empat 
jam untuk ke Garut manakala dari Bandar, hanya mengambil masa perjalanan selama 
sejam. 


Maklumat lanjut pakej bulan madu dan lasak di Garut boleh hubungi Triways di 
talian 03-77291044. 

Fakta 

Gunung Papandayan 


Mempunyai ketinggian 2,622 meter. 


Terletak 84 kilometer dari Bandung dan sesuai dilawati bagi mereka yang sukakan 
cabaran 


Meletus kali terakhir pada 2002 dan disifatkan sebagai gunung berapi aktif 


Terkenal sebagai lokasi istirahat penjajah Belanda 


Kebanyakan populasinya berbangsa Sunda bekerja sebagai petani. 


      Terhubung langsung dengan banyak teman di blog dan situs pribadi Anda? 
Buat Pingbox terbaru Anda sekarang! http://id.messenger.yahoo.com/pingbox/

Kirim email ke