Rekan sekalian, maaf ya jika artikel ini berbahasa melayu malaysia, sekalian belajar :-) ************* Fenomena Penyakit Wanita Berkarier. Oleh Dr. Mohamed Osman Nasir KITA hari ini hidup dalam masyarakat modenrat race; nyata sistem komputer sudah mempengaruhi hidup manusia. Di masa yang sama manusia sudah mencipta alat-alat canggih di darat, laut dan udara termasuk di angkasa lepas. Semuanya mesti berkejar-kejar agar tidak ketinggalan hingga memaksa ibu dan bapa bekerja sepenuh masa atau lebih masa untuk jaga status, hingga anak-anak mereka dibiarkan membesar sebahagian besar masa hariannya dengan orang gaji; jiran yang menjaga atau ditempatkan di nurseri seperti anak-anak ayam yang ditetas oleh kuasa elektrik. Apabila si isteri dan anak gadis bekerja; mereka sudah masuk ke satu alam-alam kerjaya menjadi wanita berkarier. Sudah tentu mereka akan hidup berbeza dengan surirumah sepenuh masa. Di masa dulupun memang ada wanita bekerja; tapi masalah yang dihadapi oleh wanita hari ini amat membimbangkan dari segi kesihatan. Dalam masyarakat perkampungan, wanita bekerja membantu keluarga memasarkan hasil pertanian tidak menghadapi masalah penyakit zaman moden. Ini adalah kerana mereka makan makanan berkhasiat dengan ulam-ulam tanaman sendiri, padi tanam sendiri dan tinggal di kawasan udara bersih. Anak-anak mereka dijaga oleh datuk atau neneknya dan makanan yang disediakan untuk anak-anak ini juga dari hasil tanaman tidak seperti anak-anak di bandar besar yang gemar makan junk foods. Hari ini kebanyakan suami isteri tidak suka ibu atau bapa masing-masing pihak tinggal bersama. Mereka lebih rela orang gaji tinggal bersama mereka atau jika tidak mampu hantar sahaja anak ke mana-mana yang sanggup menjaga mereka. Dan si isteri ikut sama keluar pagi-pagi buta ke tempat kerja bersama suami atau pergi sendiri setelah urusan hantar anak ke tempat penjaga. Balik sebelah petang atau malam mereka terpaksa juga menyediakan makan malam-jika malas cari jalan ringkas seperti beli sahaja makanan yang dijual di luar atau masak makanan segera walaupun tidak ada zat pada makanan itu. Kepenatan si isteri atau wanita bekerja ditambah lagi dengan masalah di tempat kerja yang terbawa-bawa ke rumah dan ini mempengaruhi keadaan hidup sosial suami isteri dan anak-anak. Melayan kehendak suami dan karenah anak-anak menambah bebannya lagi. Latar belakang ini menjadi punca utama wanita berkarier zaman moden menghadapi penyakit-penyakit yang tidak pernah diketahui pada zaman dulu. Sembelit Gejala ini banyak berlaku di kalangan wanita bekerja. Punca utama ialah makan makanan tidak berzat - sarapan, makan tengah hari dan minum teh sudah tentu beli di luar yang dijual oleh tukang masak yang lebih menjaga agar dia mendapat keuntungan banyak dari memikirkan makanan itu berzat atau tidak. Dalam makanan luar ini wanita itu memilih yang mampu dibelinya sahaja - maka jadilah makanannya kurang sayur, kurang serat asalkan sahaja perutnya berisi untuk ketika itu. Kemudian dari kebersihan diri, seharusnya pada pagi-pagi hari dia dapat membuang air besar agar bahan kotor dan toksid tidak tersimpan dalam tubuh - tapi kerana hendak kejarkan masa, takut tertinggal bas atau jika berkenderaan dengan suami pun terpaksa cepat kerana suami perlu juga sampai ke pejabatnya awal. Dalam keadaan yang tergesa-gesa dan sentiasa terkejar-kejar; amalan buangan dari tubuhnya turut tergugat dan bila ini berlarutan beberapa hari maka gejala sembelit pun timbul. Ditambah lagi dengan kerja yang hanya duduk di kerusi-hadapi komputer, mikroskop (kilang) sehingga peluang untuk senaman tidak ada. Jika tidak diatasi masalah sembelit, ianya membawa kepada gejala-gejala lain seperti selalu sakit kepala, badan rasa lemah, kurang selera makan dan sakit gastrik. Penyakit Osteoporosis Osteoporosis ialah kerapuhan tulang yang bercirikan kehilangan massa (berat per isipadu) tulang. Ketidakseimbangan berlaku antara resorpsi (penyerapan) dengan pembentukan tulang dengan resorpsi melebihi pembentukan. Dalam buku perubatan, osteoporosis disebut hanya berlaku pada wanita tua yang kebanyakannya adalah disebabkan kerana menopaus (putus haid), barah organ-organ penting dalam tubuh atau kurang kalsium. Tanda-tanda osteoporosis ialah kebongkokan dan tulang mudah patah atau retak (fracture) setelah mengalami trauma yang ringan dan rasa sakit di tulang belakang. Tapi pada hari ini osteoporosis sudah mula dihidapi oleh wanita muda berkarier! Apa sebabnya? Mungkin pada gambaran luarannya, wanita bekerja kelihatan ceria dan cergas setiap hari sewaktu di pejabat - mungkin karena takut dibuang kerja (kegawatan ekonomi) atau hendak jaga hati bos dan rakan-rakan. Tetapi pada hakikatnya, tubuh badannya terasa amat penat, tidak bermaya atau kurang bersemangat kerana tekanan kerja, stress, bebanan kerja di rumah melayan suami dan anak-anak serta kewajipan yang lain-lain lagi. Lantaran kesibukan yang keterlaluan wanita tadi menjadi sehingga tidak ada masa untuk menguruskan diri sendiri dengan teratur, corak pemakanan yang tidak seimbang dan berdiet yang keterlaluan semata-mata untuk menguruskan badan. Terdapat juga wanita yang merasakan bahawa penyakit yang dia hidapi itu tidak serius, kalau sakit sangat baru hendak jumpa doktor. Hari ini sindrom wanita muda memiliki tulang orang tua sudah ada di kalangan wanita berkarier - umur masih muda tapi tulangnya sudah reput - penyakit osteoporosis. Puncanya ialah kerana kekurangan bahan kalsium dalam badan, senaman yang kurang atau tidak langsung senaman dan kurang menerima cahaya matahari. Kurang menerima cahaya matahari ialah kerana: a. Pergi kerja awal sebelum matahari terbit sudah dalam perjalanan dan apabila matahari sudah terbit, ianya sudah berada dalam pejabat berhawa dingin, b. Kalau pun keluar makan dianya akan berpayung, c. Balik dari kerja ketika matahari akan terbenam, malah kalau kerja lebih masa, matahari sudah tiada lagi. Kurang kalsium terjadi kerana: a) selepas umur 35 tahun, kadar kehilangan kalsium dalam tubuh melebihi kadar penyerapannya. Bagi mereka yang sudah putus haid (menopaus) kehilangan hormon lebih terdedah kepada penyakit Osteoporosis. Hormon yang terdapat dalam tubuh membantu pengambilan dan penyerapan kalsium. b) faktor cahaya matahari penting kerana untuk mendapatkan vitamin D yang akan membantu dari segi penyerapan kalsium. c) kurang makan makanan yang berzat. Makanan yang ada mengandungi kalsium adalah seperti susu, keju, buah-buahan dan ikan. Makanan yang ada kandungan vitamin D ialah seperti telur, ikan dan bijirin. Buah-buahan yang dimaksudkan di sini ialah yang masak ranum dari pokok dan bukan yang diperam dengan karbaid oleh ahli perniagaan yang mahu cepat untung sahaja dan ikan ialah yang segar. Faktor senaman ialah kerana wanita bekerja tidak ada masa untuk lakukan senaman regular. Surirumah sepenuh masa mendapat kebaikan dari senaman semulajadi seperti berkemas bilik, menyapu, memasak dan lain-lain kerja rumah. Penyakit Lemah Badan Selain dari osteoporosis dan sembelit satu lagi gejala ialah lemah badan. Kaki dan tangan wanita bekerja boleh merasa sejuk akibat terlalu lama berada di dalam pejabat berhawa dingin, kurang terdedah pada matahari dan tidak bersenam. Kadangkala untuk makan tengah hari dia tidak keluar dari pejabat berhawa dinginnya karena telah menyuruh budak pejabatnya membelikan nasi bungkus. Punca-punca yang boleh membawa kepada lemah badan: a. ketidakseimbangan vitamin dalam tubuh. Mereka lebih suka makan di luar dari memasak sendiri sedangkan makanan yang dijual di luar kurang mengandungi zat pemakanan. b. suka makan makanan ringan yang banyak bahan awet dan tidak berzat dan suka makan junk foods c. banyak menghabiskan masa kepada kerja lebih masa-lebih parah bagi mereka yang hanya duduk waktu kerja (sedentary jobs). d. memakai pakaian ketat-ini menghalang kepada pengaliran darah yang sempurna. Cara Mengatasi Masalah Sembelit, Osteoporosis dan Lemah Badan. 1. Amalkan kebersihan diri (personal hygeine) - mandi sebelum pergi kerja dan balik dari kerja. Bersihkan diri dengan air yang cukup ketika buang air kecil dan besar, - hari ini sudah ada wanita bekerja tidak amalkan ini kerana rasa mudah guna tisu kerana takut diejek oleh rakan sekerja dari kaum lelaki yang akan menyindir apabila melihat pakaian yang terbasah sedikit bila keluar dari bilik air. Dr Miriam Stoppard dalam bukunya Everywoman's Medical Handbook menyatakan punca penyakit kanser dalam wanita sebahagian besarnya ialah kerana tidak ada penjagaan kebersihan diri. 2. Dalam pemakanan, makanlah bahan-bahan segar dan kalau boleh masak sendiri (bawa bekal ke tempat kerja). Makan buah-buahan segar dan masak pokok (ranum) dan banyakkan sayur-sayuran dalam makanan. Elakkan makan makanan ringan dan junk foods. 3. Elakkan dari merokok, minum arak dan minuman bergas. Wanita minum arak sekarang sudah menjadi biasa, mungkin dari hidup affleunt atau pengaruh hidup di bandar besar - saya sendiri agak terperanjat apabila ramai pesakit wanita bekerja mengaku suka merokok dan minum arak yang datang berjumpa dengan saya. 4. kurangkan kerja lebih masa - jangan kejar wang dan pangkat hingga tubuh jadi rosak. 5. jangan pakai pakaian yang ketat - selain dari mengganggu perjalanan darah juga ianya menjolok mata dan menjemput orang jahat melakukan perkara tidak senonoh kepada dirinya. 6. Senaman-wanita bekerja hendaklah selalu melakukan senaman untuk menjaga kesihatannya. Bagi orang Islam, jangan tinggal solat lima waktu yang fardhu, kalau boleh lakukan solat-solat sunat dhuha (di pejabat pun boleh), dan tahajud. Solat merupakan senaman paling konsisten dan regular dalam semua gerak gerinya dan memberi manfaat yang amat besar pada yang mengerjakannya. Selain itu, jika penyakit mula dihidapi atau terasa badan sudah kurang selesa adalah lebih baik berjumpa dengan doktor untuk nasihat dan rawatan. Anda ada pilihan perubatan kerana hari ini ada bermacam sistem perubatan di dalam negara kita selain perubatan moden allopathy terdapat juga perubatan moden komplimentari Homeopathy, Biochemistry, Chiropraktic, Naturopathy dan perubatan tradisional. Homeopathy dan Biochemistry adalah perubatan yang menggunakan ubat-ubatan tanpa dadah atau racun dan tidak ada kesan sampingan. Amalkan hidup yang sehat.