http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1220&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sastera&pg=sa_02.htm

ARKIB : 20/12/2009
Novel menentang komunis

Oleh Dr.Talib Samat
(dr.talibsa...@yahoo.com)

Membaca tulisan Ku Seman Ku Hussain berjudul Dosa Komunis Tidak Diampun dalam 
Mingguan Malaysia 6 Disember lalu menarik perhatian saya. Saya juga bersetuju 
jika bekas Setiausaha Agung Parti Komunis Malaya, Chin Peng tidak dibenarkan 
balik ke Malaysia berdasarkan sejarah kekejaman komunis pada era sebelum dan 
selepas merdeka.

Sekiranya ditelusuri sejarah kesusasteraan Melayu sebenarnya banyak novel-novel 
Melayu yang menggambarkan penentangan masyarakat negara ini terhadap kekejaman 
dan kezaliman pengganas komunis terhadap rakyat, tentera dan polis negara ini.

Pelbagai penulis novel seperti Usman Awang, Zaharah Nawawi, Hassan Ali, Zakaria 
Salleh, Maznan Noordin, Nora, Mohd. Radzi Abd. Hamid dan sebagainya banyak 
menulis novel tentang era zaman Darurat sekitar tahun 1948-1960 dan era 
seterusnya tentang penentangan terhadap kekejaman komunis.

Perjuangan, penderitaan dan kesengsaraan pada zaman darurat itu juga 
mencetuskan ilham dan idea kepada kaum penulis, seniman dan karyawan untuk 
menggarap, mencerna, menterjemah dan melukis gambaran keadaan dan peristiwa itu 
dalam karya ciptaan mereka.

Novel Tugu karya Hasan Ali terbitan Penerbitan Abbas Bandong, Melaka pada tahun 
1965 dan diterbitkan semula oleh DBP pada tahun 1985 berusaha menggambarkan 
suasana kehidupan zaman Darurat angkara pengganas komunis.

Novel Tugu berlatarkan perjuangan pasukan polis khas untuk mempertahankan 
keselamatan dan maruah negara ketika diancam dan dicerobohi oleh pengganas 
komunis pada zaman darurat yang penuh dengan peristiwa tragis bagi generasi 
terdahulu yang pernah mengalaminya.

Novel ini mengandungi 31 bab yang menggambarkan kehebatan, kegigihan, 
keberanian dan pengalaman anggota polis khas pada zaman Darurat menentang 
ancaman pengganas komunis yang tidak henti-hentinya menimbulkan kesusahan 
kepada rakyat.

Sungguhpun anggota-anggota polis khas ini bekerja keras untuk menjaga 
keselamatan tanah air, hidup mereka sendiri tidak mendapat perhatian dan 
pembelaan sewajarnya daripada pihak pemerintah. Mereka ditugaskan menjaga 
keselamatan buruh-buruh estet dan pekerja-pekerja lombong daripada serangan 
pengganas komunis tetapi pembayaran gaji dan kemudahan-kemudahan hidup yang 
diterima tidak setimpal dengan pengorbanan yang mereka curahkan. Bukanlah 
ertinya gaji mendapat perhatian utama mereka bekerja sebagai polis khas tetapi 
layanan buruk penjajah Inggeris amatlah mengecewakan. 

Manakala novel Ufuk Timur karya Nora(Haji Ali Haji Ahmad) terbitan Utusan 
Publications and Distributors menggambarkan penderitaan penduduk Sungai Mati, 
Muar, Johor akibat pendudukan dan kekejaman tentera Jepun. Sesudah tentera 
Jepun menyerah diri, pengganas komunis atau Bintang Tiga digambarkan dalam 
novel ini mengganas dan membunuh orang Melayu di Sungai Mati, Muar, Johor.

Watak dalam novel ini, Lebai Fakih teringat mimpi Mahaguru Fakri tentang 
cendawan-cendawan berkepala merah tumbuh mercup di halaman rumahnya dan 
anak-anak buahnya memotong dan menebas kepala-kepala merah itu dengan parang 
panjang.

Ada digambarkan dalam novel ini, Komunis Bintang Tiga berkuasa di Pekan Sungai 
Mati, Tuk Penghulu Nadim dibunuh komunis dan Tan Heng muncul sebagai penghulu 
Sungai Mati. Ketua komunis itu menyeksa orang-orang kampung sesuka hatinya. 
Watak Badar berpadu tenaga bersama Mahaguru Fakri, Lebai Fakih dan anak-anak 
buahnya untuk menuntut bela di atas kematian orang-orang Melayu yang dibunuh 
secara kejam oleh pengganas komunis di Sungai Mati, Muar dan daerah-daerah lain 
di Johor.

Perjuangan

Manakala dalam novel Panglima Salleh Selempang Merah (terbitan DBP) karya 
Zaharah Nawawi digambarkan sejarah perjuangan Panglima Salleh Selempang Merah 
atau disebut juga di Johor sebagai Kiyai Salleh dan orang-orang Melayu di Batu 
Pahat, Johor dalam memerangi keganasan pengganas komunis yang banyak membunuh 
dan menyeksa orang-orang Melayu di Batu Pahat, Johor.

Gambaran kreatif dan proaktif Zaharah Nawawi terhadap perjuangan Panglima 
Salleh Selempang Merah memerangi keganasan pengganas komunis di Batu Pahat, 
Johor dalam novel ini hidup dan meyakinkan. Generasi Malaysia sekarang yang 
sudah buta sejarah dan tidak mengetahui kekejaman komunis terhadap rakyat 
negara ini. Mereka wajib membaca novel sejarah ini untuk memahami kekejaman 
komunis dan usaha-usaha serius Panglima Salleh Selempang Merah dan orang-orang 
Melayu memerangi mereka dengan semangat jihad.

Gambaran kekejaman komunis dan perjuangan gagah berani anggota polis memerangi 
mereka digambarkan dengan jelas, kreatif dan berkesan dalam novel Bukit Kepong 
(terbitan DBP) karya lsmail Johari. Novel ini berdasarkan kisah benar yang 
berlaku di Bukit Kepong, Lenga, Muar, Johor. Peristiwa tragis di Bukit Kepong 
ini sudah difilemkan oleh Tan Sri Jins Shamsuddin suatu ketika dulu.

Sasterawan Negara Usman Awang juga ada menulis novel Tulang-Tulang Berserakan 
berasaskan pengalamannya sebagai anggota polis menerusi watak Leman dalam 
operasi memburu pengganas komunis di Melaka yang penuh dan sarat dengan 
kisah-kisah kemanusiaan yang menarik dibaca semula oleh generasi hari ini yang 
tidak mengalami zaman Darurat dan kekejaman komunis serta pengorbanan pasukan 
keselamatan.

Mejar (B) Zakaria Salleh juga banyak menghasilkan novel ketenteraan yang 
menggambarkan operasi pasukan tentera menggempur sarang-sarang komunis , 
kematian dan kecederaan yang dialami mereka. Hal ini ketara dalam 
novel-novelnya seperti Limpahan Darah di Sungai Semur, Pahlawan Gubir, Malam 
Berapi di Kalabakan, dan sebagainya.

Novel Limpahan Darah di Sungai Semur karya Zakaria ini merupakan kisah benar 
yang bertemakan keperwiraan perajurit negara semasa Perang Dunia Kedua dan 
zaman Darurat (1948-1960). Antara wira-wira dalam novel itu termasuklah Sarjan 
Jamaluddin, Leftenan Hassan bin Yassin, Lans Koperal Abdul Wahab, Mohd 
.Isa,Ibrahim bin Awang dan banyak lagi yang telah gugur dalam usaha 
mempertahankan tanah air. 

Manakala Maznan Noordin yang merupakan bekas tentera juga ada menghasilkan 
novel Kanang Anak Langkau yang berjuang memerangi pengganas komunis sehingga 
terkena jerangkap samar yang dipasang oleh pengganas komunis yang mencacatkan 
anggotanya.

Di samping itu seorang pegawai tentera, Lt.Kol. Mohd.Radzi Abd.Hamid juga 
menghasilkan novel perang berjudul Platun Harimau: Dalam Misi Hutang Darah 
Dibayar Darah terbitan DBP(2009) juga menggambarkan kehebatan perjuangan 
Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) memerangi pengganas komunis .

Sejarah mencatatkan Rejimen Askar Melayu Diraja merupakan antara pasukan 
Tentera Darat tertua yang telah terlibat dalam banyak operasi dan amat digeruni 
pengganas komunis. Namun, sekitar tahun 1980-an, pasukan ini menerima tentangan 
hebat pengganas komunis. Dalam dua operasi yang dijalankan, 16 orang anggota 
terbunuh ketika bertempur dengan pasukan khas komunis, Black Jacket.

Bagi pasukan Tentera Darat, hanya Platun Harimau yang layak menentang Black 
Jacket demi membela kematian 16 orang perajurit. Leftenan Fauzi dan Platun 
Harimau mula memburu Black Jacket yang diketuai Chong Woo. Ibarat buku bertemu 
dengan ruas, hanya pengalaman, kepakaran, kebijaksanaan, kreativiti dan nasib 
yang menentukan dendam siapa yang berbalas. Novel Platun Harimau:Dalam Misi 
Hutang Darah Dibayar Darah menggambarkan secara kreatif operasi menumpaskan 
pengganas komunis kumpulan Black Jacket pimpinan Chong Woo.

Di samping itu dalam novel Tenang Dalam Gelora terbitan Goal Intelligent 
Publishing Sdn.Bhd.(2007) juga ada digambarkan penglibatan ejen komunis dalam 
peristiwa konfrontasi tentera Indonesia di Felda Tenang dan Kampung Tenang, 
Segamat, Johor pada era 1960-an. Daerah Segamat Utara merupakan kawasan hitam 
dan tempat berkumpulnya pengganas komunis pada zaman Darurat dan itulah yang 
mendorong pencerobohan tentera Indonesia ketika itu yang menghadapi tentangan 
hebat daripada askar Melayu sebelum mereka ditumpaskan sepenuhnya.

Sebenarnya masih banyak kisah-kisah perjuangan gagah berani memerangi pengganas 
komunis tidak ditulis oleh para penulis khususnya bekas tentera, polis atau 
home guard. Ada baiknya usaha-usaha menulis kisah itu ditulis dan diterbitkan 
dalam bentuk buku atau novel untuk diketahui oleh generasi kini dan akan datang.

Contohnya kisah kekejaman komunis membakar balai polis Kuala Krau, Pahang belum 
dibukukan lagi dan kisahnya sama hebat dengan peristiwa Bukit Kepong di Johor.

Begitu juga novel-novel patriotik seperti yang dibicarakan di atas wajar 
dijadikan teks KOMSAS atau teks kesusasteraan. Tujuannya agar pelajar di 
peringkat sekolah lagi boleh mengetahui kekejaman pengganas komunis agar tidak 
buta sejarah sebagai persediaan menghadapi suasana hidup yang lebih mencabar 
pada masa akan datang.

Kirim email ke