Penulis muda mulut celupar
    Oleh Rashiqah Ilmi Abd Rahim
rashi...@bharian.com.my



    
            
    
 
    ANTARA peserta Perhimpunan Penulis Muda Nasional 2009.


    
               
    Bidas media dan editor sastera kerana kawal kebebasan berkarya, tetapi ada 
yang menyangkal


MEDIA cetak arus perdana dan editor sastera dibelasah penulis
generasi muda pada Perhimpunan Penulis Muda Nasional (PPNM) Kedua: Arah
dan Cabaran apabila mereka didakwa takut menyiarkan karya satira
sehingga menyekat kebebasan berkarya kelompok terbabit.


Wartawan bebas, Ali Bukhari Amir, berkata situasi itu
menyebabkan penulis muda yang ingin melihat karya mereka mendapat
tempat dalam media arus perdana berusaha menghasilkan karya menurut
selera editor sastera dan terpaksa berhati-hati ketika berkarya.

        





    
“Pendekatan yang digunakan media massa dan editor
sastera mengehadkan karyawan berkarya secara bebas kerana sedar
sekiranya karya yang ditulis berbaur sinis, ia tidak akan disiarkan,”
katanya ketika memperkatakan Penulis Muda Tiada Perjuangan? pada PPNM
di Ayer Keroh, Melaka, baru-baru ini.



    
Perhimpunan anjuran Persatuan Penulis Nasional (Pena) dan
Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) mendapat kerjasama Majlis Bandaraya
Melaka Bersejarah (MBMB), Aswara dan DBP Cawangan Selatan, dihadiri
kira-kira 150 penulis muda dan veteran.


Bagaimanapun, pandangan Ali disangkal penulis muda, Ummu Hani Abu Hassan
yang yakin bahawa pengarang kreatif tempatan sebenarnya mampu berkarya
tanpa sekatan dengan syarat pengkarya kreatif dalam menyampaikan mesej
dan dengan sendiri mutu karya tidak terjejas.

  


    
                    
     
    

    

                    

    "Bagi
memastikan karya kita berpeluang menembusi akhbar dan majalah, penulis
sewajarnya bertindak kreatif dan bijaksana dalam memilih bahantara
mahupun watak bagi menyindir tokoh tertentu, tanpa perlu mengguris hati
pihak yang ditegur,” katanya ketika melapah Hasrat Introspeksi Karya:
Pengalaman Menulis Cerpen dalam Akhbar Mingguan Malaysia.


Ummu Hani menolak pandangan penganjur PPNM bahawa penulis muda
tiada perjuangan kerana dakwaan sedemikian baginya perlu disertai
sokongan fakta dan mengingatkan kelompok terbabit bahawa dalam
memperjuangkan idealisme mereka perlu menggunakan senjata intelektual,
emosi dan pengalaman.


"Tugas penulis membetulkan kesalahan masyarakat dengan
menjadikan pena sebagai senjata mereka. Bagaimanapun, teguran mesti
bertepatan dengan konsep dakwah iaitu seruan secara berhemah, contoh
teladan yang baik dan bersesuaian dengan keadaan," jelasnya.


Seorang lagi penulis muda, Nasirin Abdillah, mengesyorkan
sains dan sastera digabungkan demi kepentingan generasi akan datang
selain mencadangkan filem yang menjadi wadah utama masa kini,
dimanfaatkan agar karya bermutu tinggi dapat diangkat ke layar perak
untuk dikongsi dengan masyarakat sehingga membibitkan minat terhadap
sastera. 



    
                        

    “Penerbitan
filem berdasarkan karya sastera sebagai satu wadah menggabungkan sains
dan sastera, membolehkan kedua-dua disiplin terbabit tidak terpisah.
Kedua-duanya saling memerlukan dan dengan cara ini penulis tempatan
dapat membantu khalayak memahami sains dalam bentuk bentuk penulisan
kreatif," ujarnya ketika membicarakan Sains dan Sastera dalam Filem:
Satu Tinjauan Terhadap Sastera Inggeris


Justeru, beliau berharap kelompok penulis muda dapat
meningkatkan pengetahuan mereka terutamanya berkaitan sains dan
teknologi bagi membolehkan bidang terbabit menjadi bahan utama dalam
penulisan kreatif kerana kebanyakan penulis tempatan taksub dengan
kisah cinta.


"Penulis muda sewajarnya lebih cakna terhadap isu global yang
berteraskan sains dan teknologi, Menjadi harapan kita tiada lagi jurang
yang ketara di antara sains dan sastera seperti apa yang berlaku dalam
sistem pendidikan kita hari ini," katanya mengharap.


Pelajar Jurusan Kejuruteraan Kimia, Universiti Teknologi
Petronas (UTP), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, pula melihat pelajar
dan mahasiswa aliran sains mampu didorong meminati sastera sekiranya
pendekatan yang betul digunakan bagi merealisasikan impian terbabit.


“Bagi mempromosikan sastera untuk golongan ini, penulis perlu
menghadirkan wacana dengan mengetengahkan tema ringan sebelum
menyogokkan mereka dengan pengisian lebih agresif,” kata penulis muda
itu yang mula berjinak dalam bidang penulisan ketika merincikan Sastera
Ilmi Sebagai Pemangkin Budaya Intelektualisme Dalam Peradaban Ummah:
Satu Renungan Awal.



Pautan-pautan lain:- 





http://www.detikdaily.net/v5/modules.php?name=News&file=article&sid=2165

http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Thursday/Sastera/20090604091608/Article/

GARAP (Gerakan Pelajar Raya Persekutuan) adalah badan amanah pelajar Malaysia 
yang menjalankan penulisan berterusan untuk memasarkan idea pembangunan bagi 
usaha pembaharuan sosial. Untuk agenda ini, GARAP memerlukan sokongan moral & 
modal.Sumbangan dana boleh disalurkan ke Bank Islam; 14-014-02-087143-1 


      

Kirim email ke