Pada Siapa Patut Letak CINTA ?
Jatuh yang tidak ada orang simpati ialah jatuh cinta. Sebab jatuh cinta indah, 
tidak macam jatuh tangga atau jatuh pokok, sakit. Cinta banyak perkara cinta. 
Tidak ada siapa pun yang dapat larikan diri daripada mencintai dan dicintai. 
Kemuncak cinta, ada orang masuk syurga kerana cinta dan tidak kurang ramai 
orang yang akan dihumbankan ke neraka gara-gara cinta. Cinta yang begaimana 
boleh bawa seseorang ke syurga dan kenapa ada yang masuk neraka lantaran kerana 
cinta?

Cinta, rasa yang ada dalam hati yang tidak boleh disukat-sukat. Hati yang 
merasainya, sehingga boleh terhibur atau terseksa kerananya. Datangnya dari dua 
sumber yakni dari nafsu dan dari Allah.

Cinta yang diilhamkan oleh nafsu berlaku bila hati kotor, sering melakukan dosa 
dan tidak pula bertaubat. Sifat-sifat keji seperti sombong, ujub, riak, gila 
puji, hasad dengki dan lain-lain sifat jahat bersarang dalam hati tidak 
dikikis, maka ketika itu nafsulah yang akan jadi Tuhan dalam diri sehingga apa 
saja yang dilakukan mengikut arahan nafsu. Termasuk dalam meletakkan cinta, 
ukuran yang diberi dan sebab jatuh cinta pun ikut selera nafsu.

Lelaki akan jatuh cinta pada perempuan yang mendedahkan kecantikannya hingga 
tubuh badan perempuan itu sudah tidak terlindung lagi pada pandangan nafsunya. 
Cinta diberi ialah untuk mengisi keinginan nafsu seks lelaki kepada perempuan. 
Begitu juga wanita, jatuh cinta sebab lelaki kaya, handsome bergaya, ada 
jawatan dan lain-lain keistimewaan yang disenangi oleh nafsu. Lantas cinta 
diberi dengan harapan mereka dapat tumpang kemewahan dan kesenangan hidup 
lelaki tersebut. Jelasnya, cinta yang datang dari nafsu ditujukan untuk 
kesenangan nafsu semata-mata.

Bila bertaut dua cinta yang dilahirkan oleh nafsu yang punya kepentingan 
masing-masing maka berlangsunglah babak-babak melahirkan rasa cinta. Dari surat 
menyurat, telefon, ziarah, keluar makan-makan, berdua-duaan di taman bunga, 
dalam keadaan saling rindu merindukan. Ketika itu tak ada lain dalam ingatan 
melainkan orang yang dicintai. Sehari tak jumpa atau tidak telefon rasa 
berpisah setahun. Sudah tidak malu pada orang sekeliling, apa lagi pada Allah 
yang Maha Melihat. Lagi mereka tidak ingat dan takut. Lantaran itu mereka 
sanggup buat apa saja untuk membuktikan kecintaan pada pasangan masing-masing.

Hatta yang perempuan sanggup serah maruah diri konon untuk buktikan cinta pada 
lelaki. Yang lelaki pula rela bergolok bergadai untuk memberikan kemewahan pada 
perempuan sebagai bukti cinta. Akhirnya bila yang perempuan telah berbadan dua, 
lelaki serta merta hilang cintanya. Habis manis sepah dibuang. Kalau pada 
lelaki pula, ada duit abang sayang, tak ada duit abang melayang. Kalau pada 
suami pula, isteri seorang suami disayang, bila hidup bermadu kasih pada suami 
melayang.

Itulah falsafah cinta nafsu yang melulu. Cintanya hanya selagi nafsu ada 
kepentingan. Cinta inilah yang banyak melanda orang muda yang dilambung asmara. 
Hingga sanggup buat apa saja, sekalipun bunuh diri, kalau kecewa dalam 
bercinta. Walhal sedap dan indahnya sekejap. Sakitnya lama, sakit yang paling 
dah syatialah di neraka kelak. Inilah kemuncak cinta yang paling malang dan 
memalukan.

Cinta nafsu kalau pun boleh bersambung sampai membina rumahtangga ia tetap akan 
menyeksa. Kerana suami akan cinta pada isteri selagi isteri masih muda, seksi 
dan manja. Yakni selagi nafsu dapat disenangkan. Bila isteri tua, kulit 
berkedut, tampal make-up lagi hodoh, rambut putih dan gigi pun sudah banyak 
gugur seperti opah, badan pun sudah kendur, maka cinta suami akan beralih pada 
gadis muda yang menarik. Sekaligus hilanglah cinta suami. Menderitalah isteri 
yang hilang perhatian suami apalagi kalau terang-terang depan mata suami kepit 
perempuan lain, lagilah isteri terseksa.

Begitu juga si isteri. Cintakan suami selagi suami boleh membahagiakan dan 
menunaikan segala keinginan nafsu. Selagi suami kasih dan sayang padanya. 
Andainya suami hilang kuasa, jatuh miskin, masuk penjara atau suami kahwin lagi 
seorang maka serta merta hilang cinta pada suami. Sebaliknya berbakul-bakul 
datang rasa benci pada suami yang dulu dipuja tinggi melangit. Begitu mudah 
cinta bertukar jadi benci. Akibatnya berlakulah pergaduhan, masam muka, 
kata-mengata, ungkit mengungkit, suami tidak pedulikan isteri dan isteri pun 
hilang hormat pada suami. Rumahtangga panas dan menunggu saat untuk ditalqin 
kan ke kubur perceraian. Ketika itu tak ada lagi pujuk rayu, cumbu mesra 
sebagaimana waktu cinta tengah membara. Maka doktor yang menulis pun dituduh.

Itulah gara-gara cinta nafsu yang sudah menyusahkan manusia di dunia lagi.

Sebaliknya cinta yang dialirkan oleh Allah ke dalam hati, itulah cinta yang 
benar, suci lagi murni. Cinta yang bukan diukur ikut pandangan mata, tapi ikut 
pandangan Allah. Ia bersebab kerana Allah dan cinta diberi pun untuk dapat 
keredhaan Allah. Cinta begini tiada batasannya. Tidak pula kenal jantina dan 
kedudukan. Dan cinta lahir hasil dari sama-sama cinta pada Allah.

Boleh berlaku pada lelaki dengan lelaki, perempuan dengan perempuan, lelaki 
dengan perempuan, antara murid dengan guru, suami dengan isteri, sahabat dengan 
sahabat, rakyat dengan pemimpin, antara umat dengan Nabinya dan yang paling 
tinggi antara hamba dengan Tuhannya.

Kalau berlaku antara lelaki dengan perempuan yang tidak diikat oleh tali 
perkahwinan, mereka tak akan memerlukan untuk berjumpa, bercakap atau melakukan 
apa saja yang bertentangan dengan kemahuan Allah. Cinta mereka tidak akan 
dicelahi oleh nafsu berahi. Sebaliknya cinta itu ialah tautan hati yang berlaku 
walaupun tak pernah kenal atau baru kenal tapi hati rasa sayang dan rindu. Hati 
sedih kalau orang yang dicintai ditimpa susah, senang kalau yang dicinta itu 
senang. Sanggup susah-susahkan dan korbankan diriuntuk senangkan orang yang 
dicintai.

Cinta yang begini ada diceritakan dalam hadis, iaitu seorang lelaki yang 
bertemu dan berpisah dengan sahabatnya kerana Allah maka mereka akan mendapat 
perlindungan 'arasy Allah di padang mahsyar nanti, hari di mana masing-masing 
orang mengharap sangat lindungan dari matahari yang sejengkal saja dari kepala.

Kalau berlaku antara suami isteri maka isteri akan letak seluruh ketaatan pada 
suami, berkhidmat dan melayan suami tanpa jemu-jemu. Sama ada waktu suami 
tunjukkan sayang atau masa suami marah-marah. Sama ada suami kaya atau miskin, 
atau suami kahwin lagi, cinta isteri pada suami tidak belah bagi. Salah satu 
contohnya penderitaan mengundang bahagia. Kerana cintanya pada suami datangnya 
dari Allah hasil dari ketaqwaan isteri. Datanglah ribut taufan, angin puting 
beliung melanda rumah tangga, isteri tetap memberikan cintanya yang utuh dan 
teguh.

Begitu juga suami, cinta pada isteri tidak kira isteri itu muda atau tua. Sama 
ada pada hatinya. Selagi isteri taat pada Allah, isteri tetap dikasihinya. 
Kalau dia ada empat isteri, tentulah isteri-isteri akan tertanya-tanya, pada 
isteri manakah yang suami paling cinta? Kalau cinta itu bersumber dari Allah, 
tentu isteri yang paling taqwalah yang paling layak dicintai oleh suami lebih 
dari isteri-isteri lain. Sebagaimana Rasulullah lebih mencintai Aisyah kerana 
taqwa Aisyah lebih tinggi dari istei-isteri lain. Rasulullah saw akui sendiri 
hanya bersama Aisyah saja, dalam satu selimut baginda pernah diberi wahyu. Tapi 
tidak pernah berlaku semasa baginda satu selimut dengan isteri-isteri yang lain.

Sumber cinta yang datang dari Allah akan meletakkan Allah yang paling tinggi 
dan utama. Bila berlaku pertembungan antara cinta Allah dengan cinta pada 
makhluk maka cinta Allah dimenangkan. Misalnya seorang isteri yang cinta 
suaminya. Tiba-tiba suami larang isteri melakukan ketaatan pada Allah dalam hal 
tutup aurat, walhal tutup aurat itu Allah tuntut. Maka kecintaan pada Allah itu 
akan mendorongnya untuk laksanakan perintah-Nya walaupun suami tidak suka 
ataupun terpaksa kehilangan suami. Sanggup dilakukan sebagai pengorbanan 
cintanya pada Allah. Sebaliknya kalau dia turut kemahuan suami ertinya kata 
cinta pada Allah hanya pura-pura, cintanya bukan lagi bersumberkan Allah tapi 
datang dari nafsu.

Cinta yang datang dari Allah menyebabkan seseorang cukup takut untuk melanggar 
perintah Allah yang kecil, apalagi yang besar, lagi dia gerun. Seorang yang 
sudah dapat mencintai Allah, cinta yang lain-lain jadi kecildan rendah padanya.

Sejarah menceritakan kisah cinta Zulaikha terhadap Nabi Yusuf. Sewaktu Zulaikha 
dibelenggu oleh cinta nafsu yang berkobar-kobar pada Nabi Yusuf, dia sanggup 
hendak menduakan suaminya, seorang menteri. Bila Nabi Yusuf menolak 
keinginannya, ditariknya baju Nabi Yusuf hingga terkoyak. Akibat dari peristiwa 
itu Nabi Yusuf masuk penjara. Tinggallah Zulaikha memendam rindu cintanya 
kepada Yusuf.

Penderitaan cinta yang ditanggung oleh Zulaikha menyebabkan dia bertukar dari 
seorang perempuan cantik menjadi perempuan tua yang hodoh. Matanya buta kerana 
banyak menangis terkenangkan Yusuf, hartanya habis dibahagi-bahagikan kerana 
Yusuf. Sehingga datanglah belas kasihan dari Allah terhadapnya. Lalu Allah 
mewahyukan agar Nabi Yusuf mengahwini Zulaikha setelah Allah kembalikan 
penglihatan, kemudaan dan kecantikannya seperti di zaman gadisnya. Peliknya, 
bila Zulaikha mengenal Allah, datanglah cintanya pada Allah sehingga masanya 
dihabiskan untuk bermunajat dengan Allah dalam sembahyang dan zikir wirid 
sehingga terlupa dia hendak melayan kemahuan suaminya Yusuf yang berhajat 
kepadanya. Terpaksa Nabi Yusuf menunggu Zulaikha menghabiskan sembahyangnya, 
hingga hampir hilang kesabaran Nabi Yusuf lantas ditariknya baju Zulaikha 
sehingga koyak; sebagaimana Zulaikha pernah menarik baju Nabi Yusuf seketika 
dulu.

Begitulah betapa cinta yang dulunya datang dari nafsu dapat dipadamkan bila dia 
kenal dan cinta pada Allah. Cinta Allah ialah taraf cinta yang tinggi. Kemuncak 
cinta ini ialah pertemuan yang indah dan penuh rindudi syurga yang dipenuhi 
dengan kenikmatan.

Cinta pada Allah akan lahir bagi orang sudah cukup kenal akan Allah. Kerana 
cinta lahir bersebab. Kalau wanita cinta pada lelaki kerana kayanya, baiknya, 
tampan dan sebagainya dan lelaki cinta wanita kerana cantik, baik, lemah lembut 
dan sebagainya maka bagimereka yang berakal akan rasa lebih patut dicurahkan 
rasa cinta pada Allah kerana segala kenikmatan itu datangnya dari Allah.

Ibu bapa, suami, isteri, sahabat handai dan siapa sajayang mengasihi dan 
mencintai kita, hakikatnya itu semuanya datang dari Allah. Kebaikan, kemewahan 
dan kecintaan yang diberikan itupun atas rahmat dan kasihan belas Allah pada 
kita. Sehingga Allah izinkan makhluknya yang lainnya cinta pada kita. Walhal 
Allah boleh bila-bila masa menarik balik rasa itu dari hati orang-orang tadi 
kalau Allah mahu.

Allah yang menciptakan kita makhluk-Nya, kemudian diberinya kita berbagai-bagai 
nikmat seperti sihat, gembira, dan macam-macam lagi. Sama ada masa kita ingat 
pada-Nya ataupun masa kita lalai, tetap diberi-Nya nikmat-nikmat itu. 
Begitulah, kebaikan Allah pada kita terlalu banyak sebagaimana firman-Nya: yang 
bermaksud:

"Kalau kamu hendak menghitung nikmat-nikmat Allah, nescaya kamu tak terhitung."

Besar sungguh jasa Allah dari menciptakan, menghidupkan dan memberi rezeki, 
suami, isteri, rumah dan macam-macam lagi yang dengannya kita boleh lalui 
kehidupan dengan aman bahagia. Alangkah biadapnya kita kalau segala pemberian 
Allah itu kita ambil tapi lupa untuk ucapkan terima kasih, lupa pada yang 
memberi. Walhal, Allah boleh saja menyusah dan menyenangkan kita dengan 
kehendaknya.

Oleh itu orang yang betul kenal dan beradab, dia malu pada Allah. Malah kerana 
malunya itu dia tidak nampak yang lain lebih hebat dari Allah. Cintanya 
tertumpu pada Allah, dan penyerahan diri pada Allah sungguh-sungguh. Setiap 
saat menanggung rindu lalu masanya dihabiskan untuk berbisik-bisik dengan 
kekasihnya. Sehingga kerana terlalu mendalam cinta pada Tuhan ada hamba Allah 
yang berkata, "Wahai Tuhan, aku mencintai Engkau bukan kerana takutkan 
neraka-Mu. Tapi kerana Zat-Mu, ya Allah. Aku rela masuk neraka kalau itulah 
kemahuan-Mu."

Itulah rintihan hati seorang wali perempuan Rabiatul Adawiyah dalam munajatnya 
dengan Allah. Dia menyatakan dua cinta tidak boleh duduk dalam satu hati. Bila 
cinta Allah sudah penuh dalam hatinya, maka tidak ada tempat lagi untuk cinta 
selain dari itu.

Ada orang mangatakan: "Jika kau berikan hatimu atau pun cintamu pada manusia 
nescaya dia akan merobek-robekkannya. Tapi kalau hati yang pecah itu diberikan 
kepada Allah nescaya dicantum-cantumkan-Nya. Ertinya cinta dengan Allah pasti 
berbalas. Dan Allah tidak membiarkan orang yang dicintai-Nya menderita di 
akhirat."

Jadi seorang yang bijak dan beradab akan meletakkan kecintaan yang besar pada 
Allah, pada Rasulullah dan barulah pada makhluk-makhluk lain di samping-Nya. 
Itulah perletakan cinta yang betul dan menguntungkan di dunia dan juga di 
akhirat. Itulah dia cinta kita pada Allah swt yang patut kita letakkan.
 
Sumber:
http://cahayamukmin.blogspot.com/


      Get your new Email address!
Grab the Email name you've always wanted before someone else does!
http://mail.promotions.yahoo.com/newdomains/sg/

[Non-text portions of this message have been removed]

Kirim email ke