Cermin lutsinar pisahkan kegembiraan Syawal - Tahanan ISA
Wednesday, November 23 @ 15:58:58 MYT


Oleh MAT SAH MOHD SATRAY
(Mat Sah ialah tahanan ISA yang dituduh terlibat dengan Jemaah Islamiyah (JI).Ikuti cerita pengalaman beliau beraya di Kem Tahanan Kamunting)
SEMINGGU sebelum Hari Raya, pihak berkuasa kem Tahanan telah memberitahu kami semua bahawa pada hari Raya tahun 2005 ini, kem akan merasmikan penggunaan interkom pada semua tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan keluarga mereka.

Kami turut dimaklumkan bahawa keluarga tidak dibenarkan membawa sebarang jenis juadah hari Raya pada hari tersebut.
Hari Raya pun tiba.Selepas solat subuh, saya dan tahanan yang lain berkumpul di gelanggang badminton untuk bersiap-sedia menunaikan solat sunat Aidilfitri.
Tahanan dapat berjumpa dan saya mengambil kesempatan ini untuk bersalam-salaman dengan tahanan ISA yang lain.
Ustaz Luthfi Ariffin, yang didakwa terlibat dengan Kumpulan Militan Malaysia (KMM) dan telah disambung penahanannya dua tahun berikutnya, telah menyampaikan khutbah beliau pada pagi itu.
Selepas itu, kami bersurai dan kembali ke Blok masing-masing.Kami di benarkan memesan juadah hari raya yang disediakan oleh pihak Kem.
Saya memesan beberapa potong lemang, beberapa potong nasi impit , serunding daging dan tiga ketul ayam goreng serta air kotak yang semuanya berharga RM27.00.Walau pun barangan ini di jual di Taiping, namun harganya sama dengan makanan di Kuala Lumpur.
Sehingga jam 12 tengahari, saya masih belum mendapat makanan yang dipesan.Ibarat sudah jatuh di timpa tangga, isteri tidak dibenarkan membawa juadah lebaran untuk saya, kemudian saya terpaksa pula membayar sejumlah wang hanya untuk mendapatkan juadah tersebut.Lebih menyedihkan, wang perbelanjaan saya pun diperolehi atas ehsan pemberian dari isteri (Norlaila Othman).
Pada jam, 12.30 tengahari, saya telah dipanggil untuk bertemu isteri dan anak tunggal saya. Kami berjumpa dan bersembang melalui interkom.Isteri dan anak saya tetap kelihatan ceria walaupun pertemuan hari raya dilakukan dalam suasana sedemikian.
Saya hanya dibenarkan memesan tiga cawan minuman dan dua jenis makanan untuk dimakan bersama keluarga, dalam keadaan dipisahkan oleh cermin lutsinar tapi kalis bunyi.
Anak dan isteri saya tidak mahu memakan makanan yang dipesan kerana tidak mahu membuang masa 45 minit bercakap melalui interkom.Lagipun mereka sudah kenyang kerana telah berhenti rehat di Sungai Perak, 30 minit sebelum tiba di Kem Tahanan.Kamunting (Kemta)
Kami bertiga bersembang bergilir-gilir. Mula-mula, saya berbual dengan anak tunggal kami, kemudian dengan isteri saya.
Kami bertiga sedar sebenarnya, interkom ini digunakan oleh Kemta untuk memantau segala perbualan kami.Nampaknya pihak kem amat khuatir, ada maklumat-maklumat yang tidak diingini akan keluar dari kem dan diketahui oleh masyarakat di luar sana.
Setelah cukup 45 minit, talian interkom diputuskan. Saya pulang ke blok dan isteri saya pulang ke kuala Lumpur.
Sepanjang hari sewaktu di Blok, hati saya amat sayu mengenangkan keadaan isteri saya yang terpaksa menanggung kesusahan, akibat undang-undang zalim ISA ini.
Hampir empat tahun isteri saya terpaksa menyara kehidupannya sendiri, membesar dan memberi didikan pada anak kami, malah terpaksa memberi wang belanja untuk saya pula.
Setiap bulan beliau akan datang melawat saya di kem untuk melepaskan kerinduan kami.Kemudian, pada hari Raya, isteri terpaksa memandu beratus kilometer,semata-mata untuk meraikan lebaran bersama-sama saya di kem.
Namun, kezaliman yang paling tinggi pada kaum wanita seperti isteri saya ialah bila beliau dihalang untuk membawakan juadah hari raya dan dimasa yang sama kami hanya dibenarkan bertemu menggunakan interkom sahaja.
Apakah dosa dan kesalahannya terhadap pihak berkuasa hingga beliau terpaksa terheret sama dengan penderaan ini? Siapakah sebenarnya yang ganas hingga tidak mahu memberi ruang langsung terhadap hak-hak wanita dan kanak-kanak?...Renungkanlah!!!!-wn.


Yahoo! Model Search - Could you be the next catwalk superstar? Check out the competition now

--------------------------------------------------------------------------

All views expressed herein belong to the individuals concerned and do not in any way reflect the official views of Hidayahnet unless sanctioned or approved otherwise.

If your mailbox clogged with mails from Hidayahnet, you may wish to get a daily digest of emails by logging-on to http://www.yahoogroups.com to change your mail delivery settings or email the moderators at [EMAIL PROTECTED] with the title "change to daily digest".




SPONSORED LINKS
Divine inspiration Islam


YAHOO! GROUPS LINKS




Reply via email to