Zulhassnan sekat RM61,000 ke dalam kantung kerajaan PDF Cetak
Mon | May 15, 06 | 07:25:52 PM
Oleh Ahmad Lutfi Othman
Kenyataan Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan, Wilayah Persekutuan, Amir Abd Hamid bahawa nombor siri pendaftaran kenderaan WPA 1 bernilai RM60,780, diberikan secara percuma kepada Menteri Wilayah Persekutuan, Dato' Zulhassnan Rafique - dan bukannya menggunakan wang kerajaan - rupanya tidak meredakan kontroversi, kerana natijahnya sama buruk jika beliau perlu membayar.

Ramai mempersoalkan, biarpun Zulhassnan tidak membayar walau satu sen untuk mendapatkan nombor istimewa itu, tetapi dalam masa sama, perbendaharaan negara (yang dikatakan makin kontang di bawah pentadbiran Abdullah Ahmad Badawi) sebenarnya telah kehilangan hampir RM61,000, jika JPJ memilih pembida tertinggi yang sanggup membayarnya.

Tidak jauh bezanya Zulhassnan menggunakan wang kerajaan sebanyak RM61,000 dengan tindakannya menghalang kemasukan RM61,000 ke dalam perbendaharaan. Kepada kebanyakan rakyat, jumlah itu tidak kecil, kecualilah bagi mereka yang sering membazir dan biasa "merompak" dalam terang!

Tidak cukupkah dengan sekian banyak keistimewaan yang ada pada seseorang menteri, selain pengaruh dan kuasanya untuk menikmati secara mudah khazanah kekayaan negara (hanya dengan satu lorekan tandatangan mata penanya).

Bagi sesetengah pihak, kedudukan Menteri Wilayah Persekutuan sendiri tidak jauh bedanya dengan status menteri besar sebuah negeri maju, apatah lagi negeri yang di bawah takluknya adalah Kuala Lumpur dan Putrajaya!

Menganugerahkan nombor plat kereta yang bernilai tinggi itu secara percuma kepada menteri tidak bermakna isu yang ingin ditonjolkan Harakah telah berakhir. Memang seolah-olah tiada pembaziran berlaku, tetapi berdasarkan perkiraan atas kertas, kehilangan RM61,000 itu bukan sedikit, dan kenapa tidak saja dicari nombor-nombor lain, yang juga menarik, tetapi tidak begitu tinggi nilainya.

Namun, di atas segalanya, apakah perlu dan pentingnya seorang menteri memiliki nombor plat kereta tertentu yang turut diburui pihak lain, yang bersedia membayar kepada kerajaan?

Berdasarkan pemerhatian pemberita kami, harga "no. 1" itu memang dalam lingkungan RM50 ribu hingga RM80 ribu, tetapi menurut sumber dalaman JPJ, pembida yang berjaya selalunya perlu membayar lebih daripada itu.

Lebihannya akan masuk ke dalam kantung pihak tertentu, terutama yang boleh menentukan siapa pembida yang berjaya, yakni mereka yang membuka "peti tender". Khabarnya tiada ketelusan dalam hal tender nombor siri pendaftaran kenderaan ini.

Tapi ini kisah lain, yang merupakan rantaian cerita rasuah dalam agensi kerajaan, dan akan didedahkan dalam kesempatan lain.

Saya tertarik untuk mendedahkan "kegilaan" tokoh-tokoh dan agensi-agensi kerajaan memiliki nombor siri pendaftaran kenderaan ini apabila seorang pembaca Harakah menelefon minta kami membuat liputan apakah nama MPSJ yang tertera sebagai pembida untuk nombor plat BGA 33 bernilai RM13,200 itu merupakan Majlis Perbandaran Subang Jaya atau merujuk pihak lain. Jurucakap JPS Selangor mengesahkan MPSJ itulah yang dimaksudkan.

Selama ini pihak berkuasa tempatan (PBT) khususnya di Lembah Klang, dikritik kerana, selain menaikkan kadar cukai pintu misalnya, kebajikan penduduk pula tidak terjaga, seperti sampah tidak dipungut, longkang tersumbat dan banjir kilat sering menganggu tidur malam.

Pembaziran jangan kiralah, malah anggota Majlis juga sering didakwa menggunakan kuasa dan pengaruh untuk kepentingan diri. Ada yang berkata, bajet PBT tertentu di Selangor mengalahkan negeri-negeri kecil, misalnya Perlis!

Dalam keadaan itu, dengan begitu mudah RM13,200 dibazirkan seperti "minum air sejuk" saja. Kita tidak pasti kereta pegawai MPSJ mana yang memiliki nombor keramat, BGA 33 itu. Carian menunjukkan nombor-nombor lain dalam siri BGA, yang juga nampak menarik, tidaklah begitu mahal, misalnya BGA 11 (RM4,950), BGA 22 (RM4,200), BGA 44 (RM400), BGA 55 (RM3,000), BGA 66 (RM3,300), BGA 77 (RM4,950), BGA 88 (RM6,500).

Semua pemilik nombor berkenaan adalah orang perseorangan, dan tidak pula tujuan kami untuk mengungkitkannya kerana ia langsung tidak membabitkan wang rakyat.

Tidak terkecuali yang turut dipamerkan dalam senarai penender berjaya JPJ Wilayah Persekutuan bertarikh 24 April 2006 itu, bersama Zulhassnan adalah seorang yang bergelar YB, Abdul Raman Bin Bakar, yang mendapat nombor WPA 8 dengan nilai RM24,860.

Ramai syak tokoh berkenaan merupakan seorang timbalan menteri, dan jika benar demikian, apakah wang RM25,000 itu datang daripada poketnya sendiri.
Soalan dari mana sumber seseorang wakil rakyat Umno dapat berbelanja mewah dan membazir bukan lagi satu isu.

Sekali lagi ingin ditekankan, kedudukan dan pengaruh seorang menteri, menteri besar, timbalan menteri, anggota exco kerajaan negeri, malah ketua bahagian Umno, untuk meraih kekayaan mudah, juga cerita lama yang tidak perlu diulang tayang.

Lama sebelum ini, Harakah juga pernah mendedahkan Menteri Besar Perlis, Shahidan Kassim menender nombor plat RG 1, RG 9, RG 12 dan RG17 sehingga mencecah RM120,000. Apakah Shahidan juga mendapat pelepasan daripada Ketua Pengarah JPJ, atau beliau, bagai tokoh-tokoh Umno lain, sudah "tidak tahu nak buat apa duitnya yang ada"?

Tidak ketinggalan dalam hal bermewah-mewahan, menurut satu semakan secara online JPJ wilayah Persekutuan, dengan jumlah RM66,000 nombor plat WMY 1 berjaya didaftarkan atas nama Barisan Nasional (BN).

Bagi ramai orang, ia tidak mengejutkan kerana BN merupakan lubuk wang dan pembaziran. Sekali lagi, jangan tanya dari mana sumber kemewahan BN itu, nanti anda akan didakwa "bangang dan tidak tahu perkembangan zaman".

"Pembaziran mudah berlaku apabila wang itu diperolehi secara mudah, bukan dengan kerja kuat dan usaha gigih. Maaf cakap," kata seorang kawan, yang mempunyai banyak kisah menarik mengenai amalan korupsi sekumpulan aktivis Pemuda Umno, yang rapat dengan Khairy Jamaluddin.

Menteri Wilayah Persekutuan mesti bayar RM60,780 - Kadir PDF Cetak
Mon | May 15, 06 | 06:53:14 PM
Oleh Abu Bakar Rahman
KUALA LUMPUR, 15 Mei (Hrkh) - Bekas Ketua Pengarang The New Straits Times Press (NSTP), Dato' A Kadir Jasin mempersoalkan mengapakah pendapatan kerajaan bernilai RM60,780 dikorbankan untuk memenuhi kehendak seorang menteri kabinet?

Beliau mempersoalkan perkara itu ketika mengulas penjelasan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang menafikan Menteri Wilayah Persekutuan, Dato' Zulhassnan Rafique membayar jumlah sebesar itu untuk membeli nombor siri pendaftaran kereta WPA 1.

Pengarah JPJ Wilayah Persekutuan, Amir Abdul Hamid dalam satu kenyataan menjelaskan memang nama Zulhassnan tersenarai sebagai pembida yang berjaya bagi nombor siri tersebut dengan harga tawaran sebanyak RM60,780.

Bagaimanapun, katanya nombor siri WPA 1 itu ditawarkan secara percuma kepada Zulhassnan oleh Ketua Pengarah JPJ Malaysia.
"Jika perkara tersebut benar, sesuatu yang sungguh dahsyat telah berlaku ... Jika ia benar, adakah (Ketua) Pengarah JPJ mempunyai budibicara untuk mengorbankan pendapatan kerajaan sebanyak itu?"

"Mengapa Menteri Wilayah Persekutuan memerlukan nombor istimewa? Walaupun beliau dikenakan bayaran untuk itu, persoalan yang pasti ditanya ialah mengenai kekayaannya? Beliau mungkin seorang yang kaya raya.

Tetapi ketika semakin ramai rakyat yang hidup kais pagi makan pagi, kais petang makan petang, para menteri tidak sepatutnya menayang-nayangkan kekayaan mereka tanpa segan-silu," kata Kadir dalam blognya.

Jika benar Zulhassnan mendapat nombor siri secara percuma, katanya, "kita mesti menuntut beliau membayarnya atau kita potong gaji (Ketua) Pengarah JPJ."

Apa yang dilakukan oleh Ketua Pengarah JPJ itu, katanya, bukanlah cara untuk menunjukkan rasa hormat kepada menteri.
"Dia adalah seorang wakil yang dipilih oleh rakyat dan seorang kakitangan awam. Kehidupan dan tindak-tanduknya hendaklah seperti yang sepatutnya. Tetapi malangnya beginilah sesetengah orang menjadikan ahli-ahli politik sebagai tuhan-tuhan dan Napoleon (nama Napoleon digunakan untuk menggambarkan mahararaja atau orang sangat berkuasa)," kata Kadir.


Merintis Alam Penyiaran Maya
wtv8
Saluran Alternatif Anda
di http://wtv8.tv
Setiap Sabtu Jam 9 Malam
Siaran Ulangan Setiap Hari

Send instant messages to your online friends http://uk.messenger.yahoo.com

--------------------------------------------------------------------------

All views expressed herein belong to the individuals concerned and do not in any way reflect the official views of Hidayahnet unless sanctioned or approved otherwise.

If your mailbox clogged with mails from Hidayahnet, you may wish to get a daily digest of emails by logging-on to http://www.yahoogroups.com to change your mail delivery settings or email the moderators at [EMAIL PROTECTED] with the title "change to daily digest".

--------------------------------------------------------------------------

Recommended sites:
Angkatan Belia Islam Malaysia  : http://www.abim.org.my
Jamaah Islah Malaysia          : http://www.jim.org.my
Radio Islam Kuliyyah           : http://www.kuliyyah.com
Palestinkini Info              : http://www.palestinkini.info
Partai Keadilan Sejahtera      : http://pk-sejahtera.org
Fiqh Siber                     : http://al-ahkam.net/
The Muslim Brotherhood         : http://ikhwanweb.com




SPONSORED LINKS
Divine inspiration Islam


YAHOO! GROUPS LINKS




Reply via email to