Sisa Toksik: PAS Johor desak JAS dakwa pihak terbabit segera- PJ
Wednesday, January 18 @ 10:26:12 MYT


Oleh SALMAN HUSIN
LABIS, 18 Jan (Hrkh) – PAS Johor mendesak Jabatan Alam Sekitar (JAS) segera melakukan siasatan dan seterusnya mendakwa pihak-pihak yang terbabit dengan pembuangan sisa toksik secara haram di Kampung Gatom dekat sini baru-baru ini.

"Kita juga meminta JAS bekerjasama dengan polis menyiasat kilang yang mengeluarkan sisa toksik ini selain kontraktor dan juga tuan punya tanah dimana sisa toksik ini dibuang," kata Pesuruhjaya PAS Johor, Dato’ Dr Mahfoods Muhamad, dekat sini, kelmarin.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melawat mangsa pencemaran gas ammonia yang ditempatkan di beberapa penempatan sementara setelah kediaman mereka dicemari bahan buangan sisa toksik ini.
(Dr Mahfudz dan Mazlan mendengar penjelasan dari pegawai bertugas di bilik gerakan Balai Bomba dan Penyelamat Labis berhubung isu pembuangan haram sisa toksik ini.)
Hadir sama Ketua Penerangan PAS Johor, Mazlan Aliman
Katanya, pembuangan sisa toksik haram ini mula dikesan penduduk Kampung Sungai Gatom Labis pada 8 Januari lalu, penduduk yang pada awalnya mengesyaki berlaku kebocoran gas telah melapurkan perkara ini kepada bomba.
Bagaimana pun bomba yang melakukan siasatan di Felcra Sungai Gatom telah menemui kepulan asap yang mengeluarkan bau yang sangat busuk di kawasan kebun getah pada keluasan 6.1 meter lebar, 24.3 meter panjang dan 20 meter dalam, mereka kemudiannya melapurkan penemuan ini kepada Pasukan Khas Bomba dan Penyelamat (Hazmat) Johor Bahru.
Katanya lagi, siasatan awal dianggarkan terdapat kira-kira 300 tan sisa toksik ditanam di kawasan ini bagaimana pun setelah kerja-kerja memindahkan sisa toksik ini dilakukan bermula Jumaat (13 Januari).
"Kita difahamkan jumlahnya meningkat kepada 500 hingga 1000 tan," katanya kepada Harakahdaily.
Berikutan dari pencemaran ini menyebabkan lebih 1000 penduduk yang tinggal pada jarak 200 hingga 300 meter dari lokasi sisa toksik ini ditemui telah diarah berpindah manakala enam sekolah berhampiran diarah tutup.
"Isu alam sekitar di negara kita hari ini sudah menjadi satu perkara yang sangat besar dan cabarannya semakin meluas, justeru insiden yang berlaku di Labis ini seharusnya menjadi iktibar dan pengajaran kepada kerajaan agar lebih peka dalam perkara ini kerana ianya membabitkan kepentingan bahkan nyawa rakyat.
(Dr Mahfudz dan Mazlan melawat mangsa pencemaran sisa toksik di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Labis.)
"Oleh kerana itu kita mencadangkan supaya Akta Kualiti Alam Sekitar 1974 yang digunapakai sekarang ini dikaji semula, bagi membolehkan hukuman lebih berat dikenakan terhadap mana-mana pihak yang melakukan kesalahan di bawah akta ini," katanya.
Selanjutnya menurut beliau lagi, selain peruntukan undang-undang sedia ada yang begitu lemah, penguatkuasaan undang-undang oleh JAS juga dilihat kurang berkesan dan semua kelemahan ini membolehkan ada pihak tidak bertangungajawab dengan sewenang-wenangnya melanggar undang-undang ini.
Apabila ditimbulkan masalah kelemahan penguatkuasaan undang-undang ini, maka seringkali isu kekurangan anggota dijadikan alas an oleh jabatan serta agensi kerajaan yang terbabit dengan penguatkuasaan undang-undang ini.
"Kita sebenarnya amat memahami masalah yang mereka hadapi ini dan kita juga bersimpati dengan bebanan tugas yang terpaksa ditanggung selama ini, justeru kerana itu kita mendesak kerajaan menambah peruntukan dan anggota bagi membolehkan jabatan serta agensi kerajaan yang terbabit dengan penguatkuasaan undang-undang ini berfungsi dengan semaksimum mungkin," katanya.
Selain itu katanya lagi, PAS Johor juga menawarkan khidmat guaman kepada mangsa yang hilang mata pencarian disebabkan pencemaran gas ammonia ini.
(Kosong...sebahagian rumah penduduk yang diarah berpindah.)
Mangsa yang kebanyakannya adalah penoreh getah, pekerja kilang dan juga peniaga telah hilang punca pendapatan mereka disebabkan kejadian ini.
"Khidmat guaman yang kita sediakan ini bagi membolehkan mangsa menuntut pampasan dan ganti rugi yang mereka tanggung akibat kejadian ini daripada pihak yang terbabit melakukan pencemaran ini," katanya.
-zs


To help you stay safe and secure online, we've developed the all new Yahoo! Security Centre.

--------------------------------------------------------------------------

All views expressed herein belong to the individuals concerned and do not in any way reflect the official views of Hidayahnet unless sanctioned or approved otherwise.

If your mailbox clogged with mails from Hidayahnet, you may wish to get a daily digest of emails by logging-on to http://www.yahoogroups.com to change your mail delivery settings or email the moderators at [EMAIL PROTECTED] with the title "change to daily digest".




YAHOO! GROUPS LINKS




Reply via email to