Pemandu kenderaan mengambil sikap berhati-hati apabila melalui Jalan 
Seremban-Kajang berhampiran kawasan bukit yang ditarah ini kerana risiko 
berlaku tanah runtuh terutama apabila hari hujan. 

Khuatir tanah runtuh di jalan raya
Utusan Malaysia 16 Dis 08. SEREMBAN 15 Dis. - Kerja-kerja menarah bukit yang 
rancak dilakukan di Jalan Seremban-Kajang dekat Mantin menimbulkan kebimbangan 
di kalangan pengguna jalan raya terhadap kemungkinan berlakunya tanah runtuh di 
situ.

Kawasan bukit berkenaan didapati bersebelahan Hutan Simpan Kekal di bawah 
Jabatan Perhutanan Negeri Sembilan/Melaka dan kerja-kerja menarah bukit itu 
dikhuatiri akan turut mengganggu ekosistem hutan berkenaan.

Tinjuan Utusan Malaysia di lokasi berkenaan mendapati kerja-kerja memasang paip 
dan memasang cerucuk masih dilakukan di kawasan yang terletak kira-kira 500 
meter dari Lapangan Sasar Mantin.

Utusan Malaysia yang ditegah memasuki kawasan berkenaan, bagaimanapun 
difahamkan terdapat beberapa pemaju yang terlibat dalam projek itu dan telah 
mendapat kelulusan bagi melakukan kerja-kerja di atas tanah milik persendirian 
itu yang dimulakan tahun lalu.

Bagi seorang pemandu, Malik Yusof, 47, beliau mengambil sikap berhati-hati 
setiap kali melalui jalan itu, terutamanya pada hari hujan kerana bimbang 
kejadian tanah runtuh seperti di Bukit Antarabangsa boleh berlaku sekelip mata.

"Memang saya agak bimbang terutamanya pada waktu hujan kerana kita tidak tahu 
apa yang akan berlaku ketika memandu.

"Kita memang sedia maklum kawasan ini terdedah kepada risiko apabila hari 
hujan. Kalau boleh elok dihentikan untuk sementara waktu," katanya ketika 
ditemui di sini semalam.

Seorang penunggang motosikal, Salleh Zakaria, 37, pula berkata, projek-projek 
di lereng bukit punyai risiko yang amat tinggi selain nyawa orang ramai turut 
terdedah kepada bahaya pada bila-bila masa.

"Kalau berlaku tanah runtuh siapa yang harus bertanggungjawab. Apabila perkara 
itu berlaku, masing-masing pasti akan menuding jari.

"Saya fikir sebelum terjadi apa-apa yang buruk, eloklah dihentikan. Jangan 
sampai ia menjadi tragedi yang mengorbankan orang ramai,'' katanya.

Sementara itu, Penolong Pengarah Perhutanan negeri, Azahar Anuar ketika 
dihubungi berkata, pihaknya sentiasa menjalankan aktiviti pemantauan dan projek 
itu masih berada di luar lingkaran sempadan Hutan Simpan Kekal negeri.

"Kita sedia maklum mengenai perkara ini dan memantau projek berkenaan dari 
semasa ke semasa. Memang ia bersebelahan dengan Hutan Simpan Kekal, 
bagaimanapun kawasan projek itu tidak memasuki tanah yang dirizabkan ini.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1216&pub=Utusan_Malaysia&sec=Selatan&pg=ws_03.htm
 



      

Kirim email ke