PENGARAH JAKIM VS DR MOHD ASRI
   
  Masalahnya beliau kerap tidak hadir dalam muzakarah tetapi beliau lebih 
senang menghadiri program yang lebih beliau sukai dan berorientasikan hizbiah 
(kepartian). Jadi sudah tiba masanya mufti tersebut ditakdib (diperadabkan), 
bimbang nanti dia terbelenggu dengan sifat ujub, rasa pandangannya hebat 
sehingga ada kecenderungan merendah-rendahkan orang lain - Pengarah JAKIM
  Dr. Mohd Asri Kecewa Sikap Pengarah JAKIM
  Laporan: Semalam Akhbar Utusan melaporkan Dr. Mohd Asri menganggap perbuatan 
Raja Petra adalah biadap. Bahkan kenyataan asal Dr Asri menyebut sesiapa yang 
menghina Islam atau bersekongkol dengan orang menghina Islam –secara sedar dan 
faham apa yang dilakukannya- adalah terkeluar dari akidah Islam dan wajib 
bersyahadah semula.
  Akhbar semalam juga melaporkan beliau berpendapat tindakan JAKIM membuat 
laporan Polis terhadap Raja Petra sebelum diwujudkan sessi dialog dan 
penegakkan hujah (iqamah al-hujjah) supaya dibetulkan (jika masih ada ruang) 
akidah pihak yang dianggap menghina Islam iaitu Raja Petra adalah kurang tepat.
  Hari ini Pengarah JAKIM, Dato Wan Muhammad (Utusan 8 Sep. 2008) membuat 
kenyataan sebagai membantah Dr. Mohd Asri seperti berikut: “Masalahnya beliau 
kerap tidak hadir dalam muzakarah tetapi beliau lebih senang menghadiri program 
yang lebih beliau sukai dan berorientasikan hizbiah (kepartian). Jadi sudah 
tiba masanya mufti tersebut ditakdib (diperadabkan), bimbang nanti dia 
terbelenggu dengan sifat ujub, rasa pandangannya hebat sehingga ada 
kecenderungan merendah-rendahkan orang lain”. (klik di sini untuk laporan penuh 
berita 8 Sep. 2008)
  Berikut adalah kenyataan Dr. Mohd Asri mengulas kenyataan Pengarah JAKIM 
berkenaan:

    “Saya amat terkejut dengan bahasanya dalam keadaan kita berpuasa ini. Saya 
seakan membaca kata-kata yang amat tidak sesuai dengan kedudukan seorang 
Pengarah JAKIM. Saya hanya memberi pendapat bahawa tugasan JAKIM bukan sekadar 
membuat laporan Polis. Itu boleh dibuat oleh orang biasa, tidak memerlukan 
institusi sebesar itu.
  Dalam bab aqidah, jika ada kes yang seperti ini, maka langkah yang awal 
adalah membetulkan kesalahan faham terhadap akidah Islam tersebut dengan cara 
yang dipanggil Iqamah al-Hujjah iaitu penegakkan hujjah. Setelah dia faham, 
tapi dia masih lagi kekal dengan kesalahan itu, maka hukuman ridah (murtad) 
atau selainnya boleh diputuskan.
  Selepas itu, tindakan secara kekuasaan boleh dibuat. Mana mungkin dalam 
perkara akidah seseorang dituduh tanpa dia dijelaskan hujah-hujah yang 
menunjukkan dia terkeluarkan dari akidah yang sahih. Saya tidak menghina JAKIM, 
cumanya memberikan pandangan yang berbeza. Apakah itu menjadi kesalahannya?
  Apakah dalam Islam di Malaysia ini seseorang diharamkan berbeza pendapat 
dengan Pengarah JAKIM? Beliau membangkitkan saya tidak hadir beberapa 
mesyuarat, saya sebenarnya malas hendak mengulas. Banyak pun mensyuarat yang 
saya hadir dan aktif. Cumanya beberapa mesyuarat fatwa saya tidak hadir.
  Antaranya, ketika membincangkan hukum terkena dakwat pilihanraya. Maaf, saya 
rasa segan pada diri saya sendiri untuk datang jauh dari Perlis ke Putrajaya 
bagi membincangkan hal itu. Ada juga saya tidak hadir kerana terlalu mengejut, 
sedangkan jadual saya telah tersusun. Ada juga kerana bertembung dengan program 
negeri. Terbaru JAKIM buat mensyuarat di Terengganu pada tarikh Pilihanraya 
Permatang Pauh, sedangkan saya pengundi kawasan berkenaan.
  Adapun dakwaan beliau saya hadir program kepartian, saya tidak pasti. Semua 
orang tahu, saya tidak pernah membuat sokongan terbuka untuk sesebuah parti. 
Memang, saya agak kerap hadir program jemputan Kerajaan Kelantan. Namun saya 
berbicara atas prinsip-prinsip umum Islam. Mereka menjemput saya dan saya 
hadir. JAKIM tiada hak dalam perkara itu.
  Saya bergerak atas prinsip, bukan untuk keredhaan sesiapa insya Allah. 
Jemputan pihak lain pun saya hadir. Apa salahnya? Adapun tuduhan beliau tentang 
ujub dan seumpamanya, pada bulan puasa ini saya serahkannya kepada Allah. 
Beliau lebih tahu siapa diri beliau.”

       

Kirim email ke