*"Duit raya sekupang", inflasi naik 8.5 peratus*

  Abdul Aziz Mustafa

Wed | Sep 24, 08 | 9:10:09 pm MYT

*KUALA LUMPUR, 24 Sept (Hrkh)* - Walaupun kerajaan Datuk Seri Abdullah Ahmad
Badawi hari ini mengumumkan penurunan sebanyak 10 sen lagi harga minyak
berkuatkuasa esok tetapi kesan dari tindakannya menaikkan harga petrol
sebanyak 78 sen dan diesel sebanyak RM1 pada 4 Jun lalu mengakibatkan
cengkaman inflasi semakin ganas memangsakan rakyat, terutama golongan
berpendapatan rendah.   *Iklan*


Dianggap sebagai "hadiah" kerajaan Abdullah kepada rakyat oleh Ketua
Penerangan PAS, Haji Mahfuz Omar, Malaysiakini melaporkan angka rasmi yang
dikeluarkan hari ini, kadar inflasi telah melonjak ke paras 8.5 peratus pada
bulan Ogos - yang tertinggi dalam tempoh 27 tahun - ekoran peningkatan harga
makanan dan bahan api.

"Tidak ada jaminan inflasi akan berkurangan walaupun harga minyak diturunkan
10 sen lagi kerana harga barangan tetap tinggi.

"Sebagai contoh mudah, adakah esok harga minyak turun 10 sen, lusa adakah
harga makanan di pasar-pasar Ramadhan akan turun?

"Apa pun, terima kasihlah kerajaan Pak Lah bagi duit raya sekupang kepada
rakyat," kata Mahfuz dengan sinis.

Ahli ekonomi dari Kenanga Investment Bank, Wan Suhaimi Saidi, menyifatkan
kadar inflasi 8.5 peratus itu lebih tinggi daripada yang dijangkakan, tetapi
Bank Negara tidak akan menaikkan kadar faedah untuk memastikan pertumbuhan.

"Ianya tinggi sedikit daripada jangkaan saya. Saya jangka 8.4 peratus. Saya
tidak fikir kerajaan akan menaikkan kadar faedah penting. Ia akan dikekalkan
pada kadar 3.50 peratus sehingga akhir tahun untuk menyokong pertumbuhan,"
katanya kepada AFP.

Jabatan Perangkaan telah menyemak semula dengan menurunkan angka inflasi
bagi bulan Julai kepada 8.3 peratus. Ia sebelum ini meletakkan kadarnya pada
8.5 peratus.

Menurutnya, kos makanan dan minuman bukan alkohol meningkat 11.7 peratus
dalam bulan Ogos, berbanding dengan setahun yang lalu. Kadar inflasi yang
tinggi sudahpun menjejaskan pengguna dan mendorong ramai rakyat Malaysia
mengurangkan perbelanjaan mereka bagi makanan.

"Peningkatan (kadar inflasi bagi bulan Ogos) ditunjukkan dalam
kumpulan-kumpulan terpilih utama, iaitu makanan dan minuman bukan alkohol,"
katanya dalam satu kenyataan.

Data bulan Ogos menunjukkan peningkatan harga bagi kebanyakan kategori,
termasuk pengangkutan yang melonjak 21.8 peratus, dan restoran dan hotel
yang meningkat 6.5 peratus.

Kerajaan telah menaikkan harga minyak sebanyak 41 peratus dalam bulan Jun,
sebagai langkah untuk mengurangkan peningkatan kos subsidi, tetapi telah
membayangkan bahawa kadar harga boleh diturunkan tidak lama lagi.

*Inflasi kekal tinggi*

Selepas mengumumkan Indeks Harga Pengguna (CPI) bagi bulan Ogos, Menteri
Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shahrir Abdul Samad
berkata, beliau tidak menjangka CPI bagi bulan September akan lebih rendah.

"Walaupun, kesan sepenuhnya pengurangan harga petrol dalam bulan Ogos dan
sekarang belum diambilkira sepenuhnya, CPI bagi bulan September mungkin
tidak lebih rendah.

"Harga petrol yang rendah dijangka dijangka akan diimbangi oleh peningkatan
perbelanjaan semasa cuti hari raya dan 30 surcaj bagi pengangkutan awam,"
kata Shahrir.

Bagaimanapun, beliau tidak menjangka CPI telahpun sampai ke paras puncaknya.


Shahrir berkata, kadar inflasi nampak telah stabil ekoran peningkatan bulan
ke bulan hanya 0.2 peratus. Bagaimanapun, kadar purata inflasi bagi tahun
ini dijangka di sekitar 4.8 peratus._



Sila layari laman informasi terkini anda
www.HarakahDaily.Net<http://www.harakahdaily.net/>

www.TranungKite.Online <http://www.tranungkite.online/>

Kirim email ke