Johari Yap minat Islam menerusi ibadat puasa  Oleh ZUARIDA MOHYIN
        
      Johari Yap (tengah) sekeluarga bersama keluarga kandungnya. Ibu bapanya 
(dua dan tiga dari kanan) reda dengan pengislaman anak sulung mereka.   
---------------------------------
  
  DUGAAN dan cabaran adalah lumrah dalam kehidupan setiap insan di muka bumi 
ini, apatah lagi bagi mereka yang bergelar saudara baru atau mualaf. Hakikat 
ini turut diperakui Pegawai Perhubungan di Yayasan Orang Kurang Upaya (OKU) 
Kelantan, Jalan Padang Tembak, Pengkalan Chepa, Johari Abdullah @ Yap Guan 
Kheng atau lebih dikenali dengan panggilan Johari Yap.
   
  Menurut anak kelahiran Wakaf Bharu ini lagi, beliau tidak menghadapi masalah 
sebelum pengislaman memandangkan tinggal berjauhan daripada ibu bapa. Namun 
selepas memeluk Islam bermulalah episod peritnya, kira-kira 10 tahun lalu. 
   
  “Saya terpaksa berhenti kerja di Kuala Lumpur dan tinggal dengan bapa saudara 
di Batu Pahat, Johor selama lebih kurang setahun. Setelah keadaan agak reda, 
saya kembali semula ke Kuala Lumpur. Pada masa itu, walaupun tidak timbul 
ketegangan namun hubungan dengan keluarga kandung sudah tidak semesra dahulu. 
   
  “Sungguhpun keluarga tidak lagi memberi tekanan kepada saya, bahananya 
beralih kepada kedua-dua ibu bapa saya. Mereka dituduh tidak pandai mendidik 
satu-satunya anak lelaki sehingga sanggup bertukar agama. Ini kerana, saya 
adalah anak lelaki sulung daripada empat adik-beradik. 
   
  “Sementara itu, orang Melayu Islam pula cuba ‘meMelayukan’ saya. Apabila saya 
cuba mengekalkan identiti Cina, akan dituduh tidak Islamik. Jika terlebih 
keMelayuan pula, keluarga dan rakan-rakan Cina yang lain menuduh kita sudah 
masuk Melayu, bukan masuk Islam. 
   
  Dilema inilah yang menyebabkan saya seringkali serba salah,” katanya 
bersyukur berjaya mengharunginya dengan adanya Persatuan Cina Muslim Malaysia 
(Macma).
   
  Pun begitu, tegas Johari Yap, 31, sebagai seorang saudara baru, dugaan dan 
cabaran yang timbul merupakan asam garam dalam menempuh hari-hari yang 
mendatang. 
   
  Beliau cuba berkongsi situasi genting yang dihadapinya acap kali tibanya 
sambutan Tahun Baru Cina di mana acara ‘makan besar’ bersama keluarga menjadi 
kemestian. Tambahan pula, kebiasaannya salah satu menu penting pada malam 
tersebut adalah daging khinzir. 
   
  “Tetapi jika tidak hadir, kesannya lebih besar seolah-olah saya cuba 
membelakangkan keluarga. Akhirnya saya tawakal dan menghadirinya. Pada malam 
itu, saya hanya menyentuh juadah berasaskan sayur-sayuran atau ulaman sahaja. 
   
  Alhamdulillah, apabila pakcik menyuruh saya menyembelih ayam kampung untuk 
dimasak, saya dapat mengagak bahawa keadaan akan berubah.
   
  “Sangkaan saya benar apabila pada majlis makan besar itu, tiada daging 
khinzir yang disajikan. Sama ada mereka menyorok ataupun langsung tidak ada, 
itu tidak penting. Yang pasti, mereka menghormati saya sebagai orang Islam. 
   
  “Selain itu, ada pula orang Islam yang memberikan nasihat seperti: “Kalau 
balik rumah, jangan minum air yang disediakan ibu kamu kerana bimbang gelas 
yang digunakan itu pernah diisikan dengan air arak”. 
   
  Cuba bayangkan perasaan ibu apabila anak sudah tidak mahu minum air yang 
disediakannya hanya kerana berbeza agama. Kalau begitu, lebih baik tidak balik 
ke rumah, kalau akan menyakitkan hatinya. 
   
  “Sebenarnya, mereka yang memberikan nasihat-nasihat seperti ini, ramai berada 
di luar sana. Mungkin mereka yang memberikan nasihat ini tidak mempunyai 
saudara mara yang bukan Islam atau tidak mempunyai rakan-rakan yang bukan 
Islam. 
   
  Mereka ini lebih mementingkan fikah berbanding uslub dakwah,” kata Johari Yap 
dalam balasan e-melnya kepada penulis. 
   
  Berkongsi pula kisah ‘penghijrahan’ akidahnya, cerita anak kepada pasangan 
Yap Beng Chui dan Goh Sa Huay, selama enam tahun bersekolah di SRK Wakaf Bharu, 
beliau tinggal dengan nenek yang beragama Kristian Seventh Day Adventist (SDA) 
yang mana daging khinzir adalah haram. 
   
  Sejak kecil, Johari Yap sudah tidak menjamah daging khinzir lagi. Manakala, 
ibu yang beragama Buddha dan bapa yang berfahaman Kristian, memberi pilihan 
kepadanya untuk memilih antara dua agama tersebut. 
   
  “Apabila melanjutkan pelajaran ke tingkatan satu di Maktab Tentera Diraja 
(RMC) Sungai Besi, Kuala Lumpur pada 1988, saya mula belajar berpuasa walaupun 
untuk separuh hari demi menyahut cabaran seorang rakan. Saya berjaya berpuasa 
penuh sewaktu di tingkatan tiga walaupun banyak rintangan yang ditempuhi 
seperti latihan kawad dan ketenteraan. 
   
  “Tidak kurang juga cemuhan daripada rakan-rakan Muslim yang mengatakan saya 
membuang masa kerana tidak dapat pahala kecuali lapar dan dahaga. 
  Walau bagaimanapun, saya hanya berpuasa di RMC, apabila pulang bercuti, saya 
tidak berkesempatan berpuasa,” katanya.
   
  Penghayatan Islam semakin serius dengan galakan seorang rakan yang juga 
seorang Cina Muslim generasi ketiga, Zubir Lee Yew Weng.
   
  “Saya berjaya berpuasa penuh sebulan Ramadan pada 1992 semasa di tingkatan 
lima di RMC. 
   
  Saya mengikuti Zubir Lee ke kampungnya di Kuching, Sarawak selama seminggu 
sempena Hari Raya Puasa. Di situlah, buat pertama kali saya diajar makan ikan 
menggunakan chopstick dan melihat cara hidup Cina Muslim di sana.
   
  “Sebagai seorang Cina yang berasal dari kampung di Kelantan, makan dengan 
menggunakan tangan adalah satu kebiasaan dan bukan pelik untuk melihat orang 
Cina Kelantan tidak pandai menggunakan chopstick,” terang Johari Yap yang 
mendapat bimbingan secara tidak langsung daripada salah seorang guru di RMC, 
Hafizul Ong Abdullah. 
   
  Selepas Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), beliau melanjutkan pelajaran 
peringkat Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) di Sekolah Menengah Chung Hwa, 
Kota Bharu. Sebaik tamat peperiksaan STPM, beliau ke Kuala Lumpur untuk 
membantu rakan, Zubir Lee yang membuka cawangan perniagaan bapanya di Kuala 
Lumpur pada 1995. 
   
  Sewaktu di Kuala Lumpur, beliau mengambil kesempatan berkhatan biarpun masih 
belum berani bergelar Muslim. 
   
  Setahun kemudian, barulah beliau menyuarakan hasrat memeluk Islam. Tarikh 2 
Mac 1996 adalah detik keramat dalam diari kehidupan Johari Yap kerana hari 
itulah beliau melafazkan syahadah di pejabat Jabatan Agama Islam Wilayah 
Persekutuan (Jawi). Beliau ditemankan Zubir Lee dan Brig. Jen. (B) Datuk Mohd 
Shukor, yang juga merupakan bekas pelajar RMC.
   
  Akui Johari Yap lagi, boleh dikatakan minatnya terhadap Islam timbul apabila 
dapat merasai nikmat berpuasa lebih-lebih lagi dirinya adalah jenis orang yang 
tidak boleh menahan lapar. 
   
  Selepas bergelar Muslim, akuinya, perasaan gementar masih wujud kerana tidak 
pasti kemampuannya menjadi seorang Muslim yang baik. 
   
  Persoalan yang sentiasa bermain di benaknya ketika itu ialah, “Bolehkah aku 
menunaikan sembahyang lima kali sehari sedangkan sejak 21 tahun lepas aku tidak 
pernah bersembahyang?" 
   
  Alhamdulillah dengan bimbingan ustaz-ustaz di Pertubuhan Kebajikan Islam 
Malaysia (Perkim) Wilayah Persekutuan ketika itu serta Ustaz Zainuddin dari 
Masjid Shah Alam, perasaan gementar itu hilang dan digantikan dengan perasaan 
tenang. 
   
  Malah beliau juga bersyukur kerana menerima pendidikan Jawi sepanjang 
bersekolah rendah dan ini banyak membantu dalam pengajian al-Qurannya.
   
  “Tiga minggu selepas pengislaman, saya telah bertemu Dr. Norsila Abdul Wahab 
di Hospital Seremban. Perkenalan itu berakhir ke jinjang pelamin. Kini kami 
dikurniakan sepasang anak yang masing-masing berumur 6 dan 3 tahun, Mikhael dan 
Misha. Isteri dan anak-anak adalah hadiah terbaik anugerah daripada Yang Maha 
Kuasa.
   
  “Sebelum memeluk Islam, saya amat rapat dengan ibu. Keadaan menjadi agak 
renggang setelah saya memeluk Islam tetapi pulih setelah saya mendapat anak. 
Semuanya bermula sewaktu mengikuti isteri yang melanjutkan pelajaran di London. 
   
  “Kami kembali ke Kelantan pada 2002, Mikhael diajar untuk memanggil ‘Akong’ 
kepada datuknya dan ‘Ama’ pada neneknya. Cucu lelaki sulung inilah merupakan 
pengikat kepada hubungan anak dan ibu bapanya,” katanya.
   
  Kini Mikhael bersekolah tadika di Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Peir Chih, 
Kota Bharu. 
   
  Sekarang, keadaan menjadi lebih baik kerana Islam menyuruh umatnya 
menghormati ibu walaupun berlainan agama. Beliau cuba memberikan kasih sayang 
kepada ibu bapa melebihi daripada sebelum memeluk Islam. 
   
  Beliau ingin menonjolkan nilai-nilai murni dalam Islam melalui contoh yang 
baik ataupun dakwah Bil-Hal. 
   
  Malah isteri yang juga pensyarah Pergigian di Universiti Sains Malaysia 
(USM), Kampus Kesihatan, Kubang Kerian banyak membantu memahami sekali gus 
membina hubungan rapat dengan mentua. 
   
  Di samping itu, ibunya amat berhati-hati mengenai makanan sehinggakan akan 
mencari logo halal jika ingin membelikan makanan untuk cucu-cucunya apabila 
berkunjung ke rumah Johari Yap. Jarak rumahnya di Kampung Beris Kubur Besar, 
Bachok dengan rumah keluarga di Kampung Chabang Empat Tok Mek Ngah, Tumpat 
ialah kira-kira satu jam perjalanan. 
   
  Nasihatnya kepada saudara baru, hormatilah ibu bapa kandung. Sayangilah 
mereka sebagaimana mereka membesarkan kita. 
   
  “Ibu bapa mana yang tidak sedih dengan pengislaman anak mereka. Terdapat kes 
di kampung saya di mana mereka yang memeluk Islam memutuskan hubungan sehingga 
berpuluh tahun lamanya dan ada juga yang terus menghilangkan diri. 
   
  Ada pula yang berasa jijik untuk pulang atau makan minum di rumah sedangkan 
di situlah dia membesar.
   
  “Ada pula menjadi terlebih ‘alim’ sehingga tidak mahu berbahasa Cina kerana 
itu adalah bahasa tidak Islamik berbanding dengan bahasa Arab ataupun Melayu. 
   
  Ini adalah contoh yang tidak sihat dan tidak membantu dalam usaha dakwah 
Islamiah kepada bangsa Cina. Jika bukan disebabkan oleh sebab-sebab itu, 
mungkin keluarga saya tidak menentang atau mereka sekadar sedih sahaja,” 
katanya yang turut aktif sebagai Ahli Majlis Kebangsaan Perkim, Perkim 
Kebangsaan, Setiausaha Kehormat Macma, Cawangan Kelantan dan ahli jawatankuasa 
(AJK) Unit Hal Ehwal Saudara Baru, Islamic Outreach ABIM Kelantan. 
   
  Kini, Johari Yap bercita-cita mempelajari bahasa Mandarin dan memberi 
kefahaman Islam kepada seramai mungkin orang Cina yang bukan Islam. 
  Mereka tidak menentang Islam atau memusuhi Islam, cuma mereka kurang faham 
mengenai Islam. Bahasa Hokkien yang digunakan ini hanya digunakan di Kelantan 
sahaja.
   
  “Saya menjadi ahli Perkim dan Macma sejurus memeluk Islam. Di dalam persatuan 
ini saya dapat ramai kenalan Cina Muslim untuk bertukar-tukar pendapat serta 
berkongsi masalah. 
   
  Saya banyak memberi kaunseling kepada mereka yang ingin memeluk Islam serta 
baru memeluk Islam. Hubungan sesama ahli Macma di Kelantan amat rapat dan pada 
31 Ogos lalu, kami mengadakan program Hari Keluarga Macma di Pulau Perhentian 
yang melibatkan 85 ahli dan keluarga.
   
  “Peristiwa paling manis ialah diberi tanggungjawab mengIslamkan seorang gadis 
Cina oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan pada Ramadan tahun ini.

                
---------------------------------
 Yahoo! Movies - Search movie info and celeb profiles and photos.

Kirim email ke