Kebenaran Islam pikat Maryam Jameelah  Susunan: ZUARIDA MOHYIN
  
“ISLAM menjawab dan menjelaskan segala-galanya. Dalam Islam saya temui 
kebenaran, kebaikan dan kecantikan yang bukan sahaja membawa dan memandu 
seseorang itu tentang kehidupan di dunia malah kehidupan selepas kematian. 
   
  “Malah jika ada yang bertanyakan bagaimana saya mengetahuinya? Saya hanya 
mampu menjawab, pengalaman peribadi cukup menyakinkan saya. 
  Pegangan teguh saya kepada akidah Islam datang secara tenang tetapi penuh 
keyakinan. 
   
  “Pengislaman saya adalah begitu formaliti, langsung tidak melibatkan 
perubahan radikal dalaman.” Begitulah jawapan Maryam Jameelah atau sebelum ini 
Margaret (Peggy) Marcus, seorang Yahudi Amerika yang memeluk Islam pada 1961 
tentang impak agama Islam terhadap kehidupannya. 
   
  Menurut Maryam lagi, minatnya terhadap Islam bermula seawal usianya 10 tahun 
sewaktu mengikuti reformasi Yahudi Sunday School. 
   
  Pada waktu itu, beliau tertarik dengan sejarah hubungan di antara bangsa 
Yahudi dengan bangsa Arab. Menerusi buku teks Yahudi, dia difahamkan bahawa 
Nabi Ibrahim ialah ayahanda kepada semua bangsa Arab dan juga bangsa Yahudi.
   
  Beliau terbaca beberapa abad kemudian semasa Zaman Pertengahan Eropah, 
  penindasan Kristian menyebabkan orang Yahudi teruk terseksa dan kehadiran 
mereka diterima umat Islam di Sepanyol. 
   
  Kebaikan hati yang ditunjukkan ini bakal merangsang budaya Ibrani (Hebrew) 
terus cemerlang tanpa langsung mengesyaki sifat semulajadi Zionis.
   
  “Saya terlalu naif dan percaya bahawa bangsa Yahudi akan kembali ke Palestin 
untuk memperteguhkan hubungan persaudaraan dengan saudara sesama Arab. 
   
  “Tarikan kuat dengan pembelajaran sejarah bangsa Yahudi membuatkan saya tidak 
gembira di Sunday School,” katanya.
   
  “Kakak saya sangat benci ke Sunday School sehingga setiap pagi ibu terpaksa 
bangunkannya dari katil dan dia tidak akan berganjak selepas dibebel dengan 
kata-kata pedas dan air mata. Akhirnya ibu, terima hakikat penolakan kakak. 
   
  Sementara itu, pada sambutan perayaan keagamaan Yahudi, kami (kakak dan saya) 
bukannya ke Synagogue atau melaksanakan puasa pada Tum Kipper tetapi kami 
dibawa keluar dari sekolah untuk pergi berkelah dan berpesta di restoran 
terbaik. 
   
  Apabila kami berjaya membuktikan kepada ibu bapa betapa teruknya keadaan kami 
di Sunday School, mereka menyertai pula sebuah organisasi agnostik dan 
kemanusiaan yang dikenali Ethical Cultural Movement,” cerita Maryam yang 
menghadiri kelas baru itu sehingga tamat pengajian iaitu pada usia 15 tahun. 
   
  Katanya lagi, apabila semakin dewasa dan matang, beliau tidak boleh menerima 
dan memperoleh kepuasan menerusi fahaman ateis. 
   
  Lalu Maryam mula mencari pembaharuan kepada identiti diri. Dalam tempoh itu, 
beliau pernah menyertai kumpulan bahai di New York yang dikenali The caravan of 
East and West diketuai lelaki Parsi bernama Mirza Ahmed Sohrab.
   
  Beliau tertarik dengan Bahai kerana ia berasaskan Islam dan ceramahnya 
tentang Tuhan Yang Satu. Pun begitu, apabila beliau mengetahui kegagalannya 
untuk mengaplikasikan idea tersebut, Maryam meninggalkannya setelah setahun 
penyertaan.
   
  Pada usia 18 tahun, Maryam menyertai pergerakan pemuda Zionis yang dikenali 
sebagai Mizrachi Hatzair tetapi apabila mengetahui kebenaran di sebalik Zionis, 
sekali lagi dia dikecewakan. 
   
  Semasa usianya mencecah 20 tahun, Maryam belajar di Universiti New York dan 
salah satu subjek elektif yang diambilnya ialah Judaism in Islam. 
   
  Malangnya profesor yang juga Ketua Jabatan Pengajian Hebrew, Rabbi Abraham 
Issac Katsh memesongkan para pelajarnya dengan mengatakan Islam berasal 
daripada agama Yahudi. 
   
  Tambah memburukkan, profesornya menyalahgunakan al-Quran demi membuktikan 
kepada pelajarnya bahawa agama Yahudi adalah agama teragung. Apabila semua 
tembelang yang dibawa oleh agama Yahudi terbongkar, Maryam tidak sanggup lagi 
mengakui dan menerima agama Yahudi.
   
  Semenjak itu, beliau mula membuat perbandingan agama Yahudi dengan agama 
Islam. 
   
  Dalam kajiannya terhadap Old Testament dan kitab Taurat serta perbandingan 
dengan al-Quran dan hadis. Apa yang Maryam temui, agama Yahudi telah rosak 
sedikit dan akhirnya beliau mengucap syahadah. 
   
  Sebenarnya, keinginan bergelar Muslim wujud sejak tahun 1954 namun 
keluarganya dapat menghalang menerusi perbincangan terbuka. 
   
  Beliau ditakutkan dengan mengatakan bahawa Islam akan menyukarkan 
kehidupannya kerana ia tidak seperti agama Yahudi dan Kristian. 
   
  “Saya diberitahu bahawa Islam akan merenggangkan hubungan kami sekeluarga dan 
menyisihkan saya daripada masyarakat. 
   
  Pada masa itu, keimanan saya tidak begitu teguh untuk menghadapi tekanan 
sehebat itu. Situasi ini menyebabkan saya jatuh sakit.
   
  “Dua tahun (1957-1959) saya berehat di rumah dan mendapat rawatan tetapi 
keadaan saya semakin teruk. 
   
  “Melihat keadaan kemurungan itu, ibu bapa menghantar saya ke hospital awam. 
Saya bersumpah sekiranya saya sembuh dan dibenarkan keluar, saya akan memeluk 
Islam. 
   
  “Apabila saya dibenarkan pulang, saya menyiasat mana-mana peluang untuk 
bertemu dengan orang Islam di Bandar Raya New York. Saya banyak menghabiskan 
masa di Perpustakaan Awam New York membaca bahan-bahan berkaitan Islam,” 
jelasnya yang banyak menghasilkan buku-buku berkaitan agama Islam selepas 
memeluk Islam.
   
  Alhamdulillah, beliau berpeluang bertemu dengan beberapa lelaki dan perempuan 
Islam pada ketika itu. 
   
  Malah Maryam mula menulis rencana kepada majalah beraliran Islam dan berutus 
dengan ketua-ketua Islam seluruh dunia.
   
  “Saya pernah berutus dengan Allahyarham Sheikh Abrahimi, ketua ulama di 
Algeria, Dr. Muhammad El-Bahay di Al-Azhar, Dr. Mahmud F. Hoballah dan Pengarah 
Pusat Islam di Washington D.C., Dr. Hameedullah di Paris, Dr. Said Ramadan, 
Pengarah Pusat Islam Geneva dan Maulana Sayyid Abul Ala Maudoodi,” katanya lagi.
   
  Menurut Maryam, sangkaan pertamanya bila membaca al-Quran, Islam adalah 
satu-satunya agama kebenaran, benar-benar jujur, ikhlas, tidak membenarkan 
kompromi murahan atau hipokrasi.
   
  Maulana Maudoodi pernah menulis kepada Maryam dalam suratnya yang pertama 
pada Januari 1961 berbunyi: “Semasa saya menilai esei anda, saya dapat rasakan 
seperti saya membaca idea saya sendiri. 
   
  “Saya berharap perasaan anda tidak akan berubah sekiranya anda berpeluang 
mempelajari bahasa Urdu dan pelajari buku-buku saya. 
   
  “Walaupun kita tidak pernah berkenalan, namun kesepakatan pemikiran dan 
simpati yang wujud adalah hasil daripada sumber yang sama iaitu Islam,” katanya.
   
  Menjawab soalan tentang sikap dan reaksi ahli keluarga dan teman-teman 
selepas bergelar Muslim, kata Maryam, keluarga, saudara mara dan kawan-kawan 
menanggap beliau seorang yang fanatik kerana percakapan dan pemikirannya adalah 
tentang agama Allah sahaja. 
   
  Bagi mereka soal agama adalah sesuatu yang peribadi. Namun selepas membaca 
al-Quran, saya mengetahui bahawa Islam bukanlah sekadar hobi tetapi ia adalah 
soal kehidupan.
   
  * Sumber: The Islamic Bulletin, San Francisco, California, Amerika Syarikat.

 Send instant messages to your online friends http://asia.messenger.yahoo.com 

Kirim email ke