Kelebihan 10 hari pertama bulan Zulhijjah
  - NAZMI AIDARUS (Pegawai Hal Ehwal Islam, Jabatan Mufti Terengganu.)
   
  Imam al Bukhari Rahimahullah meriwayatkan daripada Ibnu ‘Abbas r.a bahawa 
Nabi s.a.w bersabda, Tiada suatu hari pun, amalan kebaikan padanya mempunyai 
kelebihan melainkan pada hari-hari ini – iaitu 10 hari Zulhijjah. 
   
  Para sahabat baginda bertanya, Apakah juga (pengecualian itu) termasuk jihad 
pada jalan Allah? Ujar Baginda, Tidak juga (termasuk) berjihad pada jalan Allah 
kecuali bagi seorang yang keluar dengan jiwa raga dan hartanya dan tidak 
membawa pulang apa-apa pun. 
   
  Imam Ahmad r.a. dari Ibnu Umar r.a. bahawa Rasulullah s.a.w bersabda, “Tiada 
suatu haripun, amalan kebaikan padanya mempunyai kelebihan melainkan pada 
hari-hari 10 Zulhijjah ini, oleh kerana itu perbanyakkanlah padanya tahlil (La 
Ilaha Illa Allah), takbir (Allah Akbar) dan tahmid (Alhamdu Lillah). 
   
  Ibnu Hibban di dam kitab Sahihnya meriwayatkan dari Jabir r.a. bahawa baginda 
s.a.w bersabda, “Seutama-utama hari adalah hari Arafah”. 
   
  Amalan yang dianjurkan padanya 
  1. Menunaikan ibadah haji dan umrah yang merupakan sebaik-baik amalan. Banyak 
hadis menyatakan kelebihan ibadah ini di antaranya : Sabda Nabi s.a.w.: “Satu 
umrah ke umrah yang lain menghapuskan (dosa) yang dilakukan di antara keduanya 
dan haji yang baik (diterima) tiada baginya balasan melainkan syurga”. 
   
  2. Berpuasa pada hari-hari tersebut atau sekadar kemampuannya – terutamanya 
pada hari Arafah. Tidak dinafikan bahawa puasa adalah di antara amalan yang 
terbaik dan ia adalah pilihan Allah seperti yang dinyatakan di dalam sebuah 
hadis qudsi, “Puasa itu adalah bagiKu dan Akulah yang membalasinya, dia 
meninggalkan keinginan nafsunya, makanan dan minumannya semata-mata keranaKu”.
   
  Imam Muslim meriwayatkan dari Abi Qatadah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w 
bersabda, Puasa pada hari Arafah, saya mengharap Allah akan menghapuskan (dosa) 
setahun yang lalu dan setahun yang mendatang. 
   
  3. Takbir (Allahu Akbar) dan berzikir padanya, firman Allah s.w.t yang 
bermaksud, (Dan supaya mereka menyebut nama Allah pada beberapa hari yang 
termaklum), hari-hari tersebut dijelaskan sebagai 10 hari di bulan Zulhijjah. 
Sebab itulah para ulama menyarankan supaya diperbanyakkan berzikir pada 
hari-hari tersebut sebagaimana mafhum hadis Ibnu Umar r.a. yang diriwayatkan 
oleh Imam Ahmad, di antaranya, “Oleh kerana itu perbanyakkanlah padanya tahlil 
(La Ilaha Illa Allah), takbir (Allah Akbar) dan tahmid (Alhamdulillah)”. 
   
  4. Bertaubat dan meninggalkan segala maksiat dan dosa, semoga dengan amalan 
baik dapat mencapai keampunan dan rahmat Allah. Ini kerana maksiat adalah punca 
kepada jauh dan terhindarnya seorang hamba dari rahmat Allah manakala ketaatan 
pula adalah punca dekat dan kasihnya Allah kepadanya. 
   
  5. Memperbanyakkan amalan soleh terutama amalan sunat tambahan seperti solat 
sunat, berjihad, membaca al-Quran, menyeru kepada kebaikan, mencegah 
kemungkaran dan seumpamanya kerana semuanya akan digandakan pada hari-hari 
tersebut. 
   
  Amalan yang dikerjakan ketika itu walaupun kecil tetapi ia lebih disukai oleh 
Allah dibandingkan pada hari-hari lain. Begitu juga amalan yang besar seperti 
berjihad di jalan Allah yang dikategorikan di antara amalan yang terbaik, 
tidaklah mendapat kehebatan pahala pada hari-hari itu melainkan apabila kuda 
(kenderaan) yang ditungganginya terbunuh (binasa) dan darahnya keluar (dia 
cedera atau mati syahid). 
   
  6. Disyariatkan bertakbir pada beberapa hari yang mulia itu pada waktu siang 
atau malam terutama selepas menunaikan fardu solat lima waktu yang dikerjakan 
secara berjemaah. 
   
  Bagi mereka yang tidak menunaikan ibadah haji, takbir bermula dari waktu 
subuh hari Arafah (9 Zulhijjah) dan bagi yang menunaikannya takbir bermula pada 
waktu Zuhur hari raya haji (10 Zulhijjah), semuanya berakhir sehingga waktu 
Asar pada hari ke-13 Zulhijjah. 
   
  7. Disyariatkan amalan korban (menyembelih haiwan ternakan) pada hari raya 
haji dan hari-hari Tasyriq (11, 12 dan 13 Zulhijjah). Ia merupakan sunah Nabi 
Ibrahim a.s. setelah Allah s.w.t mengujinya dengan perintah menyembelih anaknya 
Ismail tetapi ditebus ujian itu dengan digantikan seekor haiwan untuk 
disembelih. 
   
  8. Imam Muslim meriwayatkan dari Ummu Salamah r.a bahawa Nabi s.a.w bersabda, 
Apabila kamu telah melihat anak bulan Zulhijjah dan ada di kalangan kamu yang 
ingin berkorban (sembelih haiwan ternakan), hendaklah dia menahan dirinya dari 
(memotong) rambut dan kukunya, dan di dalam riwayat lain : “Maka janganlah dia 
memotong rambut dan kukunya sehinggalah dia berkorban. 
   
  Perintah (sunat) ini berkemungkinan ada persamaan dengan hukum bagi mereka 
yang membawa haiwan ternakan (ketika mengerjakan haji) dari kampung mereka yang 
telah dijelaskan oleh Allah, maksudnya, (Dan janganlah kamu mencukur rambut 
kamu sehinggalah haiwan ternakan (yang dibawa untuk dihadiahkan dagingnya 
kepada penduduk Mekah) itu sampai ke tempatnya). 
   
  Larangan (memotong rambut dan kuku) ini pada zahirnya adalah khusus kepada 
pemunya haiwan korban tersebut sahaja dan tidak termasuk isteri dan 
anak-anaknya melainkan mereka juga mempunyai haiwan seumpamanya, dan tidak 
mengapa jika yang berkenaan membasuh dan menggosok kepalanya kemudian terjatuh 
beberapa helai rambutnya. 
   
  9. Setiap muslim hendaklah berusaha menunaikan solat hari raya secara 
berjemaah, mendengar khutbah oleh imam selepas solat tersebut supaya mendapat 
pengajaran daripadanya. 
   
  Sepatutnyalah kita mengetahui hikmat di sebalik perayaan ini. Ia merupakan 
hari menyatakan kesyukuran dengan melakukan kebaikan. Janganlah pula dilakukan 
padanya perkara yang mendatangkan kemurkaan Allah dengan mengerjakan maksiat, 
kesombongan, pertengkaran dan sebagainya yang boleh menjadi sebab kepada 
terhapusnya amalan kebaikan yang dikerjakannya sebelum itu. 
   
  10. Penuhilah hari-hari berkenaan dengan ketaatan kepada Allah, berzikir, 
bersyukur, menunaikan perintah-Nya, menjauhi larangan-Nya, mendekatkan diri 
kepada-Nya semoga mendapat rahmat dan keampunan-Nya. 
   
  Peristiwa Sejarah Bulan Zulhijjah
   
  Di sebalik bulan Zulhijjah yang terkenal dengan bulan haji, ia juga 
mencatatkan beberapa peristiwa di dalam diari sejarah pembinaan dan perjuangan 
umat Islam. Ia menjadi nadi dan titik-tolak kepada pengukuhan akidah dan 
pemantapan sahsiah serta kekuatan ukhwah ummat di dalam meneruskan perjuangan 
Baginda s.a.w. Antara peristiwa tersebut adalah: 
   
  1. Nabi Muhammad s.a.w membawa dagangan Khadijah ke negeri Syam, di sana 
baginda diberitahu tentang kenabiannya oleh pendita Nasthurah. Ia berlaku pada 
tahun kelima sebelum pelantikan baginda menjadi nabi. 
   
  2. Peristiwa Baiah Al-Aqabah (perjanjian setia Al Aqabah) pada tahun ke-13 
selepas pelantikan baginda menjadi nabi. Ia disertai oleh 73 orang lelaki dan 2 
orang perempuan dari kaum Aus dan Khazraj. 
   
  3. Peperangan As Sawiq pada tahun kedua Hijrah, Nabi s.a.w keluar mengekori 
kumpulan Abu Sya’ban yang menceroboh dan memerangi penduduk pinggir kota 
Madinah. Semasa melarikan diri mereka mencampakkan guni-guni gandum yang dibawa 
bagi mempercepatkan perjalanan supaya tidak dapat diekori oleh baginda. 
   
  4. Pada 7 Zulhijjah tahun kelima Hijrah satu kumpulan tentera Islam dihantar 
ke perkampungan Bani Sulaim yang diketuai oleh Ibnu Abi Al ‘Arjak. 
   
  5. Kelahiran Ibrahim putera Nabi s.a.w pada tahun kelapan Hijrah, ibunya 
bernama Mariyah Al Qibtiyah. 
   
  6. Pada tahun ke-10 Hijrah, Nabi s.a.w mengerjakan ibadah Haji yang dikenali 
dengan Hajjatul Wada’. Di sana baginda menyampaikan amanat-amanatnya yang 
kesemuanya adalah peraturan dan aturcara kehidupan di dalam Islam. 
   
  7. Abu Bakar As Siddiq mengerjakan ibadah Haji bersama umat Islam selepas 
kewafatan Nabi s.a.w pada tahun 12 Hijrah. 
   
  8. Peperangan Dathin yang dipimpin oleh Umamah Al Bahiliy menentang tentera 
Rom, berakhir dengan kemenangan tentera Islam. 
   
  9. Kemenangan tentera Islam yang diketuai oleh Yazid bin Abi Sya’ban 
menentang tentera Rom yang dikepalai oleh Sarjius di dalam pertempuran Wadi 
‘Arabah di Palestin. 
   
  10. Pada tahun 23 Hijrah, Khalifah Umar Al Khattab meninggal dunia dibunuh 
oleh Abu Lu’luah Al Majusi. 
   
  11. Pelantikan Uthman bin ‘Affan sebagai khalifah yang dipilih sebulat suara 
oleh sebuah majlis Syura yang ditubuhkan oleh Umar Al Khattab sebelum 
kematiannya. 
   
  12. Pelantikan Ali bin Abi Talib sebagai khalifah menggantikan Uthman bin 
Affan pada tahun 35 Hijrah. 
   
  13. Kematian Yahya bin Aktham seorang ulama dan panglima tentera Islam pada 
tahun 242 Hijrah di Rabdah, sebuah kota di pinggir Madinah semasa berusia 82 
tahun, pernah menjadi hakim kota Basrah, kadi besar dan penasihat kerajaan.

       
---------------------------------
 
 Real people. Real questions. Real answers. Share what you know.

Kirim email ke