Jendela Hikmah: Makin ramai lupa fadilat Aidiladha  Oleh Tuan Yaacob Tuan Sof
http://qurban-aqiqah.jim.org.my/1428/    AIDILADHA yang dirayakan pada 10 
Zulhijah adalah tanda pengorbanan Nabi Ibrahim dan anaknya Ismail mentaati 
perintah Allah. Ia juga simbol perpaduan ummah apabila setiap tahun umat Islam 
berhimpun di Makkah untuk menunaikan ibadat haji. 

Sambutan hari raya ini oleh umat Islam di seluruh dunia mempunyai falsafahnya 
tersendiri. Hari raya adalah kurniaan Allah kepada orang Islam Ansar 
menggantikan amalan hari perayaan jahiliah sebelum kedatangan Islam di Madinah. 

Diriwayatkan Imam Abu Daud dan an-Nasai daripada Anas dalam hadis yang 
bermaksud: "Sesungguhnya Allah menggantikan untuk kamu yang lebih baik daripada 
keduanya iaitu Aidiladha dan Aidilfitri." 

    Ibn Taimiyah juga menyebut perayaan ini adalah suatu 'syariat' seperti 
ditegaskan dalam firman Allah yang bermaksud: "Bagi tiap-tiap umat yang ada di 
antara kamu, Kami jadikan (tetapkan) suatu syariat dan jalan agama atau ibadat 
(yang wajib diikuti oleh masing-masing)." (Surah Al Maidah, ayat 48) 

Oleh itu, perayaan yang diraikan umat Islam bukan semata-mata aktiviti sosial 
tetapi adalah satu ibadat yang dituntut dalam agama. 

Garis panduan merayakan Aidilfitri dan Aidiladha ada persamaan dan perbezaan. 
Jika pada Aidilfitri kita dilarang berpuasa pada hari raya pertama, pada 
sambutan Aidiladha dilarang berpuasa selama empat hari. 
   
  Bertakbir hanya sehari di Aidilfitri tetapi dituntut bertakbir selama empat 
hari berturut-turut di Aidiladha, disunatkan mengerjakan solat sunat hari raya, 
diwajibkan membayar zakat fitrah pada Aidilfitri tetapi disunatkan melakukan 
ibadat korban sebagai tanda ketakwaan dan keimanan terhadap Allah selepas solat 
sunat Aidiladha. 

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Tiada amal anak Adam yang lebih disukai 
Allah pada hari Aidiladha melainkan ibadat korban. Sesungguhnya binatang yang 
dikorbankan itu akan datang pada hari kiamat lengkap dengan tanduk, bulu dan 
kukunya. Sesungguhnya ibadat korban ini diredhai Allah sebelum darah binatang 
itu jatuh ke bumi. Maka hendaklah kamu berasa lapang dada dan reda akan ibadat 
korban yang kamu lakukan." (Hadis riwayat At-Tirmizi) 

Dapat difahami bahawa apa yang dituntut daripada ibadat korban ialah keredaan 
dan lapang dada kita untuk melakukan ibadat itu, bukan terpaksa, terikut-ikut 
atau untuk menunjuk-nunjuk. Apa yang akan sampai kepada Allah bukan daging, 
atau binatang korban tetapi ketakwaan yang mendorong kita melakukan ibadat 
korban. 

Allah berfirman yang bermaksud: "Daging dan darah binatang korban itu tidak 
sekali-kali sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepada-Nya ialah ketakwaan 
kamu. Demikianlah Ia memudahkan binatang itu bagi kamu, supaya kamu 
mengagungkan Allah atas apa yang Dia beri petunjuk kepada kamu. Dan 
sampaikanlah berita gembira kepada orang yang melakukan kebaikan." (Surah 
Al-Haj, ayat 37) 
  Perayaan Aidiladha berlangsung selama empat hari dari 10 Zulhijah hingga 14 
Zulhijah. Selama empat hari itu disunatkan berkorban dan daging korban akan 
diagih-agihkan kepada mereka yang miskin sebagai satu cara penyucian jiwa bagi 
mereka yang kaya. 

Kita juga sewajarnya menziarahi sanak-saudara dan keluarga terdekat serta 
kenalan untuk menguatkan ikatan persaudaraan sempena menyambut Aidiladha. 
Kegembiraan meraikan hari raya amat digalakkan dalam mentauhidkan Allah. 

Ibadat korban mencerminkan dua perkara. Pertama, ia adalah wasilah atau 
perantaraan bagi mengeratkan hubungan sesama anggota keluarga dan masyarakat. 
Kedua, ibadat korban mencerminkan sifat keihsanan yang sangat dianjurkan Islam. 

Tetapi apa yang berlaku di tanah air kita ialah semakin ramai menjadi kurang 
prihatin dan memahami tujuan sebenar sambutan hari raya seperti yang disarankan 
agama. Pada pertengahan Ramadan sudah berkumandang lagu raya seolah-olah kita 
lupa sebenarnya ibadat berpuasa menuntut pengorbanan nafsu yang tinggi. 

Media elektronik berlumba-lumba meraih penonton dengan menghidangkan pelbagai 
rancangan hiburan, hinggakan semakin ramai terpaku di hadapan televisyen dan 
amalan untuk menziarahi sanak saudara serta sahabat handai makin dilupakan. 

Cuti umum Aidiladha pula dianggap seperti hari cuti biasa, diisikan dengan 
tidur atau membasuh kereta. Mungkin ramai beranggapan Aidiladha khusus bagi 
mereka yang sedang menunaikan haji di Makkah menyebabkan ramai yang tidak 
berapa mengambil peduli untuk meraikan Aidiladha. 

Sudah sampai masanya kita kembali kepada al-Quran dan as-Sunnah untuk menyambut 
hari raya supaya pengisian yang dilakukan mendapat keredaan Allah. Wang untuk 
membeli pakaian baru adalah lebih baik digunakan untuk melaksanakan ibadat 
korban. 

Kemungkinan kita boleh meraikan Aidiladha tahun ini dengan mengorbankan seekor 
lembu yang dikongsi bersama ahli keluarga, kemudian daging korban diberikan 
kepada orang miskin atau komuniti orang asli supaya dapat merasai nikmat 
keimanan serta penghayatan Aidiladha. 

Firman Allah yang bermaksud: "Ceritakanlah kepada mereka kisah kedua-dua putera 
Adam (Habil dan Qabil) menurut yang sebenarnya ketika mereka mempersembahkan 
korban maka diterima daripada salah seorang daripada mereka berdua (Habil) dan 
tidak diterima dari yang lain (Qabil). Ia berkata (Qabil): Aku pasti 
membunuhmu! Berkata Habil: Sesungguhnya Allah hanya menerima korban daripada 
orang yang bertakwa." (Surah al-Maidah, ayat 27) 

Umat Islam mesti mengagungkan dan membesarkan hari perayaan agama mengikut 
konsep yang sebenarnya. Kita perlu mengetahui tujuan sebenar atau cerita di 
sebalik sambutan hari raya supaya mendapat rahmat daripada Allah. 

Penulis ialah Bendahari Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia yang menguruskan Dana 
Projek Cemerlang Korban secara on line yang boleh dilayari di 
http://qurban-aqiqah.jim.org.my/1428

   
   
   
  Bersama: MOHD. FARID RAVI ABDULLAH
  
SOALAN 1:
Apakah kelebihan berpuasa pada hari Afarah?
   
  JAWAPAN:
  Terdapat beberapa hadis yang sahih menggalakkan orang Islam yang tidak ke 
Tanah Suci Mekah supaya berpuasa pada hari Arafah. Di antara sabda Baginda 
bermaksud: Ditanya kepada Rasulullah s.a.w. berhubung puasa pada hari Arafah, 
maka Baginda bersabda: Berpuasa pada hari Arafah menghapuskan dosanya setahun 
sebelum dan setahun selepas. (riwayat Muslim).
   
  Daripada Abi Qatadah daripada Baginda Rasulullah s.a.w. bersabda yang 
bermaksud: Berpuasa pada hari Arafah, sesungguhnya aku mengharapkan daripada 
Allah agar dihapuskan dosa selama satu tahun sebelumnya dan satu tahun 
selepasnya. (riwayat Abu Daud, al-Nasie dan al-Tirmizi)
   
  Yang dimaksudkan setahun sebelum ialah setahun sebelum 9 Zulhijjah dan 
setahun selepasnya ialah setahun selepas 9 Zulhijjah, ini bermakna penghapusan 
dosa bagi dua tahun berturut-turut.
   
  Dua hadis di atas, jelas bahawa sunat kita berpuasa pada hari Arafah di 
dalam, Bab Puasa Sunat. Sebagai anak Adam kita tidak terlepas daripada 
melakukan dosa sama ada yang kita sedar ataupun tidak, kecil mahupun besar. 
Maka dengan adanya peluang sebegini adalah untuk manusia mengambil peluang 
bertaubat dan menginsafi diri.
   
  Bagi mereka yang ingin mengqada puasa wajibnya, sekiranya dia berpuasa pada 
hari Arafah dengan niat qada, puasanya sah dan pada masa yang sama mendapat 
ganjaran yang dijanjikan dalam hadis di atas. Ini tidak bermaksud menangguhkan 
puasa wajib qada sehingga hari Arafah, ini kerana qada puasa wajib perlu 
disegerakan. Namun jika ada yang ingin mengqada tidaklah terlepas daripada 
ganjaran yang dijanjikan. Kerana yang wajib itu sifatnya kulliy dan sunat 
Arafah ialah juz’iy. apabila kulliy bertemu dengan juz’iy, maka juz’iy ikut 
sekali. Ini juga kerana adanya musaadafah bertemu yang wajib dengan sunat yang 
mempunyai fadilat, maka fadilat akan diperoleh oleh orang yang berpuasa pada 
hari Arafah.
   
  SOALAN 2:
   
  Saya seorang lelaki gay tetapi dari luaran kelihatan seperti lelaki normal. 
  Seingat saya tidak pernah melalui pengalaman pahit sehingga menjadikan saya 
begini. Sekarang umur saya hampir mencecah 30-an. Saya bukan seorang gay yang 
aktif tetapi pernah mempunyai pasangan sesama jantina. 
  Sejak kebelakangan saya mula berfikir hidup begini tidak ke mana (melukakan, 
kesunyian dan kebanyakannya berorientasikan seks semata-mata) dan dilaknat 
Allah. Apa yang harus saya lakukan?
   
  JAWAPAN:
   
  Apa yang berlaku dan kecenderungan saudara adalah sesuatu yang tidak normal 
bagi seorang lelaki. Allah s.w.t. menjadikan pasangan bagi manusia adalah kaum 
lain jenis, lelaki sukakan perempuan dan begitu sebaliknya. Ini yang dinamakan 
fitrah tabie manusia. Apabila seorang lelaki atau seorang perempuan sukakan 
jenis yang sama, malahan sanggup melakukan perbuatan yang terkutuk di sisi 
agama. Puncanya manusia hilang hala tuju kehidupan yang sebenar. Setiap orang 
perlu melihat kepada asal usul kejadiannya. 
   
  Jika dilahirkan sebagai seorang lelaki maksudnya Allah mahukan dia menjadi 
lelaki dengan memenuhi segala ciri yang perlu ada pada seorang lelaki, ini 
termasuklah persoalan kecenderungan nafsu. Lelaki suka dengan perempuan adalah 
normal tetapi apabila lelaki suka pada lelaki itu sudah tidak normal.
   
  Cuba lihat kepada perkataan “tidak normal”, apa perasaan saudara bila saudara 
tergolong dalam golongan tidak normal? Maksudnya tidak seperti lelaki-lelaki 
lain, pelik, buruk perangai, orang tak suka, Allah murka. Orang yang tabiatnya 
tidak normal hebat atau hina? Punca yang lain ialah gagal mengawal nafsu. 
  Sedangkan nafsu dalam banyak keadaan mengajak manusia melakukan 
perkara-perkara yang bertentangan dengan kehendak fitrah.
   
  Nafsu perlu dikawal, perlu dibenteng dengan amal ibadat. Di antara amalan 
yang dapat mengawal nafsu ialah memperbanyakkan zikir, membaca al-Quran, 
bersedekah, solat berjemaah, hadir majlis-majlis ilmu. Ini di antara imunisasi 
sebagai antibodi bagi mengawal nafsu. 
   
  Seterusnya berusaha dengan bersungguh-sungguh daripada melibatkan apa sahaja 
aktiviti yang boleh mengundang kepada rasa minat kepada kaum sejenis. Ada 
kalanya cara berfikir juga mempengaruhi perasaan seseorang, suka berfikir dan 
berkhayal menjadi punca berikutnya seseorang itu merangsang minatnya pada kaum 
sejenis. Saya yakin perkara sebegini tidak akan berlaku kepada orang yang 
berfikiran positif. 
   
  Apa dikhuatiri ialah bila sesuatu perkara yang tidak baik sudah dianggap alah 
bisa tegal biasa. Sudah seronok, tak peduli dengan hukum Allah, tak kisah kalau 
Nabi tak mengaku umat, tak kisah bercanggah dengan adat. 
   
  Saudara masih belum terlambat, keinginan saudara untuk berubah sudah ada, 
bila saudara mahu bertanya tanpa berselindung adalah gambaran awal saudara mahu 
berubah. Di dalam al-Quran dan hadis banyak menceritakan mengenai kaum Nabi Lut 
a.s. Firman Allah: Sesungguhnya kamu mendatangi lelaki untuk memuaskan nafsu 
syahwat kamu Dengan meninggalkan perempuan, bahkan kamu ini adalah kaum Yang 
melampaui batas. (al-‘Araf: 81 ). 
   
  Kemurkaan Allah ke atas kaum ini jelas apabila perkampungan kaum Nabi Lut 
a.s. diterbalikkan. Firman Allah yang bermaksud: Akhirnya Merekapun dibinasakan 
oleh letusan suara yang menggempakan bumi, ketika matahari terbit. Maka Kami 
jadikan negeri kaum Lut itu tunggang-balik (tertimbus Segala Yang ada di muka 
buminya), dan Kami hujani atasnya Dengan batu dari tanah Yang dibakar. 
(al-Hijr: 73-74 ).
   
  Allah menjadikan perkampungan kaum Nabi Lut yang diterbalikkan itu sebagai 
kesan peninggalan sejarah serta bukti kemurkaan Allah.
   
  Ini jelas dalam firmannya yang bermaksud: Dan Kami tinggalkan di negeri itu 
(timbunan batu-batu Yang telah menghujani dan membinasakan mereka), sebagai 
tanda (yang mendatangkan keinsafan) bagi orang-orang yang sedia takut kepada 
azab siksa yang tidak terperi sakitnya. (al-Dzariyaat: 37). 
   
  Kebanyakan ahli sejarah menyebut bahawa Laut Mati yang terletak di bumi 
Jordan itu asalnya perkampungan kaum Nabi Lut a.s. Maksudnya Allah akan 
membinasakan sesuatu kaum yang melanggar perintahnya, apatah lagi jika 
melanggar fitrah yang telah dijadikan bagi manusia mengikut kehendak takdirnya. 
   
  Tiada yang tidak boleh berubah, hatta takdir Allah juga boleh berubah dengan 
doa yang mustajab. 
   
  Bina kehidupan saudara menjadi lelaki yang normal, berkahwin, mendidik isteri 
dan anak-anak. Tanggungjawab sebagai seorang lelaki cukup mencabar, jika 
kehidupan ini dicemari dengan nilai-nilai yang negatif apa erti kita menjadi 
manusia? 
   
  Kita adalah sebaik-baik kejadian. Kita telah dan akan terus mulia jika kita 
menjadi insan yang soleh, taat kepada Allah dan Rasul-Nya serta mengaplikasikan 
etika hidup yang harmoni.

       
---------------------------------
 
 Real people. Real questions. Real answers. Share what you know.

Kirim email ke