Kali ini saya akan menulis tentang memahami mesej Al-Qur'an. Apa yang dikatakan sebagai Tafsir Al-Qur'an yang terdapat dalam buku-buku terjemahan Al-Qur'an dalam Bahasa Melayu atau Bahasa Inggeris hanyalah setakat terjemahan, BUKAN tafsir Al-Qur'an yang sebenarnya. Jika anda membaca sebuah buku berupa terjemahan Al-Qur'an anda tidak boleh berkata bahawa itu adalah Al-Qur'an yang sebenarnya.
Al-Qur'an yang sebenarnya ialah yang wujud dalam Bahasa Arab dan pentafsiran hendaklah difahami mengikut kaidah-kaidah bahasa Arab, bukannya bahasa lain. Ini mengikut ayat yang bermaksud: "Kami telah turunkannya (Al-Qur'an) dalam Bahasa Arab semoga kamu berfikir" [Surah Yusuf (12):2] Oleh itu jika kita melihat ada orang yang mengajar tafsir Al-Qur'an dan dia semata-mata membaca buku terjemahan dan tidak merujuk kepada kaidah-kaidah nahu dan 'irab bahasa Arab, maka itu adalah salah dan tidak bersifat amanah. Jika kita melihat orang itu bersyarah berjela-jela tentang ayat-ayat Al-Qur'an sedangkan dia tidak mahir dalam ilmu-ilmu kaidah, maka dia itu mencampuradukkan kebenaran dengan pembohongan. Syarahannya itu adalah terpesong dan dibuat-buat. Dengan itu, untuk mengetahui tafsiran Al-Qur'an yang sebenarnya, hendaklah dibaca daripada kitab-kitab tafsir yang ditulis oleh ulama-ulama tafsir dahulu kala yang berwibawa. Anda mestilah bertanya kitab tafsir apa yang dia baca dan mengajar. Jika ada orang berkata, si ustaz atau tok guru itu mengajar, sebagai contohnya, kitab Tafsir Jalalain, maka orang yang mengajar itu berada atas jalan yang benar. Jika dia membaca dan mengajar buku Terjemahan Al-Qur'an, hendaklah kita berhati-hati kerana orang yang mengajar itu TIDAK memahami Al-Qur'an. Kitab Tafsir Jalalain walaupun sebuah kitab tafsir yang kecil, tapi isi kandungan adalah saringan daripada pentafsiran ulama-ulama tafsir dalam bahasa Arab. Tafsir Jalalain itu amat berhati-hati dalam memperkatakan tentang tafsir Al-Qur'an. Dalamnya dikupas tentang lughah, nahu, qiiraat, balaghah, asbabun-nuzul, dan 'iraab. Saya melihat ramai orang yang mengajar tafsir Al-Qur'an, tetapi terpesung daripada maksud asal yang terdapat dalam kitab-kitab tafsir dalam bahasa Arab. Ini kerana mengajar tafsir berdasarkan terjemahan adalah tidak tepat. Sebagai contoh lagi, sila anda lihat kitab tafsir Al-Baidhawi, sebuah kitab tafsir yang sederhana saiznya, tetapi telah dihuraikan dengan lebih panjang oleh ulama-ulama tafsir agar kitab tafsir Al-Baidhawi yang agak "rengkas" itu tidak disalah faham oleh pembaca yang kurang pengalaman. Kita dengar nama-nama seperti Hasyiah Syeikh Zadah dan Hasyiah Al-Khafaji yang merupakan peringatan tambahan kepada tafsir asal Al-Baidhawi. Oleh kerana di zaman ini timbulnya trend orang-orang yang bersyarah dan mengajar tapi tidak sedar mereka sebenarnya memutarbelitkan ayat-ayat Al-Qur'an. Kitab Tafsir Al-Jalalain sendiri ada dua hasyiahnya, iaitu Hasyiah Al-Jamal dan Hasyiah As-Sowi. Jika anda meminati limu tafsir Al-Qur'an, sebaik-baiknya hendak anda pelajari ilmu nahu bahasa Arab secara sempurna daripada kitab-kitab nahu ulama silam seperti Ibnu Aqeel dan Ibnu Hisham. Mereka adalah ulama-ulama dahulu kala yang muktabar keilmuan mereka dan sangat cermat. Kemudian bacalah kitab-kitab tafsir seperti Ar-Razi, Al-Qurtubi dan Al-Alusi. Jika anda berminat tentang tafsir secara riwayat, boleh dipilih Tafsir Ibnu Kathir. Jika anda ingin tahu tentang kisah-kisah, bacalah tafsir Al-Khazin. Jika anda ingin menempuh lautan ilmu tafsir yang meluas, bacalah Tafsir Al-Alusi. Jika anda mahu tahu intisari tafsir-tafsir secara rengkas, bacalah Sofwatut-Tafasir oleh Muhd Ali As-Sobuni, dan tafsir-tafsir oleh Dr Wahbah Az-Zuhaili. Ada orang yang menggunakan kitab-kitab tafsir susunan Dr Wahbah Az-Zuhaili, itu boleh dan baik bagi manusia moden. Ini kerana Dr Wahbah telah membuat sumbangan besar dengan memetik isi dan mesej daripada kitab-kitab tafsir muktabar ulama-ulama terdahulu, dimuatkan ke dalam kitab-kitab susunannya, contohnya, Tafsir Al-Munir.