Mengenali Ciri-ciri ‘Ulama

http://aqidah-wa-manhaj.blogspot.com

Pernah terjadi sebuah kisah di era para sahabat yang diredhai, di mana ‘Umar 
al-Khaththab radhiyallahu ‘anhu membawa (mengangkat) Ibnu ‘Abbas radhiyallahu 
‘anhu yang masih tersangat muda ke dalam sebuah majlis perbincangan di antara 
para sahabat yang lebih senior (utama) dari kalangan ahli Badar (peserta perang 
Badar). Ini dilakukan oleh ‘Umar adalah di antaranya berdasarkan kepada 
keilmuan Ibnu ‘Abbas yang tinggi dan matang. Ia berlaku tanpa mengira usia dan 
kedudukan. Apatah lagi apabila beliau (Ibnu ‘Abbas) telah didoakan oleh 
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam dengan doa, “Ya Allah faqihkanlah dia 
di dalam urusan agama, dan ajarkanlah padanya ilmu ta’wil (ilmu tafsir).”

Begitu juga dengan halnya Usamah bin Zaid radhiyallahu ‘anhu yang diangkat oleh 
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam sebagai seorang panglima Perang sejak 
usianya semuda 17 tahun lagi. Dan beliau juga terus diberikan tanggungjawab 
tersebut di era Abu Bakar radhiyallahu ‘anhu.

Setelah itu, kita juga pasti pernah mendengar tentang imam asy-Syafi’i 
rahimahullah yang dibenarkan memberi fatwa (mengeluarkan pendapat) kepada 
masyarakat seawal usia belasan tahun oleh gurunya.

Dari beberapa situasai yang disebutkan ini, jelas bahawa umur bukanlah ukuran 
yang muktamad untuk menentukan keilmuan seseorang.

Pernahkah kita membaca atau mendengar bagaimana imam Malik bin Anas, imam Ahmad 
bin Hanbal, Syaikh al-Islam Ibnu Taimiyyah, dan beberapa ulama lainnya yang 
berfatwa dari dalam penjara? Jika kita perhatikan dari kisah ini, bukankah ia 
juga dapat menterjemahkan kepada kita bahawa kriteria seseorang ulama itu 
bukanlah semestinya mereka berada di dalam barisan Majlis Fatwa Negara, Dewan 
Ulama, atau pun yang menyandang jawatan-jawatan khas hal ehwal agama tertentu 
di dalam Negaranya. Bahkan pernah terjadi di zaman mereka ini orang-orang yang 
menyandang jawatan keagamaan adalah dari kalangan Jahmiyah dan Muktazilah yang 
menyelewengkan begitu banyak perkara-perkara agama.

Di dalam beberapa kisah yang lain pula, pernah berlaku di mana 'Ali 
Radhiyallahu ‘anhu mengerahkan tentera memerangi sekumpulan manusia yang tekun 
beribadah seperti rajin solat malam, selalu berpuasa, dan membaca al-Qur’an, 
yang mana akhirnya kumpulan manusia tersebut habis ditewaskan. Ini berlaku 
adalah kerana mereka menyelisihi manhaj para sahabat dalam memahami agama dan 
berpisah dari ketaatan terhadap pemerintah (menjadi pemberontak).

Ini adalah sebagaimana yang dijelaskan melalui hadis Rasulullah Shallallahu 
‘alaihi wa Sallam dari Abu Sa’id al-Khudri radhiyallahu ‘anhu yang menjelaskan 
bahawa tekun beribadah semata-mata bukanlah sebuah jaminan bahawa seseorang itu 
berada di atas landasan yang benar, apatah lagi untuk meletakkan mereka di 
dalam barisan alim ulama.

“Akan datang kepada kalian suatu kaum yang kalian akan merasa rendah apabila 
solat kalian dibandingkan dengan solat mereka, puasa kalian dibandingkan dengan 
puasa mereka, amal-amal kalian dibandingkan dengan amal-amal mereka. Mereka 
membaca al-Qur’an (tetapi) tidak melewati kerongkongan mereka. Mereka meleset 
(keluar) dari (batas-batas) agama seperti terlepasnya anak panah dari (sasaran) 
buruannya.” (Muttafaqun ‘alaihi, dari Abu Sa’id al-Khudri)

Maka, dari itu apakah kriteria-kriteria yang tepat untuk meletakkan seseorang 
itu sebagai manusia yang layak dipanggil atau digelar sebagai ulama? Sekaligus 
tidaklah setiap orang itu bermudah-mudah dalam mengkategorikan sesiapa sahaja 
sebagai ulama yang wajar dijadikan sebagai contoh atau ikutan (diambil 
pendapatnya) dan berhak mengeluarkan fatwa (menyelesaikan masalah masyarakat 
dan umat Islam).

Seorang tabi’in besar, Muhammad bin Sirin rahimahullah berkata:

“Sesungguhnya ilmu ini adalah dien (petunjuk yang memangkin kehidupan), oleh 
itu telitilah dengan baik dari siapa kamu mengambil ilmu agama.” (Diriwayatkan 
oleh Muslim sebagaimana di dalam Muqaddimah kitab Shahihnya)

Berikut kita perhatikan satu persatu beberapa kriteria utama yang wajar ada 
kepada para alim atau ulama. Seterusnya, kita dapat menjadikan mereka sebagai 
manusia rujukan yang boleh kita ambil pendapat-pendapatnya di dalam pelbagai 
persoalan agama dan permasalahan-permasalahan yang mendatang.

1 – Mereka adalah orang yang paling takut dan paling taat kepada Allah, 
disebabkan mereka sangat mengenali Allah Subhanahu wa Ta’ala berdasarkan ilmu 
yang benar.

“Sesungguhnya dari kalangan hamba Allah yang paling takut (tunduk) kepada-Nya 
adalah para ulama (orang yang berilmu).” (Surah Fathir, 35: 28)

“Katakanlah: “Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang 
tidak mengetahui?”.” (Surah az-Zumar, 39: 9)

2 – Mewarisi dan menyampaikan apa yang disampaikan oleh Nabi Shallallahu 
‘alaihi wa Sallam berupa al-Qur’an, hadis-hadis dan sunnahnya bersertakan 
kefahaman yang benar (faqih).

Daripada Abu Darda’, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

“Sesungguhnya para ulama itu adalah pewaris para Nabi. Dan para Nabi itu 
tidaklah mewariskan dinar mahu pun dirham. Namun, mereka mewariskan ilmu. Maka, 
sesiapa yang mengambil ilmu tersebut, sungguh dia telah mendapat bahagian yang 
sangat besar.” (Hadis Riwayat Abu Daud. Sahih Menurut penilaian al-Albani di 
dalam Shahih Sunan Abi Daud)

Berkata Ibnu Hibban rahimahullah: "Di dalam hadis ini terdapat penjelasan yang 
sangat jelas bahawa ulama yang memiliki keutamaan yang kami singgung adalah 
mereka yang mengajarkan ilmu Nabi shallallahu 'alaihi wa Sallam saja, bukan 
yang mengajarkan ilmu-ilmu lain. Bukankah Nabi Shallallahu 'alaihi wa Sallam 
bersabda: "Ulama adalah pewaris para nabi," dan para nabi tidak mewariskan apa 
pun selain ilmu dan ilmu Nabi kita Shallallahu 'alaihi wa Sallam adalah 
sunnahnya. Siapa pun yang tidak mengetahui sunnah bukanlah pewaris para nabi." 
(Lihat: Sahih Ibnu Hibban hadis no.88, tahqiq Syaikh Syua'ib al-Arna'uth)

Ilmu di sini adalah meliputi sehingga kepada seluruh cabang-cabang ilmu dalam 
agama, sama ada aqidah, hadis, tafsir, fiqh, atsar para sahabat dan termasuklah 
penguasaan bahasa/lughah (bahasa arab). (Rujuk perkataan imam al-Ashbahani 
rahimahullah di point no. 4)

Juga sabdanya:

“Ilmu agama ini akan terus dibawa oleh orang-orang yang adil (terpercaya dan 
bukan fasiq) dari generasi ke generasi, yang selalu berjuang membersihkan 
agama...” (Shahih menurut penilaian al-Albani di dalam Misykah al-Mashabih)

3 – Memiliki sifat tsiqah (dipercayai/adil) bagi tujuan membawa dan menjaga 
agama dari sebarang bentuk penyelewengan serta perubahan terhadapnya.

“Ilmu agama ini akan terus dibawa oleh orang-orang yang adil (terpercaya dan 
bukan fasiq) dari generasi ke generasi, yang selalu berjuang membersihkan agama 
ini dari:

1 - Tahriful Ghalin (Penyelewengan maksud-maksud agama)
2 – Intihalul Mubthilin (Pendustaan orang-orang sesat yang mempergunakan nama 
agama)
3 – Ta’wilul Jahilin (Penta’wilan agama yang salah yang dilakukan oleh 
orang-orang yang jahil.”

(Shahih menurut penilaian al-Albani di dalam Misykah al-Mashabih)

4 – Memiliki ilmu yang mendalam terhadap agama dan mampu menganalisa serta 
merungkaikan kepelbagaian persoalan.

“Maka keluarlah Qarun kepada kaumnya di atas kemegahannya. Berkatalah 
orang-orang yang sangat ingin kepada kehidupan dunia: “Moga-moga kiranya kita 
mempunyai seperti apa yang telah diberikan kepada Qarun, sesungguhnya dia 
benar-benar memiliki keuntungan yang besar”. Berkatalah orang-orang yang 
dikurniakan dengan ilmu: “Kecelakaan besarlah bagimu, pahala Allah adalah lebih 
baik bagi orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan tidak diperolehi 
pahala itu, melainkan oleh orang-orang yang sabar”.” (Surah al-Qasas, 28: 79-80)

“Dan itulah contoh-contoh yang kami buat untuk manusia, dan tiada yang 
memahaminya melainkan orang-orang yang berilmu.” (Surah al-Ankabut, 29: 43)

“Dan apabila datang kepada mereka suatu berita tentang keamanan atau pun 
ketakutan, mereka lalu menyiarkannya. Dan sekiranya mereka menyerahkannya 
kepada Rasul dan Ulil Amri (para ulama) di antara mereka, tentulah orang-orang 
yang ingin mengetahui kebenarannya (akan dapat) mengetahuinya dari mereka 
(Rasul dan Ulil Amri). Jika tidak disebabkan kurnia dan rahmat Allah kepada 
kamu, tentulah kamu mengikuti syaitan, kecuali sebahagian kecil saja (di 
antaramu).” (Surah an-Nisaa’, 4: 83)

Abu Qasim al-Ashbahani (rahimahullah) memberitahu kepada kita, dia berkata:

“...seseorang dapat menjadi pemimpin di dalam agama (menjadi ulama), dan ahlul 
kalam (para pemikir atau ahli falsafah) tidaklah termasuk ulama.

Para ulama Salaf berkata, “Seseorang tidak boleh menjadi imam di dalam agama 
sehingga dia memiliki kriteria berikut: 1 - Memahami bahasa arab berserta 
pelbagai perkara yang berhubung dengannya, menguasai makna-makna syair arab, 2 
- memahami perbezaan pendapat di antara para ulama atau ahli fiqh, 3 - seorang 
yang berilmu, 4 - mengerti tentang i’rab (tatabahasa arab dari kata per kata), 
5 - memahami al-Qur’an berserta bacaan-bacaannya, perbezaan di antara para 
qurra’ (para periwayat bacaan al-Qur’an), 6 - menguasai tafsir sama ada 
berkaitan ayat-ayat muhkam (yang jelas) atau pun mutasyabihat (yang 
samar-samar), yang nasikh (yang memansuhkan) mahu pun yang mansukh (yang 
dimansuhkan) serta pelbagai kisah di dalamnya, 7 - memahami hadis-hadis 
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, dapat membezakan di antara yang sahih 
dan sebaliknya, yang bersambung atau pun terputus, hadis-hadis mursal dan 
sanad-sanadnya, yang masyhur, yang gharib, 8 - serta mengetahui 
perkataan-perkataan (atsar) para Sahabat radhiyallahu ‘anhum, 9 – kemudian dia 
harus wara’, menjaga diri, jujur, terpercaya, membina (mengeluarkan) pendapat 
dan agamanya berpandukan kitabullah dan sunnah Rasul-Nya”.” (Tsaqil Shalfiq 
al-Qasimi, Membantai Ahlul Ahwa dan Bid’ah, Pustaka as-Sunnah, m/s. 85-86)

5 – Menegakkan tauhid dan menegakkan keadilan. Tidak menyembunyikan ilmu serta 
sentiasa menyebarkan kebenaran dengan cara mengajarkan ilmu, menerapkan 
nilai-nilai agama, mengajak kepada kebaikan, dan melarang manusia dari segala 
bentuk kemungkaran.

“Allah menyatakan bahwasanya tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Dia, 
Yang menegakkan keadilan. Para Malaikat dan orang-orang yang berilmu (juga 
menyatakan yang demikian itu).” (Surah Ali ‘Imran, 3: 18)

“Akan sentiasa ada segolongan dari umatku (dari kalangan orang yang berilmu) 
yang membela kebenaran. Tidak akan membahayakan mereka orang-orang yang 
menghina dan yang menyelisihi mereka, sehinggalah datang hari kiamat (ketetapan 
Allah)”.” (Hadis Riwayat Muslim)

6 – Menjadi tempat rujukan masyarakat sebagaimana yang diperintahkan oleh Allah 
supaya sentiasa merujuk kepada orang yang mengetahui (berilmu).

“Dan apabila datang kepada mereka suatu berita tentang keamanan atau pun 
ketakutan, mereka lalu menyiarkannya. Dan sekiranya mereka menyerahkannya 
kepada Rasul dan Ulil Amri (para ulama) di antara mereka, tentulah orang-orang 
yang ingin mengetahui kebenarannya (akan dapat) mengetahuinya dari mereka 
(Rasul dan Ulil Amri). Jika tidak disebabkan kurnia dan rahmat Allah kepada 
kamu, tentulah kamu mengikuti syaitan, kecuali sebahagian kecil saja (di 
antaramu).” (Surah an-Nisaa’, 4: 83)

“Bertanyalah kamu kepada ahluz zikri (orang yang berilmu iaitu dari kalangan 
ulama) apabila kamu tidak mengetahui.” (Surah an-Nahl, 16: 43)

Ibnu Qutaibah rahimahullah berkata:

“Sekiranya masalah yang rumit di antara kedua perkara tersebut dikembalikan 
kepada orang yang berilmu yang memahami al-Qur’an dan as-Sunnah, maka jelaslah 
bagi mereka manhaj itu dan jalan keluarnya pun menjadi luas, tetapi ada sesuatu 
yang menghalanginya iaitu mencari kekuasaan, suka mengikut keyakinan dan 
perkataan-perkataan saudara-saudaranya.” (al-Ibanah, 1/188. Dinukil dari Tsaqil 
Shalfiq al-Qasimi, Membantai Ahlul Ahwa dan Bid’ah, Pustaka as-Sunnah, m/s. 83)

Demikianlah beberapa kriteria yang dapat disenaraikan dari beberapa sumber 
rujukan berkenaan ciri-ciri ulama. Dengan itu agar kita tidak bermudah-mudah 
mengangkat seseorang sebagai ulama atau sesebuah pendapat manusia tertentu 
untuk dijadikan sebagai fatwa sekaligus sebagai rujukan di dalam agama.

Malah imam Malik rahimahullah sendiri pernah berkata dengan tegas:

“Seseorang tidak layak memandang dirinya telah wajar untuk mengeluarkan 
pendapat (fatwa) sehingga dia bertanya (tentang dirinya) kepada orang yang 
lebih ahli (berilmu) daripada dirinya.” (Diriwayatkan oleh Abu Na’aim dan 
al-Baihaqi)


@Brother Nawawi
+60126887715
YM: nawi...@yahoo.com
MSN: dimens...@hotmail.com
http://an-nawawi.blogspot.com
http://galeriniaga.blogspot.com



_________________________________________________________________
Hotmail is redefining busy with tools for the New Busy. Get more from your 
inbox.
http://www.windowslive.com/campaign/thenewbusy?ocid=PID27925::T:WLMTAGL:ON:WL:en-US:WM_HMP:032010_2

Kirim email ke