Khutbah Jumaat
4 July 2008 / 1 Rejab 1429
Mengukuhkan Hubungan Bersama Allah
Melalui Amal Soleh
 
 
Saudaraku yang dirahmati Allah
Marilah kita tingkatkan ketaqwaan kita kepada Allah. Segeralah laksanakan 
segala suruhannya, dan berusahalah sedaya upaya kita untuk meninggalkan segala 
tegahannya. Semoga kita termasuk dalam golongan yang berjaya di dunia dan 
akhirat.
 
Maasyiral Muslimin rahimakumullah
Jiwa orang yang beriman akan sentiasa rindu dengan Penciptanya. Rindu untuk 
bermunajat kepada Allah. Rindu untuk mengingat Allah. Rindu untuk menangis 
mengenang dosa dan kesilapan. Rindu untuk membersihkan jiwa dan mensucikan 
hatinya. Rindu untuk mengukuhkan dan memperbaiki jalinan dan hubungan dirinya 
bersama Penciptanya.
 
Kerana itulah, Allah SWT, Tuhan Yang Maha Pengasih lagi Penyayang kepada 
hamba-hambanya, menganugerahkankan kita dengan waktu-waktu khusus lagi afdhal, 
agar kita lebih bersemangat dan terdorong untuk mendekatkan
diri dengan Allah SWT.
 
Sebagai contoh, dalam sehari telah disediakan waktu-waktu seperti sepertiga 
akhir malam, waktu selepas Subuh sehingga matahari terbit dan waktu antara 
Maghrib dan Isyak.
 
Dalam seminggu pula Allah SWT telah menganugerahkan kepada hamba-hambanya hari 
Jumaat sebagai sayyidul ayyam, penghulu segala hari.
 
Allah SWT juga mengkhususkan hari-hari tertentu dalam sebulan bagi 
hamba-hambaNya yang ingin mendekatkan diri mereka kepadaNya.
 
Sebagai contoh, berpuasa 3 hari dalam sebulan. Telah dikhabarkan bahawa 
Rasulullah SAW tidak pernah meninggalkan puasa tiga hari pada hari-hari terang 
bulan (Ayyamul Baidh). Rasulullah SAW bersabda:Maksudnya: Nabi Nuh AS berpuasa 
sepanjang masa. Nabi Daud AS berpuasa setengah dari sepanjang masa, kerana 
beliau berpuasa dan berbuka selang-seli. Manakala Nabi Ibrahim berpuasa 
sepanjang masa dan berbuka sepanjang masa, kerana beliau berpuasa tiga hari 
pada setiap
bulan. (Hadith Riwayat At-Tabrani dan Al-Baihaqi)
 
Tidak cukup dengan itu, Allah SWT telah mengkhususkan untuk hamba-hambaNya 
bulan-bulan tertentu dalam setahun, yang mana ganjaran pahala yang 
dianugerahkan dilipat ganda.
 
Saudaraku
Begitu luasnya rahmat Allah SWT pada kita. Alhamdulillah, kita sekarang ini 
dapat bertemu dengan bulan mulia Rejab. Ia digelar sebagai pintu bagi 
bulan-bulan yang mulia. Selepas Rejab, akan tiba pula bulan Syaaban dan 
Ramadhan. Tiga bulan yang mulia yang mana Rasulullah s.a.w. banyak berpuasa 
didalamnya.
 
Hari ini adalah hari pertama bulan Rejab. Sesungguhnya orang-orang mukmin akan 
menggunakan bulan Rejab dan bulan Syaaban sebagai persiapan untuk menghadapi 
bulan yang termulia iaitu bulan Ramadhan. Mereka mula membersihkan hati mereka 
sebelum menghadapi bulan Ramadhan yang mulia, agar apabila datang bulan 
Ramadhan, hati mereka sudah bersedia untuk menerima cahaya dari Allah, rahmat 
dan kelebihan dari Allah. Inilah ciri-ciri orang mukmin. Rasulullah SAW setiap 
kali masuk bulan Rejab,
 
Baginda akan berdoa:
 
 "Ya Allah! Berkatilah untuk kami dalam bulan Rejab dan Syaaban, dan 
sampaikanlah kami ke bulan Ramadhan"(Hadith riwayat Imam Ahmad)
 
Inilah doa yang sepatutnya kita membacanya bermula dari hari ini. Agar kita 
diberkati oleh Allah pada bulan ini (Rejab) dan bulan akan datang (Syaaban). 
Dan agar kita dapat bertemu dengan bulan Ramadhan yang mulia.
Perbanyakkanlah ibadat pada bulan-bulan yang mulia ini.
 
Saudaraku
Tidakkah kita mahu merebut peluang ini? Sepertimana kita ingin bonus gaji kita 
setiap tahun, lihatlah bagaimana Allah menyediakan bonus pahala untuk kita. 
Selain dari ganjaran Ilahi, ia terdapat  pengajaran yang lebih utama yang perlu 
kita hayati.
 
Pertama ialah ini merupakan peluang keemasan untuk kita menjernihkan dan 
memperbaiki hubungan kita dengan Allah SWT, Tuhan yang Maha berkuasa, bagiNya 
kerajaan di langit dan di bumi, dan bagiNya segala kekuasaan dan
kekuatan.
 
Maka prinsip kehidupan orang-orang yang beriman adalah begitu jelas.Tiada 
kekuatan dan keupayaan melainkan semuanya milik Allah SWT.
 
Kedua ialah ibadah yang telah disyariatkan akan menjernihkan rohani kita, dan 
mencantikkan akhlak dan tingkah laku kita. Kerana ibadah yang sebenar akan 
mencernakan segala amal kebaikan dan kebajikan.
 
Sebagai contoh, dengan beramal ibadah, rohani kita semakin kuat, kita tidak 
bermalas-malasan untuk menunaikan tanggungjawab. Dengan rohani yang kukuh, 
sifat rahmat kita semangkin menebal. Kita suka membantu dan menolong yang 
memerlukan. Dengan rohani yang tinggi, kita sentiasa inginkan kebaikan pada 
sesiapa sahaja.
 
Setiap dari kita memainkan peranan. Ingatlah, tiada satu amal kebaikan yang 
terlalu kecil di sisi Allah SWT, melainkan akan diberi ganjaran yang setimpal. 
Ini bertepatan dengan firman Allah SWT.
 
Maksudnya: "Sesiapa yang beramal soleh, dari lelaki atau perempuan, sedang ia 
beriman, maka sesungguhnya Kami akan menghidupkan dia dengan kehidupan yang 
baik; dan sesungguhnya kami akan membalas mereka, dengan memberikan pahala yang 
lebih dari apa yang mereka telah kerjakan."
(Surah Al-nahl ayat 97)
 
Inilah sebenarnya hasil dari amal ibadah yang dilakukan. Dari itu, adalah 
penting kita menghayati ruh ibadah dan sebab di sebalik setiap amalan yang kita 
lakukan.
 
Inilah antara Identiti Masyarakat Islam Singapura. Dengan menghayati ibadah 
yang diamalkan, kemudian mencernakannya dalam amalan kehidupan seharian, ia 
bukan sahaja menjadikan kita masyarakat Islam yang kuat prinsip kehidupan 
tetapi dapat memberikan sumbangan yang bererti pada masyarakat sekeliling.
 
Semoga dengan nilai ini, kita akan berjaya di dunia dan mendapat ganjaran yang 
berlipat ganda di akhirat kelak.
Amin Ya Rabbal A'lamin.


      Get your preferred Email name!
Now you can @ymail.com and @rocketmail.com
http://mail.promotions.yahoo.com/newdomains/sg/

Kirim email ke