Daripada Abu Hurairah daripada Rasulullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud: 
Sesiapa yang berpuasa Ramadhan dengan penuh keimanan dan keikhlasan nescaya 
akan diampuninya segala dosanya yang telah lalu. (Diriwayat oleh imam Nasai'e, 
Ibn majah, Ibn Habban dan Baihaqi)
Abu Hurairah telah berkata: Aku telah mendengar Rasulullah S.A.W bersabda 
tentang Ramadhan yang bermaksud: Sesiapa yang mendirikannya(Ramadhan) penuh 
keimanan dan keikhlasan diampunkan baginya apa dosanya yang telah lalu. (Hadis 
riwayat Bukhari, Muslim, Tarmizi, Abu Daud, Nasai'e,Malik,Ahmad dan Baihaqi)
Daripada Abu Hurairah telah berkata: Rasullah S.A.W telah bersabda yang 
bermaksud : Sembahyang yang difardhukan kepada sembahyang yang sebelumnya 
merupakan penebus apa antara keduanya, dan Jumaat kepada Jumaat yang sebelumnya 
merupakan penebus apa antara keduanya, dan bulan kepada bulan(iaitu Ramadhan) 
merupakan kaffarah apa antara keduanya melainkan tiga golongan : Syirik kepada 
Allah, meninggalkan sunnah dan perjanjian (dilanggar). Telah berkata Abu 
Hurairah: Maka aku tahu perkara itu akan berlaku, maka aku bertanya: Wahai 
Rasulullah! adapun syirik dengan Allah telah kami tahu, maka apakah perjanjian 
dan meninggalkan sunnah? Baginda S.A.W bersabda : Adapun perjanjian maka engkau 
membuat perjanjian dengan seorang lain dengan sumpah kemudian engkau 
melanggarinya maka engkau membunuhnya dengan pedang engkau, manakala meninggal 
sunnah maka keluar daripada jamaah (umat Islam yang majoriti/sawadul a'zhom). 
(Hadis riwayat Ahmad, Al-Hakim, dan Baihaqi)
Daripada Abi Soleh Az-Zayyat bahawa dia telah mendengar Abu Hurairah r.a. 
berkata: Rasulullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud: "Setiap amalan anak 
Adam baginya melainklan puasa maka ia untukKu dan Aku akan membalasnya. Dan 
puasa adalah perisai, maka apabila seseorang berada pada hari puasa maka dia 
dilarang menghampiri(bercumbu) pada hari itu dan tidak meninggikan 
suara.Sekiranya dia dihina atau diserang maka dia berkata : Sesungguhnya aku 
berpuasa demi Tuhan yang mana diri nabi Muhammad ditanganNya maka perubahan bau 
mulut orang berpuasa lebih harum di sisi Allah pada hari qiamat daripada bau 
kasturi, dan bagi orang berpuasa dua kegembiraan yang mana dia bergembira 
dengan keduanya apabila berbuka dia bergembira dengan waktu berbukanya dan 
apabila bertemu Tuhannya dia gembira dengan puasanya." (Hadis riwayat imam 
Bukhari, Muslim, Nasai'e, Ahmad, Ibn Khuzaimah, Ibn Habban dan Baihaqi)
MUTIARA MENAWAN DARIPADA HADIS-HADIS KELEBIHAN RAMADHAN
1. Semua hadis menceritakan tentang kelebihan Ramadhan yang merupakan sebagai 
suatu simbol kecintaan Allah s.w.t. kepada para hambaNya.
2. Janji limpahan rahmat dan keampunan yang meluas di bulan Ramadhan, merupakan 
antara motivasi daripada Allah s.w.t. buat para hambaNya, dalam rangka untuk 
memperbaiki hubungan kehambaan mereka kepada Allah s.w.t. di samping menjadi 
pemangkin bagi menyuntik semangat baru bagi para hambaNya untuk terus berjalan 
menujuNya. 
3. Ramadhan menjanjikan suatu madrasah tarbiah yang bermakna buat para hamba 
Allah s.w.t., kerana di dalamnya, para hambaNya dapat melatih diri dalam 
menjaga niat dan keikhlasan kepadaNya dalam setiap amalan.
4. Hadis-hadis ini juga menceritakan tentang kepentingan keikhlasan dan 
keimanan kita dalam menunaikan ibadah, kerana amalan hanya diterima dengan niat 
yang ikhlas. 
5. Puasa mampu menjadi perisai diri daripada terjebak ke lembah maksiat, jika 
ianya dilakukan dengan penuh keikhlasan dan ketaqwaan. Begitu juga, ia mampu 
menghapuskan segala dosa jika seseorang bertaubat dengan taubat nasuha, 
seterusnya melakukan ketaatan sebagai ganti (kaffarah) bagi dosa-dosa tersebut. 
6. Puasa bukanlah sekadar menahan lapar dan dahaga semata-mata, tetapi menahan 
seluruh anggota daripada kemaksiatan dan kedurhakaan kepadaNya. 
7. Bau mulut orang berpuasa lebih harum daripada bauan kasturi di sisi Allah 
s.w.t.. 
8. Orang berpuasa akan mengecapi dua kegembiraan iaitu ketika berbuka puasa 
bersama-sama dengan keluarga dan sahabat handai yang tersayang, dan kegembiraan 
apabila bertemu Allah s.w.t. kelak. Sememangnya, dalam berbuka puasa itu, 
kegembiraan seseorang hamba bukanlah kerana dapat memenuhi syahwat makannya 
setelah lama menahannya, tetapi kegembiraan hakiki seseorang hamba sewaktu 
berbuka puasa ialah, apabila melihat hidangan di hadapannya, dengan penuh 
syukur, dengan merasakan, seluruh rezeki tersebut merupakan suatu tanda 
kecintaan Allah s.w.t. kepadaNya. 
Adapun kegembiraan ketika bertemu dengan Allah s.w.t., laksana kegembiraan sang 
kekasih yang sentiasa menyimpan rindu untuk bertemu dengan kekasihnya, yang 
telah lama berjauhan di perantauan. 
Semoga puasa kali ini dapat memberi manfaat kepada seluruh umat Islam dalam 
usaha untuk memperbaiki hubungan diri dengan Allah s.w.t..
Wallahu a'lam...


      ___________________________________________________________ 
Want ideas for reducing your carbon footprint? Visit Yahoo! For Good  
http://uk.promotions.yahoo.com/forgood/environment.html

Reply via email to