PETISYEN KEPADA AGONG DARIPADA MALAYSIA TODAY     
  YANG DI-PERTUAN AGONG MALAYSIA, 

  Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong 
  Tuanku Mizan ibni Al-Marhum Sultan Mahmud Al Muktafi Billah Shah




  

   
Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku,

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Ampun Tuanku beribu-ribu ampun, 
sembah patik harap diampun.

Bismillah Ar-Rahman Ar-Rahim

  PERKARA: KERAJAAN YANG SEMAKIN LESU BERGELUMANG DALAM RASUAH DI BAWAH 
KEPIMPINAN DATO' SERI ABDULLAH AHMAD BADAWI, PERDANA MENTERI MALAYSIA 
  
Patik merafak sembah memohon Tuanku mencemar Duli membaca warkah perutusan 
rintihan rakyat. 
  
Ampun Tuanku. Negara kita sekarang berada dalam keadaan gawat dan tidak menentu 
masa depannya. Pimpinan Kerajaan makin lesu, tidak teratur, bergelumang dalam 
rasuah dan komplot politik. Negara tidak lagi bergerak maju dan rakyat sudah 
merasa jauh ketinggalan berbanding keadaan sebelum ini. Ekonomi negara 
digembar-gemburkan oleh Kerajaan sebagai sihat dan melonjak tetapi dari mana 
dan ke mana terlonjaknya rakyat tidak dapat merasainya. Politik negara makin 
tegang dengan tercetusnya berbagai jenis masalah dan komplot yang hampir 
semuanya tidak menemui penyelesaian yang baik. Rusuhan sudah bermula di 
sana-sini dan ketegangan perkauman dan keagamaan semakin meningkat. 

  Ampun Tuanku, izinkan patik menyenaraikan antara keadaan yang ada seperti 
berikut:

1) Dua rakyat Terengganu telah ditembak oleh Polis baru-baru ini. Kerajaan 
menutup kes ini dengan menghantar 'hamper' kepada mangsa tembakan. Ke mana lagi 
rakyat boleh mengadu?

  2) Rusuhan dan pembunuhan yang telah berlaku di Kuala Lumpur, Pulau Pinang 
dan Johor dalam minggu sambutan Ulangtahun Merdeka ke-50. Patik khuatir, jika 
rusuhan ini sebenarnya tidak mempunyai sebab, melainkan diwar-warkan oleh orang 
tertentu yang tidak bertanggungjawab. 

  3) Laporan Ketua Audit Negara yang mendedahkan rasuah dan penyelewengan wang 
rakyat oleh Kerajaan yang mengakibatkan kerugian berbilion Ringgit. Namun, 
Laporan Ketua Audit Negara tidak memberi kesan kepada sesiapa pun, terutama 
sekali kepada Kerajaan. Penyelewengan wang rakyat masih berterusan dari tahun 
ke tahun, walaupun pendedahan dilakukan saban tahun dalam Laporan Ketua Audit 
Negara. 

  4) RM4.6 bilion wang rakyat telah dibazirkan untuk menutup penyelewengan 
pembelian tanah di Pelabuhan Klang. Begitu juga lebih RM5.35 bilion telah 
disalahgunakan dalam pembelian kapal perang bagi tentera laut. Kerajaan 
langsung tidak pedulikan Laporan Ketua Audit Negara.

  5) Polis Di Raja Malaysia sekarang sudah tercemar dengan rasuah dan pengaruh 
anasir jahat sehingga bekas Ketua Polis Negara Tun Haniff Omar telah berkata 
lebih 40% pegawai atasan Polis terlibat dalam rasuah. 

  6) Keluhuran undang-undang dan perjalanan sistem keadilan makin hancur, 
sepertimana didakwa oleh beberapa Pegawai Polis yang berpangkat, menerusi 
Pengakuan Berkanun. Mereka mendakwa bahawa kumpulan jenayah besar sekarang 
sudah mempengaruhi Polis Di Raja Malaysia. Sekali lagi Pengakuan Berkanun oleh 
Pegawai Polis ini tidak disiasat atau diambil tindakan oleh Kerajaan. 

  7) Keadaan institusi kehakiman negara juga amat membimbangkan di mana hakim 
yang lebih berpengalaman dan lebih berkelayakan dipinggirkan manakala hakim 
yang tidak berpengalaman termasuk hakim yang mempunyai kecacatan dalam rekod 
perkhidmatan dinaikkan pangkat.

Walaupun perkara ini disebut dan dibuktikan di Parlimen, iaitu Dewan tertinggi 
untuk menyuarakan kebimbangan rakyat, Kerajaan tidak mengendahkannya dan tiada 
tindakan diambil bagi memperbaiki keadaan. Sebaliknya, Perdana Menteri yang 
tidak faham 'separation of powers' telah 'mengarah' Ketua Hakim Negara 
menyiapkan laporan untuk menjelaskan keadaan. Mengikut Perlembagaan 
Persekutuan, Perdana Menteri tidak mempunyai kuasa memberi sebarang arahan 
kepada Ketua Hakim Negara. Tetapi itulah keadaan dalam negara kita sekarang, 
sehingga Perdana Menteri sendiri tidak faham tatacara Kerajaan. 

  8) Ketegangan kaum dan agama semakin meruncing dalam negara kita. Laporan 
rusuhan kaum di Masai, Johor dan di Pulau Pinang dan Kuala Lumpur mewakili rasa 
ketidakpuasan rakyat yang boleh mencetuskan rusuhan perkauman

  
9) Nama Perdana Menteri Abdullah Ahmad Badawi tersabit dalam skandal 'Oil-for 
Food' di Iraq. Nama anak beliau Kamaluddin Abdullah dan syarikat Scomi 
kepunyaannya tersabit dalam skandal 'nuclear parts for Libya'.

Nama anak menantu beliau Khairy Jamaluddin tersabit dalam berbagai percaturan 
wang (ECM Libra, Equine Capital, Air Asia dan sebagainya). Namun demikian tidak 
ada tindakan yang diambil terhadap Perdana Menteri atau ahli keluarganya. Ke 
mana lagi rakyat dapat mengadu?

10) Pilihan raya dipermainkan oleh alat Kerajaan. Pilihan raya kecil 
mendedahkan penyalahgunaan harta Kerajaan untuk membantu parti politik yang 
berkuasa. Isu pengundi hantu masih berleluasa sewaktu pilihan raya.

Kita perlu memperbaiki sistem pilihan raya yang masih diperalatkan dengan 
begitu mudah oleh parti memerintah. Rakyat tidak lagi mempunyai tempat untuk 
mengadu. 

  11) Kes pembunuhan Altantuya Shaaribuu jelas mendedahkan persubahatan jahat 
antara pemimpin Kerajaan, pentadbiran Kerajaan, Polis Di Raja Malaysia dan 
Pendakwaraya.

Sehingga kini, saksi Polis telah membawa 'watak lucu' yang langsung tidak 
serius. Diari siasatan yang hilang,

Laporan Polis berlainan mengenai kes yang sama dan persaksian bercanggah yang 
disengajakan akan memastikan bahawa yang tertuduh akan terlepas daripada 
dakwaan membunuh.

Lebih penting lagi, pembunuh yang sebenarnya langsung tidak akan dihadapkan ke 
mahkamah. Rekod keluar masuk mangsa bunuh Altantuya yang sepatutnya disimpan 
dalam komputer Jabatan Imigresen telah lenyap tanpa sebab yang munsabah.

Memandangkan Altantuya tersabit penglibatannya dengan beberapa orang kenamaan 
dan pemimpin tinggi Kerajaan dalam kontrak pembelian kapal selam bernilai 
berbilion Ringgit, jelas bahawa tangan yang tercemar berkuasa melenyapkan rekod 
Jabatan Imigresen dan juga mempengaruhi perjalanan penyiasatan Polis dan 
Pendakwaraya.

Ampun Tuanku. Kebimbangan rakyat tidak terhad kepada sepuluh perkara ini sahaja 
tetapi senarai ini cukup untuk menyatakan keresahan rakyat Tuanku. Ke mana 
rakyat Tuanku akan merayu lagi? Ampun Tuanku. Patik sembah mohon Tuanku 
mencemar Duli mendengar rayuan rakyat Tuanku. Patik sembah mohon Tuanku 
mencemar Duli menangani keadaan gawat dalam negara kita. Ampun Tuanku. Patik 
tidak datang keseorangan memohon Tuanku mencemar Duli. Patik bersama ini 
menyembahkan kepada Tuanku, senarai tandatangan 10,000 rakyat Tuanku. Portal 
web Malaysia Today juga mengumpul tandatangan secara online di:

http://malaysia-today.net/blog2006/Announcements.php?itemid=8121

dan dalam 24 jam pertama, telah mendapat 3,000 tandatangan dan jumlahnya terus 
bertambah. Patik menyembah Duli memohon ampun sekiranya surat ini kasar dan 
terlalu kuat tetapi memandangkan kesemua pintu telah tertutup dan segala jalan 
untuk menyelesaikan masalah yang ada telah terputus, maka patik merafak sembah 
kepada Tuanku untuk menolong rakyat Tuanku. Patik akhiri rayuan ini dengan 
sembah Ampun dan Daulat Tuanku. Wabillahi Taufik Walhidayah Assalammualaikum 
Warahmarullahi Wabarakatuh

Daulat Tuanku! 
   
   

    Posted by PejuangMaya at 7:31 AM 4 comments   
  
  


  15.9.07   
    PERINGATAN PADA YANG LUPA   
      
  


  


  
  (Kalimah Allah di Langit Putrajaya pada 18 8 2007 jam 8.37 pm)


  Bangsa Melayu pernah digentar,
Ular, harimau ditepuk tampar,
Kerisnya bisa, silatnya gempar,
Amuk Melayu bumi bergegar.

Bangsa Melayu pernah gagah,
Berkaki ayam, hutan diredah,
Pernah cuba diganyang penjajah,
Umat Melayu, jihad sabilillah!!

Bangsa Melayu pernah berdaulat,
Terbilang merata, kesultanannya hebat,
7 bangsa penjajah cuba menempat,
Dengan kudrat semua dihambat.

Bangsa Melayu bangsa keramat,
Nabi(SAW) pernah beri amanat,
Buat dakwah, nun di bumi berkat,
Di akhir masa, ramai wali hebat.

Bangsa Melayu bangsa hikmat,
Sejarah Melayu tertera riwayat,
Nabi(SAW) pernah beri alamat,
Raja Melaka mendapat hidayat.

Bangsa Melayu tak makan saman,
Agama dijunjung zaman-berzaman,
Wali Melayu penuh kehebatan,
Karamah, barakah, jadi laziman.

Bangsa Melayu penuh daulah,
Halusi sahaja kisah sejarah,‘
Wa’ad’ Melayu jangan disanggah,
Sanggah ‘wa’ad, mendapat ‘tulah’.

Tanah Melayu pernah berkat,
Raja dan rakyat sentiasa muafakat,
Alim-ulamak sangat dihormat,
Bumi bertuah, terbilang sejagat.

Bumi Melayu pernah berkat,
Tempat tumpuan ulamak sejagat,
Madrasah, pondok merata tempat,
Menjana insan unggul dan hikmat.

Tanah Melayu intinya hebat,
Bumi zuriat Nabi(SAW), itulah kudrat,
Kesultanan Melayu hampir padat,
Pancaran Nabi(SAW), penuh keramat.

Bumi Melayu pernah terbilang,
Sejarah rajanya penuh gemilang,
Turunan penjajah, entah mana menghilang,
Turunan Raja Melaka, tetap ditatang.

Melayu pernah berilmu dan berbudaya,
Beribu manuskripnya tersimpan merata,
Dikaji selidik sarjana dunia,
Kalau sangsi, tanyalah Arkib Negara.

Bangsa Melayu halus seninya,
Hayati warisan persuratanya,


  S yair seloka sungguh indahnya,


  Pertukangan, sulaman, tiada taranya,

Berkurun Melayu junjung agama,
Adat dijaga bersama-sama,
Bangsa Melayu harum namanya,
Rahmat Allah dimana jua.

Orang Melayu usah alpa,
Warisan bangsa bukan sehari dua,
Pusaka Melayu 6 kurun lamanya,
Menyimpan sejarah nenek moyang kita.

Orang Melayu usah goyah,
Propaganda bohong supaya kita melatah,
Ungkapan ‘Melayu lemah’ semata tohmah,
Strategi musuh menebar fitnah.

Sejarah Melayu sebenarnya hebat,
Namun dicemar Inggeris keparat,
Propaganda bohong itulah hakikat,
Namun Melayu termasuk jerat.

Jatidiri Melayu sebenarnya kuat,
Bangsa Melayu pernah berdaulat,
Silap Melayu membuang adat,
Silap rajanya membuang muafakat.

Bukan baru musibah Melayu,
Telah bermula sekurun nan lalu,
Serangan musuhya bertalu-talu,
Sehinga bangsa menjadi terkelu.

Melayu mula ditimpa musibah,
Pabila Inggeris datang menjajah,
Adat dibuang, agama disanggah,
Akhirnya Melayu mendapat ‘tulah’.

Sekian lama Melayu jadi sasaran,
Sejarah, jatidirinya jadi serangan,
Musuh luar dan musuh dalaman,
Mungkinkah tersirat suatu ramalan?

Melayu kini resah gelisah,
Namun jelas hakikat sejarah,
Mungkinkah tersirat, sebalik musibah,
Melayu pencetus kebangkitan ummah?

Ingatlah pesan junjungan Rasulullah(SAW),
Panji hitam dari timur, bumi karamah,
Bangsa Melayu usah menyerah,
Cari kekuatan dari sejarah.

Sejarah Melayu sebenarnya hebat,
Jatidiri Melayu sebenarnya kuat,
Bumi ahlul-bait itulah kudrat,
Umarak ulamak kuncinya terletak.

Laksamana Hang Tuah gagah orangya,
Berguru, bertarikat, berisi dirinya,
Jangan perlekeh riwayat firasatnya,
“MELAYU TAKKAN HILANG DI DUNIA!!”



       
---------------------------------
Yahoo! oneSearch: Finally,  mobile search that gives answers, not web links. 

Kirim email ke