Pada Khamis 23 April 2009 saya telah sempat menyertai operasi mencegah ponteng 
sekolah yang dianjurkan oleh Pejabat Pelajaran Daerah dengan kerjasama PDRM, 
MPS , Sekolah dan PIBG. Saya telah mewakili PIBG. Operasi tersebut melibatkan 
beberapa sekolah menengah sekitar Ampangan , Seremban.

Kumpulan saya telah ditugaskan untuk melakukan operasi ke atas beberapa pusat 
siber (Cybercafe). Terdapat tidak kurang 5 pusat siber yang menjadi tumpuan 
pelajar sekolah.

Pihak MPS baru-baru ini telah memperkenalkan atau menambah syarat baru untuk 
operasi pusat siber di mana ianya menyebut : “Tidak membenarkan murid-murid 
sekolah samada berpakaian seragam atau tidak , memasuki pusat siber pada waktu 
persekolahan”.

Sebelum ini syarat tersebut ialah tidak membenarkan pelajar berpakaian seragam 
sekolah masuk ke pusat siber, sekarang ini ianya ditambah samada berpakaian 
seragam atau tidak , pada waktu persekolahan.

Langkah ini adalah salah satu langkah untuk mengelakkan pelajar ponteng melepak 
di pusat siber. Pelajar yang ponteng akan tetap ponteng juga , mereka akan cari 
tempat lain.

Langkah ini adalah untuk membersihkan imej pusat siber sebagai tempat pelajar 
ponteng sekolah.

Justeru itu kita mintalah kepada ibu bapa dan guru-guru menasihati anak-anak 
kita dan anak-anak murid kita supaya tidak pergi ke pusat siber pada waktu 
persekolahan walaupun tidak berpakaian seragam sekolah. Jika tidak sia-sia 
sahaja pengusaha siber tersebut akan di saman dan boleh di kompaun maksima RM 
1500 atau mungkin lesen mereka ditarik.

Terdapat beberapa pendekatan lain yang perlu dipertimbangkan oleh pengusaha 
pusat siber ini agar ianya menjadi pusat siber yang sihat. Antaranya ialah 
kedudukan skrin komputer hendaklah boleh dilihat dari pintu utama tidak 
terselindung kerana ini akan menggalakkan pengunjung melayari laman web lucah. 
Pusat siber juga sepatutnya tidak boleh menggunakan cermin gelap.

Ibu bapa harus memainkan peranan penting untuk membendung gejala ponteng 
sekolah , jangan serah semuanya pada guru, polis atau PBT. Sekali sekala ibu 
bapa kena buat “spot check”. Ibu bapa juga jangan sekali-kali membenarkan 
anak-anak yang tiada lesen membawa motosikal atau kereta.

Bayangkan sekarang ini ibu bapa senang-senang benarkan anak mereka yang sekolah 
rendah menunggang motosikal. Anak-anak ini panjang akal mereka, tambahan 
berkawan dengan rakan yang lagi panjang akal. Dengan bawa motosikallah mereka 
belajar menipu, belajar hisap rokok, belajar ponteng sekolah dan sebagainya.

Anak saya sekolah rendah bawa juga motosikal, tapi bila balik kampong bawa 
motosikal kapcai atuknya dalam kawasan rumah atok yang berpagar.

Kepada ketua-ketua jabatan, Menteri Pelajaran, Pengarah Pelajaran, Ketua Polis, 
YDP MPS cuba turun sekali sekala buat operasi ponteng sekolah ini, baru mereka 
tahu adakah operasi ini berkesan atau tidak, baru mereka tahu apa kelemahan 
Akta dan Undang-undang sedia ada. Jangan duk bahas dalam Parlimen atau Dewan 
Undangan Negeri sahaja.

Kita ni ahli PIBG bila buat operasi begini terpaksa mohon cuti tahunan dari 
majikan, bukan senang-senang boleh ponteng kerja. Cuti tahunan pula untuk 
sektor swasta tak sampai sebulan.

Sedikit kelemahan pada syarat tambahan MPS tadi ialah tidak dinyatakan waktu 
persekolahan dari pukul berapa ke pukul berapa. Dari hari apa ke hari apa. 
Bagaimana mereka yang sekolah sessi petang dan sebagainya.

Bayangkanlah ibu bapa semua , kita dua orang suami isteri nak jaga anak 5 orang 
macam saya ni pening kepala, ini kan pula guru nak jaga 1000 orang pelajar. 
Bertolak ansur sikitlah ibu bapa dan guru-guru ni, janganlah nak tunjuk siapa 
pandai. Demi anak-anak dan anak-anak murid kita marilah kita turun padang 
bersama untuk menyelesaikan pelbagai masalah sekarang ini lepak, ponteng 
sekolah, rokok, dadah, seks bebas dan sebagainya.

Kepada orang politik yang tak tahu politik, teruskanlah merebut jawatan, 
teruskanlah merebut jawatan Menteri Besar, Setiausaha Badan Perhubungan dan 
sebagainya.

Politik , politik juga tapi janganlah sampai nak jemaah masjid tak sempat, nak 
tengok masalah rakyat rumah terbengkalai tak sempat, nak tengok rakyat masalah 
pembentungan tak siap-siap tak sempat, masalah banjir tak sempat.

Rozmal bin Malakan
http://waghih.blogspot.com




Reply via email to