Selepas Machap, kini penduduk Ijok akan menjadi 'mangsa'                  
                           Zaili Muhammad      
         Tue | Apr 17, 07 | 11:30:17 AM                           Rasuah 
pilihan raya kini beralih ke Ijok! Begitulah yang boleh kita anggap apabila 
selesai segala 'urusan' parti pemerintah di Machap.

 

Setelah lebih seminggu segala jentera pemerintah daripada budak sekolah 
(universiti) sehingga kepada yang berjawatan Menteri berkubu dan berperang 
dengan segala 'janji' dan 'habuan' dunia, kini Machap sudah 'berseri'.

 
Demikianlah jika musim pilihan raya, sama ada pilihan raya umum atau kecil, 
maka pihak pemerintah akan menganyang habis-habis tidak kira parti yang 
bertanding menentangnya ataupun penduduk sendiri dijadikan 'mangsa'.

 
Penduduk bila di'mangsakan'kan maka akan mengangguk dan bertepuk tanganlah 
mereka apabila dijanjikan dan dihidangkan dengan pelbagai hidangan muluk 
seperti jalan baru, bekalan air, elektrik, perumahan baru dan pelbagai yang 
lain.

 
Padahal, secara tidak disedari, itulah juga yang dinamakan 'gula-gula' pilihan 
raya, atau 'rasuah' yang tidak disedari oleh mereka.

 
 Keputusan pilihan raya kecil Dun Machap (N8)  yang memihak kepada calon dari 
Barisan Nasional (BN) Lai Meng Chong  merupakan satu kemenangan yang telah 
dijangka sebelum hari penamaan calon  lagi.

  
 Ini berikutan kehadiran pelbagai jentera kerajaan yang dikerahkan bagi  
membantu memenangkan BN sejak awal lagi, walaupun belum diumumkan lagi  tarikh 
untuk penamaan calon mereka telah bertungkus - lumus menyiapkan  pelbagai 
'projek segera' yang diluluskan sempena pilihan raya kecil ini.

 
 Penduduk pula berasa sungguh gembira dan bertuah sambil menyifatkan  pilihan 
raya kecil ini sebagai 'durian runtuh' yang bakal merubah nasib  mereka setelah 
sekian lama disisihkan dari arus kemajuan serta peluang  seperti ini perlu 
direbut segera.

 
 Jalan raya ditar baru serta dilebarkan, parit digali semula, masjid  
diperbaiki dengan segera dan paling mengembirakan penduduk, Taman Rekreasi  Poh 
Ah Tiam dapat disiapkan dalam masa seminggu dengan peruntukan RM1.2  juta 
mengandungi pondok wakaf, trek jogging bersama taman permainan  kanak - kanak.

   
 Ketua Menteri Melaka juga telah meluluskan permohonan melebarkan tanah  
perkuburan Cina seluas 10 ekar di Machap baru, 5 ekar di Machap Umboo,  7 ekar 
di Alor Gajah, RM 7 ribu untuk Tokong San Nui Machap Baru dan 50  lot tapak 
rumah di Felda Bukit Bulat kepada masyarakat Cina walaupun  mereka tidak 
tinggal di situ.

 
 Kerajaan Negeri juga akan membina rumah kos rendah bersebelahan dengan  Taman 
Mawar di Machap Baru seluas 7 ekar membabitkan 80 unit rumah  selepas pilihan 
raya kecil dan dijangka siap dalam masa 2 tahun.

 
 Kira-kira 900 batang tiang lampu jalan telah dipasang menyebabkan jalan yang  
dahulunya gelap- gelita di sepanjang Felda Bukit Bulat ke Hutan Percha  
bertukar menjadi terang - benderang.

 
 Namun dalam kerancakan itu terdengar juga rungutan dari kontraktor   kerana 
banyak projek dilakukan secara tergesa - gesa dan mesti disiapkan  dengan 
segera menyebabkan kerja tersebut tidak mengikut piawaian  sebenar.

 
 KPT turut berkempen
  Penglibatan Kementerian Pengajian Tinggi(KPT) menambahkan lagi  kepincangan 
perjalanan pilihan raya, mengaibkan dan membuatkan kita berfikir  apakah malang 
nasib anak-anak kita dididik oleh mereka yang tidak  bermaruah malah sanggup 
dikeldaikan.

   
 Pelajar perempuan dilihat membantu gerakerja yang diatur oleh Puteri  Umno 
berkempen ke rumah pengundi sementara pelajar lelaki membantu  gerakerja Putera 
Umno atau Pemuda BN yang diangkut dengan beberapa buah bas.

 
 Kementerian Kesihatan, Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian  kebudayaan, 
Kesenian dan Warisan (KeKKWa), RTM, JKR, MPAG, Tenaga Nasional,  PAM malahan 
seluruh petugas BN yang terdiri dari Umno, MCA, MIC, Gerakan,  PPP seluruh 
negara turut berkampung di Machap.

 
 Jentera DAP tidak segagah BN di Machap, poster- posternya tidak banyak  
kelihatan cuma di sekitar bilik gerakan dan persimpangan jalan sahaja.

 
 Daripada lapan pusat mengundi DAP cuma mempunyai 3 bilik gerakan iaitu  di 
Machap Umboo, Tebong yang baru disewa untuk pilihan raya dan  menumpang bilik 
gerakan PKR di Machap Baru.

  
 Kempen mereka juga ditumpukan sekitar 3 penempatan ini sahaja, manakala  di 
Melaka Pindah mereka berjaya mengadakan ceramah itupun dibantu Anwar  Ibrahim 
yang turun berkempen di saat akhir melalui pentas PKR dan di  lima pusat 
mengundi lain yang majoritinya Melayu, DAP tidak berjaya  menembusi langsung.

 
 Majoriti merosot
  Calon BN, Lai Meng Chong memperolehi 5,533 undi menewaskan calon dari  DAP, 
Liou Chen Kuang yang mendapat 1,452 undi, undi rosak sebanyak 166,  jumlah 
keseluruhan keluar mengundi ialah 7,151 pengundi manakala undi pos  berjumlah 
102 memihak kepada Lai.

 
 DAP berjaya mengurangkan majoriti undi BN dari 4,562 pada pilihanraya  umum 
2004 kepada 4,081 ini menunjukan penurunan majoriti undi sebanyak  481 undi 
seterusnya hasrat BN menghilangkan wang deposit DAP tidak  berjaya.

 
 Keputusan ini sekaligus memberi tamparan hebat kepada BN kerana  meskipun 
dibantu dengan pelbagai jentera seluruh negara dan melibatkan  perbelanjaan 
besar namun BN gagal menghilangkan wang deposit DAP.

 
 Manakala DAP berbangga kerana berjaya menambah undi, mempertahankan  wang 
depositnya dan banyak permasalahan rakyat yang disuarakan telah  berjaya 
ditunaikan melalui pilihan raya kecil ini.

 
 Umno bolehlah diumpamakan 'menang sorak kampung tergadai' selepas  
berhempas-pulas berkempen merasakan tidak berbaloi dengan kemenangan  tersebut, 
ini dapat dilihat dari riak wajah pemimpin dan penyokong mereka pada  malam 
pengumuman keputusan itu.

 
 Machap kini mula kembali seperti biasa, penduduknya yang kebanyakannya  
penoreh getah, pekerja ladang, penternak dan bekerja sendiri mula  kesepian 
ditinggalkan oleh orang bandar yang sebelum ini begitu peramah  sekali dengan 
orang kampung.

 
 Tiada lagi kelibat Menteri, TNC HEP, pelajar IPTA atau IPTS. Orang luar  telah 
meninggalkan Machap dengan pelbagai kisah termasuk serangan yang  mencederakan 
penyokong DAP, mereka kini khabarnya telah berkubu di Ijok  untuk memainkan 
rentak lagu lama lagi serupa.

   
 Machap akan dilupakan, projek yang gagal disiapkan bakal menjadi  tergendala 
manakala projek yang dijanjikan mungkin tidak akan ditunaikan dan  yang 
haru-birunya, 900 lampu jalan yang baru dipasang sempena  pilihan raya kecil 
ingin dibuka (diambil) kembali. - mks. 


       
---------------------------------
 Yahoo! Mail is the world's favourite email. Don't settle for less, sign up for 
your freeaccount today.

Kirim email ke