Ketua Pengarang yang dirahmati Allah Taala,
   
  Saya amat bersetuju dengan usaha Datuk Mustapha Mohamed dan Kementerian 
Pengajian Tinggi,  yang sedang cuba merangka untuk merombak kurikulum 
universiti, saya melihat ia sangat perlu.
   
  Saya berpendapat bahawa mahasiswa merupakan tunjang utama kepada teraju 
kepimpinan pada masa hadapan. Logiknya, mereka senantiasa bergelumang dengan 
suasana keilmuan dan hegemoni keintelektualan universiti melayakkan mereka 
menjadi tunjang utama pewaris negara. Namun, kebimbangan mengenai masalah 
mahasiswa yang didominasi hiburan melampau diakui amat menggusarkan.
   
  Keperluan kepada kurikulum yang mampu memandu mereka agar tidak meremehkan 
kekreatifan dan kekritisan metode berfikir serta pembinaan nilai kerohanian 
merupakan sesuatu yang begitu penting. Mungkin terdapat dakwaan yang mengatakan 
hiburan juga melibatkan elemen kreatif dan kritis. Saya akui secara umumnya 
memang begitu. Namun, adakah kita cenderung untuk mengatakan bahawa jenayah 
berkolar putih dan berprofil tinggi yang dilakukan sebilangan golongan 
profesional dianggap kritis dan kreatif? Bahkan sudah pasti hiburan melampau 
tersebut tiada pun elemen nilai dalaman. 
   
  Menurut buah fikiran yang dilontarkan oleh Dato' Profesor Dr. Hasan Said, 
mahasiswa dan universiti saling memerlukan. Kualiti yang diimpikan akan 
terjejas jika salah satu daripadanya tidak cemerlang. Dalam usaha mencapai 
kecemerlangan, menurut beliau, universiti perlu memiliki 4 elemen utama iaitu 
sistem pengurusan berdaya saing dan fleksibel, tenaga akademik yang 
berkebolehan, infrastruktur terkini dan meletakkan budaya kesarjanaan di tempat 
teratas.
   
  Strategi pembelajaran kurikulum yang bersifat waqi'i atau semasa memerlukan 
rombakan yang ideal agar dapat memenuhi keperluan komprehensif golongan 
mahasiswa. Bagi Profesor Dr. Khairuddin Ab. Hamid, mahasiswa kini lebih senang 
dan matang berbanding masa lalu, namun agak bermasalah dari segi penetapan hala 
tuju dan lemah dalam menghadapi cabaran hidup. Justeru, barangkali kurikulum 
selama ini memang wujud kekuatan tersendiri. Namun, pihak kerajaan berani untuk 
cuba mengubahnya setelah melakukan check and balance. Syabas diucapkan.
   
  Dalam hal ini, saya mewakili Persatuan Mahasiswa Islam, Universiti Malaya 
(PMIUM) rasa terpanggil untuk melontar sedikit idea yang mana, diharapkan ia 
dapat membantu serba sedikit pihak Kementerian Pengajian Tinggi. Dalam proses 
rombakan tersebut, saya mencadangkan agar ditetapkan kurikulum yang mewajibkan 
kuliah fardhu ain terhadap mahasiswa beragama Islam seperti subjek TITAS yang 
menjadi kursus wajib universiti seperti yang dilaksanakan di Universiti Malaya.
   
  Justifikasi idea ini adalah berdasarkan kepada kebimbangan terhadap 
penguasaan ilmu fardhu ain yang lemah di kalangan mahasiswa beragama Islam di 
samping tidak melupakan ilmu fardhu kifayah yang sudah dicatur baik. Meskipun 
dilihat tidak releven, PMIUM sanggup untuk membantu dalam membincangkan 
rancangan besar tersebut dengan para sarjana negara. 
   
  Statistik yang lengkap dan detail diperlukan dalam memantau kuantiti dan 
kualiti pengamalan dan pengetahuan mengenai fardhu ain seperti wuduk, solat, 
mandi junub dan sebagainya. Bahkan saya dapat maklumat terdapat yang tidak 
dapat mengucapkan syahadah. Walaupun saya tidak memberi fakta nyata, namun 
permasalahan ini wajar difikirkan dan dibuat penyelidikan.
   
  Selaku salah seorang yang memimpin sekumpulan mahasiswa, saya benar-benar 
berharap agar masalah penguasaan amalan keagamaan dititikberatkan di kalangan 
mahasiswa yang muslim. Di samping itu, ditegaskan bahawa saya bersetuju segala 
usaha kerajaan yang cuba memastikan mahasiswa dikelilingi suasana nilai 
kerohanian, tradisi keintelektualan dan jalinan erat antara kaum secara harmoni.
   
  Mohd Dzul Khairi Bin Mohd Noor,
  Yang Dipertua,
  Persatuan Mahasiswa Islam, Universiti Malaya (PMIUM), Kuala Lumpur.
  www.pmium.org
  
   
  Maklumat Diri:
   
  Mohd Dzul Khairi Bin Mohd Noor,
  Yang Dipertua,
  Persatuan Mahasiswa Islam, Universiti Malaya (PMIUM), Kuala Lumpur.
  
  840118-03-5973,
  51, Jalan 14/46, Seksyen 14, 46100, 
  Petaling Jaya, Selangor Darul Ehsan.
  012-9520741
  [EMAIL PROTECTED],
  www.pmium.org
   
   
   

       
---------------------------------
Get the Yahoo! toolbar and be alerted to new email wherever you're surfing. 

Kirim email ke