Syarah Ibnu Aqeel ialah sebuah kitab klasik yand mengajar nahu Bahasa Arab. Ia 
mengupas tentang syair nahu "Al-Alfiah" yang terdiri daripada 1000 bait 
karangan Ibnu Maalik. Terdapat syarah-syarah yang lain terhadap "Al-Alfiah" 
seperti Syarah Usymuni dan  Syarah Al-Makudi, tetapi Syarah Ibnu Aqeel adalah 
yang paling terkenal dan mudah difahami.

Jika anda tahu asas-asas nahu Arab, adalah amat baik jika anda 
bersungguh-sungguh menguasai Syarah Ibnu Aqeel. Kitab asal ini ditulis beberapa 
ratus tahun dahulu dan pada anggapan orang zaman moden ini, seolah-olah ia 
sudah ketinggalan zaman. Sebenarnya tidak begitu, walaupun ia sebuah kitab tua, 
tetapi isinya adalah menjadi standard kepada buku-buku nahu Bahasa Arab zaman 
ini.

Apa yang unik tentang Syarah Ibnu Aqeel ialah syair Al-Alfiah itu sendiri yang 
merangkumi hampir kesemua bab-bab nahu secara lengkap. Jika anda pernah belajar 
nahu Arab secara pondok, anda mungkin telah menghafal 1000 bait kitab 
Al-Alfiah, jika tidak pun, sekurang-kurangnya anda tahu makna syairnya.

Syarah Ibnu Aqeel sendiri wujud pelbagai cetakan dan pengulas antaranya ialah 
Mahyuddin Abdul Hamid, Yusuf Muhammad Al-Baqaie dan Muhammad Abdul Mun'im 
Khafaji. Terdapat juga hasyiahnya (kupasan tambahan) yang terkenal ialah 
Hasyiah Al-Khudari. Dan juga Syarah Ibnu Aqeel ini sudah ada terjemahannya ke 
Bahasa Indonesia.

Kebanyakan kecetakan baru dalam bahasa Arab telah diolah dalam bentuk yang 
cantik serta ada yang terdiri daripada teks dua warna, hitam dan merah. Di sini 
saya hendak sebutkan bahawa di zaman ini ada usaha ummat Islam di dunia Arab 
yang berusaha memelihara khazanah kitab-kitab karangan ulama-ulama silam. 

Di sinilah kita dapat faham keistimewa kitab Syarah Ibnu Aqeel kenapa ia tetap 
hidup sepanjang zaman, kerana ia adalah salah satu catitan asal tentang nahu 
Bahasa yang masih tulin dan utuh, berkat dipelajari oleh ummat Islam sudah 
beratus-ratus tahun lamanya. Dengan itu makna Al-Qur'an dan Hadith tetap 
terpelihara dalam Bahasa Arab.

Oleh itu, sebagai orang-orang Islam yang bersemangat untuk mempertahankan 
khazanah Islam, ada baiknya anda membeli kitab Syarah Ibnu Aqeel dan 
belajarnya. Antara keindahan kitab itu ialah anda boleh membaca nahu Bahasa 
Arab dalam bentuk irama syair, kemudian anda boleh membaca serta menghafal 
kata-kata hikmat syair-syair Arab yang diselitkan sebagai menyokong 
kaedah-kaedah nahu yang pernah dipakai oleh berbagai puak-puak Arab zaman 
silam. Jadi, matan syair Al-Alfiyah telah memelihara kaedah bahasa Arab yang 
standard mengikut uslub sepertimana yang dipakai oleh Nabi Muhammad dalam 
bahasa puak Quraisy iaitu bahasa Arab Al-Qur'an.

Kirim email ke