July 12, 2000

'Al-KKN-ah' juga sesat, bukan saja Al-Ma'unah
Fathi Aris Omar

Memang ada kata sepakat antara kerajaan dengan pembangkang untuk menghapuskan keganasan dan ajaran sesat. Perdana Menteri, ketua pembangkang yang juga Presiden PAS, Presiden MCA dan Pengerusi DAP semuanya bersetuju gejala ini perlu dibendung.

Malah, kata mereka yang selalu menghentam itu, sepatutnya kerajaan sudah lama bekerjasama dengan pembangkang untuk sama-sama menangani gejala ini.

Dalam tempoh 2 Julai hingga kini, isu ancaman ajaran sesat berbangkit semula. Setiap kali ia muncul, agama menjadi elemen utama untuk disabitkan dengan kesesatan.

Tetapi hakikatnya, banyak lagi amalan boleh dikategorikan sesat atau menyimpang, termasuklah dalam bidang moral atau etika, terpulang pada kayu ukur sesuatu masyarakat. Kayu ukur ini selalunya pula ditakluk oleh kuasa politik semasa dan menurut pula perubahan sekeliling dalam realiti politik pragmatis.

Oleh kerana "ajaran sesat" merupakan ungkapan rasmi orang politik (baca: pemimpin negara) dan polis, maka kesesatan yang dimaksudkan di sini mempunyai implikasi cabaran kepada kuasa pemerintah dan faktor keselamatan.

Oleh kerana maknyah tidak menggugat kuasa politik dan tidak pula mencetuskan ancaman keselamatan, maka tidaklah pula kumpulan manusia ini dikategorikan sesat. Oleh kerana kumpulan demonstran reformasi mencabar kuasa politik dan bertembung dengan polis, mereka juga boleh dikategorikan "sesat."

Perjudian yang menjana kuasa ekonomi dan dilesenkan oleh kuasa politik tentunya halal dan tidak sesat.

Yang dianggap sesat hanyalah kegiatan "judi haram" - tetapi jika ongkosnya cukup, banyak juga kedai tikam kuda boleh beroperasi secara terbuka dan dianggap halal! Kita pun tahu banyak pegawai penguatkuasa yang senang-lenang di atas wang sogokan kedai tikam kuda.

Bagaimanapun, sogokan atau rasuah paling besar dan cukup menyesatkan sering kali berlaku di peringkat atasan, berlegar dalam lingkungan elit berkuasa.

Dalam bahasa yang lebih kontemporer dan sedikit berbaur reformasi, amalan menyesatkan ini disebut KKN (korupsi, kronisme dan nepotisme). Jika diarabkan akronim tersebut, bunyinya mungkin "al-KKN-ah", seakan-akan Al-Ma'unah.

Elok juga polis menyediakan kertas putih tentang ‘al-KKN-ah,' khususnya yang melibatkan Dr Mahathir Mohamad. Lagipun, sebahagian besar kesesatan itu telah dilaporkan kepada polis. Terkini, laporan polis tentang dakwaan Mahathir menghalang Badan Pencegah Rasuah menyiasat seorang pegawai kanan di Jabatan Perdana Menteri.

Sementara mereka yang berbukti mengamalkan ‘al-KKN-ah,' misalnya selepas disiasat oleh BPR dan telahpun disarankan kepada Jabatan Peguam Negara untuk pendakwaan, eloklah segera dibawa ke mahkamah dan jangan lagi disimpan dalam kabinet dapur Perdana Menteri.

Bahaya kesesatan ‘al-KKN-ah' ini cukup besar. Seorang profesor Malaysia yang terkenal di peringkat antarabangsa kerana mengkaji sosiologi korupsi, Prof Syed Hussain Alatas berkata, pemimpin negara yang paling sesat kerana amalan ini ialah seseorang yang tidak melakukan rasuah tetapi membiarkan pemimpin-pemimpin di kelilingnya merompak harta rakyat.

Kesesatan ini jauh lebih serius berbanding jika pemimpin itu sendiri melakukan rasuah!

Oleh itu, jika seseorang perdana menteri atau presiden atau menteri besar tidak mengamalkan ‘al-KKN-ah', tetapi merelakannya pemimpin lain berbuat demikian, beliaulah selayaknya yang pertama-tama, bukannya pemimpin nombor dua, ke muka pengadilan.

Akibat korupsi yang terlalu meluas dan kompleks di India, kata profesor berkenaan lagi, pesakit-pesakit di hospital dibiarkan terlantar tanpa rawatan. Orang bodoh boleh lulus dengan ijazah yang cemerlang. Orang yang dibawa ke mahkamah tidak mendapat keadilan dan orang yang bersalah terlepas, malah dilindungi.

Selagi wang mampu menyogok seseorang pemimpin dalam apa juga bidang dan strata masyarakat, kesengsaraan insan dan sosial (human and social cost) cukup tinggi - malah lebih tinggi daripada kehilangan dua jiwa di Sauk.

Paling sesat dan menyesatkan akibat gejala ‘al-KKN-ah' ialah apabila masyarakat tersebut tidak lagi mempunyai daya lasak untuk memeranginya dan menerima segala kesengsaraan itu, tambah Syed Hussain lagi.

Paling nyata, bekas presiden Indonesia, Pak Harto kini termasuk dalam kategori rasmi seorang yang mengamalkan ajaran sesat al-KKN-ah. Pihak polis dan jaksa yang gagal mengambil tindakan terhadap Suharto sebelum ini juga mengamalkan kesesatan. Dan begitulah polis di mana-mana pun.

Pertubuhan silat Al-Ma'unah juga tidak pernah sesat, malah diluluskan pendaftaran oleh Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), sehinggalah mereka merampas senjata di Gerik dan Banding, kemudiannya berkubu di Sauk.

Sayang sekali, jika mereka kekal bergerak seperti biasa, tentunya mereka tidak sesat!

Begitulah juga pemimpin negara seperti Pak Harto. Jangan disangka pemimpin negara yang tidak pernah sesat hari ini akan selamat. Hilang kuasa kesesatannya akan muncul di permukaan.

Lagipun, kesesatan pemimpin negara lebih berbahaya daripada segala kesesatan di dunia ini. Kata pepatah, ikan mulai membusuk daripada bahagian kepala.



COUNTERBALANCE.ANYWHERE.ANYTIME.ANYBODY.ANYONE.COM



Do You Yahoo!?
Get Yahoo! Mail - Free email you can access from anywhere!

Kirim email ke