July 5, 2000
'Krisis' rampasan senjata
Fathi Aris Omar
Krisis menguji kebijaksanaan pemimpin negara tetapi ‘krisis' mencabar kebijaksanaan rakyat. Lakonan tentang krisis boleh disebut propaganda atau latihan perhubungan raya (PR exercise) kerajaan.
Menteri, agensi yang terlibat dan media arus perdana tidak dapat mengelakkan diri melakonkan skrip ‘drama' daripada krisis ini.
Ia selalunya dijalankan oleh media atau agensi berita yang selama ini dilihat sebagai hamba propaganda pemerintah. Lihat insiden awal, beberapa hari pertama, selepas apa yang dinamakan kumpulan ‘Abu Sayyaf' menculik tebusan dari Pulau Sipadan.
Kerajaan - berniat menjalankan latihan PR itu - dengan bantuan media menunjukkan foto-foto tentang pergerakan kumpulan komando khas mengesan dan mengejar penculik Filipina itu.
Semua akhbar menyiarkan foto yang hampir sama di halaman depan di ‘kawasan operasi' yang dianggap strategik, sulit dan bukan perlu diumumkan. Malah, foto beberapa anggota polis Cawangan Khas (SB) sedang mengawasi penginapan di pulau itu turut dipaparkan.
Pendedahan foto ini menunjukkan aspek keselamatan atau operasi itu tidak dikawal rapi – satu kelemahan ketara pemimpin negara. Atau, foto-foto itu sengaja dibesar-besarkan untuk menunjukkan kerajaan telah berbuat sesuatu – ia menguji kebijaksanaan rakyat sama ada termakan atau tidak latihan propaganda tersebut.
Sekali lagi, ‘drama' di Grik dan Sauk menunjukkan corak latihan PR untuk mencabar kebijaksanaan kita di seluruh negara.
Lihat foto-foto yang disiarkan dalam akhbar secara besar-besaran. Kawasan-kawasan sekatan jalan raya, pintu masuk kem dan malah, kem yang pernah diceroboh itu boleh dirakamkan fotonya sama ada oleh akhbar atau televisyen.
Hari ini, foto Bernama yang diterbitkan oleh The Star dan The Sun menunjukkan dua lelaki berpakaian tentera tercegat mengawasi sebatang jalan Kg Jenalik Hulu di Grik. Gaya tentera dan sudut foto ini nampak kurang meyakinkan kecuali latihan PR!
Ada juga beberapa foto nampak ‘real'. Sudut pandang dan subjek foto hanyalah tafsiran yang masih boleh dikatakan ‘subjektif.'
Tetapi bagaimana pula kenyataan Ketua Polis Negara, Tan Sri Norian Mai, yang menafikan wujudnya pertempuran antara kumpulan perampas dengan pasukan gabungan tentera-polis, dikatakan beribu-ribu orang dikerahkan mengepung di sekitar hutan simpan Bintang Hijau, dekat dengan Sauk?
Laporan Utusan Malaysia dan The Sun mempertikaikan kenyataan Norian yang dianggap pegawai tinggi keselamatan yang profesional. Akhbar itu menyebutkan terdapat kejadian tembak-menembak sekitar jam 4 pagi dan berlarutan sehingga 11 pagi!
Foto dua tentera yang cedera keluar dari hospital Kuala Kangsar ditunjukkan di muka depan dua akhbar berbahasa Inggeris. Kedua-duanya cedera di bahu. Norian yang mengeluarkan kenyataan tengah hari semalam tentunya berbohong, tidak cekap mengurus media atau tidak dimaklumkan.
Atau, boleh jadi juga foto itu sekadar menunjukkan bahawa kumpulan 15 perampas berbangsa Melayu, India dan Iban – kemudiannya kelihatan berserban putih merah serta berkopiah dan juga melaung takbir Allahu Akbar – memang ganas dan harus dihapuskan?
Jika seorang pegawai tinggi yang profesional gagal mengeluarkan atau mengemaskinikan maklumat yang tepat, apalah yang hendak diharapkan daripada kenyataan seorang ahli politik seperti Menteri Pertahanan, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Isnin lalu, Berita Harian melaporkan Najib sebagai berkata, "setakat ini, apa yang saya difahamkan ialah tidak ada kecuaian berlaku." Bagaimanapun, Utusan Malaysia keesokannya melaporkan Najib "mengakui wujud unsur kecuaian sehingga menyebabkan 15 lelaki berjaya menembusi kawasan keselamatan dan melarikan sebanyak 119 laras pelbagai senjata."
Kenyataan Najib ini sebenarnya ragam biasa menteri Malaysia. Seperti juga cara Menteri Kesihatan, Datuk Chua Jui Meng, menangani virus Nipah dan penyakit JE. Serangan penyakit ini nampaknya berulang dalam skala yang agak besar serta pantas dalam tempoh beberapa minggu kebelakangan.
Seperti krisis lain – kerajaan selalu tengadah selepas terantuk – keselamatan kem-kem tentera tiba-tiba dipertingkatkan. Jika keselamatannya terjamin, mengapa sejumlah senjata berat dan berbahaya itu boleh dipindah keluar dengan selamat dari dua buah kem?
Bagaimana pula menafsirkan identiti tiga orang yang ditahan di Sauk? Kebanyakan laporan menyebutkan pekebun atau pemungut durian. Hari ini, akhbar The Star menyebutkan dua orang anggota polis dan The Sun lebih berani melaporkan dua pegawai polis Cawangan menyamar sebagai pekebun untuk menembusi kumpulan 15 tersebut. Semuanya tidak disahkan oleh pihak berwajib.
Tidak kurang keganjilannya, gelagat media arus perdana yang begitu curious, bersemangat menyiasat dan investigative. Laporan pertama pada Isnin lalu dengan segala perincian dan rajah senjata yang dirampas tidak menyebutkan sebarang sumber rasmi yang jelas.
Menteri berkenaan hanya menyebutkan "sejumlah besar senjata." Bagaimana media Malaysia yang selalunya tidak berani membongkar isu-isu keselamatan (security matters) dan memalukan kerajaan tiba-tiba diizinkan berlagak seperti Harakah atau Rocket?
Atau, soalan yang paling pertama, bagaimanakah maklumat sensitif itu boleh jatuh ke tangan media jika tidak dengan restu pihak berkuasa keselamatan negara?
Pastinya cara laporan ini menyukarkan orang ramai tidak membuat kesimpulan bahawa ‘latihan propaganda' sedang berjalan antara kerajaan dan media.
Apapun tafsirannya, ‘drama' sedang tercetus di sebalik krisis atau ‘krisis' ini. Ia menguji kebijaksanaan kita semua.
COUNTERBALANCE.ANYWHERE.ANYTIME.ANYBODY.ANYONE.COM
Do You Yahoo!?
Kick off your party with Yahoo! Invites.