Remaja lakukan hubungan seks 72 kali setahun

KUALA LUMPUR, Selasa - Remaja di negara ini melakukan hubungan seks 72 kali setahun, menurut Kajian Hubungan Seks Sejagat-Aspek Golongan Muda '99.

Kajian itu yang dijalankan sebuah syarikat pengeluar kondom antarabangsa, membabitkan kira-kira 300 remaja di beberapa bandar besar di negara ini bagi mengenal pasti tabiat seks di kalangan remaja.

Kajian itu meliputi 50 peratus remaja lelaki dan perempuan berusia 16 hingga 21 tahun melalui borang soal jawab.

Pengurus Besar Durex, Jon Gray, berkata kajian itu diadakan di 15 negara dengan remaja Britain didapati mengadakan hubungan seks paling kerap, iaitu 113 kali setahun, diikuti Amerika Syarikat (128 kali), Jerman (116 kali) dan Kanada (113) manakala Singapura (63).

"Kajian pada tahun ini membabitkan 4,800 remaja berusia antara 16 hingga 21 tahun bagi 15 negara termasuk Malaysia," katanya selepas membentangkan hasil Kajian Hubungan Seks Sejagat-Aspek Golongan Muda 99, di sini hari ini.

Gray berkata, kajian di Malaysia mendapati 49 peratus remaja di negara ini tidak menggunakan kondom sebagai alat pencegahan ketika kali pertama mengadakan hubungan seks.

Bagaimanapun, menerusi kajian itu, kira-kira 12 peratus remaja di negara ini menggunakan kondom setiap kali melakukan seks kerana bimbang dijangkiti virus HIV.

Beliau berkata, jumlah berkenaan lebih rendah berbanding Republik Czech, iaitu 11 peratus, diikuti Poland (10 peratus), Mexico (sembilan peratus) dan Singapura (lima peratus).

Katanya, purata umur remaja yang mendapat pendidikan seks berusia 14 tahun berbanding Jerman yang remajanya mendapat pendidikan seks ketika berusia 11 tahun.

"Sumber pengetahuan mengenai hubungan seks itu diperolehi menerusi keluarga, ibu bapa, buku, majalah, doktor dan rakan," katanya.

Beliau berkata, secara puratanya, kajian yang dijalankan terhadap 14 negara lain mendapati remaja mula mendapat pendidikan seks pada usia 11 tahun, seperti di Jerman, United Kingdom, Itali dan Kanada.

Kirim email ke