Assalamualaikum warahmatullah,
Antara hadis yang ditolak sebagai dalil dalam bab wanita memakai tudung
ialah hadis A’isyah radiallahu-anha, bahawa Asma’ binti Abu Bakar pernah
mengunjungi Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam dengan pakaian yang agak
nipis. Lalu Rasulullah berpaling darinya seraya bersabda: Wahai Asma’ ,
sesungguhnya wanita apabila telah baligh, tidak boleh terlihat daripadanya
kecuali ini dan ini: baginda mengisyaratkan wajah dan kedua tangannya.
Berikut adalah analisa ringkas terhadap status hadis tersebut:
Pertama:
Dikeluarkan oleh Abu Daud dalam kitabnya Sunan Abu Daud (edis terj: Victory
Agencie, K. Lumpur), jld 4, ms 521, no: 3945. Berkata Abu Daud: Hadis ini
mursal, Khalid bin Duraik belum pernah menemui A’isyah radiallahu-anha.
Dalamnya juga terdapat Said bin Basyir…..tidak seorang yang
membincangkannya.
HF: Said bin Bashir adalah seorang perawi yang daif. Lihat Ibnu Adiy:
al-Kamil fi ad-Dhua’fa’ al-Rijal (Dar al-Kutob al-Ilmiah, Beirut), jld 4, ms
412.
Hadis ini juga terdapat dalam Syu’aib al-Iman al-Baihaqi (Dar al-Kutob
al-Ilmiah, Beirut), jld 6, ms 165, no: 7796 dan Sunan al-Kubra al-Baihaqi
(Dar al-Kutob al-Ilmiah, Beirut), jld 7, ms 138, no 13496.
Kedua:
Ibnu Hajar al-Asqalani dalam ad-Dirayah fi Takhrij Ahadith al-Hidayah (Dar
al-Ma’refah, Beirut), jld 1, ms 123 turut membahas hadis di atas, dan beliau
menyebut riwayat kedua dengan lafaz yang sedikit berbeza, yang dikeluarkan
oleh Abu Daud dalam Kitab al-Marasil dari Qatadah dari A’isyah.
HF: Mungkin riwayat dari Qatadah ini disebut oleh Ibnu Hajar ialah bagi
menunjukkan adanya jalan kedua selain Said bin Basyir dan Ibnu Duraik. Namun
ia tetap terputus kerana Qatadah tidak menemui A’isyah radiallahu-anha.
Kitab al-Marasil Abu Daud ialah kitab yang menerangkan hadis-hadis mursal,
iaitu yang terputus isnadnya.
Ketiga:
Al-Baihaqi dalam Sunan al-Kubra, no: 13497, ath-Thabarani dalam Mu’jam
al-Ausath (Dar el-Fikr, Amman, Jordan), jld 6, ms 169, no: 8394 dan Mu’jam
al-Kabir (Maktabah al-Ulum wal Hukum), jld 24, ms 142, no: 378 telah
mengeluarkan hadis yang sama di atas dengan maksud yang sedikit berbeza,
iaitu ketika menunjuk ke tangannya, baginda Nabi menarik lengan baju
sehingga tidak ternampak kecuali jari-jari tangan.
Berkata al-Baihaqi selepas mengemukakan riwayat kedua ini: Isnadnya daif.
Kedaifan isnad tersebut disebabkan oleh dua perawi, sebagaimana yang
diterangkan oleh Mahmud Hasan Ismail, penyemak Mu’jam al-Ausath, iaitu:
[1] Ibnu Luhai’ah: Dia jujur tetapi terdapat campur aduk dalam riwayat yang
disampaikannya.
[2] ‘Iyadh bin Abdullah bin Abdul Rahim: dia longgar, yakni tidak mantap
dalam meriwayatkan hadis.
Rumusan:
Hadis A’isyah di atas diriwayatkan melalui dua jalan, yang pertama secara
mursal oleh Abu Daud dan kedua secara musnad (bersambungan) tetapi daif oleh
al-Baihaqi dan ath-Thabarani. Namun kelemahan kedua-dua perawi dalam jalan
kedua tidaklah memudaratkan, malah kelemahan mereka dapat ditutupi dengan
kesamaan riwayat yang terdapat dalam jalan pertama.
Hadis A’isyah ini juga memiliki penguat dari keterangan/pendapat lain-lain
sahabat radiallahu-anhum, iaitu Ibnu Abbas dan Ibnu Umar, juga dari para
tabiin seperti Atha’ bin Abi Rabah dan Said bin Jubair. Ini sebagaimana yang
diterangkan oleh Al-Baihaqi dalam Sunan al-Kubra, jld 7, ms 137.
Al-Baihaqi, ketika menyusun hadis-hadis dan pendapat sahabat / tabiin dalam
perbincangan ini, meletakkannya di bawah: “Bab pengecualian muka dan tangan
dengan kebolehan melihatnya dari Hijab.” - iaitu tafsiran terhadap ayat
Surah an-nur: 31.
HF: Dalam ertikata mudah, maksudnya ialah: Pengecualian muka dan tangan dari
perintah hijab sehingga boleh terlihat / terdedah keduanya.
Oleh itu juga saya berpendapat, hadis ini paling rendah dapat didudukkan di
tangga hasan kerana beberapa penguat yang dimilikinya sehingga ia dapat
dijadikan hujah dan dalil dalam bab hukum memakai tudung / batas aurat para
muslimah. Allah sahaja yang lebih mengetahui.
Sekian.
_________________________________________________________________
Get your FREE download of MSN Explorer at http://explorer.msn.com/intl.asp